Monday 27 December 2010

Pusingan 1 : Syabas Skuad Malaysia


Menonton persembahan Malaysia dalam perlawanan malam semalam menentang Indonesia untuk perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil saya terfikir kita bukanlah pasukan yang lemah di rantau ini, cuma perlu kepada ketajaman strategi dan teknik permainan yang lebih tangkas dan tersusun sahaja. Hanya ingin berkongsi pandangan pada teknik tendangan pemain negara. Sebenarnya juga bukan daripada perlawanan semalam sahaja tetapi daripada pemerhatian terhadap permainan pemain kita dalam liga tempatan.

Kita kadang-kala memperoleh bola dan ruang gol yang telah sedia untuk menerima sepakan dan percubaan kita, tetapi selalunya kita lihat pemain kita menyemak tinggi melangit. Ini terutamanya bagi bola untuk sepakan terus tanpa perlu menahan. Saya dahulu ada bermain bola juga dan saya fikir tidaklah terlalu sukar untuk memastikan bola itu meluru ke hadapan dan bukannya menuju bumbung stadium. Bagi orang awam mungkin sepakan begitu adalah normal, tetapi bagi pemain bola sepak profesional sepakan percubaan ke arah gol itu harus ke hadapan dan rendah sahaja. Memanglah mereka perlu menendangnya dalam keadaan spontan atau kurang bersedia, tetapi bagi saya jika cukup latihan dan penguasaan pemain (kaki mereka) kepada bola yang bulat itu, sekurang-kurangnya tidaklah naik sampai melebihi suduh 15 darjah. Apapun mereka menunjukkan prestasi yang cukup baik dan harap dapat dikekalkan dan diteguhkan lagi. Syabas kepada bahagian pertahanan, tengah dan juga serangan. Kerja sepasukan sememangnya penentu kejayaan mereka nanti.

Bekalan 3-0 nampaknya memberikan sedikit keselesaan kepada kita untuk perjuangan pada perlawanan kedua nanti.. InsyaAllah kita boleh menang jika rentak yang ada dikemaskan lagi.. Malaysia boleh menang ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday 21 December 2010

Tidak Perlu Tunggu "PERFECT" Segalanya Baru Nak Bermula





Muharram 1432H telah pun bermula. Penghijrahan kita ke tahun baru tentunnya akan mengingatkan kita tentang azam tahun baru yang ingin disematkan dalam hati dan minda kita. Setiap awal tahun biasanya kita akan cuba berazam untuk itu dan ini. Beruntunglah  bagi mereka yang telah menetapkan matlamat dan cita-citanya dengan jelas. Jelas dalam melihat apa yang ingin dicapai, apa yang ingin dipegang, apa yang ingin di genggam dan apa yang ingin dikecapi. Sekiranya kita teguh dengan azam itu dari mula hinggalah menjenguk semula tahun baru yang akan datang tentunya cita-cita berkenaan sedikit sebanyak telah dan akan dicapai.

Sekarang kita sudah pun berada dihampir penghujung tahun 2010. Sememangnya bagi setiap manusia yang normal dan ingin memperbaiki dirinya akan mengimpikan suatu perubahan dalam hidup. Perubahan yang diinginkan tentunya lebih menjurus kepada tahap kebahagian yang lebih baik daripada sekarang. Ketenangan dan kesejahteraan tentunnya adalah kemuncak kegembiraan yang semua daripada kita impikan. Untuk mencapai tahap itu, ia bukanlah boleh datang bergolek dengan sendirinya. Kita perlu berusaha. Usaha, usaha dan usaha. Untuk melakukan sesuautu usaha kita perlu memulakan sesuatu. Seperti mana bermulanya detik waktu setiap hari, begitulah perlunya ada titik mula yang pertama. Setelah tergerak kita di titik pertama barulah kita akan ke titik kedua, ketiga dan seterusnya. Lakukannya ia kerana kita tidak akan kemana-mana pun kalau tidak berani mencuba. Jika gagalpun, kita boleh belajar daripada kegagalan itu..

Melihat tajuk post ini, TIDAK PERLU TUNGGU "PERFECT" SEGALANYA BARU NAK BERMULA!!

Bermaksud, jangan kita terlalu menunggu sesuatu persediaan dan kelengkapan kita benar-benar sedia dan sempurna, barulah kita boleh memulakan sesuatu perkara yang baru. Kerja yang kita laksanakan untuk mencapai cita-cita dan impian itu boleh kita bahagikan kepada impian dalam rumah tangga, dalam kerjaya, dalam perniagaan, dalam hubungan masyarakat dan sebagainya. Sekarang ini saya fikir pencapaian dalam mengumpul harta dan wang ringgit tentunya antara impian yang paling diinginkan. Kebebasan untuk memiliki apa jua di dalam dunia ini tidak harus di"noktah"kan atau di"koma"kan dengan menunggu kita berada dalam keadaan serba serbi memuaskan. Cuba dan terus lakukan setakat mana yang telah kita mampu lakukan. Pepatah lama mengatakan "sikit-sikit lama-lama jadi bukit". Tentunya ia benar dan sesuai dijadikan pedoman untuk kita yang mahu lebih berjaya dalam hidup. Terus ke hadapan dan sedikit demi sedikit perbaiki apa yang masih belum sempurna. InsyaAllah kecacatan itu akan sedikit sebanyak hilang dan digantikan dengan kesempurnaan.

Just Do It!

Selamat Tahun Baru 2011!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 18 December 2010

Fahami Dahulu, Kemudian Barulah Tentukan Pilihan..




Untuk menerima sesuatu perkara baru, baik untuk mengenali seseorang, produk baru, tugasan baru, tempat baru atau apa jua perkara pun - cuba selami dulu perkara itu dengan lebih mendalam lagi. Tanggapan pertama yang harus muncul terhadap benda itu harus positif. Kesampingkan terus segala fikiran, idea, andaian dan terjahan imej-imej negatif dalam fikiran dan benak hati kita. Kita kadang kala hilang semangat dalam menjalankan kerja. Merasa bosan, hilang tumpuan, malas ataupun kurang keyakinan. Mungkin salah satu puncanya adalah kerana kita tidak faham apa yang perlu kita hadapi mengenai perkara tersebut pada masa kini dan masa hadapan. Kita masih kabur dan teraba-raba di dalam gelap apa yang hendak dicapai dan ke mana  hendak dituju.

Jadi... cuba kita selaminya dengan lebih dalam lagi dan kita akan temui semangat baru yang mungkin boleh memakan terus semua rasa dan sikap negatif yang cuba bertakhta tadi. Gunakan prinsip ini pada setiap kali apabila kita merasa bosan dan hilang pedoman. Hanya selami ianya dengan lebih mendalam lagi dan kita akan lebih berminat terhadap perkara tersebut setelah kita menjumpai arah panduan yang betul. Ibarat seperti orang bermain saham.. Yang telah menceburinya memanglah mereka ni gila dan syok memantau turun naik saham mereka, tetapi bagi yang tidak tahu apa-apa mengenai saham, silap-silap perkataan "saham" tu pun dia tidak faham dan tidak boleh nak dihuraikan apa-apa mengenainya.

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday 12 December 2010

Memberi Makan Kepada Budak-Budak




Suatu petang melihat sebuah rumah yang dijadikan rumah anak yatim.. Kelihatan anak-anak yatim berkenaan cukup riang gembira (sekitar umur 7-10 tahun) bermain air untuk mandi. Mandi untuk persiapan ke masjid untuk solat berjemaah Maghrib rasanya. Melihat suasana mereka ketika itu terfikir saya bahawa bagaimanakah agaknya urusan perbelanjaan mereka seharian di rumah berkenaan. Mungkin ada peruntukan dan sumbangan daripada pelbagai pihak. Mungkin ia cukup dan mungkin juga ia masih memerlukan banyak lagi sumbangan terutamanya dalam aspek perbelanjaan pendidikan dan makan pakai mereka. Melihat mereka yang masih kecil sudah pun terpaksa hidup sendiri dan berdikari di asrama sebegitu teringat saya semasa pernah tinggal di asrama kira-kira 15 tahun dahulu (menengah rendah). Kehidupan pelajar di asrama antara lain mengajar erti disiplin, kesusahan, berdikari serta daya fikir dan daya tindak sendiri. Apapun yang paling tidak dapat saya lupakan adalah satu daripadanya adalah kegembiraan ketika apabila ada orang luar yang belanja kami makan "ayam rangka" atau ketika itu kami memanggilnya "tengkorak ayam". Boleh dikatakan dalam sebulan tu adalah beberapa kali individu berkenaan memberi kami makan percuma ayam rangka berkenaan. Bukanlah banyak pun isinya tetapi nikmatnya bukan main sekali ketika itu. Berebut-rebut ;) Begitulah nikmatnya makanan yang diberikan kepada kami oleh orang dari luar asrama. Moralnya yang saya cuba katakan di sini adalah kalau kita ada rezeki lebih tu, ringankanlah kaki dan tangan kita untuk menghulurkan sedikit makanan atau apa jua bentuk sumbangan yang sesuai untuk anak-anak yang sedang belajar seperti anak-anak yatim yang ada di sekitar kita. Kegembiraan mereka atas sumbangan kecil kita itu mungkin seketika cuma. Tetapi rasanya akan mereka ingat sampai bila-bila..


 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday 5 December 2010

Maal Hijrah 1432



Assalamualaikum tuan puan yang amat saya muliakan.

Terima kasih kerana meluangkan masa menjenguk ke blog ini. Moga sedikit sebanyak apa jua yang saya telah dan akan kongsikan ini boleh memberikan manfaat kepada anda dan saya sendiri. Saya memulakan penulisan blog ini pada tahun lepas dan bersyukur dapat terus mencuri masa menulis dan menukilkan apa sahaja yang terlintas di fikiran untuk dikongsikan bersama. 

Hijrah bermaksud berpindah daripada keadaaan sekarang kepada satu keadaaan lain yang lebih baik. Untuk berhijrah dan memperbaiki diri bukanlah boleh dilakukan serta merta dan spontan. Yang penting penambahbaikan dilakukan berterusan. Sedikit-sedikit dan tak perlu terburu-buru. Ambil masa mempelajari dan mengamalkan sesuatu perkara baik setiap hari. Gali dan cari ilmu yang memang sedia ada di dalam dunia ini. Kita sebenarnya yang berkuasa untuk memilih untuk berhijrah ataupun tidak. Hijrah juga bermaksud bergerak daripada satu titik kepada titik lain yang lebih baik. Jika tidak bergerak sememang kita telah mati. Jadi gerakkan fikiran dan hati kita untuk berhijrah ke arah kebaikan. Lupakan segala unsur negatif yang ada. Terus je hadapan. Hijrah dengan penuh kesungguhan insyaAllah menjanjikan keuntungan akhirnya juga kepada kita.

Awal Muharram bagi tahun 1432Hijrah akan disambut pada 7 Disember (Selasa) nanti. Sedikit tips daripada seorang penceramah untuk panduan kita melalui peralihan tahun Hijrah ini :

1. Membaca doa akhir dan awal tahun hijrah. Kedua-duanya dibacakan sebanyak 7 kali. Doa akhir tahun 1421H dibaca selepas Asar sementara doa awal tahun 1432H  dibaca selepas Maghrib.

2. Mendirikan solat malam (qiammulail) - Lakukan solat Sunat Taubat, solat Sunat Hajat dan solat Sunat Tahajjud.

3. Selepas solat Subuh pada 1 Muharram, bacalah ayat Kusri 300 kali.

4. Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram.

5. Bersedekah terutamanya kepada anak-anak yatim.

Moga kita diberi kekuatan untuk mengamalkannya. InsyaAllah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 4 December 2010

Tukang Kebun kepada Juruteknik Kebun




Menteri Pelancongan mengusulkan kepada Menteri Sumber Manusia untuk mewujudkan jawatan baru ini ataupun menaik taraf jawatan tukang kebun kepada juruteknik kebun. Bagi saya ini satu langkah proaktif yang bernas dan bagus dari menteri yang berkenaan. Pilotnya mungkin dicadangkan di Taman Botani @ Bunga di negeri Melaka. Sebelum ini mungkin pandangan kita kepada nama "tukang kebun" itu mungkin ia satu pekerjaan yang berada di peringkat rendah dan tidak penting. Bagi saya tukang kebun ini amat penting. Semua orang yang bekerja itu penting. Juruteknik kebun ini penting untuk memastikan kerja selenggaraan dan penjagaan aset hidup tumbuhan dan lanskap dijaga sebaiknya sepanjang masa. Dengan perubahan ini saya rasa kerjaya sebagai juruteknik kebun ini bolehlah diletakkan setara dengan jenis kerja dalam kumpulan juruteknik bidang-bidang lain. Melaka juga mungkin akan mewujudkan sebuah pusat latihan untuk tujuan ini. Bagi memberikan kemampuan dan kemahiran yang berada dalam standard tertentu, silibus dan skill berkaitan penanaman tanaman kebun yang perlu mesti dibekalkan kepada bakal pengamal kerjaya ini nanti. Walaupun "kebun" bukanlah suatu bidang ataupun "produk" yang glamor bagi sesetengah orang tetapi jika ada penghayatan dan pengiktirafan, akan ada sumbangannya yang bermakna dan tersendiri kepada segenap peringkat masyarakat.

Apabila kita berbangga melihat ladang yang luas, janganlah pada masa yang sama kita memandang sepi kepada kebun.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Menjangka Apa Yang Tak Dijangka




Dalam perjalanan hidup seharian kita, kita selalunya merancang apa yang ingin kita laksanakan. Dalam merancang itu sendiri saya fikir ada beberapa jenis perancangan. Ada perancangan jangka pendek, jangka sederhana juga untuk jangka panjang. Selain itu ada juga jenis perancangan yang tersusun kemas, kurang kemas dan tidak kemas. Ada juga bentuk sesuatu perancangan yang terlalu besar, sederhana dan kecil skopnya. Apapun jenis perancangan itu, ia amat penting kerana kita tidak sepatutnya membiarkan sahaja perkara itu berlaku hanya berlaku begitu sahaja. Berlaku tanpa pelan dan tujuan yang jelas.

Saya percaya ramai daripada kita bijak dan tahu membuat perancangan tetapi untuk membuat perancangan yang berjaya kita perlu juga melihat kepada kemungkinan untuk berlaku perubahan dalam perancangan yang telah dibuat pada awalnya. Kita kena bijak menjangka sebarang kemungkinan terhadap perubahan dalam perancangan yang telah dibuat. Suka sebenarnya untuk saya berkongsi disini dimana kita selalu dengar dalam filem terutamanya dari barat apabila ada sesuatu misi atau operasi yang ingin dicapai oleh sesuatu pasukan. Mereka akan ada pelan A dan pelan B. Memang ia satu konsep perancangan terhadap pilihan bergantung kepada cabaran dalam perlaksanaan yang bagus. Ia boleh kita praktikkan dalam kerja seharian kita. Nak bagus lagi, kita boleh ada lagi pilihan untuk pelan C dan pelan D juga ;)

Cuba banyangkan bahawa sesuatu destinasi yang ingin dituju itu mempunyai 4 pilihan laluan. Tentunya kita akan rasa lebih lapang dada dan kurang tertekan. Tidak boleh lalu sini, kita boleh ikut sini. Tidak boleh cara ini, kita boleh ikut cara lain pula. Jika kita asyik menumpukan kepada 1 pilihan yang kita jangka sahaja dan ia menjadikan kesukaran atau kegagalan sebahagian daripada kita. Kita akan berhenti di situ tanpa pilihan lain yang tidak disediakan daripada awal.

Sesungguhnya menjangka apa yang tak dijangka hanya memerlukan sedikit pemerahan fikiran sahaja. Ia tidaklah sesukar mana seperti mana percaturan politik ataupun percaturan dalam dalam permainan catur itu sendiri ;)

  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday 30 November 2010

Parkir di Hospital




Beberapa hari lepas saya berkesempatan ke MAHA2010 di Serdang. Disangkakan pergi melawat pada hari bekerja kuranglah sikit orang, rupanya ramai juga yang berkunjung. Penuh sesak mungkin disebabkan ia berlansung dalam musim cuti persekolahan agaknya. Separuh hari di sana saya dan isteri sempat melawat dan melihat gerai dan pameran di dewan-dewan utama sahaja. Memang hajat nak pusing ke semua lokasi pameran terutamanya yang memperlihatkan haiwan ternakan seperti kambing dan ikan. Tetapi apakan daya sememangnya terlalu banyak yang hendak dilihat dalam satu hari. Betul kata Menteri yang berkenaan, memang tidak cukup lawatan sehari untuk melihat semua pameran dan jualan yang ada.

Secara keseluruhannya saya lihat MAHA mempunyai daya tarikan dan keistimewaan tersendiri. Sememangnya industri yang berkait dengan pertanian mempunyai potensi yang besar dan cukup luas manfaatnya bukan hanya dalam aspek pemakanan dan ternakan, tetapi juga melampaui batasan teknologi, keusahawanan, inovasi, budaya dan kelestarian alam.

Apapun dalam perjalanan ke sana, saya melihat berdekatan dengannya adalah sebuah hospital. Hospital yang besar dan baru juga saya fikir. Barulah usianya jika dibandingkan dengan hospital-hospital besar yang lain. Tetapi apa yang menarik perhatian saya adalah parkirnya yang nampak berselerak di serata tepian jalan berhampiran. Nampaknya masalah lama ini  masih ada lagi. Meskipun kecanggihan peralatan yang ada di dalam premis hospital itu tidak perlu kita sangkal dan persoalkan tetapi kemudahan dan prasarana diluar premis bangunan mungkin sedikit sebanyak belum cukup memuaskan hati pengunjung. Ruang parkir yang tidak mencukupi memang menjadi isu dan permasalahan di mana-mana pun. Ia bukanlah isu di hospital semata-mata. Sebelum ini saya pernah ke hospital besar di bandar Melaka dan JB. Meletak kenderaan baik untuk menghantar pesakit ataupun melawat pesakit tentunya boleh menjadi fobia jika melihat semua lot parkir telah penuh. Bila salah letak kenderaan, takut pulak kena saman nanti.. Sudahlah duit akan mengalir untuk kos perubatan, takut tak pasal-pasal mengalir juga untuk membayar saman.

Apapun parkir di lokasi MAHA sememangnya cukup luas. Luas sehinggakan ia seolah terlalu jauh untuk kita berjalan dari kenderaan ke lokasi pameran. Memang berpeluh dibuatnya ;) Nasib baiklah ada train/traktor yang disediakan untuk pengangkutan dari lokasi ke lokasi dalam tapak MAHA.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 24 November 2010

CCTV di Merata-Rata




Hari ni berlaku satu kejadian jenayah di pusat kotaraya KL - Jalan TAR. Melibatkan kerugian ribuan ringgit, penggunaan senjata api oleh perompak dan mengakibatkan cedera @ kematian kalau tidak salah pendengaran saya di berita. Secara logiknya jika aduan dapat diterima pantas oleh pihak Polis samada melalui talian/sms RakanCop ataupun talian am kecemasan 999 "DAN" taburan CCTV yang meluas dan cekap tentunya perompak tersebut akan melalui jalan sukar untuk keluar dan lari daripada pusat bandaraya KL. Bayangkan jika ada satu bahagian di PDRM yang bertugas 24jam berupaya melihat secara jelas 50% liputan jalan atau laluan utama disamping rondaan yang sedia ada. Tentunya penjenayah akan menjadi semakin sukar untuk menjalankan aktiviti mereka di KL. 

Kadar jenayah dikatakan menurun, tetapi sekali sekala ia berlaku, ia akan meninggalkan kesan mendalam kepada yang terlibat atau tersangkut dengan insiden malang berkenaan.

CCTV kita lihat dewasa ini banyak juga digunakan oleh premis persedirian, bangunan perniagaan dan untuk tujuan lalu lintas. Untuk aspek pengurusan pemantauan dan penjagaan aktiviti jenayah yang LIVE, rasanya mungkin cantik juga sekiranya pihak berwajib melabur sekian peruntukan yang munasabah untuk mewujudkan satu sistem pengawasan persekitaran kawasan di sekitar bandaraya KL. DBKL atau pihak Polis sendiri mungkin boleh berkerjasama dalam hal ini.

Memang terdapat banyak CCTV di serata kawasan KL pada masa ini, tetapi rasanya belum cukup cekap dan bersepadu antara semua CCTV yang ada untuk membantu pihak berkuasa mengawasi aktiviti jenayah yang berlaku secara spontan daripada pusat kawalan. Mungkin ada kenyataan dalam tulisan ini yang kurang tepat dan saya mohon maaf. Apapun saya sekadar memberikan pendapat sahaja..

Di Melaka dengar-dengarnya nak pasang banyak CCTV. Macam-macam idea orang Melaka tu.. lepas satu satu keluar idea daripada kotak fikiran mereka.. Bukan nak puji sangat kepada orang Melaka, tetapi nampak pemerintah di sana kerja keras dan bersungguh dalam bekerja untuk rakyatnya.. Syabas!

Nota : Jangan letak CCTV di dalam tandas sudah... ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday 19 November 2010

Muhasabah Diri





Untuk menilai kembali diri kita, kita (anda dan saya) boleh cuba tanyakan 3 soalan ini kepada diri sendiri:

1. Seimbangkah kehidupan kita?
Antara pecahan kepada soalan pertama ini - Seimbangkah kehidupan kita antara kerjaya dengan kehidupan peribadi? Bagaimana hubungan kita dengan ahli keluarga, dengan rakan taulan, dengan saudara mara, masyarakat juga hubungan dengan Pencipta? Bagaimana pula dengan tumpuan dan objektif kehidupan kita? Adakah kita mengejar dunia semata-mata?
Sama ratakan jika tidak seimbang dan jangan terlalu berat ke satu-satu arah sahaja.

2. Adakah perjalanan hidup kita berada pada landasan yang betul?
Antara pecahan kepada soalan kedua ini - Adakah rutin seharian kita itu betul? Apakah kerja yang kita laksanakan sekian masanya itu betul? Betulkan tindakan kita selama ini untuk boleh memberikan makna kepada kehidupan kita dan kehidupan orang lain juga?
Jika telah tersasar, betulkan kembali landasan itu. Buat alignment semula.

3. Adakah kita melaksanakan tujuan hidup kita?
Antara pecahan kepada soalan ketiga ini - Adakah kita sebagai khalifah di muka bumi ini telah bertindak dan bertanggungjawab atas amanah yang diberikan? Adakah kita menjalankan kerja yang sepatutnya dilakukan? Adakah kita telah tidak mensia-siakan peluang yang ada untuk melakukan kebajikan? Adakah kita telah lupa apa peranan kita? Apakah kita telah tersasar daripada apa yang sepatutnya kita lakukan?
Jika kita sedar apa peranan kita sepatutnya, laksanakan tugas dan amanah itu.

Persoalan ini bukanlah untuk menasihati orang lain tetapi utama dan lebihnya kepada yang empunya diri, yang menulis ini.. Sekian..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday 16 November 2010

Salam Aidiladha 1431H



Untuk renungan dan iktibar kita bersama :

Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail. Selepas dari mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar.

Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.” Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah S.W.T., aku sedia merelakan diriku untuk disembelih.” Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih. Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan, “Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya.”

Walau apapun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah S.W.T terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.”

Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah S.W.T perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatlah apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah S.W.T, kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah S.W.T. Peristiwa ini ada diterangkan dalan surah Ash-Shaffat ayat 101 hingga ayat 111.

Sumber : http://pmr.penerangan.gov.my/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday 15 November 2010

Tarikh 13 Mei


 
Mendengar ada cadangan untuk meraikan ataupun memperingati peristiwa hitam negara kita iaitu semasa rusuhan 13 Mei 1969 rasanya tentu ramai yang tidak akan bersetuju. Rasa idea ini ingin disamakan seperti mana Hari Keharmonian Kaum oleh Singapura. Bagi saya benda yang baik kita boleh ambil contoh tetapi jika ada elemen yang agar samar-samar ni dan lahir dari benda yang negatif lebih selamat kita biarkan sahaja ia begitu.

Setahu saya kebanyakkan peristiwa di dunia ini yang manusia meraikan adalah peristiwa yang baik dan membawa makna yang baik sahaja. Peristiwa duka dan buruk biasanya tinggal tertulis dalam catatan dan lipatan sejarah sahaja. Walaupun ia memang benar berlaku serta memberikan kesan kepada mereka yang secara langsung melaluinya, rasanya adalah kurang bijak untuk mengenengahkannya dalam bentuk "meraikannya". Ia bukanlah peristiwa biasa yang boleh dilupakan sebegitu sahaja yang mereka yang melaluinya dahulu. Memadailah jika diberikan satu bentuk dokumentari atau dibukukan secara jelas apa yang berlaku ketika itu. Ia memang tidak boleh dipadam jadi biarkan sahaja warna hitam itu di situ. Usah dicuba merubah corak warnanya itu di situ.

Kalau ya pun hendak diwujudkan perpaduan tidak perlulah tragedi itu dijadikan asasnya.. Carilah asas daripada perkara-perkara yang lain..

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 13 November 2010

Isu Besar dan Isu Kecil




Di dalam dunia ini kita dapat lihat ada ramai pakar motivasi. Ramai juga yang bijak memberikan motivasi yang berkesan. Hasilnya, mungkin ada ramai diantara kita yang hidup dengan penuh motivasi. Bertuah mereka. Dengan kepelbagaian kehidupan yang ada tentunya ada yang lain yang sederhana tahap motivasi dirinya, sentiasa turun dan naik dalam bermotivasi, kurang bermotivasi dan ada juga yang tidak bermotivasi langsung. Kita boleh tahu di tahap mana kita bermotivasi. Saya baru-baru ini tertarik dengan huraian seorang pakar motivasi di sebuah stesen radio. Pendekkan cerita motivasi berasal daripada perkataan motif. Bila ada motif dan tujuan yang jelas barulah kita akan lebih bermotivasi. Untuk menggalakan kejayaan mencapai motif itu antara lain adalah dengan mewujudkan 1 dimensi motif yang lebih luas. Maksudnya motif berkenaan bukan hanya untuk faedah diri kita sahaja tetapi juga faedah kepada keluarga, orang sekeliling, organisasi, negara dan ummah itu sendiri. Selesai satu perenggan ;)

Seterusnya.. melihat tajuk post ini iaitu "Isu Besar dan Isu Kecil". Hubungan perenggan di atas dengan tajuk ini adalah kita boleh uji sejauhmana kita sudah cukup bermotivasi untuk satu satu motif itu. Kita tidak akan merasa sukar untuk mengharungi  segala cabaran yang ada sekiranya tahap motivasi kita sudah cukup tinggi dan mantap. Perbandingannya adalah seperti kita dan bumi. Kita bergerak di atas bumi. Bumi sebenarnya juga bergerak, tetapi ia bergerak 29.783 km sesaat. Bererti dalam sejam bumi bergerak sejauh 107218.8km. Begitu laju bukan? Tetapi mengapa kita tidak merasainya. Ini adalah kerana kita terlalu kecil untuk merasai pergerakan bumi yang amat besar itu. Di sini pergerakan kita boleh diibaratkan sebagai isu kecil dan pergerakan bumi diibaratkan isu besar. Maksudnya apabila kita telah jelas dengan perjalanan untuk menangani isu besar ataupun motif besar yang hendak dicapai, kita akan dengan mudah boleh mengatasi dan tidak merasai isu-isu kecil yang timbul. Isu-isu kecil itu dapat kita atasi sekiranya kita amat jelas apa isu besar yang perlu kita fahami dan atasi.

Akhir kata, usah membuang masa yang lama pada isu kecil, fokus pada isu besar. Motivasikan diri pada sesuatu yang jelas dan luaskan faedah bagi setiap matlamat yang ingin dicapai. Berpesan kepada diri juga. Terima kasih kerana meluangkan masa membaca.

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday 8 November 2010

Keputusan Atas Maklumat




Kita melihat dalam menentukan apa jua strategi baik di sektor kerajaan, politik, perniagaan, ketenteraan dan di peringkat individu juga kita membuat keputusan berasaskan fakta dan asas maklumat yang ada. Berkait dengan maklumat dewasa ini kita sedar tentang teknologi maklumat dan kuasa maklumat. Bagi mereka yang lebih bermaklumat mereka akan lebih ke hadapan. Bentuk maklumat juga telah berubah dengan peredaran zaman, jika dahulu maklumat adalah lebih kepada apa, mengapa dan di mana? Tetapi corak maklumat yang lebih diperlukan kini adalah bagaimana, kenapa dan kenapa tidak ataupun betulkah?? Dahulu maklumat wujud dalam bentuk susunan data, jadual, nombor, teks dan artikel. Sekarang ia telah pergi amat jauh daripada itu iaitu dalam bentuk yang lebih kompleks, rumit, saling berkait, hibrid dan juga sukar untuk difahami. Kepelbagaian bentuk, rupa dan medium maklumat juga telah berkembang dengan teknologi digital yang boleh menyimpan dan memanupulasi apa juga bentuk data dan maklumat yang ada. Kecanggilan teknologi komputer dan komunikasi sangat merancakkan perkembangan tamadun manusia dalam arena maklumat yang ada. Ia bukan sekadar menyimpan maklumat statik sebaliknya ia boleh menjadikan maklumat berkenaan terlalu dinamik, "berkuasa" dan "pintar" untuk melaksanakan sesuatu agenda ataupun melaksanakan sesuatu praktik. Lihat sahaja kepada kemajuan teknologi manusia dalam perubatan dan kejuruteraan. Kita boleh melihat begitu jauh apa yang mungkin berada dalam jangkauan kemampuan tafsiran biasa kita. Pelbagai simulasi yang boleh diwujudkan. Benda yang tidak berlaku pun boleh dijangkakan kemunculannya. Pendek kata keputusan atas dasar maklumat yang tepat adalah amat relevan dan penting kini. Maklumat kadang kala boleh jadi jelas dan tidak jelas. Terpulang kepada kita untuk mendapatkan penjelasannya. Untuk menjadikan kita dan persekitaran kita lebih baik, kita tidak harus membiarkan sahaja maklumat tidak digunakan. Analisa dan fikirkan mengenai setiap maklumat yang ada melintas di hadapan kita. Keputusan berada dalam kotak fikiran dan hati kita, tindakan di tangan kita. Di jari jemari kita. Di pensil yang memangkah ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday 5 November 2010

Belajar Dalam Kerja



Setiap hari kita keluar bekerja.. bagi orang politik & bisness mungkin Sabtu & Ahad juga, mereka bekerja.. Kita bekerja untuk diri kita, bekerja juga untuk keluarga, bekerja juga untuk organisasi,  masyarakat dan negara. Setiap daripada kita sememangnya akan dipertanggungjawabkan satu amanah untuk dijaga dan diusahakan. Bagi yang lebih berkebolehan mungkin lebih banyak amanah yang akan dipikulnya. Tidak kita di peringkat mana kita berada.

Sesetengah daripada kita berasa selesa dengan kerja yang ada. Kerja semata-mata kerja sahaja. Cukup bulan terima habuan. Adakah habuan itu sebenarnya layak bagi kita? Kita sendiri tahu jawapannya..

Sebenarnya isi utama untuk saya katakan di sini adalah dalam 2 konteks utama iaitu pertamanya  kita sebagai [individu] dan keduanya kita sebagai [organisasi]. Dalam kedua-dua konteks ini kadangkala kita gagal belajar sesuatu dalam perjalanan kerja yang kita buat. Walaupun dalam tempoh masa yang panjang, kita masih melakukan benda yang tidak memberikan impak yang diharapkan atau ringkasnya  "belajar" daripada kesilapan yang pernah berlaku. Dah bertahun berlalu, kita masih tidak berubah dengan "belajar" daripada apa yang telah dilalui sebelumnya.
 
Saya ingin merujuk kepada Model Ekonomi Baru yang di rangkakan oleh Kerajaan kini yang mana menekankan kepada 3 prinsip dan objektif utama iaitu berpendapatan tinggi, keterangkuman semua dan kelangsungan ekonomi dalam jangka masa panjang. Jelas bagi saya PM sekarang telah "belajar" iaitu beliau sedar apa yang perlu diperbaiki dalam sistem ekonomi negara. Ini satu contoh belajar dalam kerja.

Satu contoh lagi ialah bagaimana kita melihat syarikat-syarikat telekomunikasi "belajar" dalam bekerja. Dalam sehari kita akan melihat pelbagai iklan dan promosi pelan itu dan ini baik dari 012, 016, 019 dan lain-lain. Lepas satu persatu pelan dan faedah diketengahkan. Mereka berlumba-lumba untuk menarik pelanggan. Ini jelas membuktikan mereka dari semasa ke semasa "belajar" tentang corak penggunaan gaya komiunikasi manusia dari semasa ke semasa dan bukan hanya membiarkan sahaja kerja ataupun bisnes berjalan begitu sahaja.

Saya melihat walaupun bekerja dan belajar adalah dua jenis aktiviti yang berbeza tetapi "belajar" apa kelemahan yang ada untuk mendapatkan kekuatan baru itu saya fikir jauh lebih penting daripada kita hanya terus berkerja dan berkerja semata-mata dari satu titik mula hingga ke titik lain yang mungkin tidak boleh memberikan titik penamat ataupun titik akhir yang sebenar.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 3 November 2010

Potensi Diri



Bagaimana kita merangsang potensi diri? Sekadar yang sempat saya ingat daripada slot motivasi pagi semalam di Radio IKIM jam 7.30 pagi. Untuk merangsang potensi diri kita perlukan kepada 3 perkara iaitu :

1. Dahagakan ilmu. Kecintaan dan minat terhadap ilmu yang bermanfaat harus ada dalam diri kita. Jangan lepaskan peluang dalam setiap perjalanan kehidupan kita untuk memahami sesuatu pengetahuan baru. Ia boleh dipelajari secara formal dan tidak formal. Sumber ilmu kini datang dari pelbagai sumber. Gunakan unsur kreativiti, sifat cekal dan kerajinan untuk mencarinya.

2. Merendah diri dalam menimba ilmu. Ibarat seperti lembah yang rendah. Hanya lembah yang rendah sahaja yang boleh menakung air. Tidak perlu kita berasa malu untuk belajar sesuatu daripada seorang lain. Tidak jatuhpun maruah dan harga diri ataupun "kemachoan" jika kita bertanya apa yang kita tidak faham.

3. Melakukan kerja lebih daripada jangkaan. Jika orang lain menjangkakan kita boleh memberi 5, tetapi realiti sebenarnya kita mampu memberikan 6 atau lebih mengapa tidak kita beri yang lebih tu. Sebagai contoh, bonus bukan sesuatu yang diharap tetapi apabila diberikan secara tidak disangka-sangka ia sememangnya "Bonus" kepada semua.

Janganlah kita terlalu takjub dengan benda-benda ciptaan manusia.. Takjublah kita pada potensi diri kita sendiri.. Sesungguhnya kita adalah sebaik-baik kejadian. Wallahualam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 27 October 2010

Kita Dekat Dengan Penjenayah




Tidak kira siapa kita, di mana kita berada dan apa yang kita lakukan setiap ketika, kita sebenarnya adalah terdedah kepada kesan aktiviti jenayah. Kadang kala kita mungkin berselisih jalan dengan penjenayah. Mungkin juga kita pernah berinteraksi dengan mereka dan tidak mustahil orang yang mungkin kita kenali juga adalah penjenayah atau bekas penjenayah.

Dalam konteks harta benda pula, premis kita, rumah dan kenderaan kita juga terdedah dengan ancaman oleh penjenayah. Penjenayah sememangnya licik dan boleh menghidu kelemahan mangsanya. Jika ada peluang dan ruang mereka ini akan bertindak dengan cukup cekap dan penuh perancangan.

Sekiranya kita berada sehari di balai polis terutamanya di lokasi kepadatan penduduk tinggi, rasanya dalam sehari macam-macam laporan jenayah diterima. Daripada pergaduhan, kecurian, samun, bunuh, dadah dan sebagainya.

Pendek kata bagi ingatan semua daripada kita baik yang berada di bandar, di kampung, dalam perjalanan, dalam bekerja, dalam percutian, dalam ibadah sekali pun, pastikan kita jangan sesekali menjadi sasaran mudah penjenayah.. Perlu diingat juga satu lagi jenis jenayah baru iaitu jenayah siber yang mungkin kita masih tidak sedar bagaimana mereka boleh melakukannya. Maklumat adalah sesuatu yang amat bernilai. Dengan penguasaan dan capaian kepada maklumat sahaja, macam-macam benda yang tidak elok boleh dilakukan untuk menjadikan seseorang sebagai mangsa. Melakukan hanya dengan duduk di depan komputer, tekan itu ini dan alih-alih memudaratkan kita..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 20 October 2010

Melaka Maju 2010




Syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Melaka dan seluruh rakyatnya kerana pada malam ini 20:10  di tarikh 20.10.2010 Melaka telah diisytiharkan sebagai negeri maju oleh Perdana Menteri langsung dari PWTC, Kuala Lumpur. Apa yang amat menarik perhatian saya ialah pada indikator ataupun petunjuk yang disandarkan oleh Melaka untuk berani dan megah mengatakan mereka sudah mencapai tahap kemajuan yang sedemikian rupa. Kesemua 32 kritreria ini adalah diberikan oleh satu badan antarabangsa yang berwibawa iaitu Organisation for Economic Co-operation and Development.

Apakah semua kriteria itu? rasanya tidak perlulah dihuraikan disini, memadailah kita mengetahui kesemuanya adalah demi untuk meletakkan nama Melaka di tahap dan suasana yang memberikan faedah menyeluruh, peningkatan kualiti hidup dan keselesaan kepada rakyatnya baik di bandar dan luar bandar. Melaka yang saya perhatikan antara negeri yang awal mengadakan pembaharuan dan inovasi dalam mengatur pengurusan kerajaan khususnya dengan ICT, peningkatan prasarana aturan kemudahan awam, pemeliharaan bangunan lama, pemuliharaan Sungai Melaka, keindahan lanskap, lalu lintas yang lancar, pilihan tempat makan-makan dan sebagainya. Produk pelancongan tentunya tidak perlu dipersoalkan lagi. Selepas ini Melaka tentunya tidak akan menoleh ke belakang lagi dengan matlamat seterusnya untuk menjadi Negeri Teknologi Hijau pula..

Beralih seketika kita ke negeri Selangor ;) Selangor Maju diumum pada tahun 2005 yang lalu. Mungkin betul ia maju dari segi kemajuan infrastruktur, kepesatan industri, kepelbagaian sosial dan intelek penduduknya   (ramai cerdik pandai dan orang besar-besar di Selangor ni) tapi keseimbangan kemajuan berkenaan dalam aspek pencapaian dan kepuasan rakyat rasanya banyak lagi yang boleh dipersoalkan. Antaranya kualiti kediaman rakyat, sistem perhubungan jalan raya, kadar jenayah, kebersihan dan ketenteraman sosial.

Semoga selepas ini negeri-negeri lain turut mengikut jejak dan mempelajari daripada Melaka, formula yang "menjadi" untuk mencorakkan lanskap dan kemajuan negeri ke tahap yang bukan sahaja diakui orang tempatan tetapi juga oleh orang luar. Syabas Melaka!! Bila dah maju ni janganlah pulak kos belanja seperti makan minum dan hotel pula naik tidak semena-mena ya ;)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 16 October 2010

RM500 dan Penjawat Awam




Selesai sudah pembentangan Bajet negara untuk tahun hadapan, 2011. Seperti biasa kita nampak sekian banyak peruntukan dirangka untuk perbelanjaan negara dalam hal mengurus dan pembangunan. Secara keseluruhan ada penganalisis mengatakan bajet ini dikatakan bajet selamat dan berhati-hati. Dimana selamat dan berhati-hati itu, pakar ekonomi mungkin lebih mengetahui. Kerajaan tentunya telah mempertimbangkan dan meneliti serta mengkaji sedalam-dalamnya untuk mengatur strategi dan keutamaan apa yang perlu dalam aspek kewangan ini. Syabas dan tahniah kepada PM dan juga Kementerian Kewangan. Aspek pelancongan dilihat antara yang mendapat perhatian kerajaan. Pembangunan kawasan luar bandar khususnya bagi Sabah, Sarawak dan kawasan Orang Asli juga diberikan perhatian yang wajar. Banyak insentif dan faedah lain yang diberikan kepada masyarakat sivil, golongan peniaga dan industri. Tetapi macam biasalah mungkin kerajaan tidak boleh terlalu memberikan itu dan ini untuk memuaskan hati 100% segenap warga Malaysia.

Bagi penjawat awam, setiap kali pengumuman bajet tentunya hati dan fikiran mereka akan sedikit sebanyak berangan-angan tentang BONUS. Bonus bukanlah sesuatu yang wajib diterima. Bonus juga bukanlah perkara yang boleh DIPINGGIRKAN begitu sahaja bagi setiap individu yang bekerja. Tidak kiralah di sektor mana pun.

Dengan pemberian sumbangan RM500 bagi setiap penjawat awam Gred 54 dan ke bawah, ia sepatutnya memberikan nafas lega juga kepada mereka. Syukur untuk itu. Ini kerana bukanlah menjadi syarat wajib dan mesti untuk kerajaan memberikan sesuatu kepada mereka dalam bajet-bajet tahunan yang diberikan. Walau bagaimanapun, ada penganalisis menjangkakan ada sedikit imbuhan yang mungkin perlu kepada penjawat awam untuk lebih memotivasikan mereka dalam menjadi nadi kepada gerak kerja ke arah Transformasi Kerajaan yang di war-warkan kini. Apa pun ia telah berlalu dan keputusan telah dibuat. Sebagai penjawat awam, terimalah dengan hati terbuka.

Berhubung tajuk post ini suka untuk saya ringkaskan tiga perkara berikut iaitu :

1. Selepas ini rasanya CUEPACS tidak perlulah lagi bersusah payah untuk merayu-rayu sangat dalam hal bonus ini. Biarkanlah sahaja Pimpinan Kerajaan fikir sendiri mengenainya.

2. Pemberian RM500 memang melegakan tetapi lebih cantik jika angkanya seperti RM700. Sebagai manusia secara normalnya kita tidak gemar kepada sesuatu yang sama. Manusia ingin melihat perubahan. Jadi perubahan dari angka 500 kepada nilai lain tentunya lebih baik. Mungkin 500 itu sesuai pada masa-masa terdahulu dan bukannya pada masa kini yang mana dengan "sekali belanja" sahaja ia boleh habis entah ke mana. Lebih-lebih lagi bagi penjawat awam di bandar yang kadang kala boleh terjerumus menjadi mudah miskin.

3. Adalah sesuatu yang 'NORMAL' untuk kita bersuara untuk diri kita. Penjawat awam bersuara untuk penjawat awam kerana mereka tahu siapa mereka. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 9 October 2010

Perjalanan Yang Terlalu Banyak Halangan




Bulan Syawal baru sahaja melabuhkan tirainya.. Perjalanan pada bulan raya yang lalu ini membawa saya ke merata tempat untuk di ziarah dan memenuhi jemputan majlis rumah terbuka juga majlis perkahwinan. Hadirlah saya dan keluarga ke rumah saudara mara, rakan taulan juga jemputan luar yang diterima. Dalam semua perjalanan ke hampir semua destinasi ini, kebanyakkan laluan kenderaan penuh dengan "bumper" ataupun bonggol. Terfikir di dalam hati kenapalah sampai begitu banyak sangat halangan di jalan raya kita ni. Di jalan besar dan utama pun boleh di letakkan bonggol halangan.. Di kawasan taman pula ada yang diletakkan banyak dalam jarak yang agak rapat.. Lebih teruk lagi ada yang bentuknya yang terlalu tinggi dan bergegar kuat kereta kita dibuatnya. Lebih-lebih teruk lagi ada bonggol jalan yang kelihatan seolah-oleh tidak kelihatan ia ada di situ. Orang yang tidak biasa dengan jalan berkenaan akan mudah untuk tidak perasaan keberadaannya di situ. Sudahlah tiada tanda pemberitahuan, warna atau cat pun tidak ditandakan padanya.. Bila laju sikit, melambunglah kereta kita dan segala isi kandungannya ;)

Asal kejadian bukit kecil ni memanglah kita tahu untuk mencegah pengguna melaluinya dengan laju, tetapi kalau dah terlampau banyak dan tinggi-tinggi pula bentuknya, boleh mengganggu pemanduan kita di kawasan berkenaan. Letih nak melayan bonggol yang terlampau banyak di tempat kita ni..

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 6 October 2010

Perlukah Kita Pemain Import?



Ketika prestasi pasukan bola sepak negara seperti sekarang ini ada pihak merasakan kita memerlukan semula aksi dan penglibatan pemain import dari luar di dalam liga tempatan. Objektif utamanya tentu sekali untuk memperbaiki mutu permainan pemain tempatan dan menyemarakkan lagi kemeriah liga sedia ada. Memang ia satu idea yang baik dan boleh memberikan manfaat, tetapi malangnya dengan pengalaman kita yang lalu, pengimportan pemain luar ini tidak banyak sangat membantu meningkatkan keupayaan dan kualiti permainan bola sepak dalam negara. Saya lebih bersetuju untuk kita lebih mengimport jurulatih luar daripada menerima pemain luar. Jurulatih sebenarnya yang mencorakkan permainan. Dengan pengalaman dan kreativiti yang tinggi oleh para jurulatih pasukan-pasukan tempatan rasanya corak pemain kita boleh berubah.  Selain itu perbanyakkan perlawanan persahabatan dengan pasukan luar yang lebih baik.

Cukuplah kita telah menerima sekian ramai pekerja luar datang bekerja di Malaysia. Takkanlah nakkan tenaga untuk berlari dan menendang sebiji bola pun kita hendakkan juga khidmat daripada orang luar. Janganlah kita meletakkan di minda bahawa "bola sepak" tu terlalu rumit untuk pemain-pemain kita menguasainya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday 5 October 2010

Individu Boleh Mempopularkan Produk Pelancongan




Saya pernah terdengar pengacara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) dan Trek Selebriti Jimmy Shanley memaklumkan yang dia bercadang akan membuat majlis resepsi berkonsepkan dalam taman di tempat percutian bersejarah, Kelly Castle, Batu Gajah di Perak. Syabas kepada beliau kerana mengambil daya inisiatif dan kreatif untuk melakar sejarah perkahwinan di tempat berkenaan dan secara tak langsung membuat promosi kepada lokasi bersejarah itu.

Saya memang suka dengan tajuk ini kerana kadang kala kita sebagai warga Malaysia sendiri kurang menghargai produk dan aset sejarah yang berpotensi sebagai tarikan pelancong ke dalam negara. Sekiranya kita menjenguk ke negeri Melaka sebentar, sehingga ke saat ini, saya perhatikan Ketua Menterinya sibuk dengan pelbagai projek tarikan pelancong. Daripada tarikan di atas atas darat, atas laut, bawah laut, pulau dan sebagainya. Walaupun kita ada mendengar kata-kata orang Melaka kenapa tidak peruntukan ini tidak terus disalur kepada kawasan luar bandar secara terus. Untuk persoalan itu saya rasa jawapannya adalah terpulanglah kepada YB (wakil rakyat di kawasan berkenaan). Kalau beliau tidak kreatif maka kuranglah peruntukan akan ke sana. Aset sejarah yang telah sedia harus dipelihara bukan dibiarkan ditelan zaman.

Jika individu perseorangan dan personaliti seperti artis boleh mempopularkan warisan sejarah ini, kenapa tidak pihak kerajaan Negeri (yang berkenaan) boleh melakukannya dalam keupayaan dan kapasiti yang lebih besar lagi. Tepuk dada tanya selera. Ketakutan saya ada yang tidak berselera dan tidak mahu mencuba sajaha... Rugi.. rugi.. rugi.........


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 2 October 2010

Belajar Menyepak Takraw

Membaca akhbar tentang penganjuran pertandingan sepak takraw oleh KFC dan Utusan. Ia satu usaha yang amat saya sokong dan cukup membanggakan kita. Sebagai sukan yang ada kaitnya dengan jatidiri Melayu, sepatutnya ia akan  dapat teris diadakan dan disemarakkan lagi dari semasa ke semasa.

Ketika saya berumur kira-kira 9 tahun, saya mula mengenali bola sepak raga atau kini sukan takraw. Lebih awal daripada itu, riadah saya pada masa itu adalah dengan menimbang dengan kaki menggunakan sejenis permainan dipanggil "capteh". Bentuknya dan cirinya adalah gabungan bulu ayam dan getah sebagai dasar tapak.. Konsep pergerakkannya sama seperti bulu tangkis dalam sukan badminton. Di zaman itu Malaysia antara gergasi sukan takraw dunia. Pesaing hanyalah oleh pasukan Thailand. Itu keadaan dahulu semasa saya muda remaja. Tetapi kini pasukan kita entah di tempat ke berapalah agaknya.

Apa yang saya ingin kongsikan di sini bukanlah tentang takraw tetapi bagaimana latihan yang tekun itu boleh menjadikan kita zero kepada hero. Daripada tidak tahu kepada tahu. Daripada lemah kepada kuat. Daripada di bawah kepada berada di atas. Daripada tidak mahir kepada berkemahiran dan macam-macam keadaan lagi..

Berbalik kepada untuk saya mahir menimbang bola sepak raga dahulu.. Pada mula-mula saat dan ketika cuba menimbang itu, bilangan timbangan hanyalah 2 hingga ke 3. Setelah beberapa hari saya dapat menimbang hingga ke bilangan 6 dan melebihi 10. Setelah berminggu dan berbulan dan bertahun saya mampu untuk menimbang hingga lebih 100 timbangan.. keletihan sahaja biasanya yang dapat menamatkan sesuatu cubaan capaian jumlah timbangan itu. Ringkasnya  prinsip dan iktibar yang saya masih cuba pegang dan cuba amalkan dalam kehidupan ini adalah latihan menjadikan kita lebih cekap, lebih mahir dan lebih peluang untuk lebih berjaya. Tidak kira dalam bidang apa yang kita ceburi, kalau kita tekun dan rajin berlatih kita boleh maju sedikit demi sedikit. Mungkin kita juga boleh memotong orang lain yang lebih dahulu bermula daripada kita seperti pasukan Thai itu tadi.. Moga sedikit imbasan kehidupan kanak-kanak saya ini dapat memberikan sedikit cetusan motivasi untuk kita terus berlatih dan menajamkan apa sahaja kemahiran yang kita telah mulakan dan ada. Moga bermanfaat untuk anda dan saya juga sebagai orang yang bercerita..

Terima kasih kepada Abah yang telah mengajar dan mendidik kami tiga beradik bermain sukan takraw malah sukan-sukan asas popular yang lain. Tidaklah kami menjadi orang yang kakinya hanya di bangku ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Cerita Yang Menyenangkan..

Dipetik dari sebuah akhbar dalam talian:

"JOHOR BAHRU 30 Sept. - Sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatat sejarah apabila berjaya mencipta simulator latihan haji dan umrah yang pertama di dunia bagi membantu umat Islam membuat persiapan fizikal dan mental mengerjakan ibadat itu"

Berita sebeginilah yang seharusnya sentiasa ada terselit dan dijamu kepada masyarakat Malaysia untuk memberikan sedikit keceriaan pada dada-dada akhbar tempatan kita. Rencana penemuan baru dan usaha baik oleh cerdik pandai tenpatan seharusnya lebih dan digalakkan penampilannya dalam mewarnai kandungan berita dalam media kita, baik elektronik mahupun yang bercetak. Memanglah di kedewasaan ini kita dikelilingi dengan pelbagai berita yang banyak menjurus kepada keaiban moral masyarakat, kedukaan dek kemalangan, politik yang kadang kala gelagatnya macam "kartun" dan jenayah yang amat mendukacitakan. Golongan pegamal media dan berita seharusnya turut mengimbangkan apa yang disampaikan kepada masyarakat. Ini adalah kerana sumber berita atau cerita ini (bagi orang kebanyakan/biasa) boleh dikatakan adalah input utama kepada dalam mempengaruhi pemikiran dan rentak kehidupan mereka. Kalau setiap hari disogok dengan berita-berita negatif, rasanya pemikitan kita pun akan terjurus ke arah negatif.

Saya ada mendengar tentang "Law Of Attraction". Saya tidak mengetahui hukum dan teori ini sama sekali kerana tidak berkesempatan lagi untuk membaca sebarang buku atau artikel mengenainya. Tetapi saya agak-agak ia mungkin sedikit sebanyak mengatakan perkara yang baik akan menarik perkara baik yang lain kepadanya. Atau secara mudahnya tenaga positif akan menarik lagi tenaga positif yang untuk bersama. Jadi apabila dikaitkan dengan kandungan oleh media sebagai pemyampai berita dan peristiwa tadi, maka adalah menjadi tanggungjawab "pengutus berita" itu untuk memberikan banyak yang baik-baik daripada yang tidak baik kepada pembaca.

Moga selepas ini akan timbul sedikit cetusan atau kecenderungan media untuk menggali apa sahaja rahsia dan potensi yang ada pada cerdik pandai dan ilmuan tempatan khususnya dalam menangani segala isu negatif yang dibaca setiap hari. Memang ia ada nilai berita yang tinggi, tetapi cuba imbangikan ianya seimbang dengan corak berita dan cerita yang memberikan sedikit nafas lega dalam hati pembaca.. Hhhmmmm...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday 28 September 2010

Hargai Pusaka Lama




Dalam suasana Aidilfitri yang masih ada, sempat saya menziarah rakan dan saudara yang masih diberi kesempatan olehNYA untuk bersua muka. Memang kita ini kadangkala sukar untuk berjumpa. Masing-masing sibuk dengan kerja dan urusan kehidupa masing-masing. Kadangkala tinggal dalam satu daerah yang sama pun kita jarang boleh berjumpa. Nasib baiklah sekarang ni adanya facebook yang boleh dimanfaatkan untuk memudahkan sedikit perhubungan dan salinan silaturrahim yang mungkin telah sedikit longgar dan hampir tiada setelah sekian ketikanya.

Dalam suasana dan ketika menziarah itu kita kadang kala dapat melihat perubahan yang ada. Perubahan dalam suasana, budaya, pemikiran, peningkatan taraf hidup dan sebagainya. Salah satu perkara yang tidak sengaja (bukan berniat untuk memburukan sesiapa) yang dapat saya perhatikan semasa musim raya ini adalah ada kalangan kita terutamanya generasi baru kurang dan tidak sangat menghargai khazanah dan barang pusaka lama.

Di rumah tinggalan arwah nenek moyang kita, jika dahulunya kita datang menziarah, kita dapat lihat banyak barang-barang lama yang boleh dikategorikan sebagai antik dan ada nilai sejarah lama. Barang-barang atau kelengkapan harian ini memang dah kurang sangat jumlahnya kerana banyak yang telah rosak, tidak digunakan, dibuang atau disimpan saja dalam stor. Barang-barang seperti gambar lama, buku lama, duit lama, peralatan dapur lama, peralatan rumah lama, perabot lama, basikal lama, mesin lama, pinggan mangkuk lama dan macam-macam lagi. Kalau anda pernah ke Amcorp Mall di Petaling Jaya setiap Ahad, ada pelbagai koleksi barangan lama dan antik di situ. Harganya pula agak lumayan bagi penjual di sana. Jadi saranan saya di sini bagi kita generasi baru yang mungkin ada memiliki atau mewarisi barangan lama, janganlah ia dibuang begitu sahaja kalau kita tidak mahu memilikinya. Ada sesetengah barang lama itu, lagi lama ia lagi tinggi nilainya..

Akhir kata, disamping barang-barang lama, hargai juga orang-orang lama kerana tiada dahulu tiadalah sekarang..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 22 September 2010

Permulaan Yang Baik




Sebelum Syawal lalu kita dikejutkan dengan kes pembunuhan kejam empat orang sekali gus. Saya turut bersimpati dengan seluruh ahli keluarga mangsa dan semoga mereka terus cekal untuk meneruskan kehidupan yang mendatang. Dengan kes ini yang masih berjalan siasatannya saya juga suka untuk merakamkan syabas kepada PDRM yang saya lihat cekap dalam mengumpul bukti dan menyiasat kes ini. Harapannya ia dapat diselesaikan dengan baik dan hukuman yang setimpal dapat dijatuhkan kepada mereka yang bersalah.

Daripada peristiwa ini kita melihat seorang yang profesional (betul-betul pro) pun jika tidak mengamalkan akhlak dan nilai diri yang baik rupanya lagi hebat dan lagi besar impak kesalahannya. Nilai yang dibawa bersama dalam hati dan fikiran sememangnya jauh lebih penting daripada ilmu dan kemahiran yang tidak berpandukan kepada nillai yang baik.

Aspek inilah rasanya yang cuba diterapkan semasa pimpinan PM sebelum ini. Sememangnya nilai baik yang tidak ditanam dari awal akan memberi risiko kepada diri, masyarakat dan negara. Mungkin penyelesaian kepada masalah nilai ini adalah kita belajar daripada alam.. Kita lihat kepada sungai.. Kita kadangkala sibuk membersihkan kekotoran di hilir atau muara sungai.. malangnya kekotoran dan masalahnya bermula dan berpunca di hulu sungai. Kita selalu tidak tahu pun apa yang berlaku di sana. Puaslah kita bertungkus lumus membetulkan itu dan ini tetapi ia masih berlaku juga..

Saya juga mengingatkan diri saya juga bahawa nilai yang baik itu perlu diasaskan pada peringkat permulaan.. Bukan setelah ianya membesar dan merebak luas..



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday 2 September 2010

Salam Lebaran 1431H





      Asssalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Kepada semua pembaca blog ini, saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas tatapan, perhatian, buah fikiran dan komen yang diberikan. Semoga sedikit sebanyak ia memberi manfaat kepada semua. Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat bercuti kepada yang bakal bercuti untuk menyambut Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.. Bagi yang beraya di kampung dan akan memulakan perjalanan jauh, pastikan badan cukup rehat untuk memandu dan pandulah dengan berhemah, patuhi peraturan, ingati orang tersayang dan jangan lupa baca doa juga ;) Di hari baik bulan baik ini juga harapannya kita semua dapat merayakan dengan rasa penuh kegembiraan bersama sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai. Didoakan agar kita akan sentiasa berada dalam lingkungan rahmat daripadaNya jua. Semoga Ramadan 1431H yang bakal ditinggalkan ini akan menjadikan kita insan yang baru, yang akan lebih berjaya untuk mengharungi liku-liku dan cabaran kehidupan yang mendatang..

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri.. Maaf Zahir & Batin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 1 September 2010

Namewee Oh Namewee

Dahulu beliau mengubah suai lagu Negaraku menjadi "Negarakuku".. Kini beliau sekali lagi berani menampilkan satu lagi klip yang menyentuh sensitiviti perkauman pula. Nampaknya keinsafan dahulu hanyalah semata-mata "sementara" bagi beliau. Beliau mungkin masih mempunyai banyak lagi perkara yang terbuku di hati yang membuak-buak untuk dilepaskan.. Beliau masih muda, memang kreatif dan memang berani. Berani mengatakan ketidakpuasan yang beliau rasa dan beliau fahami. Bagi saya beliau mungkin ada hak untuk menzahirkan apa yang difikirkan tetapi beliau sepatutnya perlu ingat bukan setiap perkara itu boleh dizahirkan begitu sahaja. Dizahirkan dalam erti kata mem"BABI" buta, melulu, sumpah menyumpah dan tidak menghiraukan zon-zon sensitif dan ruang maruah bangsa 'Melayu' khususnya. Beliau sepatutnya mengkaji dahulu secara mendalam sejarah Tanah Melayu, Malaya dan Malaysia secara mendalam.. tentu dia akan berjumpa jawapan yang mungkin dia masih teraba-raba mencarinya mengapa Malaysia menjadi sebegini dan sebegitu.. Memang dalam hidup ni beliau lebih mudah untuk tidak puas hati kepada itu dan ini, tetapi ia mungkin memang ia telah diaturkan begitu, jadi mengapa suka sangat untuk beliau mempersoalkan kenapa begitu dan kenapa begini. Buat pihak yang berkuasa.. orang seperti ni nampaknya macam tidak mahu berterima kasih dan bersyukur berada di bumi Malaysia ini.. Sekali silap.. memang kita boleh maafkan..
Sememangnya Melayu memang amat bertolak ansur kepada orang lain..


Pepatah Melayu : Kerana mulut badan binasa..




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 25 August 2010

MEMPERINGATI DETIK SEJARAH KEMERDEKAAN MALAYSIA


Petikan di bawah saya petik keseluruhannya daripada :
http://www.i-putra.com.my/announcement/sej_merdeka_more.htm

Pilihan raya umum yang pertama ditandingkan pada tahun 1955. Parti-parti seperti PAS, Parti Negara di bawah pimpinan Dato' Onn bin Jaafar, Parti Buruh, Parti Progresif Perak, Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC dan sebagainya bertanding dalam pilihan raya umum tersebut.Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Dengan kemenangan dalam pilihan raya, kabinet kerajaan telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri yang pertama.

Pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai suatu rombongan ke London untuk membincangkan perkara-perkara mengenai kemerdekaan. Rundingan ini mengambil masa tiga minggu di London. Perjanjian London 1956 ditandatangani pada 8 Februari 1956 yang menyatakan persetujuan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sekembali ke Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan di Melaka.

Pada tahun 1956, suatu Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan. Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel atau lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid yang dipengerusi oleh Lord Reid dari Britian terdiri daripada pakar-pakar undang dari negara Komanwel. Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Reid dipinda oleh Jawatankuasa Kerja dan diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan.

Bendera Union Jack iaitu bendera British diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada tepat pukul 12 malam 31 Ogos 1957. Kemudian, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka. Jemaah Menteri diumumkan juga pada hari pengisytiharan kemerdekaan.

Pengistiharan Kemerdekaan

Apabila tarikh Kemerdekaan telah ditentukan, Tunku telah mengarah Jabatan Kerja Raya untuk membina sebuah stadium terbuka yang akan dijadikan tempat pengistiharan Kemerdekaan. Tunku memilih sendiri lokasinya, di sebuah bukit yang rendah berdekatan Jalan Birch dan stadium itu dinamakan 'Stadium Merdeka'.

Stadium Merdeka 5.00 pagi, 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya. Dato' Abdul Razak yang melawat Stadium pada pagi itu gelisah dengan takungan air di tengah-tengah padang di mana Askar Melayu akan mengadakan perbarisan kehormat. Dato' Razak adalah Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan dengan Tunku sendiri adalah Pengerusinya.

7.00 pagi, hujan mulai reda. Dato' Razak menalifon Tunku dan melaporkan keadaan di stadium. Beliau mencadangkan agar ketibaan Raja-raja Melayu, Duke serta isteri dan Pesuruhjaya Tinggi dilewatkan satu jam.

9.00 pagi, langit mulai cerah, rintik-rintik hujan semakin mengecil dan hilang dari pandangan. Perabut dan perhiasan mula dibawa keluar dengan kadar segera. Tunku telah bersiap sedia di rumahnya. Berbaju Melayu hitam, berkain samping, berselitkan keris bersarong gading dipinggang serta bertengkolok songket, Tunku menantikan saat untuk bertolak.

Di Stadium Merdeka, Tunku berdiri gagah menerima ketibaan Duke of Gloucester yang memakai pakaian istiadat ketenteraan British berpangkat Field Marshall. 'God Save The Queen' berkumandang ketika Duke of Gloucester yang merupakan pakcik Queen Elizabeth II masuk dan mengambil tempat. Duke telah diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray.

Raja-raja Melayu pula duduk dipayungi oleh sembilan payung kuning, Yang DiPertuan Agong pula duduk di tengah-tengah, di kirinya Tunku dan di kanannya Duke.

Duke kemudiannya menyerah 'Instrumen Kemerdekaan' yang mana merupakan suatu pengakuan British bahawa ia menyerahkan kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka kepada negara baru ini dan seterusnya menarik balik 'perlindungan' yang diberikan kepada negeri-negeri Melayu.

Tunku kemudiannya membacakan pengistiharan Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut "Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka". Acapkali suaranya tenggelam dan pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh rakyat sebuah negara baru yang lahir dari suatu perjuangan yang suci.

Seorang anak bangsa yang menyaksikan segalanya di depan mata, menghuraikan pengalamannya, Hujan renyai-renyai menghiasi pagi. Tanpa disedari linangan air mata membasahi pipi. Stadium Merdeka dibanjiri oleh anak-anak bangsa yang datang dari setiap pelusuk negeri. Masing-masing hadir dengan harapan yang tinggi. Menjadi saksi, satu peristiwa yang penuh bererti, yang tidak akan dilupai tersemat disanubari sampai mati. Merdeka telah kita miliki 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Semoga detik-detik keramat ini meresap dalam sanubari setiap daripada kita warga Malaysia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 18 August 2010

HEBAHAN - Tabarru' Asia : Pembangunan Komuniti Islam Kemboja Melalui Pendidikan




Astro Awani melalui rancangan Suara Generasi dan Agenda Awani telah beberapa kali membincangkan mengenai Tabarru’ Asia. Begitu juga, akhbar Sinar Harian menyiarkan tulisan satu muka penuh mengenai Tabarru’ Asia. Ia telah menarik minat pelbagai pihak yang ingin turut menyumbang kepada pembangunan komuniti Islam melalui pendidikan melalui Tabarru’ Asia. Untuk mengetahui bagaimanakah kita boleh telibat dalam projek ini, ikuti wawancara dengan Sdr. Norizan Sharif, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Perkembangan Minda (INMIND) dan Presiden, Persatuan Penggerak Pembangunan Komuniti Malaysia (Komuniti Malaysia) dengan link terus ke http://tabarruasia.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 7 August 2010

Bila Berdepan Dengan Makanan

Kita selalu dijamu untuk makan. Kita akan dijemput untuk makan kenduri, makan di majlis perkahwinan, jamuan perpisahan, jamuan di pejabat dan sebagainya. Kebiasaannya untuk sesi makan-makan ini, kita akan rasa lebih berselera dan lalu untuk makan. Tidak salah untuk kita makan bagi memenuhi jemputan dan hajat sesesorang. Dalam ruang kali ini, saya bukanlah ingin menguris hari sesiapa, tetapi ia lebih kepada untuk memberikan sedikit buah pandangan dan tulis bicara untuk keselesaan dan manfaat bersama.




Melalui pemerhatian dan pengalaman saya yang bukan seberapa ni, tetapi rasa terpanggil juga untuk menulis mengenainya. Ini menyentuh hal tabiat dan mungkin dah jadi budaya dalam masyarakat kita yang saya fikir tidak beberapa molek apabila kita berdepan dengan hidangan dan makanan yang dijamu. Berikut adalah diantaranya :

1. Ketika makan secara buffet, ada diantara kita yang akan mengambil makanan dengan sebanyak yang mungkin.. kalau dilihat dari jauh nampak sangat gunung nasi dan lauk pauk yang diambil macam dia tu lapar sangat.. tak cantik tu, nampak sangat sifat tamak tu nanti.. kalau rasa tamak juga ambil dan ulanglah sekali lagi mengambil makanan tu.. gunakan pinggan baru.. Pernah terdengar rungutan seorang pekerja tukang basuh pinggan di belakang. Banyak benar sisa makanan yang masih elok dibuang begitu sahaja.. katanya tergolek-golek udang tu.. diorang ni tak tahu ke harga udang tu mahal sekarang, senang-senang saja dibuang begitu..

2. Semasa menikmati makanan lebih-lebih lagi bila kita berada di majlis tertentu dan ramai yang turut bersama, eloklah makan secara lebih sopan dan senyap. Maksudnya janganlah diperdengarkan sangat "cup cap cup cap" bunyi kunyahan kita tu.. boleh mengganngu kosentrasi orang lain tu.. dan satu lagi..cubalah meminimakan bukaan mulut semasa mengunyah tu. Kita tahu anda sedang cukup berselera dengan makanan yang lazat tu tetapi jangan sampai boleh menggangu tumpuan orang berdekatan.

3. Seperti biasa adab-adab biasa yang lain tu jangan dilupakan seperti mengambil hidangan yang terdekat dahulu, meminta bantuan untuk hidangan yang berada jauh dari jangkauan, jangan memusing-musingkan hidangan lauk (meja bulat) di ketika orang lain sedang menceduk lauk mereka..

4. Bila sah selesai makan tu, kita tolakkanlah ketepi sisa-sisa makanan dihujung pinggan, juga aturan sudu, garfu dan gelas minuman. Memang lah ada petugas yang akan memungutnya nanti tetapi sekurang-kurangnya tak lah bersepah sangat rupenya meja tu macam budak-budak kecil lepas makan.

5. Hendak minum gunakan tangan kanan.

6. Kalau dah mula sendawa tu stop lah.. dah kenyang dah tu tandanya ;)

7. Membungkus makanan yang lebih adalah sesuatu yang baik. Ia mengelakkan pembaziran. Walau bagaimanapun ada sesetengah dari kita "menapau" ketika acara masih berjalan lagi.  Kita dah mula bungkus membungkus sedangkan ada lagi hadirin yang mungkin lewat sedikit. Kata orang : ada lagi orang di belakang tu. Hal membungkus ini juga ada perinciannya lagi iaitu ketika membungkus tu ambillah sekadar perlu untuk kemampuan nafsu makan diri kita sajaha. Yang pergi ambil berlebih-lebih sangat tu kenapa? Siapa yang nak makan nanti? Takut akhirmya nanti masuk ke tong sampah pulak.. Kuat manalah sangat selera kita tu..

Akhir kata, pernah saya terdengar kata orang-orang lama bahawa semakin banyak kadar makanan yang kita makan, sebenarnya secara tidak langsung kita juga memperhabiskan dengan cepat jumlah rezeki yang telah diperuntukan kepada kita selama ni.. Selamat berpuasa minggu hadapan dan wallahualam.  


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday 2 August 2010

Bukalah Plastik tu..


  


Beberapa hari lepas saya ke sebuah perpustakaan menemani isteri untuk mencari buku. Sambil-sambil tu saya pun pusing-pusing di dalamnya melihat buku-buku yang ada. Sempatlah membaca 1,2 buku menambah sedikit pemahaman tentang ilmu kehidupan di alam maya ni. Memang perpustakaan adalah suatu tempat yang amat berpotensi untuk dikembangkan peranannya bukan sekadar untuk orang datang meminjam dan membaca sesuatu, tetapi lebih jauh daripada itu seperti turut bertindak untuk menggalakkan anak-anak kecil mencintai ilmu. Perpustaan itu nampaknya memang ada kelainan dan kelengkapan yang baik dan memuaskan seperti tempat duduk, kedai jualan, ruang kanak-kanak, ruang multimedia, sudut sejarah, sudut interaksif, pameran, majalah, akhbar, lanskap yang menaik, ruang perbincangan, parkir yang luas dan sebagainya. Saya melihat ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke sana untuk menghabiskan cuti hujung minggu. Satu budaya yang baik dan amat bagus! Saya perlu mencontohinya.

Melihat suasana dalam perpustakaan itu memang amat selesa bagi mereka yang sukakan kepada aktiviti pembacaan. Cuma apabila mata saya ternampak di beberapa sudut, ada satu perkara yang saya fikir seolah-olah dipandang ringan oleh kita. Mungkin segelintir sahaja agaknya. Perabot baru khususnya apabila kita beli dan peroleh akan datang bersalut dengan plastik. Plastik itu bertujuan untuk melindunginya daripada habuk dan calar. Tetapi "MENGAPA" bila sampai ke lokasi penggunaanya, perabot itu masih lagi berbungkus-bungkus. Antara tempat yang biasa kita lihat adalah seperti di bank, pejabat POS, pejabat kerajaan dan lain-lain. Sekiranya dibuka pun selalunya tidak kemas kerana ada kesan dan lebihan plastik pembalut terlekat dan dibiarkan begitu sahaja. Yang bagusnya (tak bagus sebenarnya) plastik tu akan melekap di situ sampailah ia lusuh dan tercabut sendiri. Kan buruk sangat rupanya tu..

Lihat gambar di atas.. saya mengambilnya pada 31 Julai 2010. Kalau panjang umur, saya akan cuba ke tempat yang sama dalam setahun lagi dan melihatnya sekali lagi. Saya rasa kesan plastik itu akan terus melekap disitu setahun lagi. Kita tunggu dan lihat ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday 30 July 2010

Idea & Facebook




Satu fenomena yang kita lihat sekarang ini yang paling meletup rasanya tidak lain tidak bukan adalah kewujudan facebook sebagai wadah komunikasi jaringan sosial masyarakat dalam medium maya di internet. Kehebatan dan penangannya amat kuat sekali kepada generasi muda khususnya. Tidak kurang juga bagi generasi yang lebih dewasa. Tidak menghairankan jika dikatakan ada orang pada setiap hari akan meng"online"kan diri mereka untuk mengemaskini status dan melihat status orang lain di facebook atau ringkasnya 'fb' ini.

Saya sendiri pun sebenarnya agak lewat mencebur diri dalam ruang fb ini.. pada awalnya rakan-rakan memang telah lama mengajak tetapi rasa macam tak perlu.. tetapi setelah merasai keupayaan dan kehebatan fungsi dan ciri yang ada pada fb ini, rasanya ia seolah-olah telah menjadi sebahagian daripada keperluan hidup. Ia boleh dikatakan keperluan untuk berhubung, berfikir, bertukar-tukar fikiran, mengemukan pandangan, meluahkan fikiran, melepaskan dendam, berkongsi maklumat, mencari sesuatu dan sebagainya. 

Apa pun hebatnya facebook ini, saya cuma ingin berpandangan di sini bahawa facebook bukanlah sesuatu benda yang amat ajaib dan juga ia bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dicipta. Teknik dan aliran aplikasinya juga mungkin tidak serumit mana untuk difikirkan. Facebook bukan benda yang terlalu canggih. Tetapi ia telah cukup BERJAYA untuk membuatkan ramai orang senang dan selesa kepadanya.

Mungkin kita boleh belajar daripada idea pencipta laman sosial ini, bahawa kadang-kala perkara yang biasa-biasa dan mudah sebenarnya jika diatur dan diolah cantik-cantik boleh membuahkan kejayaan yang besar dan luar biasa. Sedih juga apabila ada diantara kita (anda dan saya) yang merasa agak sukar sangat untuk menjana idea-idea mudah tetapi bernas di sekeliling ruang persekitaran kita.. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday 18 July 2010

Obor Cahaya Bangsa Melayu




"Takkan Melayu hilang di dunia". Itu kata yang pernah dilafazkan suatu ketika dahulu oleh Laksamana Hang Tuah. "Melayu mudah lupa" pula pernah dilafazkan oleh Perdana Menteri ke-4. Kini Mufti Perak mengatakan "Melayu hilang kuasa jika UMNO dan PAS tidak bersatu"

Ketiga-tiga lafaz kata berkenaan jika digabungkan akan menyentuh tentang kekuatan dan kelemahan Melayu itu sendiri. Dalam senario Malaysia sekarang bangsa Melayu dilihat semakin berpecah dan semakin lemah. Faktor besar yang dilihat yang sangat menyumbang dalam melemah dan memecahkan kekuatan ini adalah ketaksuban kepada aliran kumpulan politik yang ada.

Bagi saya, apa yang diperhatikan adalah UMNO dan PAS kedua-duanya telah cuba sedaya upaya untuk memperkasakan bangsa Melayu dan Islam itu sendiri. Cuma mungkin entah dimana silapnya kedua-duanya perkara ini seolah-olah masih memerlukan banyak lagi pembelaan oleh kedua-dua parti. UMNO dengan kapasiti sebagai parti pemerintah telah sedaya upaya melakukan yang terbaik. Dalam masa yang sama PAS melihat dan merasakan banyak lagi yang tidak dilakukan dengan cukup baik oleh UMNO. Jadi disini kita dapat melihat masing-masing seolah-olah ada sesuatu yang digenggam tetapi tidak mahu dikongsikan untuk faedah bersama.

Kesanggupan Mufti Perak ini untuk melontarkan kenyataan ini saya rasa amat bersesuaian sekali dengan masanya. Masa yang diharapkan sudah amat cukup untuk kedua-dua puak dan pimpinan berfikir sejenak tentang tanggungjawab mereka terhadap kepentingan dan maruah bangsa Melayu dan agama Islam.

Kesatuan yang ikhlas ini bolehlah diibaratkan seperti obor api yang terang dan gemilang cahayanya. UMNO mungkin sedang memegang 'sumbu' manakala PAS pula mungkin sedang memegang pemetik apinya. Tanpa disatukan sumbu dan pemetik api itu, mungkin tiada langsung untuk peluang kita melihat sinar cahaya penuh kebaikan yang merata dan juga agak sukar untuk menerangi dan menjelasi apa-apa yang sepatutnya di Malaysia yang tercinta ini.

Untuk parti bangsa lain mungkin agaknya mereka telah sekian lama sedia dengan lampu suluh dan baterinya. Hanya perlu menekan punat 'on' sahaja untuk menyalakan cahaya..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday 15 July 2010

Teksi Kita




Selalu melihat filem-filem barat yang mana antara adegan biasa yang amat menarik perhatian saya adalah kebiasaannya hero atau heroin akan menaiki teksi / taxi di sana. Apabila dia menahan teksi, beliau hanya perlu menyebut lokasi yang ingin dituju sahaja. Seterusnya bergerak lah teksi itu ke lokasi yang dikehendaki. Betapa mudahnya begitu bukan. Rasanya ia adalah realiti disana dan bukan hanya dalam filem sahaja saya rasa.

Sebaliknya di negara kita seperti di Kuala Lumpur, kita akan terpaksa bertanya dahulu atau ada tawar menawar pulak untuk pergi ke lokasi yang dikehendaki. Paling tidak sedap ialah dikatakan teksi berkenaan tidak ke lokasi berkenaan. Mungkin ada prosedur atau peraturan yang telah disediakan untuk hanya menentukan sesetengah teksi itu hanya untuk lokasi-lokasi tertentu sahaja. Tetapi sebagai orang awam dan pengguna kita mahu ia lebih efisyen dan dinamik. Cakap sahaja hendak ke mana teksi berkenaan boleh menghantar. Ini barulah boleh dikatakan antara ciri negara maju juga saya rasa.

Semoga Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dapat melihat aspek yang sekecil ini untuk membawa tambahbaik dan sumbangan kepada mutu sistem penggangkutan awam yang lebih berkualiti dan mesra rakyat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday 12 July 2010

PASIR MEMANG BERHARGA




Kalau dahulu orang yang mencuri, melakukan kecurian dalam senyap ataupun dalam gelap, tetapi kini dalam terang-terang pun kecurian dapat dilakukan. Kalau dahulu pencuri mencuri benda-benda yang kecil dan mudah disorok tetapi kini perkara yang terbentang luas pun dicuri. Kalau dahulu yang melakukan kecurian adalah seorang atau mungkin berdua, tetapi kini dilakukan dengan anggota yang ramai sehingga berpuluh orang. Kalau dahulu mencuri dibuat sekali sekala atau mungkin bermusim, tetapi kini dibuat sepanjang masa dan berpanjangan tempohnya. Kalau dahulu yang mencuri akan rasa bersalah dan takut, tetapi kini perasaan yang ada mungkin semakin berani dan semakin boleh mencabar pula lagi.

Suatu ketika nanti apabila sudah licin, sudah botak, sudah kering, sudah kontang, sudah hilang dan sudah habis kesemuanya, barulah manusia terpaksa mencari-cari itu dan ini sebagai ganti.. Sememangnya tangan-tangan manusia jualah yang merosakkan bumi dan alam ini. Wallahualam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 7 July 2010

Banci Penduduk 2010




Saya tidak pasti samada banci penduduk yang sedang dijalankan kini akan turut mengambil kira penduduk dari kalangan warga asing yang bekerja di Malaysia seperti warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, Nepal dan lain-lain. Saya rasa, amatlah menjadi keinginan kita semua rakyat jelata untuk mengetahui berapakah jumlah dan peratusan yang tepat jumlah mereka dan warga kita sendiri yang sedang berada di negara ini. Terutamanya di kawasan-kawasan tumpuan utama. Lebih baik lagi outputnya kita boleh lihat dan dianalisa dalam betuk graf ataupun taburan peta yang secara visualnya terus boleh memberikan makna dan erti di mana tumpuan mereka ini berada. Rasanya tidak mustahil untuk sesuatu lokasi itu telah dimonopoli kedudukannya oleh warga asing berbanding warganegara sendiri. Semoga dengan terkemaskininya data dan statistik banci penduduk terbaru ini, kita akan sedar dan lebih meneliti dalam cara kita mengagihkan guna tenaga tempatan berbanding sumber tenaga luar yang mungkin boleh merugikan negara dalam bentuk aliran duit keluar negara dan penurunan tahap kemahiran tempatan dalam bidang-bidang tertentu. Harapannya agar pekerja banci juga dapat mengutip data secara telus, jujur, beretika dan penuh amanah bagi memastikan ia akan menjadi asas data yang sebenar untuk digunakan nanti untuk kemajuan dan pembangunan negara di masa depan ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday 2 July 2010

Memberi Itu Ada Hikmahnya




Dalam perjalanan ke pejabat beberapa hari lalu terdengar slot motivasi seorang pakar motivasi di Radio. Topik yang beliau bawakan setiap pagi memang amat menarik. Hari ini beliau membawakan tajuk berhubung memberi dari diri kita kepada orang lain. Memberi ini dalam erti kata yang sama ialah membantu mereka yang memerlukan, menolong mereka yang lemah ataupun bersedekah kepada yang susah juga untuk mengembirakan orang lain.

Kita sering mendengar orang lain ataupun diri kita sendiri mungkin (selepas ni kena ubah sikap kita) bahawa bermacam alasan akan diberikan apabila kita ingin ataupun dikehendaki memberikan bantuan kepada orang lain. Kebiasaanya 3 alasan utama yang menghalang kita untuk menolong orang lain. Pertamanya kita tiada apa yang boleh diberikan untuk membantu. Keduanya, kita akan merasa pengurangan pada milikan diri selepas memberi kepada orang lain dan yang ketiganya pula adalah kenapa harus membantu sedangkan kita telah bersusah payah berusaha untuk mendapatkan hasil itu.

Rupanya ketiga-tiga alasan itu ada jawapannya. Berikut pemahaman ringkas saya :

1. Kita Masih Mampu Membantu

Pertolongan sebenarnya besar skopnya bukan pada wang ringgit sahaja.. banyak lagi bentuk material lain dan perkara lain yang boleh kita memberi dan membantu orang lain. Paling mudah senyum.. senyum tak susahpun untuk kita sedekahkan kepada orang lain. Kalau senyumpun kita tak mampu tidak mengapa. Berilah doa ataupun doakan kesejahteraannya. Tentu kita masih mampu dari segi itu bukan?

2. Ilmu Kita Terhad Dari Ilmu Allah

Telah dikatakan bahawa 1 pemberian kebaikan yang kita beri akan dibalas 700 kali ganda. Jika kita melihat kita memberi RM 1 kita akan mendapat balik RM700. Kita melihatnya begitu, tetapi ilmu Allah tu jauh sangat taranya dengan ilmu manusia.. Kita hanya melihat dalam bentuk wang ringgit dan kebendaan, tetapi sebenarnya balasan dan rahmat Allah itu adalah lebih besar daripada itu.. Kita mungkin dibalas dalam bentuk yang selain wang ringgit. Banyak bentuk dan perkara baik yang boleh disalurkan oleh yang Maha Kuasa samada melalui ketenangan fikiran, sihat tubuh badan, perasaan ceria, menikmati kehidupan berkeluarga yang bahagia dan sebagainya. Betapa terhad dan sempitnya fikiran kita bukan? Ada aspek keberkatan yang mungkin kita tidak sedar atau tidak nampak.


3. Hakikat Bahawa DIA Yang Mengurniakan

Susah payah kita berusaha untuk mendapatkan itu dan ini. Setelah berjaya dengan apa yang ada kenapa pula kita perlu berkongsi dan menolong orang lain. Rupanya kita lupa.. Lupa kepada siapa yang memberikan keupayaan dan kejayaan itu.. Siapa yang memberikan peluang.. memberikan ruang dan upaya itu. Tidakkah juga oleh kerana pemberian olehNya? Apabila sudah berjaya kita pula nak menganggap itu semata-mata usaha kita. Tentunya tidak..

Berilah dan bantulah orang lain setakat dan sekadar yang kita mampu ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 26 June 2010

Keyakinan Luar Biasa


Rupanya keyakinan itu ada dua.. Keyakinan yang biasa-biasa dan keyakinan yang luar biasa. Keyakinan yang biasa-biasa adalah apabila kita nampak bukti dan kebenaran sesuatu perkara dahulu dan kemudian barulah mahu mempercayainya manakala keyakinan yang luar biasa adalah apabila kita mempercayainya dahulu kemudian barulah melihat bukti dan kebenaran perkara itu. Beza utama di antara keduanya adalah satu mencari bukti terlebih dahulu dan yang satu lagi memberikan rasa yakin dahulu.. Contoh paling mudah, lagenda tinju dunia suatu ketika dahulu iaitu Muhammad Ali. Beliau mengatakan faktor kemenangannya lebih terletak pada rasa keyakinannya dan bukan kepada kekuatan fizikalnya. Beliau memberikan rasa yakin dahulu untuk menang dan kemudian berusaha untuk merealisasikan keyakinan itu. Inilah yang contoh kita dapat lihat dimana rasa yakin yang tinggi boleh memberikan kejayaan yang diinginkan. Walau bagaimanapun jauh lebih utama daripada itu adalah keyakinan kita pada diri kita yang turut diasaskan dengan keyakinan kepada Pencipta adalah satu bentuk keyakinan yang mutlak. Rasa keyakinan kepada kehendaknya dan keizinannya adalah penentu segalanya. Sesungguhnya keyakinan yang tinggi itu adalah kunci kepada pencapaian matlamat dan kejayaan yang sebenar.

Yakin boleh!!

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...