Friday 2 July 2010

Memberi Itu Ada Hikmahnya




Dalam perjalanan ke pejabat beberapa hari lalu terdengar slot motivasi seorang pakar motivasi di Radio. Topik yang beliau bawakan setiap pagi memang amat menarik. Hari ini beliau membawakan tajuk berhubung memberi dari diri kita kepada orang lain. Memberi ini dalam erti kata yang sama ialah membantu mereka yang memerlukan, menolong mereka yang lemah ataupun bersedekah kepada yang susah juga untuk mengembirakan orang lain.

Kita sering mendengar orang lain ataupun diri kita sendiri mungkin (selepas ni kena ubah sikap kita) bahawa bermacam alasan akan diberikan apabila kita ingin ataupun dikehendaki memberikan bantuan kepada orang lain. Kebiasaanya 3 alasan utama yang menghalang kita untuk menolong orang lain. Pertamanya kita tiada apa yang boleh diberikan untuk membantu. Keduanya, kita akan merasa pengurangan pada milikan diri selepas memberi kepada orang lain dan yang ketiganya pula adalah kenapa harus membantu sedangkan kita telah bersusah payah berusaha untuk mendapatkan hasil itu.

Rupanya ketiga-tiga alasan itu ada jawapannya. Berikut pemahaman ringkas saya :

1. Kita Masih Mampu Membantu

Pertolongan sebenarnya besar skopnya bukan pada wang ringgit sahaja.. banyak lagi bentuk material lain dan perkara lain yang boleh kita memberi dan membantu orang lain. Paling mudah senyum.. senyum tak susahpun untuk kita sedekahkan kepada orang lain. Kalau senyumpun kita tak mampu tidak mengapa. Berilah doa ataupun doakan kesejahteraannya. Tentu kita masih mampu dari segi itu bukan?

2. Ilmu Kita Terhad Dari Ilmu Allah

Telah dikatakan bahawa 1 pemberian kebaikan yang kita beri akan dibalas 700 kali ganda. Jika kita melihat kita memberi RM 1 kita akan mendapat balik RM700. Kita melihatnya begitu, tetapi ilmu Allah tu jauh sangat taranya dengan ilmu manusia.. Kita hanya melihat dalam bentuk wang ringgit dan kebendaan, tetapi sebenarnya balasan dan rahmat Allah itu adalah lebih besar daripada itu.. Kita mungkin dibalas dalam bentuk yang selain wang ringgit. Banyak bentuk dan perkara baik yang boleh disalurkan oleh yang Maha Kuasa samada melalui ketenangan fikiran, sihat tubuh badan, perasaan ceria, menikmati kehidupan berkeluarga yang bahagia dan sebagainya. Betapa terhad dan sempitnya fikiran kita bukan? Ada aspek keberkatan yang mungkin kita tidak sedar atau tidak nampak.


3. Hakikat Bahawa DIA Yang Mengurniakan

Susah payah kita berusaha untuk mendapatkan itu dan ini. Setelah berjaya dengan apa yang ada kenapa pula kita perlu berkongsi dan menolong orang lain. Rupanya kita lupa.. Lupa kepada siapa yang memberikan keupayaan dan kejayaan itu.. Siapa yang memberikan peluang.. memberikan ruang dan upaya itu. Tidakkah juga oleh kerana pemberian olehNya? Apabila sudah berjaya kita pula nak menganggap itu semata-mata usaha kita. Tentunya tidak..

Berilah dan bantulah orang lain setakat dan sekadar yang kita mampu ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Post a Comment

Komen Anda

Related Posts with Thumbnails