Sunday 23 January 2011

Menghargai Air




Ada 3 sifat air yang perlu kita sedari. Kita perlu fahami ketiga-tiga sifat ini kerana tubuh kita juga adalah terdiri daripada 75% elemen air. Satu bahagian peratusan yang agak besar disitu. Jika elemen ini rosak kemungkinan ia akan menjejaskan keseluruhan tubuh kita nanti. Minta dijauhkan. Air sememangnya berada pada semua sel yang hidup. 3 sifat air berkenaan adalah merakam, menyimpan dan memindahkan. Huraian lanjutnya mungkin tuan puan boleh "google" sendiri atau bertanya kepada yang ahli dan pakar. Sifat-sifat ini yang ada pada air membolehkan perkara positif boleh melaluinya dan tidak terlepas juga perkara yang negatif. Jadi, kepada anda dan saya, sama-samalah kita hargai air.. jangan dilangkah kerana ia adalah ia bukan hanya satu elemen yang hidup tetapi asas kepada seluruh sistem kehidupan kita.. Rupanya memang begitulah kelebihan elemen air ini, jika tidak mana mungkin ramai pengamal perubatan Islam menggunakan ia sebagai pengantara dalam pengubatan penyakit dan gangguan. Hargailah diri dan hargailah air untuk diri.


 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday 20 January 2011

Bumi Hijau




Sekarang ni ramai yang telah peka untuk mengHIJAUkan produk mereka. Go Green. Itulah antara tag line sekarang ini untuk menunjukkan yang mereka mengambilkira aspek kelestarian alam pada produk dan perkhidmatan dalam memulihara alam ataupun dunia ini. Dalam konteks sekarang ini isu pemanasan global tentunya menduduki senarai tertinggi dalam agenda permasalahan berkaitan planet yang kita sama-sama diami ini. Selain itu isu stok bekalan makanan, peningkatan jumlah penduduk dunia, penghasilan sumber tenaga, kestabilan iklim dan kolaborasi ataupun kesepakatan bersama semua negara dalam menjadikan dunia ini lebih aman dan selamat juga semakin mendapat perhatian.

Tentunya setiap agenda kepentingan sejagat ini harus kita sama-sama fikirkan dan bertindak atas kapasiti yang kita ada. Tidak semestinya kita yang bukan seorang saintis ataupun pencita alam, kita boleh membuang sampah atau puntung rokok sesuka hati sahaja.  Tidak semestinya kita yang ada pekerja pembersihan (tukang sapu) boleh membiarkan sahaja sampah dibiarkan begitu sahaja. Tidak semestinya kita sebagai unit kecil dalam berbillion penduduk dunia ini boleh semudah itu membiarkan sahaja pembaziran tenaga berlaku atas kepentingan diri kita seorang sahaja. Tidak semestinya kita yang bukan orang yang senang, boleh senang-senang melakukan kerosakan dan kebinasaan kepada persekitaran kita.

Dalam bulan ini sahaja di depan mata saya, saya melihat "RAMAI" orang membuang puntung rokok di jalan raya. Peniaga membuang botol minuman dalam longkang di depan premis kedainya "SENDIRI". Pengguna jalan raya membuka tingkap kereta dan membaling tisu dan bungkusan makanan di jalan raya. "KITA" di pejabat membiarkan lampu, penyaman udara dan komputer ON apabila tidak digunakan. Benda-benda ni nampak remeh dan kecil tetapi ia sebenarnya besar. Besar dalam erti kata menyumbang kepada permasalah besar yang sedang kita hadapai iaitu permasalahan tempat tinggal kita - BUMI. Sayangilah ia kerana di sinilah kita bermula dan di sinilah kita akan berakhir nanti..


 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday 16 January 2011

Tidak Rugi Kita Mengaku Salah


Setiap daripada kita tentunya tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Kesilapan ada samada besar ataupun kecil sentiasa berada dalam kehidupan kita jika kita tidak betul-betul teliti menjaga setiap tindak dan keputusan yang kita ambil. Walaupun kita berhati-hati untuk tidak terjebak, kadang kala ia datang juga dan kita terlibat sama. Mungkin tanpa kita sedar kita telah melakukan sesuatu kesilapan yang kecil. Kesilapan kecil ini kadang kalanya agak tersembunyi dan mungkin hanya orang lain yang dapat menyedarinya. Setelah ditegur barulah kita sedar. Sebagai contoh semasa kita mengambil wuduq mungkin ada cara wuduk yang mungkin kurang sempurna. Jika kita tidak disedarkan atau kita tidak belajar/mengkaji sendiri cara yang tepat, kita akan terus beranggapan cara kita itu betul, sehinggalah ada orang lain yang nampak cara kita yang tidak betul itu dan beliau berani menegur.

Sebaliknya bagi kesilapan yang besar, sepatutnyalah kita yang empunya diri lebih sedar akan kesilapan itu. Kesilapan besar sudah tentunya boleh kita sedari tanpa ditegur orang lain. Kesilapan yang besar tentunya kita tahu impak dan kesannya bukan pada diri sendiri tetapi boleh menjejaskan orang lain. Yang lebih sedih sebenarnya adalah apabila telah berbuih orang lain menegur, mengutuk, mengata dan menyindir tentang kesalahan besar kita tu, tapi kita buat dekk!! aje. Janganlah dibiarkan hati dan fikiran yang ada dikunci dan ditutup rapat untuk kita mengaku dan memperbetulkan kesilapan besar kita itu. Tidak rugi kita mengaku salah jika kita betul-betul bersalah. Itulah tanggungjawab namanya..


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 15 January 2011

Siapa Itu Pakar




Seminar pertama yang saya dihadiri tahun ini berkaitan ilmu dan kajian. Satu perkara yang sempat saya kutip dari salah seorang penceramah adalah pakar dalam sesuatu bidang bukanlah seorang yang melakukan sesuatu itu dalam bentuk rutin atau dalam tempoh yang lama. Rutin yang membentuk pengalaman dalam sesuatu bidang bukanlah tiket untuk kita melabelkan seseorang itu sebagai pakar dalam bidangnya itu. Itu adalah pengalaman semata. Untuk menjadikan seorang itu layak digelar pakar dalam bidangnya itu ialah dengan beliau sentiasa menambahbaik rutin yang dilaksanakannya itu dari semasa ke semasa.

Sebagai contoh, jika kita melihat kepada seorang tukang masak ataupun chef di dapur. Setiap minggu beliau menyediakan makanan aau hidangan yang sama sahaja. Setiap minggu menu yang disediakan sama sahaja. Itu belum menjadikan beliau pakar dalam chef di dapur. Sebaliknya jika beliau setiap minggu atau bulan dapat menghasilkan sesuatu menu atau resepi baru lagi enak tentu sekali beliau boleh kita katakan sudah menjadi pakar dalam bidangnya itu. Itu dalam konteks chef. Tetapi kalau kita lihat dalam kerja seharian kita juga tentunya kita sendiri boleh sedar adalah kita sudah menjadi pakar atau tidak.

Ringkasnya pakar bukan melaksanakan rutin tetapi senantiasa menambahbaik sesuatu baik kerja, amalan, perkhidmatan dan juga sikap terhadap bidangnya itu. Dan jauh lagi penting daripada itu juga ia memberikan kepakarannya untuk manfaat orang lain dan bukannya dibiarkan beku dan statik disitu sahaja. Tidak kiralah apa bidang yang sedang kita ceburi kini, seharusnya kita ada niat, ada cita-cita dan ada kesungguhan untuk menjadi pakar dalam bidang itu.



 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday 7 January 2011

Hebat Setiap Hari




"Hebat". Tentu setiap daripada kita pernah berfikir untuk menjadi hebat. Jika ada yang telah sedia hebat, tentunya mereka akan mengimpikan keadaan yang lebih hebat lagi. Itulah mungkin antara matlamat dan impian daripada sesetengah daripada kita. Saban tahun kita ingin mengubah diri untuk lebih maju, berjaya dan lebih cemerlang.

Tetapi sedarkah kita bahawa kehebatan yang diimpikan dalam hidup kita itu sukar dicapai sekiranya kita tidak hebat dalam tahun-tahun yang kita lalui. Dalam daripada itu, kita tidak mungkin hebat sekiranya minggu-minggu yang kita lalui juga tidak sehebat mana. Begitu juga dengan hari demi hari yang dilalui. Adakah wujud sebarang elemen cemerlang yang kita amalkan. Jam demi jam sehinggalah dari saat ketika kita membaca blog ini, adakah kita berfikir secara positif dan bertindak ke arah mencapai kehebatan dalam setiap tindak tanduk dan keputusan yang diambil. Tepuk dada dan tanyalah selera dan iman juga. Saya fikir selera tu perlu ada dan dipandu oleh iman.

Jangan tunggu lagi untuk kita mengubah apa yang boleh diubah sekarang ini ke arah kebaikan sebelum kita terlambat untuk mengubahnya. Moga tahun 2011 ini memberikan lebih kejayaan kepada kita semua. InsyaAllah.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...