Thursday 25 March 2010

EARTH HOUR - 27 MAC - 8.30 hingga 9.30 MALAM




Marilah kita semua rakyat  di seluruh Malaysia sedar kepada kempen dan aktivti yang sungguh murni ini. Aktivti dan pendekatan yang saya lihat untuk memberi kesedaran kepada seluruh penduduk BUMI untuk memberikan sedikit rasa dingin kepada BUMI.. Tempat kediaman kita ini. Memberikan juga sedikit kerehatan tenaga yang melingkari permukaannya..

Benda fizikal yang paling besar yang menyentuh diri kita adalah BUMI ini. Dengan perubahan iklim kesan peredaran zaman, aktiviti manusia yang beraneka ragam, penggunaan pelbagai sumber dan tenaga untuk industri dan perjalanan manusia sepanjang masa tentunya BUMI kita ini semakin panas.

EARTH HOUR tentunya bukan sekadar untuk kita sedar realiti yang ditanggung oleh BUMI kita kini, tetapi lebih kepada kita untuk membuat pilihan untuk menyokong dalam menjaga BUMI ini dengan baik. Setelah pilihan tindakan yang lebih baik dibuat tentunya kita boleh mengharapkan kepada hasil yang lebih baik pada keadaan BUMI kita. Hasil yang lebih baik memungkinkan ada peningkatan kepada kelangsungan kehidupan di BUMI yang lebih baik..

Jadi jangan lupa anda dan saya pada malam 27 Mac ini (Sabtu) nanti untuk kita bersama-sama memadamkan lampu walau di mana pun kita berada. Untuk jangkamasa 1 jam sahaja (8.30 hingga 9.30 malam). Lakukanlah sedikit pengorbanan sebagai simbol kecintaan kita kepada BUMI yang penuh berjasa kepada seluruh manusia ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday 23 March 2010

Lebih Ramai Polis di Luar Balai





Ketua Polis Negara mengatakan di masa hadapan semua pegawai polis yang berpangkat ASP dan ke bawah akan turut sama menjalankan tugas di luar balai demi meningkatkan lagi keupayaan pasukan Polis dalam menangani masalah jenayah yang ada. Sekarang pun kita sudah melihat rata-rata di kawasan yang "panas" dan sesak telah ada pondok-pondok Polis disediakan. Cuma kadang-kala kita dapati tiada anggota polis di dalamnya. Kita bersangka baik, mungkin di masa itu bukan waktu bertugas agaknya.

Dengan pertambahan anggota polis yang meronda dan menjaga kesejahteraan ini, rakyat dan orang awam yang cintakan keamanan tentunya akan menarik nafas lega dan dengan hati yang sedikit lapang. Bagi penjenayah perubahan corak kerja anggota Polis ini mungkin saya fikir akan mengubah sedikit perlakuan dan teknik mereka melakukan jenayah.

Saya suka membawa para pembaca blog ini ke arah mana sepatutnya anggota Polis perlu kerap meronda. Saya terus fokus kepada kawasan bandar. Ini adalah kerana kekerapan jenayah secara logiknya pun banyak di bandar. Kalau pihak PDRM telah ada sistem GIS (Sistem Maklumat Geografi) yang merekod kadar kejadian jenayah di Malaysia, saya percaya zon dan kawasan yang merah (panas dengan kes jenayah) tentunya di KL, Johor Baharu, Klang, Pulau Pinang dan lain-lain yang sewaktu dengannya. Di kawasan dan zon inilah harus diletakkan lebih anggota.

Kita lihat masyarakat yang menetap di bandar-bandar kebanyakkannya kedua-dua suami dan isteri keluar bekerja. Apabila keluar bekerja aset yang paling besar ditinggalkan iaitu rumah. Rumah kalau ada pembantu rumah mungkin selamat sedikit. Bagi golongan yang "berada" selamat juga sebab ada pengawal keselamatan sendiri. Bagi yang ada komuniti berpagar dan ada pengawal juga boleh diharapkan sedikit jaminan keselematan tetapi bagi yang lain-lain.. kita tidak pasti sejauhmana selamatnya rumah itu apabila ditinggalkan. Bagi saya jenayah yang paling mudah, kurang risiko dan agak berbaloi juga adalah pecah rumah. Jika hendak dibandingkan dengan jenayah ragut, merompak kedai, memukau, merogol, menipu dan membunuh.. jenayah pecah rumah rasanya lebih menguntungkan.. Jadi trend untuk jenayah pecah rumah mungkin semakin meningkat. Buktinya kita dapat lihat dimana-mana pun produk yang berasakan keselamatan seperti CCTV dan penggera (alarm) semakin menjadi keutamaan masyarakat.

Jadi adalah amat bersesuaian sekali untuk anggota Polis yang sudah semakin ramai yang berada di luar balai ini untuk dapat kerap meronda ke lokasi perumahan yang mungkin menyimpan seribu macam kekayaan dan sumber tarikan penjenayah.

Menyentuh sedikit kebajikan anggota-anggota Polis kita, sememangnya wajar untuk kerajaan mengkaji semula kadar elaun dan gaji semasa mereka yang antara tugasnya yang boleh menggadai nyawa dalam memikul amanah menjaga keamanan negara.

Akhirnya sebelum saya meletakkan noktah di hujung sudut ayat ini, jenayah berpunca daripada kesempitan hidup, perasaan marah, dendam, iri hati dan tidak dilupakan juga ialah ruang yang sedia ada.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 20 March 2010

Melihat Aksi Marah




Semalam, selepas waktu pejabat di tepi sebatang jalan, ketika menunggu isteri membeli barang di sebuah kedai berhampiran. Orang lelaki biasalahkan bukannya rajin nak ikut isteri membeli barang. Sambil menunggu tu melihatlah saya kepada semua kenderaan yang lalu lalang. Jalan agak sesak maklumlah sedang dalam waktu orang balik dari pejabat. Dengan asyik melihat macam-macam kenderaan yang melalui jalan berkenaan, tiba-tiba kedengaran jeritan "Bodoh!" daripada pemandu sebuah lori pickup. Dia menjerit marah kepada seorang penunggang  motorsikal yang mungkin menyebabkan dia marah.. Mungkin motorsikal itu melulu pergerakannya atau ada tindakan yang boleh membahayakan agaknya..

Pembonceng motosikal berkenaan mendegar jeritan pemandu lori tadi dan mengarahkan rakan yang membawa motorsikal berhenti. Saya lihat dia terusmelompat turun daripada motorsikal dan meluru kearah lori berkenaan dan menahannya. Tangan pembonceng tadi penuh 'tatu'. Saya rasa dia mungkin seorang yang berani atau 'samseng'. Memang gayanya sungguh marah. Terus dia berteriak kepada pemandu lori untuk turun daripada lori berkenaan. Berlaku sedikit pertengkaran ditepi jalan yang sesak tu.. Saksi utama kejadian mungkin sayalah agaknya ;)

Pemandu itu tidak turun daripada lori berkenaan, mungkin dia sedar situasinya yang mungkin agak membahayakan. Yang bertatu di tangannya tadi terus menempik dan membuka bajunya pula.. Penuh lukisan tatu di badannya.. Saya ada terfikir sikit... untuk meleraikan keadaan, tapi elok kita jangan masuk campur sebab saya pun tak pasti keadaan dan masalah sebenar mereka. Dia terus menumbuk beberapa kali pintu lori berkenaan. Kemik sedikit pintu lori tu.. kemudian pemandu lori tu pun beredar dan penunggang dan pembonceng motorsikal juga beredar. Mungkin masing-masing telah puas hati dan ingin mengakhirkan kes disitu sahaja agaknya..

Moral daripada kisah ini bagi saya adalah :

1. Berhati-hati di jalanraya yang sesak.
2. Sekiranya ada kesilapan sedikit-sedikit pengguna jalanraya lain, janganlah terlalu marah bagai nak gila. Sebab takutnya nanti yang kita marah tu seorang yang panas baran, gangster ataupun gila.
3. Sekiranya melihat kejadian pergaduhan orang lain, fikir dan analisa situasi. Bertindak dan masuk campur sekiranya perlu sahaja. Memang menjadi orang tengah ataupu hero itu hebat, tetapi jika kita pula yang menjadi mangsa.. susah pada kita pula nanti.
4. Kekuatan fizikal penting juga apabila diperlukan untuk mempertahankan diri di waktu kecemasan.

Sabar itu separuh daripada Iman..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 17 March 2010

Hingar Bingar Dalam Parlimen




Melihat berita di TV luahan seorang ahli parlimen bebas terhadap DSAI. Macam-macam yang diberitahunya di dalam dewan Parlimen yang bersidang.. Menyentuh perkara dalam PKR saya fikir. Itu ini, Panglima Tentera, begitu begini, Tuan Guru, Terompah.. Juga menyebut DYMM Yang DiPertuan Agong dan sebagainya.. DSAI tentunya panas telinga dan panas satu badan saya rasa. Tapi bukan itu isunya di sini saya menulis tajuk ini.

Isunya ialah suasana yang lebih daripada suasana "PASAR" tu sendiri. Mungkin bising-bising itu berlaku tidak lama tetapi ia telah dirakam dan disiarkan kepada semua maka tanggapan sesetengaah orang.. "Laa... macam ni ker cara mereka yang bijak pandai ni berbincang..." Masing-masing baik yang di sebelah kerajaan dan pembangkang terjerit-jerit mengeluarkan kata-kata yang lagaknya macam budak-budak sekolah rendah. "Satu Malaysia" melihat di kaca TV gelagat dan cara ahli parlimen (wakil rakyat mereka) beraksi. Yang Dipertuan Agong rasa saya baru sahaja bertitah menegur tentang adab dan perangai ahli Parlimen semasa di Parlimen.

Kesimpulan : Walaupun jika benar seseorang itu salah dalam tindakannya, janganlah sampai kita dipihak yang benar (kononnya) beraksi dengan cara yang menjatuhkan harga diri kedua-duanya sekali (Harga diri sendiri & harga diri musuh kita )
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 13 March 2010

MED - Model Ekonomi Baru




Saya rasa dan menjangkakan dalam MED yang bakal dibentangkan akan mengariskan perubahan dalam dasar dan kaedah perjalanan kerja baik dalam kerajaan, swasta mahupun individu di Malaysia. Kedengarannya akan berasaskan kepada kreativiti dan inovasi tetapi elok kita tunggu dan cuba fahami nanti apa yang bakal diutarakan. Kita sering mendengar tentang bioteknologi dan nanoteknologi dalam industri global semasa.. Mungkinkah kedua-dua teknologi ini akan dijadikan teras kemajuan ekonomi berpendapatan tinggi? Atau adakah dengan pemacuan ekonomi yang berasaskan mutu produk dan mutu perkhidmatan? Atau adakah dengan mewujudkan jalinan bekerjasama berskala besar seperti dalam bidang pertanian dan perladangan? Atau mungkinkah tumpuan diberi kepada nilai modal insan yang perlu dipertingkatkan? Tentunya mereka yang makan gaji, peniaga, golongan bekerja sendiri, golongan yang tidak berkerja tetap akan amat mengharapkan sesuatu yang mungkin boleh merubah keadaan semasa kepada keadaan yang lebih baik. Mungkin faedahnya tidak secara terus kepada dirinya tetapi mungkin paling tidak pun mereka boleh merasa tempias manfaat dan impak positif yang ada nanti ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday 12 March 2010

Waktu Pulang Bekerja




Saya sering mendengar orang berkata 'Saya selalu balik lewat dari pejabat', 'Saya balik pejabat pada waktu malam', 'Saya balik dari pejabat paling awal jam 7 malam' dan 'Saya jarang balik awal'. Saya menafsirkan semua kata-kata diatas menunjukkan mereka berbangga dengan pulang lewat daripada pejabat. Daripada satu sudut kita melihat pulang lewat daripada pejabat atau tempat kita bekerja adalah satu ukuran bahawa betapa komitednya dia dengan tugas dan tanggungjawabnya. Dengan komitmen, peranan dan tanggungjawab tertentu yang diamanahkan memang kadang-kala kita tidak dapat mengelak untuk lewat pulang daripada pejabat walaupun jam telah lewat dan keadaaan sudah semakin gelap.  Untuk mengejar sasaran kerja tertentu yang telah ditetapkan oleh Boss, kita terpaksa berbuat demikian. Selain itu memang pulang lewat boleh dimanfaatkan sebaiknya untuk menyiapkan kerja yang perlu diselesaikan segera, meningkatkan peluang untuk mempelajari sesuatu, meningkatkan kefahaman, memantapkan kemahiran dan sebagainya.

Saya suka melihat dari satu sudut lagi, iaitu pekerja seharusnya bijak mengatur masa dan pulang pada waktu yang ditetapkan. Mengapa saya mengatakan sedemikian? Ini huraian saya :

1. Kerja sampai bila-bila pun tidak akan habis. Setelah siap satu tugasan, akan ada lagi tugasan lain, itulah kerja di dunia. Dengan teknologi yang ada kita boleh membawa lebihan kerja berkenaan di rumah. Ini bergantung juga kepada jenis kerja yang dilakukan.

2. Waktu bekerja biasanya adalah 8 jam. Dalam tempoh itu kita telah berikan segala tumpuan yang penuh bekerja, berfikir, menganalisa, mengira, mengatur, menaip, menyelaras, merekabentuk, menulis, membaca dan sebagainya. Selepas 8 jam tentunya fokus otak dan minda kita akan berasa letih. Badan juga akan menurun kadar kesegarannya. Jadi apa ditunggu lagi.. baliklah berehat.. Esok, InsyaAllah kalu panjang umur masih ada kerja menanti kita..

3. Keselamatan kita tidak terjamin apabila kita duduk keseorangan di pejabat dalam waktu yang agak lewat. Ambil sahaja contoh dari filem P2. Tidak mustahil perkara seperti yang digambarkan dalam filem ini boleh menjadi realiti.

4. Bagi yang sudah berkeluarga, masa bersama keluarga perlu ada. Apabila pulang anak dah tidur. Isteri pun sempat kita sembang sekadar beberapa minit sahaja. Bagaimana boleh adanya cukup kemesraan dan kasih sayang dalam rumahtangga. Kasihan mereka.. Konsep dan matlamat untuk mewujudkan masyarakat penyayang mungkin boleh jadi sukar.

5.  Dalam kehidupan kita juga memerlukan kepada masyarakat dan orang di sekeliling. Jiran tetangga misalnya. Umat Islam contohnya akan perlu paling tidak sekali sekala menjenguk ke masjid dan surau untuk berjemaah. Kita juga perlu ke pusat pertemuan komuniti untuk menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan. Kalau masa tu asyik habis di pejabat sahaja bila lah masanya untuk menjalankan peranan kepada masyarakat dan berkenal-kenal dengan ahli masyarakat.

Waktu bekerja, kita kerja.. Waktu balik kerja, kita balik kerja.. Lainlah sekiranya apabila masa tambahan kita di pejabat itu dikira RMnya dan lumayan pula kadarnya ;)

Semoga MEB (Model Ekonomi Baru) yang bakal dibentangkan oleh kerajaan sedikit masa lagi melihatkan aspek waktu bekerja ini sebagai antara satu parameter meningkatkan pendapatan pekerja-pekerja di Malaysia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday 9 March 2010

YB Zulkifli Nordin



Melihat muka hadapan akhbar Mingguan Malaysia hari Ahad 7 Mac 2010, terpampang wajah YB Zulkifli Nordin, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu yang dipecat daripada PKR. Beliau mengatakan ini membuktikan bahawa PKR tiada agenda untuk memperjuangkan Islam. Cukup untuk saya tuliskan mengenai beliau dan PKR setakat itu sahaja ;) Rasanya kita semakin jelas apa yang telah lama berlaku atau apa yang bakal akan berlaku dalam PKR itu sendiri.

Melihat ketegasan yang ada dan prinsip yang jelas dalam memperjuangkan Islam sebagai agenda politiknya, saya yakin, YB Zulkifli tidak perlu risau apa yang akan dilaluinya selepas ini. Yang penting saya rasa adalah untuk beliau memperjelaskan lagi niat dan bersungguh-sungguh lagi memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara. Atas nama apa atau parti politik mana, terpulang kepada kebijaksanaan beliau.

Melihat kepada arus perubahan ini, saya secara peribadi sebagai rakyat dan orang biasa amat mengharapkan agar semua kebenaran dan kebaikan yang ada akan tidak akan tersembunyi lagi.. Dengan fitnah dan kemungkaran yang semakin berleluasa dan disebar dimana-mana, mengapa tidak perkara kebaikan juga sebegitu malah diperhebatkan lagi dan terus membenam teruk semua yang kekotoran yang tidak baik. Amin..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 3 March 2010

Ulamak Kurang Menegur..

Saya sekadar berkongsi pandangan untuk para pembaca di luar sana. Sekarang ini kita lihat banyak kemungkaran yang melanda dalam masyarakat.. Tidak dinafikan banyak juga pergerakan dan usaha untuk mengembalikan masyarakat ke jalan yang benar, tetapi cabarannya semakin hebat juga untuk ke arah aktiviti dan kerja-kerja yang agak melalaikan dan takut-takut boleh menyesatkan.. Gejala sosialnya, buang bayinya, maksiatnya, salahguna kuasanya, keruntuhan moral, perlanggaran tatasusila, pertelingkahan sesama bangsa dan agama, keruntuhan institusi keluarga, kecelaruan identiti anak-anak mudanya, persoalan tentang hukum dan syariat Islam, hiburan-hiburan yang memanjangnya, penyalahgunaan lesen atau sijil halalnya, masalah itu, masalah ini dan macam-macam lagi.

Apabila memikirkan permasalahan yang banyak ini, terfikirkah kita bahawa sifat semula jadi manusia ni mungkin diantaranya adalah ia perlu ditegur dan dirujuk. Maksud saya setiap tindak tanduk kita yang hendak dibuat selalunya akan kita nilai dan fikir dahulu sebelum direalisasikan. Semasa menilai dan berfikir ini, otak kita akan merujuk mana-mana fakta, data dan maklumat yang ada dalam fikirannya. Jika singkat tempoh pemikiran dan pembelajarannya maka tindakan yang dibuat mungkin belum cukup matang dan mungkin tindakan yang tidak tepat dipilih. Jadi, disini datangnya fungsi menegur tadi oleh orang lain. Ditegur oleh orang lain yang lebih matang, lebih mengetahui, lebih berilmu, lebih beriman dan lebih tinggi kedudukannya.

Dalam konteks perjalanan hidup masyarakat beragama Islam di Malaysia, tentunya peranan ulama itu penting. Mungkin kita telah melihat hanya sesetengah mufti sahaja yang selalu kedengaran hujah dan kata-katanya di media. Mengapa tidak suara-suara yang lebih lantang dan berani menegakkan kebenaran itu daripada golongan ulama dipersembahkan dengan jelas kepada masyarakat khususnya kepada pemimpin masyarakat misalnya. Mana yang silap ditegur.. itu sahaja. Takutnya nanti kita pula yang akan dipersalahkan kelak kerana tidak menegur..

Tidak kira siapakah kita dan apa pekerjaan kita, cubalah sedayanya memainkan peranan sedikit untuk berdakwah kearah memberi nasihat ke arah jalan yang baik. Masing-masing dengan kapasiti dan ilmu yang ada, sampaikanlah ilmu yang ada mengikut kemampuan kita itu..

Menegur hanya dengan niat di dalam hati tidak mempersetujui sesuatu kemungkaran adalah tahap iman yang paling lemah. Wallahualam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday 2 March 2010

Lupakan Sejarah Lalu.. Cari Kebahagiaan Masa Depan




Baru-baru ini saya berkesempatan bersembang dengan seorang kenalan yang pernah dikenali dahulu.. Setelah 6 tahun tidak berjumpa akhirnya bersua di internet. Seorang lelaki dan segak orangnya.. Kami memang mengenali latar belakang masing-masing tetapi jarang juga berbincang perkara-perkara yang melibatkan urusan peribadi kerana saya tidak beberapa selesa untuk menyentuh hal peribadi dia dan hal peribadi saya juga. Tidak seperti segelintir orang di dalam bidang kewartawanan yang mungkin ada yang gemar kepada cerita-cerita peribadi @ "dalam kain" yang suka untuk dijaja demi untuk melariskan akbar ataupun majalah mereka.

Sahabat saya tadi.. Rupa-rupanya beliau masih belum berkahwin lagi. Saya tengok kehidupannya agak baik.. Lengkap serba serbi, tiada apa yang kurang.. lebih lagi mungkin ;) Usianya lebih 2 tahun daripada saya. Saya bertanyakan kenapa beliau tidak mendirikan rumahtangga. Jawapan yang diberi.. masih teringatkan kisah dan sejarah lalu yang masih terkesan dalam ingatannya. Pengalaman tak beberapa manislah tu agaknya saya rasa.. Dengan jawapan sebegitu rupa saya rasa.. itu jawapan yang tidak patut.. Mengapa kita membiarkan sejarah "KELABU" zaman dahulu menyekat kita untuk membuat corak baru yang lebih menarik dalam diri kita. Ya.. zaman bujang memang ada seronoknya. tetapi ingat zaman bercinta juga ada keseronokkannya yang lebih lagi.. Dan seterusnya zaman berkeluarga tentunya lebih lagi dan seterusnya zaman beranak pinak hingga ke cucu cicit ;)

Saya baru teringat, sepatutnya saya memberikan respon kepada beliau terus atas jawapannya itu.

Berikut adalah contoh situasi yang saya umpamakan kisah sahabat saya tu : Bayangkan suatu masa dahulu seorang anak belajar untuk menaiki basikal, dengan kayuhan pertamanya dia terjatuh dan terluka.. Mungkin cedera lukanya agak dalam dan memberi kesan parut yang lama. Setelah beberapa tahun dia masih fobia dan takut untuk mencuba mengayuh basikal kembali.. Dan setelah sekian tahun dia masih terus kekal enggan untuk mencuba kembali menaiki basikal.. Dan di saat dia melihat rakan-rakan lain menunggang basikal dengan penuh riang gembira, sedikit sebanyak dia akan rasa sedikit sedih dan mungkin menyesal.. Begitu jugalah umpamanya dalam kehidupan kita ini. Jangan biarkan pengalaman lalu membunuh atau melambatkan cita-cita dan impian kita yang berada dihadapan. Semoga beliau ada membaca blog ini..hehehe.. I'm sorry ;p

"Jikalau kita melihat ke belakang dalam hidup kita, kita akan mendapati bahawa walau apa pun yang berlaku kepada kita ia akan sentiasa menjadi berfaedah kepada kita"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...