Tuesday, 13 March 2012

Mengubah Diri



Suka untuk saya kongsikan di ruang ini sedikit tips daripada seorang pakar kewangan untuk bagaimana kita menjadi diri kita yang baru. Kita perlu melakukan sesuatu untuk MENCAPAI SESUATU. Inilah antara cara bagaimana untuk kita menjadi diri kita yang lebih baik dan BARU!!

1. Pastikan BUKU apa yang kita selalu baca.

2. Siapa ORANG disekeliling kita.

3. TEMPAT yang sering kita kunjungi.

4. Rajin BELAJAR dengan hadiri seminar, kursus, latihan, ceramah dan sebagainya.

5. Perhatikan musik dan FILEM apa yang kita tonton selalu.

Rasanya tak perlu saya huraikan satu persatu perkara-perkara ini. Jelas dan mudah rupanya untuk kita BERUBAH menjadi lebih baik di masa depan ;)

Tuesday, 28 February 2012

Naik Taraf

Pilihanraya nampaknya semakin hampir.. Peruntukan untuk naik taraf itu dan ini mula kedengar di sana sini. Ianya memang bagus kerana rakyat memang senantiasa menginginkan kemajuan dan peningkatan dalam KUALITI HIDUP.  Tidak bermakna hidup kita ni kalau dari satu masa ke masa lain masih berada di tempat yang sama. Kekal berada pada tahap kehidupan yang sama. Peningkatan hidup memang amat diperlukan bukan saja dalam bentuk kemudahan infrastruktur fizikalnya, tetapi juga keupayaan ekonomi dan kestabilan sosialnya juga.

Bercakap mengenai "sosial" ini, saban hari kta melihat semakin banyak pula kes-kes yang cukup memeranjatkan, pelik dan mungkin satu petunjuk ada sesuatu yang mungkin tidak kena dalam masyarakat kita. Apa yang saya maksudkan adalah semakin banyak kejadian jenayah, buang bayi, kecurian, pecah rumah, maksiat, pecah amanah dan SEBAGAINYA.

Mungkin kita juga perlu sedar, mungkin pelaku yang terlibat dalam hal yang tidak baik ini bersalah. tetapi mungkin juga mereka bukanlah punca mereka menjadi begitu. Mungkin suasana dan pengaruh lain yang memaksa dan membentuk mreka jadi begitu.. Begitu tertekan, tidak dapat mengawal emosi diri dan terus terlanjur atau terjebak.

Bagi saya dalam usaha kita memajukan kehidupan rakyat, janganlah kita abaikan satu aspek ini untuk tidak termasuk dalam agenda "NAIK TARAF", iaitu menaik taraf aspek kerohanian dan iman dalam diri masyarakat. Caranya? Tentulah ada, jika KITA mencarinya.. 

Thursday, 16 February 2012

Latih Gunakan Otak (Fikiran)




Baru-baru ini, sempat saya membuka diari-diari lama semasa zaman belajar dahulu. Membelek setiap helaian dan membaca apa yang ditulis ketika itu nampaknya memang ada beza dalam pemikiran semasa kita sebagai pelajar dan kita setelah memasuki alam kerjaya. Kedua-dua zaman ini memang berbeza. Apa yang ditulis dan dicatatkan oleh seorang pelajar tentunya berbeza dengan apa yang ditulis oleh seorang yang lebih dewasa. Begitu jugalah apa yang dipostkan oleh orang yang biasa-biasa seperti saya tentunya berbeza dengan penulis-penulis blog lain yang hebat-hebat di luar sana. Jauh sekali untuk mencapai tahap pemikiran yang begitu tajam seperti Che Det misalnya. Apapun samada di blog, diari ataupun facebook itu sendiri, saya melihat semuanya ini melatih kita menggunakan salah satu kurniaan yang paling berharga dalam diri setiap kita iaitu otak kita atau lebih tepat lagi "FIKIRAN" kita tu..

Berbalik kepada zaman belajar dan kerja tadi, satu zaman ini penuh dengan teori dan satu lagi zaman penuh dengan praktikal dan realiti. Begitulah peralihan masa dan usia. Zaman dahulu sibuk masa dihabiskan untuk memahami, menghafal & menjawab soalan peperiksaan. Tetapi kini, tiada lagi persoalan yang banyak tetapi bagaimana sesuatu perkara yang baik itu dapat dilaksanakan untuk mencapai sesuatu tujuan ataupun untuk kesejahteraan kepada semua perkara. Untuk itu kita sememangnya memerlukan ilmu dan kefahaman. Ada kedua-keduanya bermakna kita tahu apa yang berlaku. Bagaimana perkara itu berlaku..  kenapa perkara itu berlaku.. dan sekali lagi... apa yang berlaku.. Sudah tentu untuk tahu kita mesti ambil tahu dan gunakan "OTAK" untuk simpan dan buat analisa maklumat itu.. Jangan sampai orang mengata kepada kita "Engkau ni buat macam ni, engkau takde otak ke" ;)

Sebenarnya, agak pelik juga kalau ada dikalangan kita yang hanya membiarkan sahaja otaknya begitu tanpa dilatih dan digunakan untuk berfikir dan bertindak secara waras dan berkesan. Latihlah otak kita agar dia dapat membantu kita apabila kita memerlukannya di masa-masa yang memang kita perlukannya nanti. Latihlah otak kita untuk memikirkan benda dan perkara yang BESAR-BESAR. Jangan difikirkan benda yang "kecil-kecil".. kerana secara tak langsung yang kecil-kecil tu dah kita cover dalam yang BESAR-BESAR tu ;)

Friday, 10 February 2012

Tidak Berkata Apa

Diam memang baik. Umumnya orang yang pendiam pula kita anggap dia baik dan dalam keadaan baik-baik saja. Kurang bercakap memberikan kurang peluang untuk kita terjebak berkata yang tidak benar atau dosa. Diam juga bukan bermakna setuju juga tidak setuju.. Dalam sesuatu perkara dewasa ini, ramai yang tidak bersetuju dalam hal itu dan ini tapi tetap senyap membisu. Begitulah kehidupan semasa dimana diam ada makna.

Kita lihat dari sudut lain pula seperti di dalam mesyuarat dan perbincangan misalnya kita selalu dapat lihat sesetengah daripada kita senyap dan berkata apa pun. Dari mula hingga habis mesyuarat, dia diam saja. Mungkin tidak ada apa-apa yang dia perlu katakan. Dia telah BERTINDAK BETUL. Tetapi sesetengah yang lain ada merasakan sesuatu yang perlu dikatakan tapi dia diam. Lepas habis mesyuarat dia sibuk cakap di belakang. Bila ditanya kenapa tak cakap tadi, keluarkan 10 atau 20 alasan. dia TIDAK BERTINDAK BETUL Orang kita memang pandai buat alasan.

Berbalik kepada isu diam tadi, kadang-kala pengerusi ataupun orang didepan minta pandangan atau idea kita, tetapi kita senyap. Bila orang bertanya pun kita senyap..Nak bertanya pun jauhlah sekali.. Ini saya lihat satu budaya dan kebiasaan yang menjadi semakin biasa. Kepada orang di atas berilah peluang dan galakkan mereka yang di bawah ini berkata-kata.. Budaya orang ddalam masyarakat, kumpulan atau tempat yang lebih maju saya rasa tidak begitu. Mereka lebih menghargai setiap pandangan yang diberikan tidak kira siapa individu itu.

Ringkasnya bagi saya, kita sebagai manusia yang berada dalam kumpulan atau kelompok-kelompok tertentu ini cubalah belajar dan berani TAMPILLAH KE HADAPAN.. kalau takut terlampau menonjol, tampillah sekali sekali memberikan sumbangan. Kerana... apabila kita tak nak menonjol, pihak lain pula yang akan menonjol atau terlebih menonjol serta dapat  peluang. Apabila mereka yang menonjol ini menentukan keputusan janganlah kita sibuk nak halang. Jangan salahkan mereka.. Anda yang membiarkan mereka lebih ke hadapan.

Tapi kadang kala masalah ni pun berpunca daripada budaya masyarakat dan orang kita juga, siapa yang lebih menonjol itu dialah yang akan memikul tugasnya.. Dia cadang dan dia kena ;) 



Friday, 3 February 2012

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW

InsyaAllah 12 Rabiulawal ini sekali lagi umat Islam akan menyambut hari keputeraan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Bersyukurlah kita kerana ditakdirkan menjadi umat Baginda kerana Baginda telah membawa cahaya dalam hidup kita. Baginda telah meletakkan asas iman dan taqwa yang jelas untuk kita ikuti. Baginda telah membawa umatnya keluar daripada keadaan kejahillan suatu masa dahulu. Baginda telah merubah corak kehidupan umatnya secara lebih baik, lebih tersusun dan lebih berhikmah. Baginda juga melahirkan ramai sabahat yang boleh dijadikan contoh dan model terulung dalam hidup manusia. Baginda telah meninggalkan pedoman dan banyak panduan hidup untuk kita tidak kira dalam aspek apa sekalipun.. dari sekecil-kecil hinggalah sebesar-besar perkara. Baginda SAW adalah rahmat kepada seluruh alam.

Moga kita dapat menghayati sebaiknya sambutan hari keputeraan kali ini dan saya menganjurkan kepada diri  (yang masih perlu banyak belajar) dan sahabat yang membaca post ini agar dapat berusaha menambahkan pengetahuan dan mengingati perjalanan hidup Rasulullah dengan membaca sirah Baginda bersama sahabat serta mencintai sesi majlis ilmu & mendengar kuliyah-kuliyah berkaitan riwayat hidup Baginda. Moga ada daya upaya kita untuk mematuhi setiap saranan dan mengamalkan sunnah amalan Baginda. Masih belum terlambat untuk kita menjadikan Baginda sebagai ikutan dalam aktivti seharian hidup kita.

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kalian (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah" [al-Ahzab (33):21].

Wednesday, 25 January 2012

Polis dan Kita




Dahulu kita melihat Polis, kita takut.. padahal kita tak buat apa-apa salah pun.. itu dulu.. Kini kita melihat Polis, kita masih takut.. takut kena saman, biasalah kita kadang-kala lupa kesalahan kita.. itu sekarang... 

Masa depan, bila kita melihat Polis, saya fikir kita patut rasa selamat.. Selamat sebab Polis sudah makin hampir dengan kita. Sekarang ni pun ada pelbagai kemudahan dari pihak Polis untuk kita. Ada RakanCop, ada pondok polisnya, mpv bergerak, cctv, anggota dijalanan, ada juga facebooknya dan pelbagai lagi. Semuanya ini bertujuan untuk kita rapat dan bersama dengan Polis bagi menjadikan persekitaran kita lebih selamat dan aman. Untuk pihak Polis dekat dengan kita, tentunya kitalah sebagai anggota masyarakat perlu bertindak MENDEKATKAN diri kepada mereka dan bukan sebaliknya..

Setiap daripada kita tentunya akan perlu dan bergantung kepada perkhidmatan Polis ini. Sebagai pihak berkuasa dalam aspek ketenteraman dan keselamatan, anggota Polis harus dihargai dan dihormati. Hormat saya fikir bukan hanya dengan mematuhi arahannya tetapi lebih daripada itu iaitu dengan bersama-sama MEMBANTU Polis membanteras kagiatan salah. Membantu menjadi mata dan telinga kepada mereka. Membantu mengurangkan beban tugas mereka. Membantu memberikan maklumat secukupnya kepada mereka.  Juga membantu untuk melibatkan mereka dalam aktivti masyrakat kita.

Saya fikir Polis juga begitu.. mereka mahu lebih rapat dengan kita.. PELANGGAN mereka..




Thursday, 19 January 2012

Apabila Kita Berjemaah




Berseorangan dan berjemaah memang ada bezanya.. dalam kerja misalnya kekuatan kerja sendirian dan berkumpulan, kerja secara berkumpulan lebih baik. Idea dan fikiran daripada 1 kepala tidak mungkin boleh mengatasi idea daripada lebih dari 2 kepala atau lebih. Lebih jauh dari itu, hikmah dalam kita berjemaah ini juga adalah kita membina kekuatan dari segi berkongsi keupayaan masing-masing dengan masing-masing serba lengkap melengkapi kelemahan yang lain.

Dalam memperkatakan tentang berjemaah ini, suka untuk saya berkongsi antara isi tazkirah yang sempat saya dengar tengahari tadi.. Dalam konteks solat berjemaah, antara hikmah dan kelebihannya adalah dari segi bagaimana kita memperoleh lebih manfaat dan kelebihan berbanding solat sendirian. Ini secara khususnya merujuk kepada masalah kekhusyukkan kita semasa solat..

Kita tahu bukan mudah untuk kita khusyuk sepenuhnya didalam perbuatan solat kita. Semasa solat kita tak lari daripada diusik oleh bisikan syaitan dan nafsu.. Selalunya dalam solat tu, kita memang berada ditikar sejadah tu melaksanakan segala rukun tetapi fikiran kita mudah untuk melayang-layang entah kemana.. Disinilah sebenarnya solat berjemaah itu ada kelebihannya dimana dalam satu-satu solat yang diadakan berjemaah.. Ada imam dan makmum-makmum dibelakangnya..

Di dalam perjalanan solat tu, bukannya mudah untuk setiap ahli jemaah termasuklah mungkin imam tu juga untuk 100% khusyuk dari mula mengangkat takbir sehingga akhirnya memberi salam.. Mungkin dipermulaan solat imam penuh khusyuk semasa bacaan Al-fatihah dan surah.. Mungkin semasa rukuk, beliau kurang sedikit khusyuknya, sebaliknya ada khusyuk pada salah seorang makmum lain. Kemudian pada perbuatan iktidal khusyuk berada pada seorang makmum lain dan seterusnya hingga selesai solat itu. Ringkasnya dalam setiap perbuatan dalam solat tu masing-masing mungkin mendapat khusyuk ditempat-tempat tertentu sahaja.. Itu solat beramai-ramai.  Jadi dalam solat secara berjemaah td, masing-masing boleh menampung kekurangan yang ada dalam diri yang lain.  Akhirnya kesemuanya mendapat kelebihan 27 darjat tadi.. sama rata.. berbeza dengan solat sendirian. Dengan seorang diri, dengan siapalah kita nak kongsi kelebihan khusyuk itu tadi.. Silap-silap, takde khusyuk langsung atau jumlah khusyuk dalam 10 peratus saja akhirnya. Rugi kita..

Akhirnya suka saya mengingatkan pada diri dan rakan sahabat diluar sana.. hati-hati dengan bisikan jahat yang sentiasa mengoda kita dan marilah kita rapatkan barisan dan jemaah kita. InsyaAllah kekuatan akan hadir apabila kita bersatu dan berpadu. Wassalam..

Saturday, 14 January 2012

Lebih Informasi Lebih Bermakna

Baru-baru ini saya dan keluarga berjalan-jalan ke sebuah zoo.. Seingat saya zoo memang merupakan antara lokasi menarik yang menerima kunjungan pelawat yang agak ramai juga. tak kiralah di mana-mana pun. Zoo Negara ke, zoo Taiping ker.. Zoo Melaka ker dll. Maklumlah, bukan selalu untuk kita dapat lihat haiwan-haiwan liar setiap hari. kalau manusia-manusia liar tu mungkin hari-hari kita boleh lihat ;)

Melihat suasana hijau dan keletah haiwan-haiwan berkenaan memang dapat menenangkan fikiran. Untuk mereka yang ada anak-anak kecil tentunya melawat zoo memberikan pengalaman baru bagi mereka dalam mengenal dunia ini. Mana tidaknya, pertama kali melihat harimau, gajah, beruang, ular dan zirafah tentu mengujakan. Itu tak kira lagi pelbagai puluhan jenis haiwan lain yang jarang dilihat sebelumnya. Apapun zoo memang satu lokasi yang sesuai dan biasa dikunjungi untuk keluarga pada hujung-hujung minggu.. Selain merehatkan minda, kita boleh belajar dan lebih mengenali haiwan-haiwan ini dari segi tabiat dan habitatnya.

Cuma dari kaca mata saya mungkin di masa hadapan info dan keterangan yang dipaparkan kepada pengunjung mungkin boleh lebih banyak dan lebih bermaklumat. Kadang-kadang tu ada maklumat yang diberikan terlalu ringkas dan ada juga yang tiada maklumat langsung. Mungkin pihak zoo perlu lebih kreatif lagi selepas ini dengan boleh meletakkan url laman web zoo berkenaan yang memberikan lebih informasi mengenai sesuatu spesies haiwan di zoo berkenaan. Sekarang ni pun ramai yang menggunakan telefon bimbit pintar dan tablet. Jadi mereka boleh terus akses ke url berkenaan untuk melihat lebih maklumat. Untuk itu, wifi percuma di zoo mungkin satu bentuk inovasi yang boleh difikirkan pada masa hadapan. Nak canggih lagi gunakan QR Code.

Zoo.. saya fikir bukan semata-mata tempat untuk bersantai melihat haiwan sahaja tetapi amat berpotensi untuk diintegrasikan dengan bentuk-bentuk rekreasi lain juga..




Tuesday, 3 January 2012

Memulakan 2012





Tahun 2012 memulakan tirainya. Macam biasa nampaknya malam ambang tahun baru tu macam-macam juga yang berlaku.. Benda tak baiklah.. apapun mungkin sudah ditakdirkan begitu dek kerana ada sesetengah daripada kita telah silap dan keliru untuk memilih yang baik untuk diri mereka. Moga tahun ini mereka mahu berubah. Bagi saya tahun baru memberikan kita peluang dan ruang untuk kita melihat diri kita. Melihat apa yang telah dilalui dan apa pula yang bakal dilalui seterrusnya. Suka saya memetik panduan yang perlu kita lihat daripada Yang Berbahagia Mursyid Dr Zulkifli Al-Bakri dalam memasuki tahun baru.

1. Ilmu
Memasuki tahun baru dan musim baru ini harus kita berazam untuk memperlengkapkan lagi diri dengan ilmu-ilmu baru, kemahiran-kemahiran baru. Islam itu sendiri ditegak awalnya dengan "Iqra'" iaitu Bacalah.. Ini menjadikan ilmu sebagai tunggak dalam apa jua yang kita ingin laksanakan. Moga setiap tindakan, rancangan dan keputusan dibuat atas dasar pengetahuan dan pemahanan yang benar dan jelas.

2. Bersatu
Marilah kita rapatkan barisan atau saf kita. Kesatuan itu sebenarnya adalah antara formula kejayaan dan kekuatan kita. Apabila kita bersatu dan seia senada, maka setiap perancangan akan lebih mudah dan kejayaan insyaAllah akan bersama kita. Kita lemah kerana kurang bersatu.

3. Hargai Masa
Jadikan setiap detik masa yang berlalu adalah masa yang bermanfaat untuk semua. Pastikan setiap amal perbuatan kita menyumbang kepada kebaikan dan membela nasib semua. Jangan dipersiakan masa yang berlalu begitu sahaja tanpa dilaksanakan usaha yang dapat memberi pahala pada kita..

4. Tahun Ini Lebih Baik
Akhir sekali sematkan tahun ini untuk kita menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya. Sekiranya dahulu aku melaksanakan sebanyak 50% sahaja, tahun ni cuba sekurang-kurangnya 80%.. Biar tinggi target kita tu..

Moga sama-sama kita berubah dan transform kearah diri yang lebih baik, hebat dan luar biasa tahun ini.. Selamat Tahun Baru 2012!








Tuesday, 27 December 2011

Usah Mengatuk Lagi




Tahun 2011 bakal melabuhkan tirainya hujung minggu ini. Masing-masing daripada kita sedang giat mengemaskini segala tugasan daalam sasaran hidup 2011. Melihat samada apa yang telah berjaya dicapai dan apa yang masih terbengkalai atau ada yang mungkin kita terlepas pandang. Masa ni paling sesuai untuk kita melihat balik apa azam dan impian tahun 2011 ini. Adakah kita telah berjaya 200%, 100%, 50% atau hanya 10% sahaja. Semua tahap itu sebenarnya adalah hasil usaha kita masing-masing. Kerja kuat, hasilnya tentu lebih baik. Kerja tak kuat.. kuat mengantuk, habuk pun takde..

Bagi saya, apabila kita melewati hujung tahun dan bakal memulakan tahun baru ini, eloklah sangat kita menoleh sekejap apa yang telah kita sumbangkan kepada orang lain dan diri sendiri. Kemudian cuba fikirkan strategi baru untuk 2012 pula. Memang bukan senang kita nak capai 100% impian yang telah digariskan. Tetapi yang lebih penting adalah bagaimana dalam sepanjang tahun itu kita dapat bergerak maju dan sentiasa belajar sesuatu bersama dengan garisan masa dan sentiasa dipandu strategi yg telah kita tetapkan.

Pendek kata, kita mengawal diri kita.. Usahlah kita mengantuk lagi.. Mengatuk dan tidak sedar apa yang berlaku di sekeliling kita. Orang dah jauh ke bulan, kita masih di takuk yang sama. Luaskan jangkauan pemikiran kita dan tanamkan benih keazaman untuk lebih maju dan berjaya pada tahun mendatang ini. Kita yang perlu mengubah nasib kita.. Gunakan segala apa sumber yang ada.. Kenali potensi diri dan jangan tidur lagi ;) Cabaran yang menanti tahun hadapan tentunya semakin berat dan penuh cabaran.

Paling-paling mudah pun dalam impian tahun baru ni biarlah kita tulis dan nyatakan dalam diari contohnya. Jangan lupa untuk selitkan elemen perubahan dalam aspek kerohanian, kewangan, kemasyarakatan, kekeluargaan, keilmuandan kesihatan..

Semoga 2012 memberikan lebih keceriaan dan keharmonian kepada semua. Amin..

Friday, 16 December 2011

SBPA Oh SBPA




CUEPACS
ingin bertemu dengan PM untuk membincangkan beberapa isu berkaitan SBPA. Sebagai pihak yang mewakili sekalian ramai penjawat awam, tentunya pimpinan CUEPACS berasa amat bertanggungjawab untuk memastikan nasib dan pilihan untuk opsyen kali ini memberikan lebih kesejahteraan dan kelebihan kepada PERJALANAN KERJAYA setiap penjawat awam. Untuk membuat pilihan tentunya memerlukan penjawat awam mendapat maklumat dan info yang lengkap mengenai skim baru ini. PENJELASAN dan pemahaman perlu untuk menentukan untung nasib mereka dikemudian hari kelak di dalam perkhidmatan.

Sememangnya KPPA sendiri telah menjawab dan menghuraikan segala rasional dan jawapan di sebalik pendekatan skim baru ini. Tetapi nampaknya masih ada lagi beberapa perkara yang kabur dan tidak dapat dijelaskan dan difahami jelas oleh penjawat awam. Memang diperkatakan banyak faedah-faedah baru. Tetapi KEBIMBANGAN nampaknya masih membelenggu kebanyakkan penjawat awam.

Harapannya kini dengan peranan CUEPACS, bagi saya kerajaan perlu melihat dan jenguklah sikit dan pertimbangkan lagi beberapa perkara dan paling penting jika nak TRANSFORM penjawat awam, buatlah perubahan itu "BETUL_BETUL". Ambil kesempatan ini perbaiki (memurnikan) skim penjawat awam secara "KESELURUHAN" dan secara IKHLAS dam bukan memilih kumpulan-kumpulan "ITU" juga.



Sikit atau banyak.. sama-samalah kita merasa.











Monday, 12 December 2011

Membuat Pilihan..



Setiap yang melintas di depan kita memang diberikan untuk kita memilih samada untuk mengambilnya dalam bentuk yang positif ataupun sebaliknya. Penerimaan apa jua pun perkara adalah terpulang kepada diri kita untuk mejadikan ianya +ve atau -ve.. Fikiran kita juga begitu, terpulang kepada kita untuk memikirkan apa yang baik ataupun yang buruk. Melihat dari sudut baik atau sebaliknya. Apabila difikirkan semuanya buruk maka diri sendirilah nanti yang akan terbelenggu memendam dalam "rendaman" benda-benda yang tak elok itu. Ini pesan saya kepada diri dan juga tuan puan yang membaca.

Dalam menjalani kehidupan ini sememang proses membuat keputusan itu selalunya mencabar. Bayangkan daripada sekecil-kecil keputusan kita untuk mengisi minyak samada memilih Shell atau Petronas sehinggalah keputusan PM kita untuk memilih siapa calon-calon beliau untuk PRU yang akan datang ini. Semua daripada kita memang perlu membuat pilihan. Pilihan yang dibuat tentunya untuk kepentingan kita juga. Takkanlah kita nak pilih jalan yang tidak baik. Jangan memilih untuk sesuatu yang bakal "memakan" diri.

Apapun sebenarnya post saya kali ini hanya ingin menekankan rangkap ini:

Sebelum kita "pandai" membuat pilihan untuk masa depan dan manfaat orang lain, kita "pandai"lah dahulu untuk membuat pilihan untuk manfaat dan masa depan diri kita dahulu. Jangan persiakan masa muda yang ada.. kelak menyesal di hari tua.

Kita memilih untuk pilih jalan selamat, atau jalan mudah ataupun jalan sukar...

"Sayangi diri dan masa depan kita"








Thursday, 1 December 2011

Kerja Dengan Ikhlas dan Minat





Kerja kepada orang politik memang macam-macam. Masa yang dilalui mereka menang singkat. Perhimpunan Agung UMNO telah bermula.. bermulalah sesi perbahasan dan pidato perwakilan berapi-rapi di PWTC.. Berapi-rapi tu bagus, tapi jangan berapi sekejap jer dan kemudian tu berasap dan padam.. Kalau boleh biar api tu macam api obor kat stadium masa sukan Olimpik tu.. membara "marak" dari mula hingga akhir. PRU sudah hampir dekat.. Masing-masing secara tak langsung dah memulakan kempen masing. Cabaran bentuk baru sememangnya getir dan 50-50. Bagi BN saya fikir menawan semula Selangor, Penang dan Kedah tentunya akan menjadi antara MISI paling utama kali ini.

Kerja kepada orang kerajaan juga tidak kurang macam-macamnya. Mana tidaknya.. orang diatas mereka akhirnya adalah orang politik tadi. Terkini dalam minda dan kepala setiap penjawat awam tentunya adalah apa isi butiran Pekeliling Gaji SBPA 2012. Macam-macam perkara baru yang disyaratkan demi menaikan mutu kerja dan perjalanan perkhidmatan setiap penjawat awam. Mungkin ada yang akan selesa dengannya dan mungkin ada yang akan tertekan dengannya. TERPULANG pada diri masing-masing untuk menyesuaikan diri.

Pokok pangkalnya baik bagi orang politik ataupun penjawat awam.. kedua-duanya perlu MEMBERI khidmat kepada rakyat awam.. untuk memberi khidmat terbaik tentunya mereka memerlukan skill, sikap dan pengetahuan dalam bidang masing-masing.. Cukup mereka menjaga tiga perkara ini, rasanya rakyat puas hati.. dan paling tak kurang pentingnya juga bagi saya adalah ASASNYA iaitu kerja dengan IKHLAS dan penuh MINAT.

Tanpa kedua-duanya baik ahli politik ataupun penjawat awam.. mereka tidak akan kekal lama.. kalau kekal lama pun, mungkin kurang memberi erti dan makna kepada orang lain..

Thursday, 24 November 2011

Jangan Lari dari Masalah



Kehidupan kita ni sering dikelilingi masalah. Kalau tiada masalah besar, masalah kecil. Paling-paling tidak pun masalah ketenangan jiwa atau pun masalah jerawat. Apapun masalah yang dihadapi saja untuk saya berkongsi di sini, bahawa kita tidak perlu "LARI" apabila menghadapi masalah. Kadang kala apabila kita cuba lari, semakin masalah itu rapat dengan kita.

Masalah memang tidak kita undang, tetapi ia datang juga kepada kita. Contohnya macam masalah kewangan, masalah perbuhungan sesama kenalan, masalah anak-anak dan sebagainya. Memang mudah awalnya kita mengandaikan masalah itu akan hilang apabila kita cuba lari daripadanya TETAPI hakikatnya ia akan merebak dan semakin kusut jadinya. Jadi sebagai manusia, kita perlu HADAP masalah itu. Atasinya dan bukan lari daripadanya.

Menghadapi masalah sebenarnya adalah asam garam kehidupan manusia. Kalau tidak bermasalah tentunya kehidupan kita akan jadi dan kelihatan mendatar sahaja. Tidak bergerak, tidak menaik dan tidak ke mana-mana. Semoga kita semua berani menghadapi masalah yang sedang melanda. Menghadapi dalam erti kata berusaha mengatasi dan menyelesaikan masalah itu. Setiap masalah itu insyaAllah ada penyelesaiannya. Jangan terus rosakkan diri, berputus asa dengan masalah tetapi mula cuba berfikir untuk menyelesaikannya.

Bersama-sama kita berusaha menguruskan masalah-masalah kita ;)




Monday, 14 November 2011

Saiz Penjawat Awam Terlalu Besar?!!





Orang besar-besar yang dah sampai tahap DEWA ni kadang-kadang pelik jugak cara mereka berfikir. Boleh dipersoalkan pulak saiz penjawat awam yang ada ni.. Dah saiz tu besar, maknanya memang banyaklah kerja dan tanggugnjawab yang kena dan sedang dipikul oleh penjawat awam. Saiz yang besar tu sememangnya disumbang oleh sektor pertahanan, pendidikan dan kesihatran. Kalau jumlah mereka ni kurang macamana nak support rakyat yang ramai yang memerlukan pelbagai jenis perkhidmatan yang ada ni..

Kualiti perkhidmatan awam di Malaysia telah diikhtiraf sebagai antara yang terbaik di dunia. Ini jelas menunjukkan secara KESELURUHAN, penjawat awam telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik. Ini bermakna penjawat awam dengan saiz yang ada kini adalah sesuatu yang SESUAI dan PADAN dengan Malaysia. 

Bagi saya dimana-mana sektor pun apabila jumlah entitinya ramai dan besar tentu sekali kita tidak boleh lari daripada mengalami cacat lela dimana-mana. Begitu juga dengan kumpulan penjawat awam. Saya lihat ramai yang bertanggungjawab dan benar-benar bersungguh dalam pekerjaan dan memberikan khidmat. Tetapi malangnya, adalah juga segelintir kecil yang agak kurang beramanah dalam kerjanya yang mungkin perlakuan negatif ini yang sering DITEROPONG dan diperbesarkan oleh masyarakat.

Apapun memang banyak lagi ruang untuk penambahbaikan dalam peranan dan peningkatan mutu kerja dan perkhidmatan penjawat awam.. Sememangnya kerajaan telah sedar penjawat awam dengan agensi masing-masing amat penting dalam pemacu dan mempastikan perjalanan negara baik dan berkembang maju. Itulah sebabnya ada banyak elemen pemantauan, kawalan, pengurusan prestasi dan tak lupa aspek inovasi semakin diterapkan dalam perkidmatan awam.

Akhir kata.. Jangan diherankan saizya yang besar tetapi HERANkan jika peranan mereka tidak besar..

Tuesday, 8 November 2011

Tabiat Kurang Molek dalam KEBERSIHAN



Dalam sebulan dua ni saya tidaklah banyak berjalan kemana-mana. Hanya melalui laluan biasa seharian pergi balik pejabat  dan sikit ke kedai beli barang-barang rumah. Tetapi dapat juga tengok beberapa TABIAT KURANG CANTIK orang-orang kita. Perangai baik menggambarkan hati budi kita. Hati budi kita menggambarkan jati diri demi keharmonian semua.

Berikut serba sedikit perkara-perkara kecil yang perlu kita ambil perhatian juga. Antaranya:

1. Kalau kita terbersin di cermin seperti cermin di tandas ke atau mana-mana tempat.. LAPLAH balik cermin tu dengan tisu ke.. takkan nak biarkan ajer sisa virus tu dicermin untuk tatapan orang lain. kalau kita kemana-mana tempat bercermin cubalah seboleh mungkin untuk tidak sentuh cermin tu.. penuh cap-cap jari, buruk rupanya.
2. Berhenti di lampu trafik, sambil tunggu lampu merah tu ada orang suka mengemas-ngemas keretanya. Bagus!! tetapi yg tak bagusnya sampah dalam kereta BUANG LUAR KERETA.. baik betul punya perangai orang ni!!
3.  Di rumah atau di pejabat kalau dah minum dan makan tu basuhlah segera sisa dan tinggal gelas dan perkakas dapur tu.. biar lama-lama takut berkulat nanti.. letak kat pantri pun teruk inikan pula DIBIAR kat meja kerja..
4.  Kita kena belajar untuk berjiwa besar untuk bantu dan kutip jika ada sampah sarap berhampiran persekitaran kita. Kadang kala memanglah sampah tu bukan sampah kita, tetapi dah DITAKDIRKAN benda tu terbiar berhampiran lingkungan kita.. tanpa dikemaskan oleh sesiapa. Mengapa tidak kita usahakan untuk ia dibersihkan oleh kita sendiri. Kita tidak rugi pun sebab kita sebenarnya bukan mencuci sampah itu sahaja tetapi turut MENCUCI HATI kita juga.
5.  Dalam mesyuarat selalunya ada disediakan makan minum. Lepas makan tu kalau boleh susun atur pinggan, sudu dan cawan tu biarlah kemas sikit.. takkan dah kenyang terus DIBIARKAN tunggang langgang semuanya termasuk kerusi mejanya sekali.. susunlah sekejap sebelum keluar dari bikil mesyuarat tu..
6.  Kalau nak meludah dan terpaksa nak meludah tu, kita carilah tempat yang sesuai untuk meludah. jangan atas lantai tempat orang lalu lalang pun kita ludah jer.. Cakap pasal ludah ni teringat saya pada sinki basuh tangan. Selepas makan di restoran misalnya kita akan basuh tangan dan ada yang berkumur mulut. Sekali lagi dah kumur-kumur tu.. alirkanlah SISA KUMUR tu sampai bersih kembali rupa sinki air tu..
7. Akhir sekali macam biasa ramai lagi perokok nampaknya mengekalkan tabiat mereka membuang puntung rokok MERATA-RATA.. Sedih!!...

Sekarang ni banyak yang kita nak buat TRANFORMASI.. harapnya paling-paling tidak pun kita transformasikan apa yang ada pada diri kita dulu.. yang mudah-mudah dulu..


Friday, 4 November 2011

LGBT

Semalam terdengar ada program Seksualiti Merdeka 2011.. Ia disokong oleh mereka yang arif dalam undang-undang dan perundangan negara. Pelik sangat..

Program yang "SEBEGINI" pun boleh dijadikan satu acara secara terbuka dan bebas untuk semua.. Kononnya atas dasar hak asasi... Pelik sangat....

Benda ni memang terang-terang tidak mengikut norma dan normal kejadian manusia di atas muka bumi ni.. tapi masih boleh dilayankan lagi... Pelik sangat...

Agaknya untuk kumpulan "mereka" ini entah apalah lagi yang masih tidak dapat diPUASkan pada diri. Masih lagi nak cuba melakukan yang BUKAN-BUKAN dalam hidup.. Pelik sangat...

Pelik... Pelik... memang manusia akhir-akhir zaman ni makin pelik..

"SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA QURBAN"

Thursday, 27 October 2011

Harga Barang Naik Lagi!!



Dua tiga hari ni, isu yang mendapat perhatian adalah kenaikan harga barang seperti harga ayam, ikan dan juga kenaikan harga tiket perlawanan akhir bola antara Terengganu dan Negeri Sembilan. Saya juga terasa dengan kenaikan harga sepapan petai. Kalau ayam tu mungkin ada banyak faktor yang boleh di"kelentong"kan sebagai alasan untuk naik harga. Ini petai.. ada kos tambahan ker untuk kutip petai tu?!

CUEPACS yang mengesyorkan penjawat awam memboikot secara senyap kepada tindakan tidak membeli ayam, saya rasa memang wajar tetapi sambutannya amat sukar. Banyak tindakan dan usaha boikot sebelum ni gagal dan kurang berjaya.. Kesedaran itu ada cuma tindakan untuk menengakkan prinsip itu masih agak lemah.. Nak berkorban tak makan ayam oleh satu kumpulan besar memang payah juga.. Lagilah kalau pelannya pun x jelas.. Mana tidaknya.. seminggu tak dapat ayam rasa lemah-lemah kot badan ;)

FAM katanya mempunyai alasan dan pendirian sendiri untuk mempertahankan harga RM50 berkenaan. Dari RM30 ke RM50.. memang terkejut.. Kot ya pun nak naik naiklah secara beransur-ansur dan bukannya mengejut macam tu.. Apa pun pengguna harus bijak dan penyokong-penyokong itu sendiri mempunyai pilihan untuk memilih yang tebaik untuk mereka. Jika mereka boleh menerima dan menilai NILAI RM50 dengan apa yang diperoleh semasa di stadium tu.. kenapa tidak..

Beberapa minggu lepas semasa isu cas perkhidmatan prepaid pun ada peniaga runcit yang telah mengenakan cas 6% tu walaupun isu tu masih belum dimuktamadkan ketika itu.. Hebat diorang ni buat duit.. pakai undang-undang sendiri jer..

Rakyat selalunya mengharapkan Kerajaan bertindak atas isu ini. Isu yang sememangnya dimainkan peniaga dan orang berkepentingan. NGO pun dah berbuih-buih dah mengatakan hal ini, tetapi peniaga dan kumpulannya sentiasa "KUAT" dan hampir kebal untuk melakukan sesuka hati mereka.

Bagi saya di sini sekali lagi pihak dan orang yang boleh main peranan berkesan untuk ISU ini adalah Ahli Parlimen kita yakni wakil-wakil Rakyat melalui saluran media-media yang ada. Bincang dan debatkan hal ini bersama PENGILANG atau "master mind" disebalik perniagaan terbabit. Master mind ini saya fikir BERKUASA mengawal ekosistem ekonomi ini. Mereka memang bijak memainkan HARGA.. BIJAK adalah kekuatan utama mereka ini.. Jadi pihak berkewajiban perlu perjelaskan punca (JIKA BENAR HARGANYA PERLU NAIK) dan tangani isu secara jujur dan IKHLAS kerana rakyat kebanyakkan tentunya terjejas sekiranya perbelanjaan harian mereka (belanja makan-minum) ASYIK naik, NAIK dan naikKK aje.. Letih macam ni..

Thursday, 20 October 2011

Kita Berubah atau Diubah




Baru selesai mendengar Klinik Kepenggunaan oleh PPIM di Radio 24. Isu yang dibincangkan adalah berkenaan kebankrapan dan bagaimana isu ini perlu dilihat secara lebih budiman dan timbang rasa oleh kerajaan khususnya kepada penjawat awam sendiri selaku pelaksana dasar dan secara spesifik lagi kepada Jabatan Insolvansi sendiri serta beberapa agensi seperti Baitulmal, Pusat Zakat dan lain-lain yang sewaktu dengannya. Statistik menunjukkan 100 ribu lebih di negara ini telah diisytiharkan bankrap. Nampaknya "Bank" juga yang didahulukan.

Daripada  ulasan dan perbincangan, dapat saya petik di sini, sebagai penjawat, kita perlu lebih bijak dan mempunyai RASA dan NALURI untuk bertanggungjawab membantu rakyat yang kita berikan khidmat. Tanpa memilih bulu dan tanpa terlalu mengikut sahaja pendekatan yang mungkin kini sudah tidak beberapa relevan. Dari segi memufliskan sesorang itu mungkin perlu dikaji kaedah prosedurnya. Keadaan kini dilihat lebih kepada menjerumuskan lagi orang yang berhutang itu jauh lebih hina ke lubang masalah mereka. Sudahlah diisytiharkan muflis, dipenjarakan lagi, malu lagi, susah lagi.. susah bukan sekejap. Susah tu dibiarkan dirasai lama.. lama bersama-sama keluarga yang terhimpit dan kalau boleh dikatakan mereka ini dihenyakkankan lagi sampai mereka tak mampu nak bangun semula. Zalim rupanya tu.. Isu ini sememangnya telah dijelas dengan alasan dan faktor undang-undang tetapi janganlah kita terlalu lurus dan tidak berinisiatif untuk MEMBANTU mereka yang susah ini.

Syabas kepada Dato' Dr Makmur sekalu Setiausaha Agong PPIM dan pasukan PPIM yang saya lihat begitu ikhlas dan berani memperjuangkan segala isu berkaitan ummah.. yang mana lebih-lebih lagi membela golongan rakyat biasa-biasa (yang sering tertindas).

Akhirkata. Janganlah kita menjadikan dan cepat meletakkan setiap masalah itu seolah-olah tiada penyelesaiannya.. Tiada harapan... Kita sendiri menutupkan harapan yang mungkin ada..



Monday, 17 October 2011

Tidak Mahu Mengundi?!




Salah seorang kenalan memberitahu.. Aku tak mengundi pun.. malaslah nak pergi buang undi.. Ini kenyataan daripada seorang yang terpelajar. Seorang yang belajar di kolej dan universiti.. Rasanya bukan beliau seorang saja yang berpendirian sedemikian, mungkin ramai lagi.. Bagi saya ini menampakkan betapa masih ramai lagi rakyat di negara ini yang mengambil ringan dan tidak peka kepada hak dan tanggungjawab mereka sebagai rakyat. Kita selalu mengharapkan orang lain memberikan itu dan ini, tetapi tanpa kita sedar.. kita tidak menyumbang pun untuk itu dan ini tadi.. Membuang undi bukanlah suatu perkara yang sukar.. Amat mudah.. hanya perlu daftar, semak dan pergi buang undi semasa hari pilihanraya..

Pilihanraya yang akan datang ini sudahpun menunjukkan rentak dan bahangnya.. Pengagihan kerusi, persidangan parti, senarai nama-nama calon, kenyataan daripada pihak SPR dan janji2 parti dah mula kedengaran. Pihak kerajaan saya fikir dah mula dah sikit2 dalam berkempen ;) Isyaratnya menunjukkan ia amat hampir kepada kita semua rakyat Malaysia. Moga kita sama-sama membina negara ini dalam corak demokrasinya tersendiri dengan kerajaan dilantik atas dokongan pengundi yang ikhlas dan bijak memilih wakil mereka di Parlimen.

Semoga mereka yang tidak mengundi ini cepat2 sedar, betapa nilai satu-satu undi itu amat berharga untuk menentukan siapa yang berkuasa nanti.. Janganlah kita hanya membiarkan sahaja sesuatu itu berlaku tanpa kita melibatkan diri kerana akibat dan natijahnya sememangnya kena-mengena dengan kita. Paling-paling busuk pun kepada generasi kita yang akan datang..

Marilah kita daftar untuk mengundi nanti.. Rugi tak mengundi.. Undi bukan untuk orang lain untuk diri kita juga sebenarnya. Bila keluar mengundi nanti sila pastikan bawa MyKad dan yg penting juga pastikan undi ada bukan undi rosak :)


 

Tuesday, 4 October 2011

Menunggu Belanjawan 2012



Bajet kali ini dilihat dan diwar-warkan sebagai satu bajet yang mengutamakan rakyat, khususnya rakyat berpendapatan rendah.. Ia nampaknya akan mengambil kira isu kos sara hidup, kenaikan harga barang dan keadaan ekonomi dunia yang kurang memberangsangkan. Ramai juga yang telah mengulas dan menjangkakan pelbagai inisiatif dan pendekatan baru yang bakal diumumkan oleh PM Jumaat ini. Bagi saya sememangnya pembentangan pada Jumaat ini amat diharapkan setiap inisiatif itu betul-betul mencapai dan dirasa oleh gologan sasar. Biar ia dirasakan terus.. Kurangkan rantaian yang ada.. Kos sara hidup yang dilalui oleh rakyat kini terutamanya yang berpendapatan rendah dan JUGA.. yang sederhana (khususnya di bandar) memang amat menekan. Dengan kos barang makan dan pengangkutan seharian yang tidak dapat dielakkan .. sememangnya perkara-perkara ini membuatkan RM di dalam dompet cair dan deras mencair setiap hari. Sememangnya pengurusan kewangan di peringkat individu itu penting tetapi pengurusan di peringkat makro juga penting untuk melindungi individu-individu yang bakal mencorakkan ekonomi makro yang lebih besar.

Apapun pengumumannya nanti, moga keseimbangan dan kestabilan ekosistem kewangan dan program-program yang dirangka betul-betul memberi IMPAK dan boleh memberikan PERUBAHAN dan MEMBAIKI mana-mana cacat dalam kelemahan ekonomi yang ada kini. Yang penting akhirnya adalah keselesaan kepada Rakyat yang sememangnya adalah Pengguna setiap masa dan juga Pengundi untuk PRU yang akan datang ini..

Friday, 30 September 2011

Hudud..




Kebelakangan ini hudud disebut-sebut.. PAS ingin membawa Hudud ketengah.. memang sepatutnya begitu pun.. Tiada yang peliknya.. Undang-Undang Islam semestinya adalah perjuangan PAS sampai bila-bila. bukan bermusim.. Bagi yang tidak faham elakkanlah dari memberikan hujah yang cuba menidakkan hukum ini. Buat masa ini memang pelaksanaannya dibataskan oleh Perlembangaan, penerimaan dan situasi ketetapan sedia ada, tetapi bagi saya sebagai seorang Islam, kita harus terbuka, meneguhkan iman dan terus berusaha untuk membina arah dan fokus untuk menjadikan ia salah satu hukum yang diterima di Malaysia satu masa nanti.

Pihak kerajaan kini sendiri saya fikir harus lebih terbuka hati dan mencari titik kesamaan bersama.. Semasa saudara seIslam tanpa mengira ideologi politik, sesuatu isu yang lebih menjadi tunjang harus lebih diutamakan selain hal dunia dan material. Kenalpasti bagaimana hukum yang memberikan kebaikan ini dapat diamalkan.. Sesungguhnya apa sahaja yang telah ditetapkan Tuhan itu adalah baik untuk hambanya. Ya Allah, berikanlah kekuatan dan taufiq hidayah kepada para pemimpin-pemimpin kita..

JAKIM selaku pihak berkuasa dalam hal ehwal agama Islam saya fikir perlu memainkan peranan. Mungkin buat permulaan ini.. dimulakan dengan memberikan kefahaman dahulu kepada semua.. Pelan-pelan dan penuh strategik..
Wallahhualam..