Friday 30 July 2010

Idea & Facebook




Satu fenomena yang kita lihat sekarang ini yang paling meletup rasanya tidak lain tidak bukan adalah kewujudan facebook sebagai wadah komunikasi jaringan sosial masyarakat dalam medium maya di internet. Kehebatan dan penangannya amat kuat sekali kepada generasi muda khususnya. Tidak kurang juga bagi generasi yang lebih dewasa. Tidak menghairankan jika dikatakan ada orang pada setiap hari akan meng"online"kan diri mereka untuk mengemaskini status dan melihat status orang lain di facebook atau ringkasnya 'fb' ini.

Saya sendiri pun sebenarnya agak lewat mencebur diri dalam ruang fb ini.. pada awalnya rakan-rakan memang telah lama mengajak tetapi rasa macam tak perlu.. tetapi setelah merasai keupayaan dan kehebatan fungsi dan ciri yang ada pada fb ini, rasanya ia seolah-olah telah menjadi sebahagian daripada keperluan hidup. Ia boleh dikatakan keperluan untuk berhubung, berfikir, bertukar-tukar fikiran, mengemukan pandangan, meluahkan fikiran, melepaskan dendam, berkongsi maklumat, mencari sesuatu dan sebagainya. 

Apa pun hebatnya facebook ini, saya cuma ingin berpandangan di sini bahawa facebook bukanlah sesuatu benda yang amat ajaib dan juga ia bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dicipta. Teknik dan aliran aplikasinya juga mungkin tidak serumit mana untuk difikirkan. Facebook bukan benda yang terlalu canggih. Tetapi ia telah cukup BERJAYA untuk membuatkan ramai orang senang dan selesa kepadanya.

Mungkin kita boleh belajar daripada idea pencipta laman sosial ini, bahawa kadang-kala perkara yang biasa-biasa dan mudah sebenarnya jika diatur dan diolah cantik-cantik boleh membuahkan kejayaan yang besar dan luar biasa. Sedih juga apabila ada diantara kita (anda dan saya) yang merasa agak sukar sangat untuk menjana idea-idea mudah tetapi bernas di sekeliling ruang persekitaran kita.. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday 18 July 2010

Obor Cahaya Bangsa Melayu




"Takkan Melayu hilang di dunia". Itu kata yang pernah dilafazkan suatu ketika dahulu oleh Laksamana Hang Tuah. "Melayu mudah lupa" pula pernah dilafazkan oleh Perdana Menteri ke-4. Kini Mufti Perak mengatakan "Melayu hilang kuasa jika UMNO dan PAS tidak bersatu"

Ketiga-tiga lafaz kata berkenaan jika digabungkan akan menyentuh tentang kekuatan dan kelemahan Melayu itu sendiri. Dalam senario Malaysia sekarang bangsa Melayu dilihat semakin berpecah dan semakin lemah. Faktor besar yang dilihat yang sangat menyumbang dalam melemah dan memecahkan kekuatan ini adalah ketaksuban kepada aliran kumpulan politik yang ada.

Bagi saya, apa yang diperhatikan adalah UMNO dan PAS kedua-duanya telah cuba sedaya upaya untuk memperkasakan bangsa Melayu dan Islam itu sendiri. Cuma mungkin entah dimana silapnya kedua-duanya perkara ini seolah-olah masih memerlukan banyak lagi pembelaan oleh kedua-dua parti. UMNO dengan kapasiti sebagai parti pemerintah telah sedaya upaya melakukan yang terbaik. Dalam masa yang sama PAS melihat dan merasakan banyak lagi yang tidak dilakukan dengan cukup baik oleh UMNO. Jadi disini kita dapat melihat masing-masing seolah-olah ada sesuatu yang digenggam tetapi tidak mahu dikongsikan untuk faedah bersama.

Kesanggupan Mufti Perak ini untuk melontarkan kenyataan ini saya rasa amat bersesuaian sekali dengan masanya. Masa yang diharapkan sudah amat cukup untuk kedua-dua puak dan pimpinan berfikir sejenak tentang tanggungjawab mereka terhadap kepentingan dan maruah bangsa Melayu dan agama Islam.

Kesatuan yang ikhlas ini bolehlah diibaratkan seperti obor api yang terang dan gemilang cahayanya. UMNO mungkin sedang memegang 'sumbu' manakala PAS pula mungkin sedang memegang pemetik apinya. Tanpa disatukan sumbu dan pemetik api itu, mungkin tiada langsung untuk peluang kita melihat sinar cahaya penuh kebaikan yang merata dan juga agak sukar untuk menerangi dan menjelasi apa-apa yang sepatutnya di Malaysia yang tercinta ini.

Untuk parti bangsa lain mungkin agaknya mereka telah sekian lama sedia dengan lampu suluh dan baterinya. Hanya perlu menekan punat 'on' sahaja untuk menyalakan cahaya..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday 15 July 2010

Teksi Kita




Selalu melihat filem-filem barat yang mana antara adegan biasa yang amat menarik perhatian saya adalah kebiasaannya hero atau heroin akan menaiki teksi / taxi di sana. Apabila dia menahan teksi, beliau hanya perlu menyebut lokasi yang ingin dituju sahaja. Seterusnya bergerak lah teksi itu ke lokasi yang dikehendaki. Betapa mudahnya begitu bukan. Rasanya ia adalah realiti disana dan bukan hanya dalam filem sahaja saya rasa.

Sebaliknya di negara kita seperti di Kuala Lumpur, kita akan terpaksa bertanya dahulu atau ada tawar menawar pulak untuk pergi ke lokasi yang dikehendaki. Paling tidak sedap ialah dikatakan teksi berkenaan tidak ke lokasi berkenaan. Mungkin ada prosedur atau peraturan yang telah disediakan untuk hanya menentukan sesetengah teksi itu hanya untuk lokasi-lokasi tertentu sahaja. Tetapi sebagai orang awam dan pengguna kita mahu ia lebih efisyen dan dinamik. Cakap sahaja hendak ke mana teksi berkenaan boleh menghantar. Ini barulah boleh dikatakan antara ciri negara maju juga saya rasa.

Semoga Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dapat melihat aspek yang sekecil ini untuk membawa tambahbaik dan sumbangan kepada mutu sistem penggangkutan awam yang lebih berkualiti dan mesra rakyat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday 12 July 2010

PASIR MEMANG BERHARGA




Kalau dahulu orang yang mencuri, melakukan kecurian dalam senyap ataupun dalam gelap, tetapi kini dalam terang-terang pun kecurian dapat dilakukan. Kalau dahulu pencuri mencuri benda-benda yang kecil dan mudah disorok tetapi kini perkara yang terbentang luas pun dicuri. Kalau dahulu yang melakukan kecurian adalah seorang atau mungkin berdua, tetapi kini dilakukan dengan anggota yang ramai sehingga berpuluh orang. Kalau dahulu mencuri dibuat sekali sekala atau mungkin bermusim, tetapi kini dibuat sepanjang masa dan berpanjangan tempohnya. Kalau dahulu yang mencuri akan rasa bersalah dan takut, tetapi kini perasaan yang ada mungkin semakin berani dan semakin boleh mencabar pula lagi.

Suatu ketika nanti apabila sudah licin, sudah botak, sudah kering, sudah kontang, sudah hilang dan sudah habis kesemuanya, barulah manusia terpaksa mencari-cari itu dan ini sebagai ganti.. Sememangnya tangan-tangan manusia jualah yang merosakkan bumi dan alam ini. Wallahualam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 7 July 2010

Banci Penduduk 2010




Saya tidak pasti samada banci penduduk yang sedang dijalankan kini akan turut mengambil kira penduduk dari kalangan warga asing yang bekerja di Malaysia seperti warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, Nepal dan lain-lain. Saya rasa, amatlah menjadi keinginan kita semua rakyat jelata untuk mengetahui berapakah jumlah dan peratusan yang tepat jumlah mereka dan warga kita sendiri yang sedang berada di negara ini. Terutamanya di kawasan-kawasan tumpuan utama. Lebih baik lagi outputnya kita boleh lihat dan dianalisa dalam betuk graf ataupun taburan peta yang secara visualnya terus boleh memberikan makna dan erti di mana tumpuan mereka ini berada. Rasanya tidak mustahil untuk sesuatu lokasi itu telah dimonopoli kedudukannya oleh warga asing berbanding warganegara sendiri. Semoga dengan terkemaskininya data dan statistik banci penduduk terbaru ini, kita akan sedar dan lebih meneliti dalam cara kita mengagihkan guna tenaga tempatan berbanding sumber tenaga luar yang mungkin boleh merugikan negara dalam bentuk aliran duit keluar negara dan penurunan tahap kemahiran tempatan dalam bidang-bidang tertentu. Harapannya agar pekerja banci juga dapat mengutip data secara telus, jujur, beretika dan penuh amanah bagi memastikan ia akan menjadi asas data yang sebenar untuk digunakan nanti untuk kemajuan dan pembangunan negara di masa depan ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday 2 July 2010

Memberi Itu Ada Hikmahnya




Dalam perjalanan ke pejabat beberapa hari lalu terdengar slot motivasi seorang pakar motivasi di Radio. Topik yang beliau bawakan setiap pagi memang amat menarik. Hari ini beliau membawakan tajuk berhubung memberi dari diri kita kepada orang lain. Memberi ini dalam erti kata yang sama ialah membantu mereka yang memerlukan, menolong mereka yang lemah ataupun bersedekah kepada yang susah juga untuk mengembirakan orang lain.

Kita sering mendengar orang lain ataupun diri kita sendiri mungkin (selepas ni kena ubah sikap kita) bahawa bermacam alasan akan diberikan apabila kita ingin ataupun dikehendaki memberikan bantuan kepada orang lain. Kebiasaanya 3 alasan utama yang menghalang kita untuk menolong orang lain. Pertamanya kita tiada apa yang boleh diberikan untuk membantu. Keduanya, kita akan merasa pengurangan pada milikan diri selepas memberi kepada orang lain dan yang ketiganya pula adalah kenapa harus membantu sedangkan kita telah bersusah payah berusaha untuk mendapatkan hasil itu.

Rupanya ketiga-tiga alasan itu ada jawapannya. Berikut pemahaman ringkas saya :

1. Kita Masih Mampu Membantu

Pertolongan sebenarnya besar skopnya bukan pada wang ringgit sahaja.. banyak lagi bentuk material lain dan perkara lain yang boleh kita memberi dan membantu orang lain. Paling mudah senyum.. senyum tak susahpun untuk kita sedekahkan kepada orang lain. Kalau senyumpun kita tak mampu tidak mengapa. Berilah doa ataupun doakan kesejahteraannya. Tentu kita masih mampu dari segi itu bukan?

2. Ilmu Kita Terhad Dari Ilmu Allah

Telah dikatakan bahawa 1 pemberian kebaikan yang kita beri akan dibalas 700 kali ganda. Jika kita melihat kita memberi RM 1 kita akan mendapat balik RM700. Kita melihatnya begitu, tetapi ilmu Allah tu jauh sangat taranya dengan ilmu manusia.. Kita hanya melihat dalam bentuk wang ringgit dan kebendaan, tetapi sebenarnya balasan dan rahmat Allah itu adalah lebih besar daripada itu.. Kita mungkin dibalas dalam bentuk yang selain wang ringgit. Banyak bentuk dan perkara baik yang boleh disalurkan oleh yang Maha Kuasa samada melalui ketenangan fikiran, sihat tubuh badan, perasaan ceria, menikmati kehidupan berkeluarga yang bahagia dan sebagainya. Betapa terhad dan sempitnya fikiran kita bukan? Ada aspek keberkatan yang mungkin kita tidak sedar atau tidak nampak.


3. Hakikat Bahawa DIA Yang Mengurniakan

Susah payah kita berusaha untuk mendapatkan itu dan ini. Setelah berjaya dengan apa yang ada kenapa pula kita perlu berkongsi dan menolong orang lain. Rupanya kita lupa.. Lupa kepada siapa yang memberikan keupayaan dan kejayaan itu.. Siapa yang memberikan peluang.. memberikan ruang dan upaya itu. Tidakkah juga oleh kerana pemberian olehNya? Apabila sudah berjaya kita pula nak menganggap itu semata-mata usaha kita. Tentunya tidak..

Berilah dan bantulah orang lain setakat dan sekadar yang kita mampu ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...