Sunday 18 May 2014

Antara Bisnes & Makan Gaji

Dahulu semasa di universiti saya dan rakan sekuliah ada mengambil kursus asas keusahawanan. Tak silap saya pensyarah yang mengajar ketika itu juga ada menjalankan bisnes sampingan menjual sesuatu. Nampak gaya beliau sendiri pun belum cukup berjaya pada ketika itu. Tapi mungkin kini beliau telah berjaya. Harap dan sepatutnya begitulah kan :-)

Melihat saudara mara, rakan taulan dan kenalan di sekeliling yang sebangsa tak ramai yang menceburi dunia niaga. Kebanyakkannya bekerja dengan orang lain dan kerja kerajaan, makan gaji. Betul.. ramai juga sudah bangsa Melayu yang ada perniagaan sendiri, menjadi majikan dan pengeluarkan produk dan perkhidmatan sendiri, tetapi nisbahnya adalah masih rendah.

Begitulah keadaanya sekarang, bangsa Melayu khususnya masih jauh ketinggalan dalam penguasaan ekonomi dan kekayaan negara.

Dahulu dan sekarang pun saya melihat masih tebal dalam pemikiran orang kita bahawa kerjaya makan gaji lebih selamat untuk masa hadapan. Tiada sangat risiko dibuang kerja dan terjamin pendapatan serta ada berpencen. Disamping beberapa kemudahan yang mungkin tiada kepada orang yang berniaga sendiri.

Bagi saya mungkin sudah sampai masanya mentaliti ingin bekerja makan gaji ini tidak lagi disemai dalam fikiran dan minda anak-anak. Saya yang menulis ni pun harus sedar bahawa kehendak mahu menjadikan generasi akan datang menceburi bidang perniagaan harus menjadi agenda bangsa. Sampai bilakah orang-orang kita asyik mahu menjadi pembeli yang semakin mengayakan orang lain.

Rasanya masih belum terlambat lagi untuk orang-orang kita menyahut cabaran ini. Cabaran yang menjaga maruah diri dan bangsa. Di sekeliling kita, sebenarnya banyak lagi peluang dan ruang untuk kita membina ekonomi bangsa. Pelbagai sokongan sebenarnya telah ada terbentang. Bagaimana untuk memilih bisnes yang betul sahaja lagi dan menguasai ilmu berniaga.

Untuk tujuan itu, pada pandangan saya tidak dapat tidak, perkara ini seharusnya terus diperkasa dalam agenda pembangunan usahawan bumiputera. Gerakan yang menyeluruh secara 'doktrinasi' oleh kerajaan dibantu NGO seharusnya dirancang penuh strategik untuk melahirkan anak muda yang memulakan hidup berkerjaya dalam bisnes dan tidak memilih kepada makan gaji.

Semoga penulisan yang tidak seberapa ini dapat memotivasikan kita untuk bukan memilih makan gaji sebaliknya menggajikan pula orang lain. Bisneslah tu. Banyak kelebihan berniaga yang tak dapat saya nyatakan di sini.. Tapi kalau difikirkan ia memang jauh lebih baik daripada makan gaji :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Post a Comment

Komen Anda

Related Posts with Thumbnails