Wednesday 27 October 2010

Kita Dekat Dengan Penjenayah




Tidak kira siapa kita, di mana kita berada dan apa yang kita lakukan setiap ketika, kita sebenarnya adalah terdedah kepada kesan aktiviti jenayah. Kadang kala kita mungkin berselisih jalan dengan penjenayah. Mungkin juga kita pernah berinteraksi dengan mereka dan tidak mustahil orang yang mungkin kita kenali juga adalah penjenayah atau bekas penjenayah.

Dalam konteks harta benda pula, premis kita, rumah dan kenderaan kita juga terdedah dengan ancaman oleh penjenayah. Penjenayah sememangnya licik dan boleh menghidu kelemahan mangsanya. Jika ada peluang dan ruang mereka ini akan bertindak dengan cukup cekap dan penuh perancangan.

Sekiranya kita berada sehari di balai polis terutamanya di lokasi kepadatan penduduk tinggi, rasanya dalam sehari macam-macam laporan jenayah diterima. Daripada pergaduhan, kecurian, samun, bunuh, dadah dan sebagainya.

Pendek kata bagi ingatan semua daripada kita baik yang berada di bandar, di kampung, dalam perjalanan, dalam bekerja, dalam percutian, dalam ibadah sekali pun, pastikan kita jangan sesekali menjadi sasaran mudah penjenayah.. Perlu diingat juga satu lagi jenis jenayah baru iaitu jenayah siber yang mungkin kita masih tidak sedar bagaimana mereka boleh melakukannya. Maklumat adalah sesuatu yang amat bernilai. Dengan penguasaan dan capaian kepada maklumat sahaja, macam-macam benda yang tidak elok boleh dilakukan untuk menjadikan seseorang sebagai mangsa. Melakukan hanya dengan duduk di depan komputer, tekan itu ini dan alih-alih memudaratkan kita..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 20 October 2010

Melaka Maju 2010




Syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Melaka dan seluruh rakyatnya kerana pada malam ini 20:10  di tarikh 20.10.2010 Melaka telah diisytiharkan sebagai negeri maju oleh Perdana Menteri langsung dari PWTC, Kuala Lumpur. Apa yang amat menarik perhatian saya ialah pada indikator ataupun petunjuk yang disandarkan oleh Melaka untuk berani dan megah mengatakan mereka sudah mencapai tahap kemajuan yang sedemikian rupa. Kesemua 32 kritreria ini adalah diberikan oleh satu badan antarabangsa yang berwibawa iaitu Organisation for Economic Co-operation and Development.

Apakah semua kriteria itu? rasanya tidak perlulah dihuraikan disini, memadailah kita mengetahui kesemuanya adalah demi untuk meletakkan nama Melaka di tahap dan suasana yang memberikan faedah menyeluruh, peningkatan kualiti hidup dan keselesaan kepada rakyatnya baik di bandar dan luar bandar. Melaka yang saya perhatikan antara negeri yang awal mengadakan pembaharuan dan inovasi dalam mengatur pengurusan kerajaan khususnya dengan ICT, peningkatan prasarana aturan kemudahan awam, pemeliharaan bangunan lama, pemuliharaan Sungai Melaka, keindahan lanskap, lalu lintas yang lancar, pilihan tempat makan-makan dan sebagainya. Produk pelancongan tentunya tidak perlu dipersoalkan lagi. Selepas ini Melaka tentunya tidak akan menoleh ke belakang lagi dengan matlamat seterusnya untuk menjadi Negeri Teknologi Hijau pula..

Beralih seketika kita ke negeri Selangor ;) Selangor Maju diumum pada tahun 2005 yang lalu. Mungkin betul ia maju dari segi kemajuan infrastruktur, kepesatan industri, kepelbagaian sosial dan intelek penduduknya   (ramai cerdik pandai dan orang besar-besar di Selangor ni) tapi keseimbangan kemajuan berkenaan dalam aspek pencapaian dan kepuasan rakyat rasanya banyak lagi yang boleh dipersoalkan. Antaranya kualiti kediaman rakyat, sistem perhubungan jalan raya, kadar jenayah, kebersihan dan ketenteraman sosial.

Semoga selepas ini negeri-negeri lain turut mengikut jejak dan mempelajari daripada Melaka, formula yang "menjadi" untuk mencorakkan lanskap dan kemajuan negeri ke tahap yang bukan sahaja diakui orang tempatan tetapi juga oleh orang luar. Syabas Melaka!! Bila dah maju ni janganlah pulak kos belanja seperti makan minum dan hotel pula naik tidak semena-mena ya ;)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 16 October 2010

RM500 dan Penjawat Awam




Selesai sudah pembentangan Bajet negara untuk tahun hadapan, 2011. Seperti biasa kita nampak sekian banyak peruntukan dirangka untuk perbelanjaan negara dalam hal mengurus dan pembangunan. Secara keseluruhan ada penganalisis mengatakan bajet ini dikatakan bajet selamat dan berhati-hati. Dimana selamat dan berhati-hati itu, pakar ekonomi mungkin lebih mengetahui. Kerajaan tentunya telah mempertimbangkan dan meneliti serta mengkaji sedalam-dalamnya untuk mengatur strategi dan keutamaan apa yang perlu dalam aspek kewangan ini. Syabas dan tahniah kepada PM dan juga Kementerian Kewangan. Aspek pelancongan dilihat antara yang mendapat perhatian kerajaan. Pembangunan kawasan luar bandar khususnya bagi Sabah, Sarawak dan kawasan Orang Asli juga diberikan perhatian yang wajar. Banyak insentif dan faedah lain yang diberikan kepada masyarakat sivil, golongan peniaga dan industri. Tetapi macam biasalah mungkin kerajaan tidak boleh terlalu memberikan itu dan ini untuk memuaskan hati 100% segenap warga Malaysia.

Bagi penjawat awam, setiap kali pengumuman bajet tentunya hati dan fikiran mereka akan sedikit sebanyak berangan-angan tentang BONUS. Bonus bukanlah sesuatu yang wajib diterima. Bonus juga bukanlah perkara yang boleh DIPINGGIRKAN begitu sahaja bagi setiap individu yang bekerja. Tidak kiralah di sektor mana pun.

Dengan pemberian sumbangan RM500 bagi setiap penjawat awam Gred 54 dan ke bawah, ia sepatutnya memberikan nafas lega juga kepada mereka. Syukur untuk itu. Ini kerana bukanlah menjadi syarat wajib dan mesti untuk kerajaan memberikan sesuatu kepada mereka dalam bajet-bajet tahunan yang diberikan. Walau bagaimanapun, ada penganalisis menjangkakan ada sedikit imbuhan yang mungkin perlu kepada penjawat awam untuk lebih memotivasikan mereka dalam menjadi nadi kepada gerak kerja ke arah Transformasi Kerajaan yang di war-warkan kini. Apa pun ia telah berlalu dan keputusan telah dibuat. Sebagai penjawat awam, terimalah dengan hati terbuka.

Berhubung tajuk post ini suka untuk saya ringkaskan tiga perkara berikut iaitu :

1. Selepas ini rasanya CUEPACS tidak perlulah lagi bersusah payah untuk merayu-rayu sangat dalam hal bonus ini. Biarkanlah sahaja Pimpinan Kerajaan fikir sendiri mengenainya.

2. Pemberian RM500 memang melegakan tetapi lebih cantik jika angkanya seperti RM700. Sebagai manusia secara normalnya kita tidak gemar kepada sesuatu yang sama. Manusia ingin melihat perubahan. Jadi perubahan dari angka 500 kepada nilai lain tentunya lebih baik. Mungkin 500 itu sesuai pada masa-masa terdahulu dan bukannya pada masa kini yang mana dengan "sekali belanja" sahaja ia boleh habis entah ke mana. Lebih-lebih lagi bagi penjawat awam di bandar yang kadang kala boleh terjerumus menjadi mudah miskin.

3. Adalah sesuatu yang 'NORMAL' untuk kita bersuara untuk diri kita. Penjawat awam bersuara untuk penjawat awam kerana mereka tahu siapa mereka. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 9 October 2010

Perjalanan Yang Terlalu Banyak Halangan




Bulan Syawal baru sahaja melabuhkan tirainya.. Perjalanan pada bulan raya yang lalu ini membawa saya ke merata tempat untuk di ziarah dan memenuhi jemputan majlis rumah terbuka juga majlis perkahwinan. Hadirlah saya dan keluarga ke rumah saudara mara, rakan taulan juga jemputan luar yang diterima. Dalam semua perjalanan ke hampir semua destinasi ini, kebanyakkan laluan kenderaan penuh dengan "bumper" ataupun bonggol. Terfikir di dalam hati kenapalah sampai begitu banyak sangat halangan di jalan raya kita ni. Di jalan besar dan utama pun boleh di letakkan bonggol halangan.. Di kawasan taman pula ada yang diletakkan banyak dalam jarak yang agak rapat.. Lebih teruk lagi ada yang bentuknya yang terlalu tinggi dan bergegar kuat kereta kita dibuatnya. Lebih-lebih teruk lagi ada bonggol jalan yang kelihatan seolah-oleh tidak kelihatan ia ada di situ. Orang yang tidak biasa dengan jalan berkenaan akan mudah untuk tidak perasaan keberadaannya di situ. Sudahlah tiada tanda pemberitahuan, warna atau cat pun tidak ditandakan padanya.. Bila laju sikit, melambunglah kereta kita dan segala isi kandungannya ;)

Asal kejadian bukit kecil ni memanglah kita tahu untuk mencegah pengguna melaluinya dengan laju, tetapi kalau dah terlampau banyak dan tinggi-tinggi pula bentuknya, boleh mengganggu pemanduan kita di kawasan berkenaan. Letih nak melayan bonggol yang terlampau banyak di tempat kita ni..

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 6 October 2010

Perlukah Kita Pemain Import?



Ketika prestasi pasukan bola sepak negara seperti sekarang ini ada pihak merasakan kita memerlukan semula aksi dan penglibatan pemain import dari luar di dalam liga tempatan. Objektif utamanya tentu sekali untuk memperbaiki mutu permainan pemain tempatan dan menyemarakkan lagi kemeriah liga sedia ada. Memang ia satu idea yang baik dan boleh memberikan manfaat, tetapi malangnya dengan pengalaman kita yang lalu, pengimportan pemain luar ini tidak banyak sangat membantu meningkatkan keupayaan dan kualiti permainan bola sepak dalam negara. Saya lebih bersetuju untuk kita lebih mengimport jurulatih luar daripada menerima pemain luar. Jurulatih sebenarnya yang mencorakkan permainan. Dengan pengalaman dan kreativiti yang tinggi oleh para jurulatih pasukan-pasukan tempatan rasanya corak pemain kita boleh berubah.  Selain itu perbanyakkan perlawanan persahabatan dengan pasukan luar yang lebih baik.

Cukuplah kita telah menerima sekian ramai pekerja luar datang bekerja di Malaysia. Takkanlah nakkan tenaga untuk berlari dan menendang sebiji bola pun kita hendakkan juga khidmat daripada orang luar. Janganlah kita meletakkan di minda bahawa "bola sepak" tu terlalu rumit untuk pemain-pemain kita menguasainya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday 5 October 2010

Individu Boleh Mempopularkan Produk Pelancongan




Saya pernah terdengar pengacara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) dan Trek Selebriti Jimmy Shanley memaklumkan yang dia bercadang akan membuat majlis resepsi berkonsepkan dalam taman di tempat percutian bersejarah, Kelly Castle, Batu Gajah di Perak. Syabas kepada beliau kerana mengambil daya inisiatif dan kreatif untuk melakar sejarah perkahwinan di tempat berkenaan dan secara tak langsung membuat promosi kepada lokasi bersejarah itu.

Saya memang suka dengan tajuk ini kerana kadang kala kita sebagai warga Malaysia sendiri kurang menghargai produk dan aset sejarah yang berpotensi sebagai tarikan pelancong ke dalam negara. Sekiranya kita menjenguk ke negeri Melaka sebentar, sehingga ke saat ini, saya perhatikan Ketua Menterinya sibuk dengan pelbagai projek tarikan pelancong. Daripada tarikan di atas atas darat, atas laut, bawah laut, pulau dan sebagainya. Walaupun kita ada mendengar kata-kata orang Melaka kenapa tidak peruntukan ini tidak terus disalur kepada kawasan luar bandar secara terus. Untuk persoalan itu saya rasa jawapannya adalah terpulanglah kepada YB (wakil rakyat di kawasan berkenaan). Kalau beliau tidak kreatif maka kuranglah peruntukan akan ke sana. Aset sejarah yang telah sedia harus dipelihara bukan dibiarkan ditelan zaman.

Jika individu perseorangan dan personaliti seperti artis boleh mempopularkan warisan sejarah ini, kenapa tidak pihak kerajaan Negeri (yang berkenaan) boleh melakukannya dalam keupayaan dan kapasiti yang lebih besar lagi. Tepuk dada tanya selera. Ketakutan saya ada yang tidak berselera dan tidak mahu mencuba sajaha... Rugi.. rugi.. rugi.........


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 2 October 2010

Belajar Menyepak Takraw

Membaca akhbar tentang penganjuran pertandingan sepak takraw oleh KFC dan Utusan. Ia satu usaha yang amat saya sokong dan cukup membanggakan kita. Sebagai sukan yang ada kaitnya dengan jatidiri Melayu, sepatutnya ia akan  dapat teris diadakan dan disemarakkan lagi dari semasa ke semasa.

Ketika saya berumur kira-kira 9 tahun, saya mula mengenali bola sepak raga atau kini sukan takraw. Lebih awal daripada itu, riadah saya pada masa itu adalah dengan menimbang dengan kaki menggunakan sejenis permainan dipanggil "capteh". Bentuknya dan cirinya adalah gabungan bulu ayam dan getah sebagai dasar tapak.. Konsep pergerakkannya sama seperti bulu tangkis dalam sukan badminton. Di zaman itu Malaysia antara gergasi sukan takraw dunia. Pesaing hanyalah oleh pasukan Thailand. Itu keadaan dahulu semasa saya muda remaja. Tetapi kini pasukan kita entah di tempat ke berapalah agaknya.

Apa yang saya ingin kongsikan di sini bukanlah tentang takraw tetapi bagaimana latihan yang tekun itu boleh menjadikan kita zero kepada hero. Daripada tidak tahu kepada tahu. Daripada lemah kepada kuat. Daripada di bawah kepada berada di atas. Daripada tidak mahir kepada berkemahiran dan macam-macam keadaan lagi..

Berbalik kepada untuk saya mahir menimbang bola sepak raga dahulu.. Pada mula-mula saat dan ketika cuba menimbang itu, bilangan timbangan hanyalah 2 hingga ke 3. Setelah beberapa hari saya dapat menimbang hingga ke bilangan 6 dan melebihi 10. Setelah berminggu dan berbulan dan bertahun saya mampu untuk menimbang hingga lebih 100 timbangan.. keletihan sahaja biasanya yang dapat menamatkan sesuatu cubaan capaian jumlah timbangan itu. Ringkasnya  prinsip dan iktibar yang saya masih cuba pegang dan cuba amalkan dalam kehidupan ini adalah latihan menjadikan kita lebih cekap, lebih mahir dan lebih peluang untuk lebih berjaya. Tidak kira dalam bidang apa yang kita ceburi, kalau kita tekun dan rajin berlatih kita boleh maju sedikit demi sedikit. Mungkin kita juga boleh memotong orang lain yang lebih dahulu bermula daripada kita seperti pasukan Thai itu tadi.. Moga sedikit imbasan kehidupan kanak-kanak saya ini dapat memberikan sedikit cetusan motivasi untuk kita terus berlatih dan menajamkan apa sahaja kemahiran yang kita telah mulakan dan ada. Moga bermanfaat untuk anda dan saya juga sebagai orang yang bercerita..

Terima kasih kepada Abah yang telah mengajar dan mendidik kami tiga beradik bermain sukan takraw malah sukan-sukan asas popular yang lain. Tidaklah kami menjadi orang yang kakinya hanya di bangku ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Cerita Yang Menyenangkan..

Dipetik dari sebuah akhbar dalam talian:

"JOHOR BAHRU 30 Sept. - Sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatat sejarah apabila berjaya mencipta simulator latihan haji dan umrah yang pertama di dunia bagi membantu umat Islam membuat persiapan fizikal dan mental mengerjakan ibadat itu"

Berita sebeginilah yang seharusnya sentiasa ada terselit dan dijamu kepada masyarakat Malaysia untuk memberikan sedikit keceriaan pada dada-dada akhbar tempatan kita. Rencana penemuan baru dan usaha baik oleh cerdik pandai tenpatan seharusnya lebih dan digalakkan penampilannya dalam mewarnai kandungan berita dalam media kita, baik elektronik mahupun yang bercetak. Memanglah di kedewasaan ini kita dikelilingi dengan pelbagai berita yang banyak menjurus kepada keaiban moral masyarakat, kedukaan dek kemalangan, politik yang kadang kala gelagatnya macam "kartun" dan jenayah yang amat mendukacitakan. Golongan pegamal media dan berita seharusnya turut mengimbangkan apa yang disampaikan kepada masyarakat. Ini adalah kerana sumber berita atau cerita ini (bagi orang kebanyakan/biasa) boleh dikatakan adalah input utama kepada dalam mempengaruhi pemikiran dan rentak kehidupan mereka. Kalau setiap hari disogok dengan berita-berita negatif, rasanya pemikitan kita pun akan terjurus ke arah negatif.

Saya ada mendengar tentang "Law Of Attraction". Saya tidak mengetahui hukum dan teori ini sama sekali kerana tidak berkesempatan lagi untuk membaca sebarang buku atau artikel mengenainya. Tetapi saya agak-agak ia mungkin sedikit sebanyak mengatakan perkara yang baik akan menarik perkara baik yang lain kepadanya. Atau secara mudahnya tenaga positif akan menarik lagi tenaga positif yang untuk bersama. Jadi apabila dikaitkan dengan kandungan oleh media sebagai pemyampai berita dan peristiwa tadi, maka adalah menjadi tanggungjawab "pengutus berita" itu untuk memberikan banyak yang baik-baik daripada yang tidak baik kepada pembaca.

Moga selepas ini akan timbul sedikit cetusan atau kecenderungan media untuk menggali apa sahaja rahsia dan potensi yang ada pada cerdik pandai dan ilmuan tempatan khususnya dalam menangani segala isu negatif yang dibaca setiap hari. Memang ia ada nilai berita yang tinggi, tetapi cuba imbangikan ianya seimbang dengan corak berita dan cerita yang memberikan sedikit nafas lega dalam hati pembaca.. Hhhmmmm...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...