Saturday, 7 August 2010

Bila Berdepan Dengan Makanan

Kita selalu dijamu untuk makan. Kita akan dijemput untuk makan kenduri, makan di majlis perkahwinan, jamuan perpisahan, jamuan di pejabat dan sebagainya. Kebiasaannya untuk sesi makan-makan ini, kita akan rasa lebih berselera dan lalu untuk makan. Tidak salah untuk kita makan bagi memenuhi jemputan dan hajat sesesorang. Dalam ruang kali ini, saya bukanlah ingin menguris hari sesiapa, tetapi ia lebih kepada untuk memberikan sedikit buah pandangan dan tulis bicara untuk keselesaan dan manfaat bersama.




Melalui pemerhatian dan pengalaman saya yang bukan seberapa ni, tetapi rasa terpanggil juga untuk menulis mengenainya. Ini menyentuh hal tabiat dan mungkin dah jadi budaya dalam masyarakat kita yang saya fikir tidak beberapa molek apabila kita berdepan dengan hidangan dan makanan yang dijamu. Berikut adalah diantaranya :

1. Ketika makan secara buffet, ada diantara kita yang akan mengambil makanan dengan sebanyak yang mungkin.. kalau dilihat dari jauh nampak sangat gunung nasi dan lauk pauk yang diambil macam dia tu lapar sangat.. tak cantik tu, nampak sangat sifat tamak tu nanti.. kalau rasa tamak juga ambil dan ulanglah sekali lagi mengambil makanan tu.. gunakan pinggan baru.. Pernah terdengar rungutan seorang pekerja tukang basuh pinggan di belakang. Banyak benar sisa makanan yang masih elok dibuang begitu sahaja.. katanya tergolek-golek udang tu.. diorang ni tak tahu ke harga udang tu mahal sekarang, senang-senang saja dibuang begitu..

2. Semasa menikmati makanan lebih-lebih lagi bila kita berada di majlis tertentu dan ramai yang turut bersama, eloklah makan secara lebih sopan dan senyap. Maksudnya janganlah diperdengarkan sangat "cup cap cup cap" bunyi kunyahan kita tu.. boleh mengganngu kosentrasi orang lain tu.. dan satu lagi..cubalah meminimakan bukaan mulut semasa mengunyah tu. Kita tahu anda sedang cukup berselera dengan makanan yang lazat tu tetapi jangan sampai boleh menggangu tumpuan orang berdekatan.

3. Seperti biasa adab-adab biasa yang lain tu jangan dilupakan seperti mengambil hidangan yang terdekat dahulu, meminta bantuan untuk hidangan yang berada jauh dari jangkauan, jangan memusing-musingkan hidangan lauk (meja bulat) di ketika orang lain sedang menceduk lauk mereka..

4. Bila sah selesai makan tu, kita tolakkanlah ketepi sisa-sisa makanan dihujung pinggan, juga aturan sudu, garfu dan gelas minuman. Memang lah ada petugas yang akan memungutnya nanti tetapi sekurang-kurangnya tak lah bersepah sangat rupenya meja tu macam budak-budak kecil lepas makan.

5. Hendak minum gunakan tangan kanan.

6. Kalau dah mula sendawa tu stop lah.. dah kenyang dah tu tandanya ;)

7. Membungkus makanan yang lebih adalah sesuatu yang baik. Ia mengelakkan pembaziran. Walau bagaimanapun ada sesetengah dari kita "menapau" ketika acara masih berjalan lagi.  Kita dah mula bungkus membungkus sedangkan ada lagi hadirin yang mungkin lewat sedikit. Kata orang : ada lagi orang di belakang tu. Hal membungkus ini juga ada perinciannya lagi iaitu ketika membungkus tu ambillah sekadar perlu untuk kemampuan nafsu makan diri kita sajaha. Yang pergi ambil berlebih-lebih sangat tu kenapa? Siapa yang nak makan nanti? Takut akhirmya nanti masuk ke tong sampah pulak.. Kuat manalah sangat selera kita tu..

Akhir kata, pernah saya terdengar kata orang-orang lama bahawa semakin banyak kadar makanan yang kita makan, sebenarnya secara tidak langsung kita juga memperhabiskan dengan cepat jumlah rezeki yang telah diperuntukan kepada kita selama ni.. Selamat berpuasa minggu hadapan dan wallahualam.  


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 2 August 2010

Bukalah Plastik tu..


  


Beberapa hari lepas saya ke sebuah perpustakaan menemani isteri untuk mencari buku. Sambil-sambil tu saya pun pusing-pusing di dalamnya melihat buku-buku yang ada. Sempatlah membaca 1,2 buku menambah sedikit pemahaman tentang ilmu kehidupan di alam maya ni. Memang perpustakaan adalah suatu tempat yang amat berpotensi untuk dikembangkan peranannya bukan sekadar untuk orang datang meminjam dan membaca sesuatu, tetapi lebih jauh daripada itu seperti turut bertindak untuk menggalakkan anak-anak kecil mencintai ilmu. Perpustaan itu nampaknya memang ada kelainan dan kelengkapan yang baik dan memuaskan seperti tempat duduk, kedai jualan, ruang kanak-kanak, ruang multimedia, sudut sejarah, sudut interaksif, pameran, majalah, akhbar, lanskap yang menaik, ruang perbincangan, parkir yang luas dan sebagainya. Saya melihat ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke sana untuk menghabiskan cuti hujung minggu. Satu budaya yang baik dan amat bagus! Saya perlu mencontohinya.

Melihat suasana dalam perpustakaan itu memang amat selesa bagi mereka yang sukakan kepada aktiviti pembacaan. Cuma apabila mata saya ternampak di beberapa sudut, ada satu perkara yang saya fikir seolah-olah dipandang ringan oleh kita. Mungkin segelintir sahaja agaknya. Perabot baru khususnya apabila kita beli dan peroleh akan datang bersalut dengan plastik. Plastik itu bertujuan untuk melindunginya daripada habuk dan calar. Tetapi "MENGAPA" bila sampai ke lokasi penggunaanya, perabot itu masih lagi berbungkus-bungkus. Antara tempat yang biasa kita lihat adalah seperti di bank, pejabat POS, pejabat kerajaan dan lain-lain. Sekiranya dibuka pun selalunya tidak kemas kerana ada kesan dan lebihan plastik pembalut terlekat dan dibiarkan begitu sahaja. Yang bagusnya (tak bagus sebenarnya) plastik tu akan melekap di situ sampailah ia lusuh dan tercabut sendiri. Kan buruk sangat rupanya tu..

Lihat gambar di atas.. saya mengambilnya pada 31 Julai 2010. Kalau panjang umur, saya akan cuba ke tempat yang sama dalam setahun lagi dan melihatnya sekali lagi. Saya rasa kesan plastik itu akan terus melekap disitu setahun lagi. Kita tunggu dan lihat ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 30 July 2010

Idea & Facebook




Satu fenomena yang kita lihat sekarang ini yang paling meletup rasanya tidak lain tidak bukan adalah kewujudan facebook sebagai wadah komunikasi jaringan sosial masyarakat dalam medium maya di internet. Kehebatan dan penangannya amat kuat sekali kepada generasi muda khususnya. Tidak kurang juga bagi generasi yang lebih dewasa. Tidak menghairankan jika dikatakan ada orang pada setiap hari akan meng"online"kan diri mereka untuk mengemaskini status dan melihat status orang lain di facebook atau ringkasnya 'fb' ini.

Saya sendiri pun sebenarnya agak lewat mencebur diri dalam ruang fb ini.. pada awalnya rakan-rakan memang telah lama mengajak tetapi rasa macam tak perlu.. tetapi setelah merasai keupayaan dan kehebatan fungsi dan ciri yang ada pada fb ini, rasanya ia seolah-olah telah menjadi sebahagian daripada keperluan hidup. Ia boleh dikatakan keperluan untuk berhubung, berfikir, bertukar-tukar fikiran, mengemukan pandangan, meluahkan fikiran, melepaskan dendam, berkongsi maklumat, mencari sesuatu dan sebagainya. 

Apa pun hebatnya facebook ini, saya cuma ingin berpandangan di sini bahawa facebook bukanlah sesuatu benda yang amat ajaib dan juga ia bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dicipta. Teknik dan aliran aplikasinya juga mungkin tidak serumit mana untuk difikirkan. Facebook bukan benda yang terlalu canggih. Tetapi ia telah cukup BERJAYA untuk membuatkan ramai orang senang dan selesa kepadanya.

Mungkin kita boleh belajar daripada idea pencipta laman sosial ini, bahawa kadang-kala perkara yang biasa-biasa dan mudah sebenarnya jika diatur dan diolah cantik-cantik boleh membuahkan kejayaan yang besar dan luar biasa. Sedih juga apabila ada diantara kita (anda dan saya) yang merasa agak sukar sangat untuk menjana idea-idea mudah tetapi bernas di sekeliling ruang persekitaran kita.. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, 18 July 2010

Obor Cahaya Bangsa Melayu




"Takkan Melayu hilang di dunia". Itu kata yang pernah dilafazkan suatu ketika dahulu oleh Laksamana Hang Tuah. "Melayu mudah lupa" pula pernah dilafazkan oleh Perdana Menteri ke-4. Kini Mufti Perak mengatakan "Melayu hilang kuasa jika UMNO dan PAS tidak bersatu"

Ketiga-tiga lafaz kata berkenaan jika digabungkan akan menyentuh tentang kekuatan dan kelemahan Melayu itu sendiri. Dalam senario Malaysia sekarang bangsa Melayu dilihat semakin berpecah dan semakin lemah. Faktor besar yang dilihat yang sangat menyumbang dalam melemah dan memecahkan kekuatan ini adalah ketaksuban kepada aliran kumpulan politik yang ada.

Bagi saya, apa yang diperhatikan adalah UMNO dan PAS kedua-duanya telah cuba sedaya upaya untuk memperkasakan bangsa Melayu dan Islam itu sendiri. Cuma mungkin entah dimana silapnya kedua-duanya perkara ini seolah-olah masih memerlukan banyak lagi pembelaan oleh kedua-dua parti. UMNO dengan kapasiti sebagai parti pemerintah telah sedaya upaya melakukan yang terbaik. Dalam masa yang sama PAS melihat dan merasakan banyak lagi yang tidak dilakukan dengan cukup baik oleh UMNO. Jadi disini kita dapat melihat masing-masing seolah-olah ada sesuatu yang digenggam tetapi tidak mahu dikongsikan untuk faedah bersama.

Kesanggupan Mufti Perak ini untuk melontarkan kenyataan ini saya rasa amat bersesuaian sekali dengan masanya. Masa yang diharapkan sudah amat cukup untuk kedua-dua puak dan pimpinan berfikir sejenak tentang tanggungjawab mereka terhadap kepentingan dan maruah bangsa Melayu dan agama Islam.

Kesatuan yang ikhlas ini bolehlah diibaratkan seperti obor api yang terang dan gemilang cahayanya. UMNO mungkin sedang memegang 'sumbu' manakala PAS pula mungkin sedang memegang pemetik apinya. Tanpa disatukan sumbu dan pemetik api itu, mungkin tiada langsung untuk peluang kita melihat sinar cahaya penuh kebaikan yang merata dan juga agak sukar untuk menerangi dan menjelasi apa-apa yang sepatutnya di Malaysia yang tercinta ini.

Untuk parti bangsa lain mungkin agaknya mereka telah sekian lama sedia dengan lampu suluh dan baterinya. Hanya perlu menekan punat 'on' sahaja untuk menyalakan cahaya..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 15 July 2010

Teksi Kita




Selalu melihat filem-filem barat yang mana antara adegan biasa yang amat menarik perhatian saya adalah kebiasaannya hero atau heroin akan menaiki teksi / taxi di sana. Apabila dia menahan teksi, beliau hanya perlu menyebut lokasi yang ingin dituju sahaja. Seterusnya bergerak lah teksi itu ke lokasi yang dikehendaki. Betapa mudahnya begitu bukan. Rasanya ia adalah realiti disana dan bukan hanya dalam filem sahaja saya rasa.

Sebaliknya di negara kita seperti di Kuala Lumpur, kita akan terpaksa bertanya dahulu atau ada tawar menawar pulak untuk pergi ke lokasi yang dikehendaki. Paling tidak sedap ialah dikatakan teksi berkenaan tidak ke lokasi berkenaan. Mungkin ada prosedur atau peraturan yang telah disediakan untuk hanya menentukan sesetengah teksi itu hanya untuk lokasi-lokasi tertentu sahaja. Tetapi sebagai orang awam dan pengguna kita mahu ia lebih efisyen dan dinamik. Cakap sahaja hendak ke mana teksi berkenaan boleh menghantar. Ini barulah boleh dikatakan antara ciri negara maju juga saya rasa.

Semoga Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dapat melihat aspek yang sekecil ini untuk membawa tambahbaik dan sumbangan kepada mutu sistem penggangkutan awam yang lebih berkualiti dan mesra rakyat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 12 July 2010

PASIR MEMANG BERHARGA




Kalau dahulu orang yang mencuri, melakukan kecurian dalam senyap ataupun dalam gelap, tetapi kini dalam terang-terang pun kecurian dapat dilakukan. Kalau dahulu pencuri mencuri benda-benda yang kecil dan mudah disorok tetapi kini perkara yang terbentang luas pun dicuri. Kalau dahulu yang melakukan kecurian adalah seorang atau mungkin berdua, tetapi kini dilakukan dengan anggota yang ramai sehingga berpuluh orang. Kalau dahulu mencuri dibuat sekali sekala atau mungkin bermusim, tetapi kini dibuat sepanjang masa dan berpanjangan tempohnya. Kalau dahulu yang mencuri akan rasa bersalah dan takut, tetapi kini perasaan yang ada mungkin semakin berani dan semakin boleh mencabar pula lagi.

Suatu ketika nanti apabila sudah licin, sudah botak, sudah kering, sudah kontang, sudah hilang dan sudah habis kesemuanya, barulah manusia terpaksa mencari-cari itu dan ini sebagai ganti.. Sememangnya tangan-tangan manusia jualah yang merosakkan bumi dan alam ini. Wallahualam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 7 July 2010

Banci Penduduk 2010




Saya tidak pasti samada banci penduduk yang sedang dijalankan kini akan turut mengambil kira penduduk dari kalangan warga asing yang bekerja di Malaysia seperti warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, Nepal dan lain-lain. Saya rasa, amatlah menjadi keinginan kita semua rakyat jelata untuk mengetahui berapakah jumlah dan peratusan yang tepat jumlah mereka dan warga kita sendiri yang sedang berada di negara ini. Terutamanya di kawasan-kawasan tumpuan utama. Lebih baik lagi outputnya kita boleh lihat dan dianalisa dalam betuk graf ataupun taburan peta yang secara visualnya terus boleh memberikan makna dan erti di mana tumpuan mereka ini berada. Rasanya tidak mustahil untuk sesuatu lokasi itu telah dimonopoli kedudukannya oleh warga asing berbanding warganegara sendiri. Semoga dengan terkemaskininya data dan statistik banci penduduk terbaru ini, kita akan sedar dan lebih meneliti dalam cara kita mengagihkan guna tenaga tempatan berbanding sumber tenaga luar yang mungkin boleh merugikan negara dalam bentuk aliran duit keluar negara dan penurunan tahap kemahiran tempatan dalam bidang-bidang tertentu. Harapannya agar pekerja banci juga dapat mengutip data secara telus, jujur, beretika dan penuh amanah bagi memastikan ia akan menjadi asas data yang sebenar untuk digunakan nanti untuk kemajuan dan pembangunan negara di masa depan ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 2 July 2010

Memberi Itu Ada Hikmahnya




Dalam perjalanan ke pejabat beberapa hari lalu terdengar slot motivasi seorang pakar motivasi di Radio. Topik yang beliau bawakan setiap pagi memang amat menarik. Hari ini beliau membawakan tajuk berhubung memberi dari diri kita kepada orang lain. Memberi ini dalam erti kata yang sama ialah membantu mereka yang memerlukan, menolong mereka yang lemah ataupun bersedekah kepada yang susah juga untuk mengembirakan orang lain.

Kita sering mendengar orang lain ataupun diri kita sendiri mungkin (selepas ni kena ubah sikap kita) bahawa bermacam alasan akan diberikan apabila kita ingin ataupun dikehendaki memberikan bantuan kepada orang lain. Kebiasaanya 3 alasan utama yang menghalang kita untuk menolong orang lain. Pertamanya kita tiada apa yang boleh diberikan untuk membantu. Keduanya, kita akan merasa pengurangan pada milikan diri selepas memberi kepada orang lain dan yang ketiganya pula adalah kenapa harus membantu sedangkan kita telah bersusah payah berusaha untuk mendapatkan hasil itu.

Rupanya ketiga-tiga alasan itu ada jawapannya. Berikut pemahaman ringkas saya :

1. Kita Masih Mampu Membantu

Pertolongan sebenarnya besar skopnya bukan pada wang ringgit sahaja.. banyak lagi bentuk material lain dan perkara lain yang boleh kita memberi dan membantu orang lain. Paling mudah senyum.. senyum tak susahpun untuk kita sedekahkan kepada orang lain. Kalau senyumpun kita tak mampu tidak mengapa. Berilah doa ataupun doakan kesejahteraannya. Tentu kita masih mampu dari segi itu bukan?

2. Ilmu Kita Terhad Dari Ilmu Allah

Telah dikatakan bahawa 1 pemberian kebaikan yang kita beri akan dibalas 700 kali ganda. Jika kita melihat kita memberi RM 1 kita akan mendapat balik RM700. Kita melihatnya begitu, tetapi ilmu Allah tu jauh sangat taranya dengan ilmu manusia.. Kita hanya melihat dalam bentuk wang ringgit dan kebendaan, tetapi sebenarnya balasan dan rahmat Allah itu adalah lebih besar daripada itu.. Kita mungkin dibalas dalam bentuk yang selain wang ringgit. Banyak bentuk dan perkara baik yang boleh disalurkan oleh yang Maha Kuasa samada melalui ketenangan fikiran, sihat tubuh badan, perasaan ceria, menikmati kehidupan berkeluarga yang bahagia dan sebagainya. Betapa terhad dan sempitnya fikiran kita bukan? Ada aspek keberkatan yang mungkin kita tidak sedar atau tidak nampak.


3. Hakikat Bahawa DIA Yang Mengurniakan

Susah payah kita berusaha untuk mendapatkan itu dan ini. Setelah berjaya dengan apa yang ada kenapa pula kita perlu berkongsi dan menolong orang lain. Rupanya kita lupa.. Lupa kepada siapa yang memberikan keupayaan dan kejayaan itu.. Siapa yang memberikan peluang.. memberikan ruang dan upaya itu. Tidakkah juga oleh kerana pemberian olehNya? Apabila sudah berjaya kita pula nak menganggap itu semata-mata usaha kita. Tentunya tidak..

Berilah dan bantulah orang lain setakat dan sekadar yang kita mampu ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 26 June 2010

Keyakinan Luar Biasa


Rupanya keyakinan itu ada dua.. Keyakinan yang biasa-biasa dan keyakinan yang luar biasa. Keyakinan yang biasa-biasa adalah apabila kita nampak bukti dan kebenaran sesuatu perkara dahulu dan kemudian barulah mahu mempercayainya manakala keyakinan yang luar biasa adalah apabila kita mempercayainya dahulu kemudian barulah melihat bukti dan kebenaran perkara itu. Beza utama di antara keduanya adalah satu mencari bukti terlebih dahulu dan yang satu lagi memberikan rasa yakin dahulu.. Contoh paling mudah, lagenda tinju dunia suatu ketika dahulu iaitu Muhammad Ali. Beliau mengatakan faktor kemenangannya lebih terletak pada rasa keyakinannya dan bukan kepada kekuatan fizikalnya. Beliau memberikan rasa yakin dahulu untuk menang dan kemudian berusaha untuk merealisasikan keyakinan itu. Inilah yang contoh kita dapat lihat dimana rasa yakin yang tinggi boleh memberikan kejayaan yang diinginkan. Walau bagaimanapun jauh lebih utama daripada itu adalah keyakinan kita pada diri kita yang turut diasaskan dengan keyakinan kepada Pencipta adalah satu bentuk keyakinan yang mutlak. Rasa keyakinan kepada kehendaknya dan keizinannya adalah penentu segalanya. Sesungguhnya keyakinan yang tinggi itu adalah kunci kepada pencapaian matlamat dan kejayaan yang sebenar.

Yakin boleh!!

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 25 June 2010

Iklan Di Merata-Rata.. Buruknya..





Iklan memang satu bentuk promosi dan paparan untuk menarik pelanggan. Tidak kira apa bisnes sekalipun iklan memang amat penting dalam memberitahu bakal pelanggan dan orang di luar tentang produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Jika kita menonton di TV setiap rancangan dan slot program akan diselang selikan dengan iklan.. Dan semasa kita memandu dijalan raya juga di lebuh raya ada juga papan iklan besar yang sentiasa akan menggamit perhatian mata kita... daripada produk makanan, minuman, kenderaan, hartanah, pakaian, perbankan, perniagaan, filem, insuran, pendidikan dan sebagainya. Memang tidak dapat dinafikan pengaruh iklan ini sedikit dan sebanyak memang dapat menyumbang kepada keuntungan dan pengaruh tertentu kepada pengguna. Dalam kemajuan dan kebijaksanaan teknik dan gaya pengiklanan sekarang ini, cara dan pendekatan mengiklankan produk dan servis yang ditawarkan semakin berkembang pesat seperti penggunaan banner di internet, facebook, youtube dan lain-lain.

Cuma... kita sedih melihat kaedah pengiklanan juga dilakukan dengan melekatkan iklan di tempat-tempat awam yang bukan dikhaskan untuk iklan seperti di tiang-tiang lampu, pondok telefon, hentian bas, dinding bangunan, batang pokok, di tepi-tepi tembok dan lain-lain lagi. Mungkin mereka tidak diberikan ruang yang cukup oleh pihak berkuasa untuk mengiklankan iklan mereka.

Seperti gambaran diatas yang merupakan satu kebiasaan di Lembah Kelang, tiang-tiang elektrik di tempat tumpuan awam memang keadaannya begitu.. Penuh dengan kesan dan tinggalan tampalan kertas iklan seperti pinjaman wang, perkara untuk sewaan, khidmat perubatan dan sebagainya.

Ringkasnya, sampai bila agaknya perkara ini akan terus mewarnai kehidupan kita dalam arus perjalanan menuju negara maju nanti. 2020 tinggal 10 tahun sahaja lagi. Dapatkah imej dan pemandangan buruk ini dapat dihapuskan dalam budaya peniaga kita.. Adakah aspek penguatkuasaan juga memang tidak berkesan langsung dalam menitik berat dan menjaga kebersihan tempat awam.. Dimanakah jawapannya?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 21 June 2010

Bila UPSR dan PMR dimansuh..



Ramai memperkatakan tentang sistem pendidikan ataupun sistem pembelajaran kita terlalu berteraskan ujian dan peperiksaan. Itu memang amat benar sekali. Itu belum dikira lagi ujian akhir tahun dan pertengahan tahun yang perlu diambil saban tahun. Fokus pelajar akan terhad kepada peperiksaan sahaja. Ya memang betul dalam peperiksaan pelajar akan bersedia untuk memperoleh markah dan mata yang tinggi, tetapi adakah tujuan pelajar belajar di sekolah itu adalah hanya untuk mengejar gred rekod yang baik sahaja dalam setiap peringkat peperiksaan itu tadi. Sebenarnya pencapaian yang jauh lebih penting daripada itu saya fikir dan mungkin orang-orang lain fikir juga adalah untuk bagaimana sistem pendidikan negara ini dapat melahirkan individu yang lebih berguna dan memiliki banyak nilai-nilai baik yang disematkan pada dirinya setelah tamat persekolahan. Antaranya adalah kebolehan berfikir, berkomunikasi dan berkreativiti yang mungkin sukar dijana diperingkat rendah dan menengah ini.

Cadangan untuk pemansuhan dua jenis peperiksaan ini saya fikir adalah sesuatu yang baik dan mungkin boleh menjadi titik perubahan kearah menambah baik modal insan demi kepentingan sumber tenaga yang dalam negara. Apapun yang lebih penting juga adalah apabila dimansuhkan 2 jenis peperiksaan ini bukanlah secara total tiada langsung penilaian oleh pihak guru kepada tahap pembelajaran anak murid mereka dari semasa ke semasa. Selain itu bagaimana proses peralihan dan penyesuaian ini dapat dijalankan kepada generasi pelajar yang bakal melalui perubahan ini juga perlu diteliti agar tidak seperti ibarat kata pepatah umpama tikus membaik labu. Lain pula yang terhasil nanti.

Ingatlah mereka anak-anak kecil dan muda ini adalah juga aset negara. Selain sektor awam dan sektor swasta sebagai pemain kemajuan negara, sektor generasi masa hadapan ini juga jangan diperkecilkan kepentingannya. Mereka lah pewaris negara ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 12 June 2010

Ketikanya Kita Berwuduq




1. Ketika berkumur, berniatlah kamu dengan, "Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini". Penjelasan: Kita hari-hari bercakap benda-benda yang tak berfaedah.

2. Ketika membasuh muka, berniatlah kamu dengan, "Ya Allah, putihkanlah muka ku di akhirat kelak, Janganlah Kau hitamkan muka ku ini". Penjelasan : Ahli syurga mukanya putih berseri-seri.

3. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, berikanlah hisab-hisab ku di tangan kanan ku ini". Penjelasan: Ahli syurga diberikan hisab-hisabnya di tangan kanan.

4. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, janganlah Kau berikan hisab-hisab ku di tangan kiri ku ini". Penjelasan: Ahli neraka diberikan hisab-hisabnya di tangan kiri.

5. Ketika membasuh kepala, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, lindunganlah daku dari terik matahari di padang Masyar dengan Arasy Mu" Penjelasan: Panas di Padang Masyar macam matahari sejengkal di atas kepala.

6. Ketika membasuh telinga, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, ampunilah dosa telinga ku ini" Penjelasan: Hari-hari mendengar orang mengumpat, memfitnah, lagu2 berunsur maksiat ..

7. Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah kamu dengan."Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqqim". Penjelasan: Ahli syurga melintasi titian dengan pantas sekali.8. Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukan tempat-tempat maksiat" Penjelasan : Qada’ dan Qadar kita di tangan Allah.

Sumber dari : http://revolusi-mic.blogspot.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 10 June 2010

Isu Kampung Baru




Beberapa minggu lalu telah diadakan perjumpaan diantara Menteri Wilayah dan penduduk serta waris di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Perkara yang dibincangkan tentulah berkaitan dengan status tanah dan pelan kemajuan di kawasan Kampung Baru di masa depan oleh pihak kerajaan. Ada yang bersetuju dengan cadangan rancangan pembangunan dan ada yang kurang bersetuju. Lokasinya yang berada betul-betul di tengah pusat bandaraya KL tentunya ia amat strategik dan bernilai tinggi. Sekaki persegi luas tanah di Kampung Baru tentu nilainya lebih berganda-ganda jika dibandingkan dengan tanah di kawasan lain.

Harap pihak penduduk dan kerajaan dapat berbincang elok-elok demi maruah dan mengekalkan terus tradisi dan identiti unik di Kampung Baru. Dengan segala aktiviti ekonomi dan sosial yang rancak di sana, seharusnya Kampung Baru dapat diberikan nafas baru dan tidak tinggal seperti itu sahaja setelah bertahun-tahun dikelilingi arus pembangunan KL. Sesungguhnya juga ia adalah aset orang Melayu yang amat bernilai dan harus dijaga sebaiknya. Justeru itu, pihak Kementerian saya fikir boleh mencontohi pendekatan yang dilakukan oleh Negeri Melaka iaitu di Kampung Morten. Kampung Morten juga berada betul-betul di dalam kawasan bandaraya Melaka. Usaha memulihara kewujudan rumah-rumah tradisi negeri Melaka di Kampung Morten adalah sesuatu yang amat kreatif dari pihak kerajaan negeri. Bukan sekadar menjadi pakej pelancongan di negeri berkenaan tetapi yang lebih penting lagi ia dapat terus wujud dan relevan di lokasinya itu. Akhir kata, cubalah contohilah mana-mana model yang baik yang telah ada. Suka tidak suka, kita harus berubah ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 31 May 2010

Tindakan Mereka Yang Hina - Zionis





Ramai yang mengutuk tindakan rejim israel (tak perlu diberikan penghormatan langsung kepada perkataan israel tu.. sepatutnya rejim ini mesti dijahanamkan terus daripada muka bumi ni, tetapi apakan daya kita). Peristiwa serangan terhadap sebuah kapal dari misi kemanusiaan yang bertujuan untuk memberikan mesej keamanan dan menyampaikan segala bekalan bantuan kepada penduduk Palestin amat menyedihkan dan membuakkan lagi rasa kebencian dunia kepada golongan manusia yang dilaknati itu.

Melihat kejadian ini, terlintas dihati saya untuk memberikan persamaan peristiwa ini dengan suatu situasi yang pernah dialami saya di sini. Situasi itu adalah ibarat seperti kita menjolok ke sarang tebuan. Jika dijolok memang kita kena. Sedangkan kita tidak dijolok pun, 9 orang diberitakan terbunuh.

Mungkin penyelesaiannya harus seperti menyelesaikan permasalahan kita dengan sarang tebuan tadi. Untuk menghapuskannya ia perlu dihapuskan secara sekaligus. Bakarkan terus sarangnya dengan api yang marak. Jangan beri peluang untuk ia melarikan diri. Mungkin satu bentuk virus atau teknik tertentu seperti serangan biologi dan kimia boleh menjadi senjata yang berkesan untuk menghapuskan mereka. Ada juga kita dengar cadangan untuk mewujudkan gabungan balatentera daripada semua negara Islam masuk ke Palestin membela mereka yang teraniaya. Rasanya ia memang ada logiknya dan praktikal juga cuma terpulanglah kepada pimpinan semua negara Islam untuk bertindak. Kalau nak harapkan PBB, tak boleh nak harap pun.. Kita mendoakan agar beberapa rakyat Malaysia yang turut serta dalam misi berkenaan tidak diapa-apakan dan selamat kembali pulang ke tanah air nanti. InsyaAllah. Semoga Allah membantu segala usaha kita kearah menegakkan keadilan dan keamanan di atas dunia ini. Amin..



  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuklear Untuk Tenaga




Kita sedia maklum kerajaan sedang memikirkan untuk menggunakan teknologi nuklear sebagai sumber tenaga alternatif di masa depan. Sekarang ini kita banyak bergantung kepada sumber bahan api fosil dan hidro. Melihat banyak negara maju telah meningkat peratusan sumber tenaganya kepada bentuk tenaga ini, mungkin telah tiba masanya untuk Malaysia memulakan peralihan kepada sumber tenaga yang baru ini yang dikatakan lebih cekap. Difahamkan teknologi nuklear ini juga adalah lebih mesra alam dan lebih selamat. Walau bagaimanapun apabila menyebut lebih "selamat" ramai yang akan beranggapan adakah ia benar-benar selamat. Maklumlah apabila kita menyebut tentang tenaga ini kita akan memikirkan juga tentang tenaga atom, sinaran radiasi, bahan sisa radioaktif yang bahaya, pencemaran dan sebagainya. Penerangan yang jelas tentang kelebihan dan risiko penggunaan tenaga ini haruslah jelas kepada segenap anggota mansyarakat. Ini adalah kerana bukan semua orang faham tentang teknologi ini.

Apapun rasanya elok juga sekiranya pihak pengurusan tenaga seperti TNB atau kerajaan memikirkan untuk tidak terus melupakan beberapa alternatif lain untuk sumber penjanaan tenaga yang rasanya jauh lebih mudah dan murah seperti solar dan angin.. Percuma dan sesuai untuk bekalan kuasa kepada kemudahan-kemudahan awam seperti lampu jalan, jambatan dan sebagainya. Memang agihannya tidaklah banyak tetapi sekurang-kurangnya ia menyumbang kepada sedikit penjimatan kos kerajaan dan rakyat.

Dalam untuk melakukan perubahan ini, tentunya juga Malaysia sedang bersiap sedia dari segi tenaga teknikal, pakar-pakar dan pihak pengurusan yang arif dalam hal pengurusan teknologi ini. Semoga penggunaan tenaga nuklear kepada penduduk negara ini dapat memberikan impak dan kualiti kehidupan baru yang lebih berkualiti, memuaskan semua dan selamat.. Itu harapannya..

Teringat masa belajar dahulu pernah melawat ke MINT ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 27 May 2010

Subsidi vs Defisit




Dalam sehari dua ni selain kehangatan berita GAS vs DS Samy Vellu.. satu lagi yang amat menarik perhatian semua adalah isu subsidi barangan. Kerajaan bercadang untuk mengurangkan ataupun menghapuskan kadar subsidi yang ada pada barangan bersubsidi seperti minyak, gula, beras dan lain-lain keperluan asas. Sebagai individu dan rakyat biasa tentunya majoriti dan ramai daripada kita akan tidak beberapa selesa dengan perkhabaran ini. Lebih-lebih lagi yang berada dalam kategori yang berpendapatan rendah dan "sederhana rendah". Apa pun saya rasa tentunya kerajaan ada asas pertimbangannya dan menyedari tentang beban dan apa yang bakal dialami sekiranya sistem subsidi yang masih ada kelemahannya ini diteruskan sampai bila-bila. Sesi penerangan mengenai cadangan ini harus lebih rancak lagi di media. Syabas juga kepada PM yang sudi memberi ruang kepada input dan respon daripada setiap peringkat rakyat di bawah mengenai hal ini sebelum ianya diberikan rumusan dan keputusan muktamad.

Kita melihat banyak barangan yang disubsidikan ini tidak 100% memberi keuntungan kepada golongan sasar (rakyat negara ini). Bagi bahan keperluan asas seperti makanan dan bahan api, orang asing pun dapat menikmati faedah subsidinya.. Mana tak seronoknya hidup di Malaysia ni kan..

Melihat perubahan yang mungkin akan cuba dilaksanakan dalam hal subsidi ini, mungkin pendekatan yang baik ialah dengan melaksanakannya secara tidak mengejut.. Maksudnya di sini ialah ia tidak dilaksanakan secara drastik dan tergesa-gesa. Berilah rakyat masa dan peluang untuk lebih bersiap sedia bagi menghadapi cabaran baru ini.. Sebagai rakyat yang cintakan negara ini tentunya kita juga tidak inginkan hutang negara semakin banyak dari setahun ke setahun yang mana diakhirnya nanti memberikan natijah yang buruk kepada semua.

Apabila melibatkan RM mengalir keluar pasti ramai yang akan ber ;( muka daripada ter ;)  Pemerintah nampaknya harus lebih berhati-hati dalam hal ini umpama kata pepatah lama iaitu ibarat menarik rambut dari dalam tepung. Rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 22 May 2010

Sistem Oh Sistem






Sekarang ni antara yang hebat dan hangat juga diperkatakan adalah tentang pemberian cuti 1 hari dalam seminggu untuk pembantu rumah dari Indonesia. Selain itu antara yang tidak kurang panasnya ialah isu pemberian lesen untuk judi bola sepak Piala Dunia. Masing-masing yang tidak bersetuju ada banyak yang hendak diperkatakan dan dihujahkan. Ramai yang tidak bersetuju dengan sistem atau pun dasar yang diutarakan oleh pihak kerajaan berkaitan 2 perkara ini. Seperti yang kita lihat sebelum ini, ada beberapa pendekatan dan polisi yang cuba diutarakan oleh pihak kerajaan tetapi apabila mula dicadangkan ataupun untuk dilaksanakan, terus mendapat tentangan dan bantahan. Nampaknya ia masih berlaku lagi.. Mungkin masih ada yang tidak belajar daripada peristiwa lalu..

Beberapa hari lalu terdengar sedikit tazkirah daripada seorang Ust di radio. Apa yang saya dapat ceduk dan ubahsuai daripada beliau adalah dalam kebanyakkan masalah di dunia ini perlu kita melihat dalam 3 aspek iaitu individu, sistem dan pemimpin.

1. Individu:

Sebagai individu banyak permasalahan dan perkara yang besar-besar tidak boleh sebagai individu berbuat apa-apa.. kadang kala kita tidak berupaya untuk mengubah dan menyelesaikanya. Selain cuba bersikap proaktif dan cuba menyesuaikan diri dengan sebarang sistem yang telah ada, kita hanya boleh mengubah tindakan, cara adaptasi dan cara penerimaan kita kepada sesuatu perkara.

2. Sistem:

Masalah juga biasanya disebabkan oleh sesuatu sistem dan proses yang lemah dan tidak kena pada caranya. Sistem biasanya akan dicorakkan oleh kedua-dua pemimpin dan orang yang dipimpinnya termasuklah  individu-individu lain dalam pasukannya. Dengan terbinanya sesuatu sistem yang mantap dengan input dan output yang sesuai dengan objektif sistem itu, tentukan segala yang baik dan memuaskan banyak pihak harus menjadi teras dan fokus sistem yang diinginkan. Sebaliknya jika pendekatan dan perjalanan sistem itu cacat dan tidak teratur, maka ada padah yang akan datang mengundang..

3. Pemimpin:

Pemimpin menguasai sistem dan individu iaitu kedua-dua elemen yang diterangkan di atas. Segenap peringkat kepimpinan ada skop sistem yang diuruskannya. Keputusan dan tindakan yang lebih berteraskan kehendak semua harus sentiasa menjadi keutamaan bagi setiap pemimpin. Memanglah pemimpin akan ada sudut pandangnya yang tersendiri tetapi janganlah sampai tidak mengambilkira langsung pandangan mereka yang di bawah. Mengubah sistem yang tidak tepat kepada satu bentuk sistem lain yang lebih sesuai adalah sepatutnya juga menjadi misi dan visi seorang pemimpin itu.

Kesimpulannya sesuatu keputusan dan sistem itu harus ditentukan bukan hanya untuk memenuhi keperluan satu dua pihak sebaliknya harus menyeluruh impaknya kepada golongan sasar. Pemimpin dan pasukannya berperanan penting di sini untuk memperbaikinya sekiranya terbukti ada ketempangan.. Sekian.. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 19 May 2010

PPIM Minta Wujudkan Pusat Semakan Pinjaman Bank



Ini satu lagi usaha dan syor yang amat baik dari PPIM dan harus disokong oleh kerajaan mahupun oleh pihak bank itu sendiri. Pihak bank janganlah asyik ingin "menang", "senang" dan "selamat" sentiasa, tetapi fikirkanlah juga nasib sesetengah pelanggan yang agak sukar dan tidak cukup maklumat mengenai pinjaman yang mereka buat sendiri. Yang lebih sedih mungkin ada yang mungkin terpaksa menanggung hutang berlebihan dan terbeban akibat kurang faham dan jahil dengan aturan bayaran pinjaman yang dibuat. Sebagai contoh mungkin kadang-kala agak sukar untuk kita menyemak tentang status baki pinjaman, penjelasan mengenai kadar faedah dan lain-lain serta bagaimana untuk berurusan dan mengadakan perbincangan dengan pihak bank apabila kita mengalami masalah kewangan. Jadi dengan adanya pusat seperti ini mungkin dapat sedikit sebanyak membantu masyarakat dalam berurusan dengan pemiutang mereka iaitu "BANK".

Malas nak komen banyak di sini, memadailah dengan kata-kata, syor dan gesaan oleh PPIM ini memang bertepatan dengan masanya kerana di kala ini, rata-rata manusia yang telah dewasa akan ada hutang dengan bank.. hutang kepada Bank Kaya Raya!!

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, 18 May 2010

Sakit Kepala dan Jin




Ingin berkongsi kepada pembaca sedikit catatan yang sempat diperoleh seminggu yang lalu daripada seorang alim mengenai perubatan Islam. Dalam perubatan Islam kita difahamkan terdapat 3 bentuk rawatan yang akan diamalkan untuk mengubati sesuatu masalah. Ketiga-tiganya adalah melalui ayat-ayat ruqyah dari Al-Quran yang pertama, menggunakan elemen alam yang kedua dan ketiganya makanan.

Kita sering kali melihat orang sakit kepala. Ada yang sakit kepala kerana sakit gigi, tidak makan, tidak cukup tidur, ada masalah kesihatan dan tidak kurang juga yang mengalami gangguan makhluk halus. Bila berkata mengenai makhluk halus, satu jenis jin bernama ummu mildan adalah yang bertugas dalam kategori jin untuk mengamcam manusia terutamanya dibahagian kepala. Ia turut profesional dalam mengganggu anak-anak yang cerdik akal pemikiran. Kesan biasanya adalah sakit kepala, tekanan perasaan dan boleh menjadi histeria. Jin ini amat halus lebih halus daripada molekul angin dan ia boleh duduk disaraf yang paling halus di kepala kita.

Berikut adalah contoh amalan perubatan Islam yang menggunakan 3 pendekatan tadi:

1. Al-Quran
Rawatan untuknya adalah dengann membacakan Surah Al-Waqiah ayat ke 19 di ubun-ubun (ditiup sampai habis nafas). Ulang beberapa kali.. InsyaAllah jika diizinkan Allah jin itu akan keluar.

2. Alam
Garam kasar 1kg, kacang hijau segenggam dan lada hitam segenggam adalah antara bahan yang dijadikan bahan rawatan. Sedikit petua bagi mereka yang mengalami panas di bahagian kepala. Cuba campurkan cuka dan ais dan balut dibahagian yang berkenaan.

3. Makanan
Selain itu banyakkan makan anggur dan kismis kerana kedua-dua pemakanan ini baik untuk bahagian kepala dan otak

Tambahan : Letakkan segelas cuka ditengah-tengah rumah untuk kita mengelakkan jin masuk ke rumah apabila kita meninggalkan rumah dalam jangkawaktu lama.

Seseungguhnya setiap penyakit itu ada ubatnya.. Wallahualam..


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 15 May 2010

Kukuhnya Tembok Besar Negeri China



Lin Dan vs Datuk Lee Chong Wei, kita kalah. Regu utama China vs regu utama kita, kita kalah juga.. Perseorangan ke-2 kita juga kalah. Itulah kesudahannya perjuangan skuad badminton Piala Thomas yang bakal menyaksikan perlawanan akhir di antara dua pasukan terkuat dunia iaitu China dan Indonesia. Saya menjangkakan China akan menang Piala Thomas... Sebagai saudara serumpun kita mengharapkan Indonesia menang..

Memang pemain kita telah menunjukkan permainan dan cuba memberikan yang terbaik untuk perlawanan separuh akhir semalam menentang China. Tetapi apakan daya mereka. Dek kerana tentangan, persediaan, kelebihan, kekuatan mental dan fizikal serta nasib lebih menyebelahi pasukan China. Walaupun pertarungan turut diberi sokongan oleh penyokong tempatan, tetapi ia memang tidak dapat memberikan apa-apa suntikan ajaib yang boleh membantu perolehan mata kepada kita. Bertambah lagilah tempoh kemarau Piala Thomas yang amat kita diidam-idamkan itu..

Melihat gaya dan pembawakan cara permainan Lin Dan dari China.. Karakter dan persembahan beliau amat kemas, tampak cukup agresif dan tiada langsung tekanan di raut wajah mukanya.. Berlawan dengan sorakan pasukan lawan, beliau langsung tidak ada sedikit pun gusar atau tertekanan pun saya rasa. Mungkin aspek kekenduran dalam menguruskan emosi yang terlalu ingin menjaga hati penonton ini yang patut diperbaiki dan diasah di kalangan pemain kita.. Hiraukan terus fikiran semasa bermain kepada reaksi penonton atau perolehan mata tetapi hanya beri fokus kepada memerangkap lawan di sebelah jaring sana sahaja.. Itu komen daripada saya yang rasanya mungkin tidak akan dapat memperolehi 1 mata pun sekiranya bertarung dengan Datuk Lee Chong Wei.. Tetapi itulah rasanya yang saya boleh katakan setelah melihat kita dikecewakan.. 

Apapun syabas kepada pasukan kita yang telah menunjukkan permainan yang baik, cumanya di sebelah benua China sana mereka nampaknya jauh lebih baik..



 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 14 May 2010

Itu dan Ini


Yang di sana mengeluarkan arahan itu dan ini..
Yang di sana pula mahukan itu dan ini..
Tugas dilaksana dengan keutamaaan itu dan ini..
Kangkala tanpa melihat kesesuaian itu dan ini..

Mereka terlibat juga menguruskan itu dan ini..
Ada juga masanya berdepan kerenah itu dan ini..
Sudah bertahun tetapi masih dengan itu dan ini..
Sudah bersuara tetapi letih dengan itu dan ini..

Bertahun-tahun mereka melakukannya..
Masa untuk berehat semakin menjelma..
Penghargaan dan terima kasih entah ke ada..
Begitulah keluhan rasa hati mereka..



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 5 May 2010

Tiga Jenis Pembunuhan

Sempat terdengar pengajaran ringkas daripada seorang Ustaz yang datang mengajar di pejabat. Beliau ada menyentuh tentang hukum dan jenis perlakuan bunuh. Suka untuk saya kongsikan di blog ini untuk pengetahuan tuan puan yang budiman yang sudi membaca. Secara mudahnya 3 bentuk pembunuhan ini dikategorikan berdasarkan kepada alat dan tindakan yang mengakibatkan berlakunya kematian itu. 3 jenis pembunuhan itu adalah seperti berikut:

1. Pembunuhan Yang Sengaja

Alat yang digunakan dalam jenis pembunuhan ini adalah alat yang memang boleh mengancam nyawa dan boleh memberi mudarat dan kecelakaan. Contohnya seperti pisau, parang, pistol, bom, melanggar dengan kenderaan, menolak dari tempat tinggi, menimpa mangsa dengan objek keras dan sebagainya.

2. Pembunuhan Yang Serupa Dengan Sengaja

Alat yang digunakan dalam jenis ini adalah bukan alat yang biasanya boleh memberikan kemudaratan dan penyebab untuk kematian, tetapi tanpa diduga, ia menyumbang dan boleh mengakibatkan pembunuhan. Sebagai contoh tangan yang menumbuk bukanlah senjata yang bahaya yang boleh mengakibatkan pembunuhan, tetapi mungkin dengan sekali atau beberapa tumbukan ia boleh membawa maut kepada orang yang ditumbuk.

3. Pembunuhan Yang Tersilap

Paling mudah kita ambil contoh situasi di dalam hutan yang mana ada sekumpulan orang pergi memburu rusa. Dalam sedang hendak menembak rusa, tanpa sedar atau diperasan, kawan sendiri yang ditembak.. memang tersilap kejadian tu.



Kebelakangan ini kita dapat lihat dan dengar di mana-mana ada sahaja kes pembunuhan. Pembunuhan berlaku di mana-mana oleh sesiapa sahaja. Yang menjadi mangsanya pula bukan sekadar penjenayah tetapi turut melibatkan pembunuhan dari kalangan mangsa oleh ahli keluarga sendiri. Sememangnya nyawa kita bila-bila masa sahaja boleh ditarik olehNya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...