Monday 29 December 2014

Kena Lebih Bersedia Lepas ni..


Sediakan payung sebelum hujan. Ini pepatah lama yang menyuruh kita agar sentiasa bersedia dan berwaspada terhadap apa yang mungkin menimpa. Selalunya, bencana yang menimpa memang kita tak sangka-sangka. Ada juga yang diluar jangkaan kita. Saya mengambil kesempatan dalam entri kali ni untuk melahirkan rasa simpati kepada semua mangsa banjir yang terlibat dalam masa ni khususnya negeri-negeri di Pantai Timur dan juga beberapa negeri lain di Semenanjung dan Sabah. Disaat saya menulis ni pun hujan renyai di Kuala Lumpur masih tak berhenti dari pagi tadi.

Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada mereka yang bersungguh dalam membantu semua mangsa banjir khususnya pasukan penyelamat, NGO, kumpulan-kumpulan yang membantu dan juga individu-individu yang berhati luhur untuk turut sama membantu meringankan beban mangsa banjir. Ramai yang telah memberikan sokongan bukan saja dari segi material, bahkan juga dalam bentuk moral dan emosi.

Sebagai mangsa banjir, pastinya mereka serba kekurangan dan memerlukan segala keperluan diri khususnya untuk anak-anak dan orang yang tidak berupaya. Bekalan makanan, minuman dan lampin bayi pastinya paling perlu. Emosi mereka yang pastinya sedang berduka juga harus dipulihkan. Moga mereka dapat bersabar dan kuat menghadapi situasi ini.

Satu isu yang mungkin masih ada semasa situasi bencana ini ialah bilamana bekalan dan barangan sumbangan yang diberi banyak dan menggalakkan, tetapi bagaimana ia betul-betul sampai kepada mangsa disaat mereka memerlukan. Adakah bekalan itu tersangkut ditengah-tengah? Akibat terputus hubungan? Akibat arus deras? Cuaca? Tak dinafikan memang banyak cabaran semasa pasukan pembantu mangsa banjir yang sememangnya besar skala banjirnya kali ni.

Akhir kata, mungkin untuk pengajaran banjir kali ini kita sebagai manusia yang boleh mempunyai perancangan boleh memikirkan kaedah-kaedah dan pendekatan yang lebih berkesan dalam menangani masalah pengagihan bekalan bantuan semasa banjir dan penyelarasan bantuan kepada semua lokasi yang terlibat. Agar tiada yang terlepas pandang daripada memndapat bantuan. Sama-sama kita terus berdoa untuk keselamatan nyawa dan harta benda mereka yang terlibat.







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday 18 December 2014

Raise Your Standard


Kita perkataan yang saya saya ingat dari kata-kata yang diungkap oleh seorang tokoh inspirasi Amerika Syarikat, Tony Robbins iaitu "Raise Your Standard" mengingatkan saya kepada.. begini agaknya sesorang yang hebat tu meletakkan diri mereka.

Teringat juga saya kepada kata-kata seorang tokoh di negara ni yang berkata, kalau kita nak berjaya, bergaullah dengan orang-orang yang berjaya. Lambat laun, tempiasnya terkena juga pada kita. Memang kita tidak boleh memilih dalam pergaulan tetapi kita boleh membuat pilihan yang terbaik untuk diri dan masa hadapan. Cuba sejenak kita lihat mereka yang berada disekitar kita. Cuba perhatikan siapa kawan-kawan mereka. Bagaimana cara kehidupan mereka? Bagaimana tahap pencapaian mereka?

Bagi kita yang ada Facebook, cuba tengok siapa friend kita. Kalau ada kesempatan, cuba semak senarai friend kita tu. Adakah mereka semata-mata kenalan dan saudara mara saja, ataupun                  ada antara mereka yang hebat dan berjaya.

Cuba juga kita tengok siapa yang ada dalam lingkaran hidup kita. Dengan siapa kita selalu berurusan. Mereka ni semuanya secara langsung dapat mempengaruhi diri kita. 

Letakkan dimana tahap yang nak kita capai. Tetapkan pada paras yang tinggi kerana dalam dunia ni, hanya yang berada di atas akan lebih mendapat manfaat dan kelebihan banding yang lain.







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday 1 December 2014

Gaya Hidup Sihat.. Menulis Juga Gaya Hidup Sihat





Dihujung-hujung minggu biasanya kita dapat melihat lokasi riadah dan jogging akan meriah dengan aktiviti berjalan dan jogging. Lebih santai dan ceria lagi bila ada kumpulan berkeluarga dengan anak-anak kecil sekali yang berlari bersama. Disamping mengisi masa di hari cuti, aktiviti riadah seperti ini sememangnya merupakan antara gaya hidup sihat yang seharusnya menjadi budaya dan amalan setiap daripada kita, tidak kira apa jua peringkat umur, latarbelakang dan suasana.

Apapun, riadah seperti itu perlu diseimbangkan dan selari dengan tabiat pemakanan juga. Almaklumlah, kita di Malaysia ni kengkadang mewah dengan makan minum. Kalau jenis yang asyik bermesyuarat memang tak terjagalah makan minumnya kalau nafsu diikutkan. Ayat ni memesan pada diri sendiri dulu. Jangan ada pula yang terasa ;)

Entri kali ni sebenarnya sekadar untuk warming-up jari-jemari yang rasanya dah lama tidak mengemaskini sebarang entri di blog ni. Sebenarnya kecintaan untuk menulis dan melontarkan pandangan itu ada, cuma kekangan kerja dan komitmen tugasan di pejabat dan rumahtangga sedikit mengekang masa untuk berblog.

Apapun, menulis pun saya fikir boleh termasuk dalam gaya hidup sihat. Ia melatih minda dan otak berfungsi. Mana tidaknya, sekurang-kurangnya untuk menyiapkan entri kali ni saya perlu berfikir sejenak dan mengerakkan jari dan lengan dalam memastikan setiap perkataan diatur sebaiknya.

Oklah, setakat ni dulu buat kali ni.

#Rasa nak tulis bukulah.. Boleh buat duit ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday 16 November 2014

Isu Cameron Highland




Rasanya tak perlu saya buat muqaddimmah apa-apa untuk tajuk entri kali ni. Semua orang dah sedia maklum dan isu ni memang tengah panas.. Sama selari dengan peningkatan saban tahun suhu di Cameron tu sendiri.

Dicetuskan dengan tragedi banjir lumpur dan tanah runtuh, sememangnya ia semakin membuka mata semua pihak tentang ada yang tidak kena berlaku di atas sana. Permasalahan ni dah bersarang lama tapi kebiasaannya ia timbul tenggelam. Harap-harap kali ni ada siasatan dan dakwaan betul-betul dibuat kepada mereka yang bertanggungjawab.

Dalam melihat isu ini, 2 aspek bagi saya yang amat kritikal untuk difikirkan iaitu isu alam sekitar dan isu pendatang asing. Isu alam sekitarnya memang besar impaknya kepada kita semua, lebih-lebih lagi bagi yang menetap dan berkerjaya di sana. Kelangsungan mereka mencari rezeki dan menjalani kehidupan tentunya boleh terjejas dek kerana bencana yang menimpa. Memang tangan-tangan kita manusia yang merosakkan alam ini. Dalam menangani isu penerokaan tanah hutan ini pemantauan menggunakan sistem GIS dan remote sensing seharus boleh membantu. Rasanya tak perlulah saya nak sentuh hal bidang kuasa pihak berwajib di sini. Memadailah saya nyatakan segala tools telah sedia ada cuma mungkin "benda salah" juga yang nak berlaku.

Bercerita tentang isu warga asing yang begitu ramai dan ada yang siap dah bina kekayaan lain tu.. ini sesuatu yang menarik. Menarik sangat untuk dibincangkan.. Ramai yang boleh kita libatkan.. pihak itu dan ini. Kita bincang lagi nanti:)





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday 20 October 2014

Hati-Hati... Mereka Menarik Perhatian Kita..

Sama-sama kita fikir...


Bila mana sesuatu isu penting itu sedang berlegar dalam masyarakat, rata-rata ramai akan menumpukan perhatian kepadanya. Semua orang akan membuka mata dan tersedar kepada apa yang berlaku. Tetapi sedarkah kita, kadang-kala isu yang besar itu dengan mudah dipesongkan oleh mereka yang mempunyai agenda untuk menutup isu besar dengan isu sampingan lain.

Tengah sesuatu isu besar itu diperkatakan, tiba-tiba mereka menaikkan isu yang lain pula. Teknik ini boleh dipanggil mengalih perhatian daripada isu sebenar. Begitulah pandainya mereka di luar sana merencanakan apa yang sedang berlaku. 

Contoh dalam tempoh terdekat ni antaranya isu merekrut militan... Tiba-tiba jer isu yang tengah meningkat tu ditenggelamkan dek isu pesta arak, isu sentuh anjing dan lain-lain.

Moral : Perhatikan corak dan pattern semua peristiwa yang berlaku sekitar kita. ada orang yang mungkin sedang merencanakan sesuatu.. Rencana untuk mereka atau rencana untuk kita juga ;)




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 8 October 2014

Sibuk Sangat Kita ni...



Hari ni curi masa sikit untuk post satu entri di blog ni. Rasanya dah sebulan saya tak menjengah ke sini.. Sibuk sikit dengan hal kerja dan rumah tangga. Hilang sikit momentum untuk menulis ;)

Hari ni suka saya nak ingatkan diri sendiri dan kawan-kawan, sesibuk mana pun kita jangan kita lupa pada keperluan akhirat kita. Sudahkah kita memenuhi segala syarat dan keperluan agama kita. Sudahkah kita menyumbang sebaiknya untuk agama kita. Sejauhmana kita telah membela agama kita. Seteguh mana juga kita telah berkorban untuk agama kita. Setinggi mana perjuangan kita untuk agama kita..

Semua persoalan ini seharusnya tetap dalam sanubari kita dan sentiasa dalam ingatan kita. Usah terlalu sibuk mengejar dunia kerana akhirnya semua kita akan kembali jua kepadaNYA diakhir sana.

Hidup memang penuh cabaran dan kita memang akan sentiasa sibuk untuk menanganinya sepanjang waktu dan ketika. Moga Allah membantu dan mempermudahkan segala rencana. Sama-sama kita tingkatkan amalan soleh bersama-sama..

Memikirkan apa pula inti dalam Bajet 2015, Jumaat ni?

Tak sabar nak dengar ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday 5 August 2014

Kita Kena Bila Lemah

Ada macam-maca hukum dalam alam ni. Satu daripadanya ialah pihak yang lemah akan sentiasa ditindas oleh pihak lain yang lebih kuat & berkuasa. Lebih teruk lagi bila yang berkuasa tu jahat pulak. Di sekeliling kita ni ada macam-macam perkara. Lihat sahaja pada persekitaran seperti tumbuh-tumbuhan. Kalau kita perhatikan betul-betul biasanya pokok yang lebih besar akan sentiasa menaungi tumbuhan kecil dan yang melata di bawahnya. Kalau ada pokok yang nak membesar pun akan terbantut dek kerana halangan pokok besar tadi mendapat cahaya.


Cuba kita lihat pulak pada haiwan dan binatang ternakan, atau haiwan liar sekalipun. Biasanya yang kena kejar dan menjadi mangsa tu siapa? Pastinya pemangsa yang lebih kuat dan berkuasa. Begitulah juga keadaannya kita ni sebagai komuniti manusia. Sekiranya kita lemah, kelihatan lemah dan buat-buat lemah, selagi itulah kita akan dibuli dan diperkotak katikkan. Selagi itulah kita dimain dan disayurkan ;)

Ada persoalan timbul, macamana kita nak jadi kuat sebab mereka dah sekian lama kuat dan berkuasa. Bagi saya sekuatmana pun sesuatu pihak atau golongan tu, pastinya mereka ada kelemahan yang tersendiri. Pastiya juga mereka bijak dan cukup berhati-hati menyembunyikan tempat kekurangan mereka. Ingat saja pada tiada apa pun sesuatu dalam dunia ini yang sempurna melainkan Dia Yang Maha Berkuasa. Jawapannya kita yang lemah perlu rapatkan barisan, kukuhkan kesefamanan & asah kekuatan. Cuba kita duduk seketika, bermuhasabah cari kelemahan dan kekuatan yang kita ada. Lihat juga kekuatan musuh & cari di mana lemahnya. Tujukan kekuatan kita kepada kelemahan mereka. Teruskan BerDoa untuk kehancuran mereka & #BoikotIsrael
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday 4 August 2014

Nak Jimat, Kita Beli Produk Alternatif




Musim raya masih terasa, almaklumlah baru 8 Syawal ;) Bagi yang dah beranak-pinak pastinya ketika ini sedang menyusun dan mengira duit raya anak-anak untuk dikumpul seterusnya disimpan dalam bank, SSPN, Tabung Haji ataupun di institusi-institusi simpanan kewangan lain.

Kira-kira 2 minggu lalu ketika saya beratur di bank untuk menukar duit raya untuk angpau raya, terdengar saya sembang salah seorang brother di belakang. Katanya bila kita ni balik kampung beraya kurang-kurang belanja bertambah 4 kali ganda. Mana tidaknya, minyak kereta, tol, belanja dapur, makan minum & belanja luar jangka yang macam-macam.  Inilah kehidupan, banyak bergerak, banyaklah duit yang keluar ;)

Entri kali ni suka saya nak kongsikan sedikit saja tips bagaimana untuk “menguruskan”  duit (RM) kita, terutamanya untuk mengurangkan perbelanjaan kepada perkara yang tidak penting. Ini  bagi mereka yang sememangnya ketat perbelanjaannya terutamanya lepas-lepas musim raya ni. Saya jugalah tu ;)

Satu cara yang baik untuk menjimatkan wang yang kemudiannya boleh digunakan untuk membayar perkara-perkara lain seperti hutang, bil dan tambah simpanan adalah dengan  mengurangkan perbelanjaan yang tidak beberapa perlu. Jika kita asyik membeli sesuatu benda dengan brand yang ada jenama, cubalah beralih kepada alternatif jenama lain yang lebih murah. Ia mungkin tidak kelihatan seperti kita dapat banyak berjimat, tetapi percayalah walaupun bezanya itu kecil, ia tetap akan terkumpul dan terus bertambah sekiranya kita konsisten berjimat setiap masa. Cuba potong perbelanjaan yang tidak perlu atau mencari alternatif yang lebih murah. Kita sememangnya ada pilihan. Daripada nak makan burger di MekD, apa salahnya pergi ke warung-warung burger yang ada yang tentu sah murahnya dan kita tahu proses penghasilannya. Memang ia satu cabaran, tetapi ia memang  boleh membantu kestabilan kewangan kita.

Saya bagi contoh, apabila kita ke pasaraya besar dengan senarai 20 barang keperluan yang hendak dibeli. Dengan kebiasaaan rekod belanja yang sebelum-sebelum ni kita akan belanjakan dalam nilai RM 250.00 untuk 20 barang tersebut. Dengan meneliti dan bertindak memilih alternatif yang lebih murah untuk setiap barang, kita pastinya dapat mengurangkan nilai perbelanjaan kepada mungkin RM210.00 sahaja. Bukankah kita dah jimat RM 40.00 kat situ. Lepas dah untuk belanja-belanja lain selepas tu. Tak percaya, cer cuba ;)

Percayalah pada pepatah, sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit dan ada pesanan kepada yang cintakan Islam dan bumi Palestin:  Nak support GAZA, kita beli produk alternatif!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday 25 July 2014

Apa Tujuan Kita Post Perkara Tu..



Ramadhan semakin menghampiri penghujungnya.. Ramai daripada kita pun dah mula bercuti dan bergerak balik ke kampung. Jalanraya dan lebuhraya dah mula sesak. Hari ini Jumaat terakhir.. pastinya lepas Jumaat nanti jalan jem! Apapun, itulah lumrah bila musim perayaan besar sebegini. Harung jer lah... kena pandai-pandailah susun masa dan strategi bagaimana nak kurangkan masa terkandas dalam kesesakan orang ramai nak balik beraya di kampung masing-masing.

Bercerita pasal "pandai" ni, saya nak pergi kepada isu yang masih berpotensi menimbulkan huru hara terutamanya di alam maya. Saya perhatikan ramai lagi daripada kita yang masih tak beberapa bijak bila berkata-kata dan memberi komen di ruangan media social khususnya facebook. 

Lihat tajuk saya di atas ;)

Selalu kita lihat, sesetengah daripada kita ni khususnya yang mungkin belum matang ataupun berfikiran waras, suka terus meletakkan status atau komen yang nampak sangat berniat tidak baik. Niat tu nampak sangat nak memburukkan orang lain. Niat nak memburukkan individu itu dan individu ini. Parti itu dan parti ini. Bangsa itu dan bangsa ini..

Bagi saya dalam menyelusuri laman sosial ni elok kita tetapkan dalam hati dan minda, bahawa kita bertanggungjawab penuh kepada apa yang kita tulis. Sebelum berbicara apa-apa pastikan kita menjaga paling tidak pun 2 perkara. Pertamanya pastikan perkara yang kita perkatakan atau hendak kita sebarkan itu benar dan sahih. Keduanya, kenyataan kita itu janganlah bersifat sentimen. Sentimen tu maknanya sesuatu isu yang bersifat sensitif. Contohnya seperti sentimen perkauman, sentimen agama dan sentimen potitik.

Berhemahlah kita ya ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 23 July 2014

Jangan Lepaskan Peluang 4 Hari Ramadhan Yang Masih Berbaki




Nak ambil kesempatan ni untuk share sikit apa pesan Ustaz Nadzry dalam tazkirah Zohor sebentar tadi. Ringkas saja, takut panjang-panjang nanti letih pulak nak membaca ;) 


Kata beliau, kita masih ada lagi peluang. Dalam fasa 10 ramadhan terakhir yang berbaki 4 hari lagi ni, cubalah sedayanya untuk kita merebut peluang bertaubat, bermunajat dan memperbanyakkan amalan sunat.. Ingatlah tiada masa lain lagi yang begitu istimewa sepertimana bulan Ramadhan. Cubalah sebaik mungkin melawan kemalasan yang ada untuk melakukan ibadah. Kalau tak boleh juga nak melawan, mungkin ada sesuatu perkara kotor yang mungkin masih tersangkut dalam jiwa kita. Mungkin antaranya kita masih menyimpan dosa. Dosa kepada Tuhan ataupun manusia. Ambil kesempatan ni cepat-cepat meminta keampunan dan jangan bertangguh-tangguh lagi. Mudahan-mudahan ringan kita nak beramal selepas tu.


Sementara masih ada masa ni, buatlah yang paling terbaik.. Untuk diri kita juga akhirnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday 14 July 2014

Mari Tekad Bela Islam

Sedang dunia sibuk dihidangkan dengan aksi hebat pasukan World Cup 2014, saudara-saudara seIslam kita di Gaza pula sedang giat diratah puak Zionis.

Langsung tidak menghormati bulan mulia umat Islam menunjukkan betapa kejinya Israel. Semasa saya menulis entri ni, sudah lebih 170 warga Gaza menjadi korban.

Sememangnya isu di Palestin telah sekian lama menjadi isu sejagat yang nampak tak berkesudahan.

Setiap kali serangan sibuk kita berkata mengenai boikot. Bila dah reda sikit, kita pun lupa. Seharusnya ia dibuat secara gerakan berterusan sampai bila-bila pun. Memang sukar untuk gerakan boikot tersebut memberi impak kepada Israel tetapi ia lebih kepada menunjukkan prinsip sayang kepada Islam.

Kebanyakkan daripada umat Islam sedar akan kelemahan yang ada. Kita masih tidak cukup kekuatan diri dan ekonomi. Selagi tiada kekuatan yang sebenar dalam dua perkara ni selagi itu kita akan terus tertindas dan ditolak ke tepi.

Saya yang menulis ni pun, bukanlah baik sangat. Mari kita sama-sama berdoa untuk mengubah diri demi agama Islam yang suci dan mulia ni. Berkat bulan Ramadhan mari sama-sama juga kita memohon keampunan, keselamatan & kejayaan dikurniakan kepada umat Islam.

Ya Allah, redakanlah segera keadaan di Gaza agar mereka dapat menjalani Ramadhan dengan penuh rasa khusyuk & selamat. Amin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 18 June 2014

Kita Semua Ada Kolam Jiwa



Baru-baru ni saya berkesempatan join salah satu seminar oleh DAO. Siapa dia DAO? pastinya anda tahu sekiranya anda seorang yang mengimpian kejayaan dan kekayaan. Atau anda boleh google sendiri dan lihat di Youtube siapa beliau. Dengan promosi seminar beliau yang sentiasa menggamit orang ramai sejak 6 - 7 tahun lalu saya sebenarnya dah lama terpanggil untuk melihat apa sebenarnya yang dibawa oleh beliau.

Dengan pengalaman pertama bersama beliau, berani saya mengatakan setakat ini, inilah seminar yang terbaik dan sungguh "LUAR BIASA" yang pernah saya hadiri. Banyak sangat ilmu dan pengalaman berharga yang beliau kongsikan terutamanya mengenai minda, hati, magnet diri, potensi diri dan rezeki.

Mungkin saya boleh share sedikit apa yang sempat saya timba dari beliau semasa seminar tersebut. Suka untuk saya kongsikan betapa hebatnya diri kita. Betapa besarnya potensi diri kita apabila kita memahami fisiologi diri dan mekanisma perjalanan hidup ini. Betapa pentingnya juga kita menjaga hati dan emosi dan kalau istilah yang DAO gunakan ialah kita sentiasa perlu menjaga "Kolam Hati" kita selalu. Menjaga agar ia tidak kotor dan dicemar oleh benda-benda negatif yang ada disekeliling kita. Sekurang-kurangnya ada sedikit manfaat kepada yang akan membaca entri yang seterusnya daripada saya.

Buat sesiapa sahaja diluar sana yang ingin memperbaiki diri dalam dan luar. Ingin membina kejayaan dan kekayaan, rebutlah peluang dan hadiri seminar oleh beliau. Memang tidak rugi. Untung lagi!! Terima kasih DAO..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday 18 May 2014

Antara Bisnes & Makan Gaji

Dahulu semasa di universiti saya dan rakan sekuliah ada mengambil kursus asas keusahawanan. Tak silap saya pensyarah yang mengajar ketika itu juga ada menjalankan bisnes sampingan menjual sesuatu. Nampak gaya beliau sendiri pun belum cukup berjaya pada ketika itu. Tapi mungkin kini beliau telah berjaya. Harap dan sepatutnya begitulah kan :-)

Melihat saudara mara, rakan taulan dan kenalan di sekeliling yang sebangsa tak ramai yang menceburi dunia niaga. Kebanyakkannya bekerja dengan orang lain dan kerja kerajaan, makan gaji. Betul.. ramai juga sudah bangsa Melayu yang ada perniagaan sendiri, menjadi majikan dan pengeluarkan produk dan perkhidmatan sendiri, tetapi nisbahnya adalah masih rendah.

Begitulah keadaanya sekarang, bangsa Melayu khususnya masih jauh ketinggalan dalam penguasaan ekonomi dan kekayaan negara.

Dahulu dan sekarang pun saya melihat masih tebal dalam pemikiran orang kita bahawa kerjaya makan gaji lebih selamat untuk masa hadapan. Tiada sangat risiko dibuang kerja dan terjamin pendapatan serta ada berpencen. Disamping beberapa kemudahan yang mungkin tiada kepada orang yang berniaga sendiri.

Bagi saya mungkin sudah sampai masanya mentaliti ingin bekerja makan gaji ini tidak lagi disemai dalam fikiran dan minda anak-anak. Saya yang menulis ni pun harus sedar bahawa kehendak mahu menjadikan generasi akan datang menceburi bidang perniagaan harus menjadi agenda bangsa. Sampai bilakah orang-orang kita asyik mahu menjadi pembeli yang semakin mengayakan orang lain.

Rasanya masih belum terlambat lagi untuk orang-orang kita menyahut cabaran ini. Cabaran yang menjaga maruah diri dan bangsa. Di sekeliling kita, sebenarnya banyak lagi peluang dan ruang untuk kita membina ekonomi bangsa. Pelbagai sokongan sebenarnya telah ada terbentang. Bagaimana untuk memilih bisnes yang betul sahaja lagi dan menguasai ilmu berniaga.

Untuk tujuan itu, pada pandangan saya tidak dapat tidak, perkara ini seharusnya terus diperkasa dalam agenda pembangunan usahawan bumiputera. Gerakan yang menyeluruh secara 'doktrinasi' oleh kerajaan dibantu NGO seharusnya dirancang penuh strategik untuk melahirkan anak muda yang memulakan hidup berkerjaya dalam bisnes dan tidak memilih kepada makan gaji.

Semoga penulisan yang tidak seberapa ini dapat memotivasikan kita untuk bukan memilih makan gaji sebaliknya menggajikan pula orang lain. Bisneslah tu. Banyak kelebihan berniaga yang tak dapat saya nyatakan di sini.. Tapi kalau difikirkan ia memang jauh lebih baik daripada makan gaji :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday 16 May 2014

Hukum dari Tuhan

Sekarang ni apa yg hangat diperkatakan adalah berkenaan GST dan hudud.. Kedua-duanya terkesan terus kepada semua golongan masyarakat sekiranya dilaksanakan. Apa pun untuk entri kali ni saya berhajat untuk sentuh sikit mengenai hukum yang diturunkan dari Tuhan Yang Maha Esa untuk kita sebagai hamba yang menurut perintah akur sepenuhnya.

Nampaknya secara kasar, ada 3 golongan yang ada memberi respon kepada hukum hudud dan qisas ni. Pertama iaitu yang bersetuju. Kedua yang menentang dan yang satu lagi buat tak tau ajer. Ini saya hanya mengambil kira orang Islam atau muslim sahaja.

Bagi fikiran saya golongan yang menentang dan menyokong tidak lah seramai yang berdiam diri. Kerana dalam banyak isu di Malaysia ni, rata-rata yang senyap, menunggu dan lihat itu lebih ramai jumlahnya. Golongan inilah sebenarnya yang perlu dipengaruhi.

Berbalik kepada isu hudud dan qisas ni, sebagai umat Islam yang betul-betul beriman dan bertaqwa, kita seharusnya membulatkan tekad dan bergerak kearah menegakkan syiar dan hukum Islam tidak kiralah apapun alasan yang dibawa oleh pihak yang tidak mahu berpijak kepada kebenaran.

Kita lihat negara Brunei yang baru sahaja menguatkuasakan undang-undang ini. Rasanya kita masih ada cukup masa untuk merancang dan membangunkan pelan pelaksanaan hukum ini di suatu masa nanti. Kalau tidak pun dalam sedekad ni, mungkin boleh dijangkakan dalam berbelas tahun lagi. Setidak-tidaknya ada usaha yang jelas dan tersusun kearah itu.

Kini, banyak program berunsur dakwah dan ilmiah diangkat ke kaca TV. Setiap hari pasti tak kurang 6 program berbentuk penerangan dan ulasan agama diberikan oleh para ustaz, ilmuan dan tokoh agama. Namun agak sedikit sangat atau mungkin hampir tiada dibicarakan tentang hal hukum ini. Sensitif sangat rasanya.

Sebaiknya kita dengan ribuan cerdik pandai agama telah mengambil langkah mengenengahkan isu ini secara terbuka dan ilmiah. Sekurang-kurangnya bagi tujuan pemahaman dan kesedaran terlebih dahulu baik kepada orang Islam dan bukan Islam juga. Bagi saya apabila kita dapat melihat kesan dan impaknya nanti kepada hukuman yang adil, Dengan sendirinya pasti memberikan hikmah yang terbaik. Pasti sekali Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba yang diciptakannya.

Moga kita semua diberikan hidayah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday 5 May 2014

Orang Kita Sukar Nak Berniaga..


Saya nak potong rumput di halaman rumah, saya panggil orang Pakistan. Saya nak gunting rambut, saya pergi ke kedai orang India. Saya nak beli kasut jogging, saya beli di kedai orang Cina. Saya nak beli telefon pintar baru, saya beli di kedai orang Cina. Isteri saya nak beli alat bancuh kek, dia juga ke kedai orang Cina. Bila nak repair paip dan buat wiring elektrik saya nampak banyak iklan yang bukan Melayu.

Bila saya nak beli perkakasan kebun saya ke tempat peniaga Cina. Bila isteri nak beli beg sekolah anak yang baru, juga dia ke kedai pakaian milik peniaga Cina.. Bila kami lapar barulah kami ke kedai orang Melayu ;) Itupun saya nampak orang-orang lain ramai sungguh yang ke kedai mamak. Alhamdulillah lah kalau tentu halalnya di restoren tu. Nampak tak kita betapa kurangnya orang Melayu dalam sektor perniagaan dan keusahawanan.

Orang Melayu rata-rata dan kebiasaannya berniaga dalam sektor makanan dan restoran. Itu memang boleh menjadi.. sebab memang kita perlu makan dan minum setiap hari. Kalau sedap masakannya lagi, insyaAllah bolehlah terus berkembang dan bertahan lama.

Post kali ni bukan nak cakap apa, tetapi hanya nak sembang-sembang kenapalah payah dan sukar sangat orang Melayu hendak mencebur diri dan berjaya dalam berniaga. Setidak-tidaknya, kalau tidak kaya raya pun, bolehlah menyara kehidupan dan membesarkan anak-anak dan hidup sempurna seperti bangsa lain yang berniaga. Dalam masa sama, orang lain yang bangsa lain pun mula berkembang perniagaan mereka. Orang Cina atau orang Jawa tu kita tolak tepilah kerana mereka memang dah berkurun aktiviti berniaga ni ada dalam darah daging mereka. Di Lembah Klang ni, yang semakin banyak berniaga nampaknya orang asing yang datang masuk ke negara ni : Myanmar, Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan lain-lain lagi. Negro juga mungkin ;)

Kerajaan memang dah buat macam-macam usaha dan pelbagai bentuk bantuan yang ditawarkan. Ramai juga yang telah menerima dana peruntukan bagi latihan dalam pembangunan usahawan bumiputera tersebut. Tapi kita lihat masih tak naik dan entah dimana mereka ini berada. Mungkin ramai di luar-luar bandar agaknya. Atau mungkin bisnes yang dibina itu melibatkan produk-produk hiliran tertentu yang tidak menonjol dalam arus perdana.

Orang Kita Sukar Nak Berniaga.. Pelik ya?

Memang pelik.. saya mahu mencari jawapan kepada soalan ini ;p




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 3 May 2014

Perkongsian di Laman Sosial

Di laman sosial seperti facebook kita bebas melihat perkongsian daripada rakan-rakan lain. Elemen yang mereka kongsikan kepada kita boleh jadi info bertulis seperti artikel, link ke page atau laman web lain, gambar, video, apps dan sebagainya.

Perkara yang dikongsikan biasa berbentuk perkongsian ilmiah, berita, perkara lucu, inspirasi, sesuatu yang menyentuh emosi dan tak kurang juga perkara yang palsu, penipuan dan berunsur fitnah.

Di facebook secara umumnya ada 3 bentuk respon atau tindak balas kita terhadap sesuatu perkara yang kita lihat. Boleh like, komen atau pun share. Bagi saya kita 2 ada lagi bentuk respon iaitu report dan tidak memberi respon  :-) Tidak memberi sebarang respon juga mungkin respon bukan?

Sesetengah daripada kita suka berkongsi perkara yang memberi maklumat khususnya berkait dengan hukum, tafsiran agama dan hadith misalnya. Memang baik dipanjang untuk dikongsikan sesuatu yang berbentuk dakwah. InsyaAllah kita mendapat saham apabila menyampaikan sesuatu mesej yang baik dan memberi manfaat kepada yang lain.

Cumanya sebagai orang awam, kita mungkin terdedah kepada info yang tidak tepat atau yang direka-reka. Mungkin kewujudan info tersebut disengajakan untuk agenda tertentu ataupun penghasilanya tidak disengajakan tidak tepat. Natijah sekiranya kita terus berkongsikan info tersebut, secara langsung kita menyumbang kepada viraliti info yang tidak tepat berkenaan.

Sebaiknya kita berfikir sejenak sebelum kita berhajat untuk klik "share" bagi sesuatu perkara. Selidik dulu dan bertanyakan kepada yang lebih arif sekiranya ada keraguan di hati.

Ingatlah bahawa di zaman serba canggih ni untuk mereka dan menyebarkan sesuatu yang tidak benar lebih mudah dari nenyebarkan perkara benar. Perkara salah boleh disẽlindungkan disebalik perkara betul dan terus ia nampak betul.

Paling mudah contohnya hanya dengan meletakkan gambar ulama dan disertakan dengan "wording" yang seolah benar tetapi tidak tepat.. Bagi yang tidak mengetahui atau kurang ilmu boleh terus percaya..

Jadi pandai-pandailah kita menjaga diri agar tidak terlibat dalam perkongsian yang salah. Jika kita mengetahui sesuatu itu tidak benar di facebook, respon yang perlu kita pilih adalah samada report photo tersebut atapun tidak melakukan apa-apa untuk menyebarkan lagi. Malahan untuk sharekan kembali photo atau link yang ada sebagai makluman rakan lain pun adalah satu tindakan yang tak betul untuk kita lakukan :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday 29 April 2014

Mencari Keberkatan Hidup



Sering kita mendengar daripada ustaz dan ulama' yang berceramah, anak-anak sihat dan berjaya dalam pelajaran adalah antara tanda ada berkat dalam rezeki kita.. Ketenangan jiwa, kemurahan rezeki dan ringan melakukan ibadah antara tanda ada keberkatan dalam hidup kita. Rumah tangga yang aman, tidak bergaduh juga antara petunjuk yang mungkin kehidupan kita dipelihara oleh Yang Maha Esa. Sedikit tetapi cukup, itupun tanda berkat. Ringkasnya kebaikan demi kebaikan yang dikurniakan kepada kita, itulah antara tanda ada keberkatan.

Entri kali ni bukanlah nak mengajar sesiapa di luar sana, tapi sebenarnya untuk muhasabah diri yang menulis. Sebagai manusia yang melalui liku-liku kehidupan, kita boleh merasai dan mengagak-agak adakah kehidupan kita ni ada keberkatan, penuh berkat atau tidak berkat. Dengan segala yang kita sedang lalui, kita boleh menjangka serba sedikit apa yang telah dikurniakan kepada kita itu memang betul-betul ada berkatnya ataupun tidak.

Kita sebenarnya tahu dah dimana akhirnya kita. Kita tahu juga dimana arah dan laluan yang harus dilalui. Kita tahu kesilapan yang telah berlaku. Kita tahu natijah setiap pelanggaran yang kita mahir engkar. Kita tahu kita masih tidak cukup bekalan untuk ke sana... Kita tahu semua itu, tapi masih tidak beramal seperti yang sepatutnya.. Itulah kita, insan lemah yang masih tidak sedarkan diri..





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 12 April 2014

Bersara Awal

Biasanya 3 bentuk rugi yang diperoleh apabila kita berhenti kerja ataupun bersara daripada jawatan yang kita jawat kini. Tiada gaji, tiada lagi gerak fikiran dan penghormatan diterima berkurang.

Kebelakangan ni sering kita mendengar (khususnya dalam sektor awam), kalau tak larat atau malas kita bersara awal. Ataupun begini, kalau tiada apa masalah boleh teruskan sampai umur wajib bersara 60 tahun. Rata-rata terdapat ramai juga yang berkira-kira untuk bersara awal daripada tempoh bersara wajib. Nampak macam ada tekanan yang sedang ditanggung. Mungkin dek kerana faktor wang dan pendapatan, mereka masih perlu bertahan dan bertahan untuk tahun dan tahun yang mendatang.

Post kali ni hanya nak membincangkan sahaja tentang bagaimana kita nak mengakhiri episod kerjaya kita sedikit awal daripada biasa tanpa memudarat diri dan keluarga. Maksud saya bagaimana akhiran kita nanti di jabatan kita dengan persediaan dan keyakinan melalui hari- hari hadapan. Samada dengan cara yang penuh membanggakan ataupun kita berakhir begitu sahaja. Samada hari akhir kita tu disambut penuh ceria ataupun ketiadaan kita tak ubah seperti melukut di tepi gantang. Tiadanya kita tu tidak memberi kesan.

Bagi saya, bagaimana untuk kita memilih bagaimana akhirnya kita nanti di mana-mana organisasi pun, perkara yang paling pokok adalah what's next? Apa yang dah dilalui sepanjang bersama majikan atau jabatan tu penting, tetapi berkali ganda lebih penting lagi adalah apa pulak seterusnya bagi episod kehidupan dan kerjaya selepas bersara tu.

Persoalan ini bagi pandangan saya mungkin berbalik pada diri masing-masing. Apapun bagi saya mungkin kita boleh fikirkan dulu dengan kembali kepada 3 perkara yang merugikan di atas. Gaji, pemikiran dan penghormatan. Seeloknya apabila kita bersara dan berhenti kelak, cuba kita pastikan ketiga perkara ini tidak menurun dalam kehidupan kita. Itu mungkin jawapan kepada bila sebaiknya kita boleh bersara awal. Gaji diganti sumbernya, minda sentiasa digunakan dan sentiasa memberikan manfaat kepada orang lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday 25 March 2014

MH370 - Kau Pergi Jua

Doa kita kepada semua penumpang  MH370 yang muslim agar mereka ditempatkan bersama-sama golongan soleh. Buat yang lain takziah diucapkan kepada ahli keluarga.

Malaysia kini bersedih selepas mendengar pengesahan oleh Perdana Menteri sejam yang lalu yang menyatakan penerbangan tersebut "berakhir" di Selatan Lautan Hindi.

Segala daya telah diusahakan, tapi apakan daya. Semuanya telah ditakdirkan. Misteri kehilangannya masih belum terungkai sepenuhnya selagi kotak hitam tidak dijumpai. Kini tumpuan rasanya akan menjurus pula kepada mencari tinggalan bahagian pesawat dan mangsa nahas :'(

Alfatihah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday 20 March 2014

Alahai Bos No. 1

Biasa kita dengar pendekatan top down ataupun sebaliknya, bottom up. Ini merujuk kepada inisiatif dalam sesuatu organisasi samada dimulakan daripada pengurusan peringkat atas ataupun dicetus di peringkat staf bawah.

Post ni khusus saya tujukan kepada para pemimpin yang berada di atas yang mana mereka yang menentukan hala tuju sesuatu organisasi dengan melaksanakan apa yang telah dirangka. Saya terpanggil menulis perkara ini kerana dalam sesetengah organisasi kita selalu mendengar dan melihat selalunya mereka yang berada di pucuk pimpinan tu kadang kala ada juga seperti tak berminat dan bersikap dingin kepada apa yang ingin diusahakan oleh pekerja mereka. Biasa juga berlaku staf diperingkat bawah begitu bersungguh untuk memberikan yang terbaik dan mengikut apa yang telah dirancang awal. Alih-alih boleh terbantut dek kerana ketiadaan sokongan pihak atasan atas perkara yang diinginkan. Memang big bos biasanya ada "view" mereka tersendiri, tapi janganlah sampai menyusahkan orang dibawah untuk berkerja. Segala visi dan misi memang telah jelas. Segala program dan aktiviti juga sudah jelas tapi bila hendak dilaksana, susah pulak. Ini tak boleh dan itu tak boleh. Nak kata tak cukup "awareness", mungkin juga, tapi takkanlah tak tahu langsung apa yang dihasratkan. Semua yang hendak dirancangkan itu pastinya untuk menambah baik.

Sebagai contoh mudah, ialah bagi sesuatu jabatan atau organisasi
yang ada berlaku pertukaran orang nombor satunya, sesetengah dasar boleh berubah. Fokus dan keutamaan pun beralih dari satu isu kepada isu baru yang lain. Dari satu sudut, ia baik sekiranya fokus baru itu sememangnya keutamaan di situ. Cuma yang tak beberapa baiknya akan ada pembaziran sumber dan masa. Kos dan tenaga yang telah diperuntuk mungkin boleh jadi sia-sia dengan istilah biasanya 'terbengkalai'. Perkara baik boleh dihentikan begitu sahaja.

Letih juga, kita orang di bawah ni asyik sibuk berkerja nak menjelaskan pada orang nombor 1 ini, satu-satu isi dan pengisian sesuatu program.. Takutnya nanti, masa habis ke situ saja. Produktiviti entah kemana.

Alahai bos nombor 1.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday 10 March 2014

Doakan Keselamatan Mereka - MH370




Disaat saya mengeluarkan post ini, masih tiada lagi petanda dan jawapan tentang apakah yang berlaku terhadap pewasat MH370 dan dimana ia berada. Di ruangan media sosial ataupun sembang kedai kopi, macam-macam analisis dan spekulasi yang telah kita dengar. Itu semua berasaskan pengetahuan, pemikiran dan pengalaman kita sebagai manusia. Apapun hujahnya, sebagai manusia memanglah fikiran kita akan cuba berfikir dan membayangkan apa yang telah berlaku. Mungkin begitu, mungkin begini. Jawapan sebenar masih belum kita temui.

Pihak berwajib dengan bantuan daripada negara luar sekarang sedang giat menjalankan operasi pencarian. Kawasan carian pun telah diperluaskan. Begitulah usaha yang sebaiknya sedang digerakkan. Kita dapat melihat semangat setia kawan dan kemanusiaan masih wujud di dunia kita ni. Kini, apa yang boleh kita lakukan sebagai orang biasa hanyalah bersabar dan berdoa untuk kesejahteraan mangsa yang terlibat dalam peristiwa ini. Buat ahli keluarga mangsa kita berasa amat bersimpati. Berat kita memandang, berat lagi bahu yang memilkul. Pastinya ada hikmah disebalik insiden yang berlaku ini. Moga mereka kekal tabah dan tenang menghadapi dugaan ini

Moga kita tidak berputus asa dan tak berpatah harap untuk terus berdoa semoga Allah menemukan mereka kembali ke pangkuan keluarga. Sebagai insan yang kerdil dan lemah kepada kuasaNYA, tentunya keupayaan kita terbatas untuk menemui jawapan dalam masa singkat. Dengan kecanggihan teknologi yang kita ada, pastinya banyak lagi ruang kekurangan kita sebagai hamba. Marilah kita bersama merendah diri dan memanjatkan doa penuh pengharapan kepada Yang Maha Kuasa untuk memberikan petunjuk kepada apa yang telah berlaku ini.  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 19 February 2014

Budaya Menepati Waktu Orang Kita

Kita biasa dengar "janji Melayu". Maksudnya lebih kurang mcm ni.. Orang Melayu ni kalau berjanji jarang sangat nak patuhi masa yang telah dijanjikan. Kalau lewat 5 minit tu tak mengapalah.. Ini lewat setengah jam. Ada ke patut?

Baru-baru ni saya ada mengikuti satu seminar di sebuah kementerian di Putrajaya sendiri. Program melibatkan peserta yang rata-rata orang Melayu. Penceramah sampai tentunya lebih awal untuk persediaan di sendiri. Itu biasa. Tapi lebih biasa juga rupanya program yang agak gah juga tapi lewat bermula acara dek kerana ramai benar yang lewat tiba. Bagi saya ini tentunya memperkukuhkan lagi persepsi orang lain kepada masyarakat Melayu khususnya yg selalu lewat dan kurang menepati masa.

Saya melihat perkara ini kecil dan tak sebesar mana pun.. Tapi kita perlu ingat kadang kala dan selalunya benda-benda sekecil inilah senang dan suka dijaja dimana-mana untuk pihak di luar memandang rendah kepada bangsa Melayu. Kita bukan sahaja melambatkan masa malah mencuru masa-masa orang lain sama.

Saya memesan kepada diri marilah kita belajar menghargai masa kerana masa itu emas. Ia tiada galang gantinya apabila telah berlaku. Usah biarkan kita kalah dengan masa :-)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday 26 January 2014

Pekan Mati

Di negara kita ni, bila jauh kita berjalan, kadang-kadang kita boleh berjumpa atau berada di tempat yang agak mati khususnya pada waktu malam.. Baru jam 8:00 malam dah lengang dah suasana. Kalau di pekan-pekan kecil di luar bandar itu mungkin biasa. Post ni bukan nak ulas apa-apa sangat mengenai pekan mati, tetapi lebih kepada melihat aspek perancangan dan pembangunan sesuatu kawasan. Betapa pentingnya dalam sesuatu perancangan perbandaran tu dilihat juga bagaimana untuk menghidupkan kawasan itu sehingga ke malam hari. Maksud saya di sini bukanlah nak bagi hidup semacam Jalan Sultan Ismail atau Jalan P. Ramlee di tengah-tengah KL tu yang terlebih pulak rancaknya sampai awal pagi. Memadai untuk suasananya hidup dengan masih ada aktiviti manusia seperti perniagaan asas seperti kedai barangan runcit, kedai makan, premis perkhidmatan dan lain-lain yang seumpama.

Merujuk kepada pembukaan laluan tol PLUS Sungai Buaya di daerah Hulu Selangor yang dirasmikan oleh Perdana Menteri beberapa minggu lalu, saya fikir ini satu contoh untuk menghidupkan kawasan di daerah sana. Tidaklah lagi kawasan di situ tersisih daripada arus pergerakan orang ramai khususnya masyarakat sekitar. Hiduplah sikit kawasan sekitar situ selepas ini. Apabila ada kemudahan jalanraya, kebiasaannya aktiviti ekonomi akan lebih rancak dan akan ada pembangunan baru berbanding sebelumnya.

Komen Tun Mahathir untuk sebaiknya diadakan kedai atau sebarang aktiviti perniagaan di Persiaran Perdana Putrajaya (jika saya tidak silap nama jalan utama ni di Putrajaya, saya minta maaf siap-siap di sini.. tak sempat nak buat rujukan) harus disambut baik Perbadanan Putrajaya khususnya. Kawasan di sana dirasakan agak lengang selepas waktu bekerja. Sebenarnya di waktu malam di sana, ramai juga pelancong atau pelawat yang gemar melihat ketenangan dan keindahan cahaya di waktu malam di Putrajaya. Ini lebih-lebih lagi berhampiran bulatan di Masjid Putrajaya/Pejabat Perdana Menteri.  Sekurang-kurangnya bolehlah mereka atau penduduk Putrajaya sebdiri berhenti seketika mengalas perut ke.. minum-minum ke dan sebagainya.

Itu saja untuk komen dan buah fikiran yang tak seberapa di awal tahun 2014 ni ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 8 January 2014

Hard Rock Cafe di Putrajaya?!




Melihat ayat (tajuk post ni) nampak tidak kena kan? Nama Putrajaya tu nampak gah dan bersih dengan gabungan "Putra" dan "Jaya". Alih-alih dikombinasikan dalam satu ayat dengan "Hard Rock Cafe". Yang satu ni nampak bersih dan yang satu lagi ni nampak hitam dan berkait lagi minuman keras dan hiburan. Saya tiada makluman mendalam mengenai hal ini, hanya terdengar melalui berita. Dipendekkan kata, elok tak payahlah nak diadakan pusat hiburan seperti itu di Putrajaya. Kalau iya pun konsepnya dikatakan lain daripada konsep Hard Rock Cafe yang lain, pastinya ia tetap akan memburukkan lagi pandangan dan persepsi masyarakat kepada pimpinan kerajaan yang berkuasa di Putrajaya. Kita tak nampak pun apa perlunya ia berada di situ.

Bagi saya pacal yang hina ni, banyak lagi benda lain yang boleh kita import bawak masuk dan letak di Putrajaya, misalnya seperti stadium bola sepak ker.. pusat menunggang kuda ker.. rumah salji ker.. zoo ke.. pusat luncur ais ke.. Pusat santai keluarga lagi baik daripada pusat yang boleh memberikan fitnah kepada warga Putrajaya. Biarlah pusat pentadbiran kerajaan ni terus tenang dan dirahmati sampai bila-bila.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 4 January 2014

Cuepacs Untuk Apa dan Siapa?

Baru-baru ni dan beberapa bulan lalu ada saya mendengar di radio mengenai temubual bersama presiden Cuepacs.. Iaitu bersama mantan presiden dahulu Dato' Omar Osman dan juga presiden yang baru, En. Aziz Muda.

Dalam kedua-dua slot berkenaan, semestinya dibuka ruang untuk pendengar membuat panggilan untuk berinteraksi dengan presiden kesatuan ni secara langsung. Banyaklah komen, pertanyaan dan hujah yang diajukan pemanggil dan respon balas diberikan.

Cuma saya dapati ada 1 trend atau 1 persepsi yang masih tak kena/salah dalam masyarakat khususnya mereka yang tidak berada dalam kelompok kakitangan awam terhadap kakitangan awam. Mereka tak faham lagi agaknya Cuepacs tu untuk apa dan untuk siapa? Ada 3 perkara yang ingin saya sentuh dan mungkin boleh sedikit memberikan kefahaman kepada kelompok ini iaitu:-

Pertamanya adalah, peranan Cuepacs itu untuk siapa? Pastinya untuk penjawat awam sahaja. Bukan sama sekali untuk membela kelompok lain. Tujuan kewujudan adalah untuk menjaga kebajikan penjawat awam disamping perkara-perkara lain juga. Memang sepatutnya Cuepacs memohon itu dan ini daripada majikannya iaitu pihak kerajaan. Pekerja akan memohon apa jua yang difikirkan wajar kepada majikannya dan kemudiannya terpulanglah kepada majikan untuk membuat pertimbangan dan keputusan. Yang peliknya ramai lagi "orang luar" yang sibuk mempersoalkan hak dan permintaan Cuepacs tersebut.

Keduanya dikatakan tak patut untuk pihak Cuepacs meminta kenaikan gaji atau pelarasan gaji kerana produktiviti belum memuaskan dan dikatakan meng-anaktirikan pekerja swasta. Mereka membandingkan gaji yang rendah bagi pekerja swasta untuk peringkat kemasukkan kerjaya berbanding penjawat awam. Mereka harus faham apa yang diperjuangkan adalah agar gaji yang diterima selari dengan kos sara hidup semasa. Ia benda baik untuk membela nasib penjawat awam itu sendiri. Tiada salahnyapun kan? Mungkin yang salahnya adalah kenapa majikan swasta tu sendiri tidak memikirkan hal kos sara hidup para pekerja mereka ataupun diperjuangkan hal ini oleh mana-mana kesatuan sekerja swasta. Kalau penjawat awam tidak cukup produktif mana mungkin ekonomi masih rancak berjalan dan Malaysia boleh diiktiraf sebagai antara yang terbaik dalam menjalankan urusan.

Ketiga mengenai cukai atau duit yang kerajaan belanjakan adalah duit rakyat. Betul ke macam tu? Bagi saya duit kerajaan adalah duit kerajaan. Penjawat awam menguruskan duit kerajaan dan mereka tu sendiripun ada membayar cukai. Mereka juga rakyat dan berhak untuk berdiri dan bersuara atas kapasiti kelompok penjawat awam. Janganlah asyik nak kata mereka makan dan guna duit rakyat, kerana mereka berkhidmat seperti orang swasta juga.. Memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dan mereka memang "buat kerja".

Akhirnya, bagi saya harap mereka di luar kelompok penjawat awam dan mungkin anggota penjawat awam tu sendiri harus sedar Cuepacs memang hanya memperjuangkan kebajikan dan hal ehwal kerja penjawat awam. Kalau penjawat swasta pun mereka nak jaga sekali kan tak kena tu. Moga anda yang membaca dapat menerima pandangan saya ni secara terbuka. Maaf kalau ada yang tersinggung.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tahun Melawat Malaysia - Apa sumbangan kita?

Biasanya bila ada tetamu atau pelawat yang ingin datang ke rumah atau premis kita, kita akan pastikan keadaan tempat kita tu kemas dan menarik. Kalau di hari-hari biasa bersepah di sana sini, tapi masa nak sambut pelawat tu kita akan cuba tonjolkan yang terbaik dan menarik.

Begitu jugalah situasinya untuk kita sebagai rakyat Malaysia bersedia untuk memberi sumbangan dan persediaan untuk tempoh setahun ni. Memang kita ada kementerian pelancongan yang giat mempromosikan program pelancongan di luar. Kita juga ada beribu-ribu agen atau personel yang terlibat secara langsung dalam industri pelancongan. Semuanya masih tidak cukup saya fikir untuk memberikan persembahan terbaik kepada pelancong luar khususnya dalam memberikan satu kelainan dan pengalaman baru yang tak boleh dilupakan sekiranya.. Sekiranya setiap daripada kita tidak memainkan peranan yang sepatutnya.

Kalau nak dikirakan, memang banyak perkara yang boleh kita bincangkan, tetapi untuk permulaan ni baik kita berikan tumpuan dulu kepada perkara asas. Paling asas sebagai keperluan memberikan persembahan yang terbaik kepada tetamu-tetamu kita. Bagi saya paling asas sekali untuk tahun melawat Malaysia ni kita patut berikan tumpuan kepada aspek kebersihan. Kebersihan di setiap ceruk lokasi pusat pelancongan. Ini meliputi tandas awam, restoran makan minum, laluan perniagaan dan taman-taman awam serta lokasi tarikan pelancong.

Bila semuanya bersih, keselesaan tu akan muncul dan kesannya memberikan ingatan baik diingatan mereka mengenai Malaysia. Ini saja :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...