1. Jangan Terus Pegang Telefon Selepas Bangun Tidur
Sebaik sahaja bangun tidur, cuba elakkan daripada terus mencapai telefon bimbit. Berikan diri kita masa dua minit untuk bertenang dan fikirkan perkara yang ingin dilakukan pada hari tersebut. Tak perlu terus dibebani dengan berita, media sosial atau masalah dunia yang kita baca di telefon. Mulakan hari dengan fikiran yang lebih tenang dan fokus kepada perkara yang berada dalam kawalan kita. Kadangkala, dua minit yang sederhana ini mampu membantu kita memulakan hari dengan lebih teratur.
2. Gratitude Snapshot – Lima Saat untuk Bersyukur
Luangkan lima saat setiap hari untuk menghargai sesuatu yang sedang berlaku dalam hidup kita. Mungkin kita bersyukur kerana masih diberi kesihatan, dapat menikmati secawan kopi pada waktu pagi, melihat senyuman ahli keluarga atau sekadar menikmati udara segar. Kita tak perlu menunggu sesuatu yang besar untuk berasa bersyukur. Belajar menghargai perkara-perkara kecil yang sering kita anggap biasa. Kadangkala, kebahagiaan bukan tentang memiliki lebih banyak, tetapi tentang menghargai apa yang sudah kita miliki.
3. One Genuine Compliment – Berikan Satu Pujian yang Ikhlas
Pilih seorang individu setiap hari dan berikan satu pujian yang benar-benar ikhlas. Mungkin kita menghargai bantuan rakan sekerja, memuji usaha pasangan atau mengucapkan terima kasih kepada seseorang yang telah melakukan sesuatu yang baik. Pujian yang ikhlas tak memerlukan wang atau usaha yang besar, tetapi boleh memberikan kesan positif kepada emosi orang yang menerimanya. Malah, kita sendiri turut mendapat manfaat apabila belajar melihat kebaikan orang lain. Jangan kedekut dengan penghargaan, kerana kata-kata yang baik mungkin menjadi perkara kecil yang menceriakan hari seseorang.
4. Ten Minutes of Movement – Bergerak Selama Sepuluh Minit
Dalam kesibukan bekerja dan menguruskan kehidupan seharian, kita kadangkala terlupa memberikan perhatian kepada tubuh sendiri. Jadi, curilah masa sepuluh minit untuk bergerak. Kita boleh berjalan kaki, melakukan regangan, menaiki tangga atau membuat senaman ringkas di rumah. Tak semestinya perlu ke gim atau melakukan aktiviti yang berat. Yang penting, kita memberikan peluang kepada tubuh untuk bergerak dan minda untuk berehat daripada rutin yang sama. Sepuluh minit mungkin nampak kecil, tetapi apabila dilakukan secara konsisten, ia boleh menjadi sebahagian daripada gaya hidup yang lebih aktif dan sihat.
5. Unplug – Putuskan Hubungan dengan Skrin Selama 15 Minit
Cuba luangkan sekurang-kurangnya 15 minit sehari tanpa telefon, komputer, televisyen atau apa-apa peranti digital. Gunakan masa itu untuk menikmati dunia sebenar di sekeliling kita. Pandang ke luar tingkap, duduk menikmati minuman, berbual dengan ahli keluarga atau sekadar berehat tanpa perlu menatal media sosial. Kita terlalu biasa mengisi setiap ruang masa dengan skrin sehingga kadangkala terlupa menikmati saat yang sedang berlaku. Berikan otak peluang untuk berehat daripada lambakan maklumat dan notifikasi. Tak semua perkara memerlukan perhatian kita setiap masa.
6. Nightly Brain Dump – Kosongkan Fikiran Sebelum Tidur
Sebelum tidur, ambil beberapa minit untuk menulis segala perkara yang sedang bermain dalam fikiran. Catat masalah yang belum selesai, tugasan yang perlu dibuat esok atau perkara yang merisaukan kita. Tak perlu menulis dengan cantik atau menyusun ayat dengan sempurna. Tujuannya adalah untuk mengeluarkan perkara-perkara tersebut daripada fikiran dan meletakkannya di atas kertas. Dengan cara ini, kita mempunyai tempat untuk merujuk semula perkara yang perlu diselesaikan tanpa perlu mengulang-ulang memikirkannya sepanjang malam. Walaupun ia tidak menghilangkan semua kebimbangan, amalan ini boleh membantu kita menutup hari dengan lebih teratur dan menyediakan diri untuk berehat.
7. Identity Statement – Jadilah Individu yang Menjaga Kebahagiaan Diri
Habit terakhir ini menghubungkan semua enam habit sebelumnya. Setiap hari, ingatkan diri tentang identiti dan nilai yang ingin kita pegang melalui satu pernyataan yang positif. Contohnya, “I am the kind of person who takes care of my own happiness and well-being.” Dalam bahasa Melayu, maksudnya ialah, “Saya ialah individu yang bertanggungjawab menjaga kesihatan, kesejahteraan dan kebahagiaan diri sendiri.” Sebutkan pernyataan ini dalam hati atau dengan suara yang jelas. Ingat, menjaga kebahagiaan diri bukan bermaksud kita mementingkan diri sendiri, tetapi menyedari bahawa kita juga mempunyai tanggungjawab terhadap kesejahteraan diri. Apabila kita mula melihat diri sebagai seseorang yang menghargai dan menjaga dirinya, kita lebih terdorong untuk mengamalkan tabiat yang selari dengan nilai tersebut
Kesimpulannya, perubahan besar tidak semestinya bermula dengan langkah yang besar. Kadangkala, ia bermula dengan dua minit pada waktu pagi, lima saat untuk bersyukur, satu pujian yang ikhlas atau sepuluh minit untuk bergerak. Pilih untuk melakukan perkara-perkara kecil ini setiap hari sehingga ia menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.
Kita mungkin tidak mampu mengawal semua perkara yang berlaku di sekeliling kita, tetapi kita boleh memilih bagaimana kita memulakan hari, melayan orang lain, menjaga tubuh dan menguruskan fikiran sendiri. Jangan tunggu sehingga hidup menjadi sempurna untuk mula menjaga kebahagiaan diri. Mulakan dengan satu habit kecil hari ini.
