Thursday, 29 April 2010

1 Mei - Hari Pekerja




Seorang daripada sahabat saya akan menyambut ulang tahun kelahirannya pada 1 Mei ini. Pada setiap kali sambutan hari pekerja iaitu pada 1 Mei mungkin orang lain akan terlupa akan bilakah harinya 1 Mei itu, tetapi tentunya tidak bagi beliau. Sememangnya dia seorang pekerja yang hebat, rajin dan bergaya juga ;)

Merujuk Wikipedia : Hari Pekerja atau Hari Buruh adalah satu nama untuk pelbagai cuti tahunan yang diraikan pada 1 Mei (atau dalam permulaan bulan Mei). Akan tetapi sebenarnya hari ini disebut juga sebagai Hari Pekerja Antarabangsa, yang mana ia merupakan peringatan tentang kejayaan ekonomi dan sosial bagi pergerakan pekerja. Tarikh 1 Mei digunakan kerana pada tahun 1884, Persekutuan Persatuan Pekerja dan Buruh, yang diinspirasikan oleh kejayaan Parti Labour 1872 di Kanada, meminta lapan-jam waktu berkerja di Amerika Syarikat, dikuatkuasakan pada 1 Mei, 1886. Ini mengakibatkan mogok umum dan Mogok Haymarket tahun 1886, tetapi beransur-ansur juga di pejabat selama lapan-jam waktu bekerja.

Di Malaysia kita memang ada banyak kesatuan sekerja yang mewakili banyak kumpulan pekerja. Macam-macam yang telah kita lihat dan dengar apa yang diperjuangkan mereka. Tidak lain tidak bukan, semuanya memang bertujuan untuk menjaga dan membela kebajikan dan menjaga kualiti hidup para pekerja yang menjadi ahli kesatuan.

Mungkin ramai yang beranggapan kesatuan kerja selalunya memohon dan meminta itu dan ini yang bukan-bukan, tetapi sedarkah kita bahawa sesetengah perkara yang diperjuangkan itu bukanlah 100% untuk kebajikan mereka semata yang berjuang dimasa kini. Tetapi mungkin perkara itu adalah untuk manfaat generasi anak cucu kita di masa depan. Mungkin sesuatu perjuangan itu berlaku kini tetapi kesan dan faedahnya baru kita sedar dan dapati di masa lain.

Buat para majikan dan yang berstatus bos besar, janganlah kita hanya tahu dan mahu memerah keringat, perasaan, masa dan tenaga pekerja sahaja bagi mencapai kepuasan, keuntungan dan kepentingan organisasi semata-mata, tetapi sorotilah juga nasib mereka yang di bawah. Nasib mereka yang berpendapatan rendah, miskin, mudah miskin dan semakin miskin.. Bagi yang telah mencapai keuntungan yang disasarkan jangan kedekut untuk memberikan pula penghargaan kepada anak-anak buah.. Penghargaan yang paling murni dan sesuai sekali di zaman ini tentunya saya fikir yang melibatkan faedah kewangan.. Kerana kewangan ataupun duit itu adalah hampir dengan segalanya.. Memang RM bukanlah segalanya tetapi ia amat-amat dekat kepada semua perkara dan benda di sekeliling kita..

Sempena Hari Pekerja yang akan disambut pada Sabtu ini, saya mengucapkan selamat meneruskan kerjaya masing-masing dengan penuh motivasi dan keseronokan dalam bidang kerja berkenaan ;) Kalau bagi yang tak suka itu, cubalah belajar-belajar untuk menyukai kerjaya berkenaan kerana anda dahulu yang memilihnya..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 26 April 2010

Cadangan Buat Yang Akan Berkhidmat

Pilihanraya Kecil Hulu Selangor telah pun melabuhkan tirainya.. Semua sepanduk dan lambang-lambang semua parti calon bertanding yang kosnya mungkin mencecah ribuan ringgit juga telah tamat fungsinya. Selepas ini entah ke manalah agaknya disimpan atau dihumbankan sisa-sisa pilihanraya itu.. janganlah dibiarkan sampai berbulan-bulan bersidai dan bergantung sudahlah.. Buruk nanti pemandangannya digantung lama-lama..

Kepada YB BN yang menang, tahniah dan buat yang kalah terimalah dengan hati terbuka. BN yang telah memiliki zon di Hulu Selangor harus segera bertindak dan mangotakan janji pembangunan kepada rakyat yang telah memberikan kemenangan kepada mereka. Bagi saya masyarakat di sana tidak lain tidak bukan amat memerlukan pembelaan dari segi kemudahan kesihatan, peluang pekerjaan dan pendidikan anak-anak. Tiga aspek ini saya fikir masih menjadi keperluan yang amat kritikal di kawasan luar bandar. Orang yang sakit yang memerlukan rawatan semakin meningkat kadarnya. Belia muda yang tidak memiliki pekerjaan tetap dengan pendapatan yang memuaskan masih ramai. Anak-anak remaja sekolah yang ada kemungkinan akan tercicir dalam pelajaran dan tidak diterokai kebolehannya semaksima mungkin masih ramai juga.. Fokuslah pada 3 perkara ini YB.. Anda mampu melakukannya.

Tambahan daripada itu, saya fikir satu lagi pendekatan yang boleh melonjakkan lagi penerimaan rakyat Hulu Selangor kepada YB yang BAKAL BERKHIDMAT adalah dengan menaikkan imej semua agensi kerajaan di kawasan Hulu Selangor itu sendiri. Memang ia bukan bidang kuasa YB tetapi YB boleh menyumbang dan mempengaruhi kearah peningkatan perkhidmatannya.




Daripada pemerhatian kita, dalam setiap kali pilihanraya kecil nampaknya ada sahaja isu kekecohan dek kerana wujudnya "barung panas" oleh parti-parti yang bertanding. Mungkin SPR perlu hapuskan sahaja kewujudan sebarang khemah di hari mengundi selain khemah SPR, Polis dan Ambulan sahaja. Di hari itu rakyat hanya perlu memangkah sahaja, tak perlu untuk urusan-urusan yang selain daripada itu..




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 15 April 2010

Pilihanraya Di Hulu Selangor



Hujung bulan ini akan menyaksikan pilihanraya kecil di Hulu Selangor. Tentunya segalanya akan terarah ke sana. Orang ramai akan mendengar berita dari sana, media akan tertumpu di sana, paparan berita dan peristiwa akan banyak datangnya dari sana, dan mungkin akan ada lebihan sumber dan tenaga yang akan disalurkan di sana dalam masa terdekat.  Pendek kata dimana-mana orang akan bercakap tentang Hulu Selangor. Parti-parti politik yang bertanding tentunya ada strategi masing-masing untuk memenangi hati para pengundi. Kebiasaannya akan ada juga kedengaran janji-janji manis yang akan ditabur di sana. Manusia dipegang pada janji.. itu yang pertama. Keduanya jika ada syarat yang ditetapkan sekiranya parti itu dan parti ini memang, ini sebenarnya membahayakan parti itu juga sebenarnya. Dua perkara inilah rasanya yang perlu diuruskan dengan baik oleh pemain-pemain politik itu.  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 12 April 2010

Anak Luar Nikah, Pembuangan Bayi - Mengapa Ia Terjadi

Kempen "KAMI PRIHATIN" baru dilancarkan minggu lepas. Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk semua anggota masyarakat sedar akan masalah pembuangan bayi dan penderaan terhadap anak-anak yang nampaknya semakin menjadi-jadi. Dalam sebulan kebelakangan ini sahaja banyak kes buang bayi dilaporkan di media. Mungkin kes yang tidak dibuat liputan media lebih banyak lagi.





Seperti biasa, kempen akan dilancarkan dan kita akan melihat hasilnya setelah setahun, berjaya atau tidak. Moga kempen kali ini memberikan hasil yang baik kepada masalah sosial yang telah melanda. Masalah sosial bukanlah sama seperti masalah ekonomi dan politik yang mana kita boleh nampak arus perubahannya dengan jelas. Masalah sosial ini adalah ibarat api dalam sekam yang mana walaupun kita tidak jelas melihatnya tetapi ia senyap dan telah membara dan terus membara di bawah.

Melalui pemerhatian dan pembacaan saya, beberapa perkara menjadi punca permasalahan pembuangan bayi (yang mungkin kebanyakkannya adalah anak luar nikah oleh remaja wanita)

1. Ibubapa Remaja Sibuk Keluar Bekerja.

Memang di dalam zaman yang semakin memerlukan untuk kita berada di merata tempat, kita terpaksa bergerak dan keluar daripada kawasan. Outstation ke utara, outstation ke selatan, outstation ke timur.. Ayah outstation dan mak juga outstation. Dalam seminggu tu entah berapa harilah yang ibu dan ayahnya berada di rumah bersama anak-anak. Terutamanya anak remaja kita ni.. Anak remaja apabila selalu ditinggalkan keseorangan bukanlah sesuatu yang baik kerana dengan keseorangan itulah dia akan ada ruang dan peluang. Peluang dan ruang telinganya dibisikkan oleh anasir jahat untuk mencuba sesuatu yang tidak baik.. Salah satunya adalah bersama dengan rakan-rakan.. Yang malangnya rakan berlainan jantina.. Kemudian berlakulah peristiwa "itu"..........

2.  Pengaruh Internet Terbuka Luas

Dari internet pelbagai perkara yang boleh diperolehi.. daripada benda baik sampailah benda yang tidak baik. Akses yang tidak dikawal nafsunya dengan fikiran waras akan mudah  untuk memberikan remaja dan anak muda ini pengaruh yang amat negatif .. terus menerus meresap dalam pemikiran dan amalan mereka. Akses kepada web dan sumber video yang tidak senonoh memang terlalu banyak.. Memang remaja lebih mudah terarah kepada perkara yang negatif ini.. Yang sudah berada di peringkat "remaja matang" pun terbabas inikan mereka yang masih mentah..

3. Masyarakat Tidak Ambil Peduli

Dalam masyarakat moden sekarang, masing-masing menjaga kain masing-masing.. Hal orang jangan dimasuk campur.. Anak orang lain kalau melakukan perkara yang salah tidak ditegur.. Anak sendiri pun susah nak ditegur.. Anak mudapun bukannya boleh ditegur sangat zaman ni. Jadi timbul keadaan masyarakat tidak mengambil peduli hal orang lain dan kadangkala teragak-agak untuk mencampuri hal orang lain.. Maka perkara mungkar ini semakin menular dan terus menular.. Kesalahan yang dilakukan oleh anak muda itu terus dilakukannya sehingga akhirnya mereka sendiri terperangkap dalam kancah durjana itu..

4. Remaja Luar Bandar Terkejut Apabila ke Bandar

Kejutan budaya.. Ada kajian daripada pakar mengatakan faktor ini turut menTERJEBAKkan remaja berkenaan ke dalam maksiat.. Ada benarnya dan memang ia berlaku. Selama ini dia berada bersama keluarga dan tiba-tiba kehidupannya dibawa seorang diri dalam suasana yang asing sekali.. Terasa pulak terlalu bebas daripada bebelan mulut mak di kampung..  Tiada kawalan dan ajakan kawan-kawan lebih menyeronokkan... Tanpa fikir panjang dah terjerumus.. walaupun ada yang kukuh juga asas ilmu agamanya..

dan faktor terakhir yang suka untuk saya ketengahkan ialah:

5. Kurang Aktiviti Sihat Dikalangan Belia dan Remaja

Memang kita melihat macam-macam aktiviti remaja dalam negara kita ni.. sukan, hiburan, riadah dan kemasyarakatan. Tetapi saya merasakan kebanyakkan yang terlibat dalam gejala tidak sihat ini terlalu menumpu kepada keseronokan perasaan dan terlalu asyik dengan hubungan bersama kawan-kawan.. "Terlalu dibuai oleh kawan dan membawa kepada kahwin yang belum berkahwin"..

Sebenarnya diluar sana mungkin ada macam-macam lagi punca dan alasan berlakunya kes buang bayi dan melahiran anak luar nikah ini.. Untuk mengatasi masalah sosial ini bukannya mudah.. Kata sesetengah orang bijak pandai.. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena dalam masyarakat yang telah mengakibatkan masalah sosial ini berlaku.. dan ia mungkin berpunca daripada pemakanan dan rezeki yang tidak halal.. Wallahualam..





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 1 April 2010

Astro ARENA di 801




Semalam bercuti di rumah merehatkan minda daripada memikirkan kerja-kerja yang masih belum selesai di pejabat. Hajat di hati pada sebelah pagi cuti ini untuk membersihkan halaman di rumah yang rumputnya dah semakin meninggi, tetapi oleh kerana panas dan bahang cuaca serta sendi-sendi yang agak malas, jadi teruslah duduk dalam diruang tamu rumah menonton TV. Menekan 801, Astro Arena. Satu saluran baru khas untuk sukan. Kedengaran sebelum ini, saluran ini adalah untuk memberikan ruang dan peluang kepada bicara, berita dan aksi sukan tempatan juga memberi ruang kepada atlit serta pengamal sukan tempatan mendapat tempat dan perhatian daripada penonton. Memang saluran ini terbit di masa yang agak baik. Dengan kehangatan acara F1, Sukma, Piala Dunia dan beberapa sukan lain yang sedang dan akan berlangsung tentunya peminat sukan tempatan boleh menikmati satu pengalaman baru dalam mendapat liputan sukan tempatan itu sendiri. Tahniah dan syabas kepada mereka yang bertanggungjawab melahirkan saluran ini. Idea yang bernas dan harus disokong oleh orang tempatan. Menyebut tentang sokong menyokong ini saya ingin melahirkan sedikit rasa kurang selesa dengan tahap minatnya orang tempatan terhadap sukan dan atlit luar khususnya liga bola sepak Inggeris. Tidak salah menyokong mana-mana pasukan tetapi sedarlah diri bahawa kita orang Malaysia. Pasukan di Malaysia memerlukan sokongan orang Malaysia. Ya betul kualiti permainan mereka jauh lebih baik daripada pemain kita, memang dalam sepuluh tahun lagi pun belum tentu pemain kita dapat mempamerkan mutu permainan seperti itu.

Jadi dimanakah titik tolaknya untuk para ahli sukan dan atlit tempatan dapat menandingi atlit luar. Jawapan saya :  Pertama : Perancangan oleh badan sukan dalam negara itu sendiri dan Kedua : Sokongan padu peminat tempatan. Kementerian Belia dan Sukan tentunya telah ada perancangan strategiknya tersendiri. Kita serahkan sahaj kepada mereka untuk memikirkan. Dan sekarang peranan kita sebagai rakyat Malaysia.. Sokong atlit tempatan.. kenali mereka, kenali sukan mereka dan dekati aksi mereka. Saluran Astro Arena rasa saya antara tujuannya mungkin untuk mendekatkan kita dengan aksi atlit tempatan. Nah.. kita diberi ruang dan kesempatan untuk menyokong sukan tempatan. Kementerian Pelajaran akan mewajibkan setiap pelajar menceburi 1 bidang sukan di sekolah. Memang sesuatu usaha yang bagus.

Sudah-sudahlah kita didodoi dengan kehebatan atlit dan pemain luar.. Kata seorang yang buruk sangka "Entah-entah ada di kalangan mereka tak ingin pun atau sudi beraksi di depan kita (yang telah menyokong hidup mereka bertahun-tahun lamanya)". 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 25 March 2010

EARTH HOUR - 27 MAC - 8.30 hingga 9.30 MALAM




Marilah kita semua rakyat  di seluruh Malaysia sedar kepada kempen dan aktivti yang sungguh murni ini. Aktivti dan pendekatan yang saya lihat untuk memberi kesedaran kepada seluruh penduduk BUMI untuk memberikan sedikit rasa dingin kepada BUMI.. Tempat kediaman kita ini. Memberikan juga sedikit kerehatan tenaga yang melingkari permukaannya..

Benda fizikal yang paling besar yang menyentuh diri kita adalah BUMI ini. Dengan perubahan iklim kesan peredaran zaman, aktiviti manusia yang beraneka ragam, penggunaan pelbagai sumber dan tenaga untuk industri dan perjalanan manusia sepanjang masa tentunya BUMI kita ini semakin panas.

EARTH HOUR tentunya bukan sekadar untuk kita sedar realiti yang ditanggung oleh BUMI kita kini, tetapi lebih kepada kita untuk membuat pilihan untuk menyokong dalam menjaga BUMI ini dengan baik. Setelah pilihan tindakan yang lebih baik dibuat tentunya kita boleh mengharapkan kepada hasil yang lebih baik pada keadaan BUMI kita. Hasil yang lebih baik memungkinkan ada peningkatan kepada kelangsungan kehidupan di BUMI yang lebih baik..

Jadi jangan lupa anda dan saya pada malam 27 Mac ini (Sabtu) nanti untuk kita bersama-sama memadamkan lampu walau di mana pun kita berada. Untuk jangkamasa 1 jam sahaja (8.30 hingga 9.30 malam). Lakukanlah sedikit pengorbanan sebagai simbol kecintaan kita kepada BUMI yang penuh berjasa kepada seluruh manusia ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, 23 March 2010

Lebih Ramai Polis di Luar Balai





Ketua Polis Negara mengatakan di masa hadapan semua pegawai polis yang berpangkat ASP dan ke bawah akan turut sama menjalankan tugas di luar balai demi meningkatkan lagi keupayaan pasukan Polis dalam menangani masalah jenayah yang ada. Sekarang pun kita sudah melihat rata-rata di kawasan yang "panas" dan sesak telah ada pondok-pondok Polis disediakan. Cuma kadang-kala kita dapati tiada anggota polis di dalamnya. Kita bersangka baik, mungkin di masa itu bukan waktu bertugas agaknya.

Dengan pertambahan anggota polis yang meronda dan menjaga kesejahteraan ini, rakyat dan orang awam yang cintakan keamanan tentunya akan menarik nafas lega dan dengan hati yang sedikit lapang. Bagi penjenayah perubahan corak kerja anggota Polis ini mungkin saya fikir akan mengubah sedikit perlakuan dan teknik mereka melakukan jenayah.

Saya suka membawa para pembaca blog ini ke arah mana sepatutnya anggota Polis perlu kerap meronda. Saya terus fokus kepada kawasan bandar. Ini adalah kerana kekerapan jenayah secara logiknya pun banyak di bandar. Kalau pihak PDRM telah ada sistem GIS (Sistem Maklumat Geografi) yang merekod kadar kejadian jenayah di Malaysia, saya percaya zon dan kawasan yang merah (panas dengan kes jenayah) tentunya di KL, Johor Baharu, Klang, Pulau Pinang dan lain-lain yang sewaktu dengannya. Di kawasan dan zon inilah harus diletakkan lebih anggota.

Kita lihat masyarakat yang menetap di bandar-bandar kebanyakkannya kedua-dua suami dan isteri keluar bekerja. Apabila keluar bekerja aset yang paling besar ditinggalkan iaitu rumah. Rumah kalau ada pembantu rumah mungkin selamat sedikit. Bagi golongan yang "berada" selamat juga sebab ada pengawal keselamatan sendiri. Bagi yang ada komuniti berpagar dan ada pengawal juga boleh diharapkan sedikit jaminan keselematan tetapi bagi yang lain-lain.. kita tidak pasti sejauhmana selamatnya rumah itu apabila ditinggalkan. Bagi saya jenayah yang paling mudah, kurang risiko dan agak berbaloi juga adalah pecah rumah. Jika hendak dibandingkan dengan jenayah ragut, merompak kedai, memukau, merogol, menipu dan membunuh.. jenayah pecah rumah rasanya lebih menguntungkan.. Jadi trend untuk jenayah pecah rumah mungkin semakin meningkat. Buktinya kita dapat lihat dimana-mana pun produk yang berasakan keselamatan seperti CCTV dan penggera (alarm) semakin menjadi keutamaan masyarakat.

Jadi adalah amat bersesuaian sekali untuk anggota Polis yang sudah semakin ramai yang berada di luar balai ini untuk dapat kerap meronda ke lokasi perumahan yang mungkin menyimpan seribu macam kekayaan dan sumber tarikan penjenayah.

Menyentuh sedikit kebajikan anggota-anggota Polis kita, sememangnya wajar untuk kerajaan mengkaji semula kadar elaun dan gaji semasa mereka yang antara tugasnya yang boleh menggadai nyawa dalam memikul amanah menjaga keamanan negara.

Akhirnya sebelum saya meletakkan noktah di hujung sudut ayat ini, jenayah berpunca daripada kesempitan hidup, perasaan marah, dendam, iri hati dan tidak dilupakan juga ialah ruang yang sedia ada.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 20 March 2010

Melihat Aksi Marah




Semalam, selepas waktu pejabat di tepi sebatang jalan, ketika menunggu isteri membeli barang di sebuah kedai berhampiran. Orang lelaki biasalahkan bukannya rajin nak ikut isteri membeli barang. Sambil menunggu tu melihatlah saya kepada semua kenderaan yang lalu lalang. Jalan agak sesak maklumlah sedang dalam waktu orang balik dari pejabat. Dengan asyik melihat macam-macam kenderaan yang melalui jalan berkenaan, tiba-tiba kedengaran jeritan "Bodoh!" daripada pemandu sebuah lori pickup. Dia menjerit marah kepada seorang penunggang  motorsikal yang mungkin menyebabkan dia marah.. Mungkin motorsikal itu melulu pergerakannya atau ada tindakan yang boleh membahayakan agaknya..

Pembonceng motosikal berkenaan mendegar jeritan pemandu lori tadi dan mengarahkan rakan yang membawa motorsikal berhenti. Saya lihat dia terusmelompat turun daripada motorsikal dan meluru kearah lori berkenaan dan menahannya. Tangan pembonceng tadi penuh 'tatu'. Saya rasa dia mungkin seorang yang berani atau 'samseng'. Memang gayanya sungguh marah. Terus dia berteriak kepada pemandu lori untuk turun daripada lori berkenaan. Berlaku sedikit pertengkaran ditepi jalan yang sesak tu.. Saksi utama kejadian mungkin sayalah agaknya ;)

Pemandu itu tidak turun daripada lori berkenaan, mungkin dia sedar situasinya yang mungkin agak membahayakan. Yang bertatu di tangannya tadi terus menempik dan membuka bajunya pula.. Penuh lukisan tatu di badannya.. Saya ada terfikir sikit... untuk meleraikan keadaan, tapi elok kita jangan masuk campur sebab saya pun tak pasti keadaan dan masalah sebenar mereka. Dia terus menumbuk beberapa kali pintu lori berkenaan. Kemik sedikit pintu lori tu.. kemudian pemandu lori tu pun beredar dan penunggang dan pembonceng motorsikal juga beredar. Mungkin masing-masing telah puas hati dan ingin mengakhirkan kes disitu sahaja agaknya..

Moral daripada kisah ini bagi saya adalah :

1. Berhati-hati di jalanraya yang sesak.
2. Sekiranya ada kesilapan sedikit-sedikit pengguna jalanraya lain, janganlah terlalu marah bagai nak gila. Sebab takutnya nanti yang kita marah tu seorang yang panas baran, gangster ataupun gila.
3. Sekiranya melihat kejadian pergaduhan orang lain, fikir dan analisa situasi. Bertindak dan masuk campur sekiranya perlu sahaja. Memang menjadi orang tengah ataupu hero itu hebat, tetapi jika kita pula yang menjadi mangsa.. susah pada kita pula nanti.
4. Kekuatan fizikal penting juga apabila diperlukan untuk mempertahankan diri di waktu kecemasan.

Sabar itu separuh daripada Iman..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 17 March 2010

Hingar Bingar Dalam Parlimen




Melihat berita di TV luahan seorang ahli parlimen bebas terhadap DSAI. Macam-macam yang diberitahunya di dalam dewan Parlimen yang bersidang.. Menyentuh perkara dalam PKR saya fikir. Itu ini, Panglima Tentera, begitu begini, Tuan Guru, Terompah.. Juga menyebut DYMM Yang DiPertuan Agong dan sebagainya.. DSAI tentunya panas telinga dan panas satu badan saya rasa. Tapi bukan itu isunya di sini saya menulis tajuk ini.

Isunya ialah suasana yang lebih daripada suasana "PASAR" tu sendiri. Mungkin bising-bising itu berlaku tidak lama tetapi ia telah dirakam dan disiarkan kepada semua maka tanggapan sesetengaah orang.. "Laa... macam ni ker cara mereka yang bijak pandai ni berbincang..." Masing-masing baik yang di sebelah kerajaan dan pembangkang terjerit-jerit mengeluarkan kata-kata yang lagaknya macam budak-budak sekolah rendah. "Satu Malaysia" melihat di kaca TV gelagat dan cara ahli parlimen (wakil rakyat mereka) beraksi. Yang Dipertuan Agong rasa saya baru sahaja bertitah menegur tentang adab dan perangai ahli Parlimen semasa di Parlimen.

Kesimpulan : Walaupun jika benar seseorang itu salah dalam tindakannya, janganlah sampai kita dipihak yang benar (kononnya) beraksi dengan cara yang menjatuhkan harga diri kedua-duanya sekali (Harga diri sendiri & harga diri musuh kita )
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 13 March 2010

MED - Model Ekonomi Baru




Saya rasa dan menjangkakan dalam MED yang bakal dibentangkan akan mengariskan perubahan dalam dasar dan kaedah perjalanan kerja baik dalam kerajaan, swasta mahupun individu di Malaysia. Kedengarannya akan berasaskan kepada kreativiti dan inovasi tetapi elok kita tunggu dan cuba fahami nanti apa yang bakal diutarakan. Kita sering mendengar tentang bioteknologi dan nanoteknologi dalam industri global semasa.. Mungkinkah kedua-dua teknologi ini akan dijadikan teras kemajuan ekonomi berpendapatan tinggi? Atau adakah dengan pemacuan ekonomi yang berasaskan mutu produk dan mutu perkhidmatan? Atau adakah dengan mewujudkan jalinan bekerjasama berskala besar seperti dalam bidang pertanian dan perladangan? Atau mungkinkah tumpuan diberi kepada nilai modal insan yang perlu dipertingkatkan? Tentunya mereka yang makan gaji, peniaga, golongan bekerja sendiri, golongan yang tidak berkerja tetap akan amat mengharapkan sesuatu yang mungkin boleh merubah keadaan semasa kepada keadaan yang lebih baik. Mungkin faedahnya tidak secara terus kepada dirinya tetapi mungkin paling tidak pun mereka boleh merasa tempias manfaat dan impak positif yang ada nanti ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 12 March 2010

Waktu Pulang Bekerja




Saya sering mendengar orang berkata 'Saya selalu balik lewat dari pejabat', 'Saya balik pejabat pada waktu malam', 'Saya balik dari pejabat paling awal jam 7 malam' dan 'Saya jarang balik awal'. Saya menafsirkan semua kata-kata diatas menunjukkan mereka berbangga dengan pulang lewat daripada pejabat. Daripada satu sudut kita melihat pulang lewat daripada pejabat atau tempat kita bekerja adalah satu ukuran bahawa betapa komitednya dia dengan tugas dan tanggungjawabnya. Dengan komitmen, peranan dan tanggungjawab tertentu yang diamanahkan memang kadang-kala kita tidak dapat mengelak untuk lewat pulang daripada pejabat walaupun jam telah lewat dan keadaaan sudah semakin gelap.  Untuk mengejar sasaran kerja tertentu yang telah ditetapkan oleh Boss, kita terpaksa berbuat demikian. Selain itu memang pulang lewat boleh dimanfaatkan sebaiknya untuk menyiapkan kerja yang perlu diselesaikan segera, meningkatkan peluang untuk mempelajari sesuatu, meningkatkan kefahaman, memantapkan kemahiran dan sebagainya.

Saya suka melihat dari satu sudut lagi, iaitu pekerja seharusnya bijak mengatur masa dan pulang pada waktu yang ditetapkan. Mengapa saya mengatakan sedemikian? Ini huraian saya :

1. Kerja sampai bila-bila pun tidak akan habis. Setelah siap satu tugasan, akan ada lagi tugasan lain, itulah kerja di dunia. Dengan teknologi yang ada kita boleh membawa lebihan kerja berkenaan di rumah. Ini bergantung juga kepada jenis kerja yang dilakukan.

2. Waktu bekerja biasanya adalah 8 jam. Dalam tempoh itu kita telah berikan segala tumpuan yang penuh bekerja, berfikir, menganalisa, mengira, mengatur, menaip, menyelaras, merekabentuk, menulis, membaca dan sebagainya. Selepas 8 jam tentunya fokus otak dan minda kita akan berasa letih. Badan juga akan menurun kadar kesegarannya. Jadi apa ditunggu lagi.. baliklah berehat.. Esok, InsyaAllah kalu panjang umur masih ada kerja menanti kita..

3. Keselamatan kita tidak terjamin apabila kita duduk keseorangan di pejabat dalam waktu yang agak lewat. Ambil sahaja contoh dari filem P2. Tidak mustahil perkara seperti yang digambarkan dalam filem ini boleh menjadi realiti.

4. Bagi yang sudah berkeluarga, masa bersama keluarga perlu ada. Apabila pulang anak dah tidur. Isteri pun sempat kita sembang sekadar beberapa minit sahaja. Bagaimana boleh adanya cukup kemesraan dan kasih sayang dalam rumahtangga. Kasihan mereka.. Konsep dan matlamat untuk mewujudkan masyarakat penyayang mungkin boleh jadi sukar.

5.  Dalam kehidupan kita juga memerlukan kepada masyarakat dan orang di sekeliling. Jiran tetangga misalnya. Umat Islam contohnya akan perlu paling tidak sekali sekala menjenguk ke masjid dan surau untuk berjemaah. Kita juga perlu ke pusat pertemuan komuniti untuk menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan. Kalau masa tu asyik habis di pejabat sahaja bila lah masanya untuk menjalankan peranan kepada masyarakat dan berkenal-kenal dengan ahli masyarakat.

Waktu bekerja, kita kerja.. Waktu balik kerja, kita balik kerja.. Lainlah sekiranya apabila masa tambahan kita di pejabat itu dikira RMnya dan lumayan pula kadarnya ;)

Semoga MEB (Model Ekonomi Baru) yang bakal dibentangkan oleh kerajaan sedikit masa lagi melihatkan aspek waktu bekerja ini sebagai antara satu parameter meningkatkan pendapatan pekerja-pekerja di Malaysia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, 9 March 2010

YB Zulkifli Nordin



Melihat muka hadapan akhbar Mingguan Malaysia hari Ahad 7 Mac 2010, terpampang wajah YB Zulkifli Nordin, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu yang dipecat daripada PKR. Beliau mengatakan ini membuktikan bahawa PKR tiada agenda untuk memperjuangkan Islam. Cukup untuk saya tuliskan mengenai beliau dan PKR setakat itu sahaja ;) Rasanya kita semakin jelas apa yang telah lama berlaku atau apa yang bakal akan berlaku dalam PKR itu sendiri.

Melihat ketegasan yang ada dan prinsip yang jelas dalam memperjuangkan Islam sebagai agenda politiknya, saya yakin, YB Zulkifli tidak perlu risau apa yang akan dilaluinya selepas ini. Yang penting saya rasa adalah untuk beliau memperjelaskan lagi niat dan bersungguh-sungguh lagi memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara. Atas nama apa atau parti politik mana, terpulang kepada kebijaksanaan beliau.

Melihat kepada arus perubahan ini, saya secara peribadi sebagai rakyat dan orang biasa amat mengharapkan agar semua kebenaran dan kebaikan yang ada akan tidak akan tersembunyi lagi.. Dengan fitnah dan kemungkaran yang semakin berleluasa dan disebar dimana-mana, mengapa tidak perkara kebaikan juga sebegitu malah diperhebatkan lagi dan terus membenam teruk semua yang kekotoran yang tidak baik. Amin..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 3 March 2010

Ulamak Kurang Menegur..

Saya sekadar berkongsi pandangan untuk para pembaca di luar sana. Sekarang ini kita lihat banyak kemungkaran yang melanda dalam masyarakat.. Tidak dinafikan banyak juga pergerakan dan usaha untuk mengembalikan masyarakat ke jalan yang benar, tetapi cabarannya semakin hebat juga untuk ke arah aktiviti dan kerja-kerja yang agak melalaikan dan takut-takut boleh menyesatkan.. Gejala sosialnya, buang bayinya, maksiatnya, salahguna kuasanya, keruntuhan moral, perlanggaran tatasusila, pertelingkahan sesama bangsa dan agama, keruntuhan institusi keluarga, kecelaruan identiti anak-anak mudanya, persoalan tentang hukum dan syariat Islam, hiburan-hiburan yang memanjangnya, penyalahgunaan lesen atau sijil halalnya, masalah itu, masalah ini dan macam-macam lagi.

Apabila memikirkan permasalahan yang banyak ini, terfikirkah kita bahawa sifat semula jadi manusia ni mungkin diantaranya adalah ia perlu ditegur dan dirujuk. Maksud saya setiap tindak tanduk kita yang hendak dibuat selalunya akan kita nilai dan fikir dahulu sebelum direalisasikan. Semasa menilai dan berfikir ini, otak kita akan merujuk mana-mana fakta, data dan maklumat yang ada dalam fikirannya. Jika singkat tempoh pemikiran dan pembelajarannya maka tindakan yang dibuat mungkin belum cukup matang dan mungkin tindakan yang tidak tepat dipilih. Jadi, disini datangnya fungsi menegur tadi oleh orang lain. Ditegur oleh orang lain yang lebih matang, lebih mengetahui, lebih berilmu, lebih beriman dan lebih tinggi kedudukannya.

Dalam konteks perjalanan hidup masyarakat beragama Islam di Malaysia, tentunya peranan ulama itu penting. Mungkin kita telah melihat hanya sesetengah mufti sahaja yang selalu kedengaran hujah dan kata-katanya di media. Mengapa tidak suara-suara yang lebih lantang dan berani menegakkan kebenaran itu daripada golongan ulama dipersembahkan dengan jelas kepada masyarakat khususnya kepada pemimpin masyarakat misalnya. Mana yang silap ditegur.. itu sahaja. Takutnya nanti kita pula yang akan dipersalahkan kelak kerana tidak menegur..

Tidak kira siapakah kita dan apa pekerjaan kita, cubalah sedayanya memainkan peranan sedikit untuk berdakwah kearah memberi nasihat ke arah jalan yang baik. Masing-masing dengan kapasiti dan ilmu yang ada, sampaikanlah ilmu yang ada mengikut kemampuan kita itu..

Menegur hanya dengan niat di dalam hati tidak mempersetujui sesuatu kemungkaran adalah tahap iman yang paling lemah. Wallahualam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, 2 March 2010

Lupakan Sejarah Lalu.. Cari Kebahagiaan Masa Depan




Baru-baru ini saya berkesempatan bersembang dengan seorang kenalan yang pernah dikenali dahulu.. Setelah 6 tahun tidak berjumpa akhirnya bersua di internet. Seorang lelaki dan segak orangnya.. Kami memang mengenali latar belakang masing-masing tetapi jarang juga berbincang perkara-perkara yang melibatkan urusan peribadi kerana saya tidak beberapa selesa untuk menyentuh hal peribadi dia dan hal peribadi saya juga. Tidak seperti segelintir orang di dalam bidang kewartawanan yang mungkin ada yang gemar kepada cerita-cerita peribadi @ "dalam kain" yang suka untuk dijaja demi untuk melariskan akbar ataupun majalah mereka.

Sahabat saya tadi.. Rupa-rupanya beliau masih belum berkahwin lagi. Saya tengok kehidupannya agak baik.. Lengkap serba serbi, tiada apa yang kurang.. lebih lagi mungkin ;) Usianya lebih 2 tahun daripada saya. Saya bertanyakan kenapa beliau tidak mendirikan rumahtangga. Jawapan yang diberi.. masih teringatkan kisah dan sejarah lalu yang masih terkesan dalam ingatannya. Pengalaman tak beberapa manislah tu agaknya saya rasa.. Dengan jawapan sebegitu rupa saya rasa.. itu jawapan yang tidak patut.. Mengapa kita membiarkan sejarah "KELABU" zaman dahulu menyekat kita untuk membuat corak baru yang lebih menarik dalam diri kita. Ya.. zaman bujang memang ada seronoknya. tetapi ingat zaman bercinta juga ada keseronokkannya yang lebih lagi.. Dan seterusnya zaman berkeluarga tentunya lebih lagi dan seterusnya zaman beranak pinak hingga ke cucu cicit ;)

Saya baru teringat, sepatutnya saya memberikan respon kepada beliau terus atas jawapannya itu.

Berikut adalah contoh situasi yang saya umpamakan kisah sahabat saya tu : Bayangkan suatu masa dahulu seorang anak belajar untuk menaiki basikal, dengan kayuhan pertamanya dia terjatuh dan terluka.. Mungkin cedera lukanya agak dalam dan memberi kesan parut yang lama. Setelah beberapa tahun dia masih fobia dan takut untuk mencuba mengayuh basikal kembali.. Dan setelah sekian tahun dia masih terus kekal enggan untuk mencuba kembali menaiki basikal.. Dan di saat dia melihat rakan-rakan lain menunggang basikal dengan penuh riang gembira, sedikit sebanyak dia akan rasa sedikit sedih dan mungkin menyesal.. Begitu jugalah umpamanya dalam kehidupan kita ini. Jangan biarkan pengalaman lalu membunuh atau melambatkan cita-cita dan impian kita yang berada dihadapan. Semoga beliau ada membaca blog ini..hehehe.. I'm sorry ;p

"Jikalau kita melihat ke belakang dalam hidup kita, kita akan mendapati bahawa walau apa pun yang berlaku kepada kita ia akan sentiasa menjadi berfaedah kepada kita"

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 26 February 2010

Rasulullah S.A.W. Sebagai Contoh Tauladan Terbaik..




Hari ini kita umat Islam menyambut ulang tahun kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. iaitu Rasul terakhir yang memimpin dan menjadi panduan untuk umat di akhir zaman. Sudah sekian lama Baginda meninggalkan kita dan dengan berlalunya zaman, Baginda tetap menjadi manusia yang terbaik bagi seluruh umat manusia dari permulaan kisah Baginda sebagai Rasul sehinggalah disaat akhirnya perjalanan dunia ini nanti. Setiap daripada kita sebagai pengikut Baginda seharusnya berasa bertuah dan bersyukur kerana ditakdirkan tergolong dalam umat Baginda.

Baginda telah menunjukkan jalan dan cara yang paling elok bagaimana untuk melalui kehidupan ini, tetapi kita sebagai manusia biasa selalunya mudah lupa untuk mengikut apa yang telah direncanakan untuk kita.. Sebaliknya kita pula dengan mudah dan rela hati tunduk dan menyokong pula fahaman dan amalan musuh-musuh kita.. Musuh yang nyata dan musuh yang tidak nyata juga..

Tanpa perlu berceloteh panjang, saya mengingat diri dan rakan sahabat yang membaca blog ini, bahawa carilah masa yang masih ada untuk kita mengenali sejarah dan memahami perjalanan hidup serta mengamalkan segala panduan daripada Baginda kerana di dalam kehidupan yang semakin mencabar ini, tentunya kita sangat perlu untuk merujuk kepada hakikat yang benar.. Jadikanlah Hadith dan Quran dekat dengan diri kita.. Agar kita tidak terpesong daripada jalan yang sebenar-benar.. Wallahualam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 20 February 2010

Peningkatan Suhu Mungkin Boleh Mengubah Rutin

Semasa hendak menulis tajuk ini, saya memasang kipas. Mula-mula tetapan kelajuan kipas adalah satu... tidak rasa apa sebaliknya rasa panas.. saya tingkatkan ke tahap kelajuan dua.. barulah rasa dingin sikit.. ini pun sebab di masa ini, hujan yang turun baru sahaja berhenti.. Hari ini diberitakan suhu tertinggi di Malaysia dicatatkan 36.7 darjah celcius.. panas betul..

Menurut seorang pensyarah daripada sebuah universiti tempatan, banyak faktor yang menyumbang kepada peningkatan suhu di Malaysia sekarang ini. Aktiviti penebangan pokok dan hutan secara tidak terkawal dan pembangunan yang tidak menjaga kestabilan ekosistem alam. Turut menyumbang adalah perubahan iklim global dunia keseluruhannya.




Rasanya jika peningkatan suhu ini berterusan dalam masa puluhan tahun lagi, rasanya rutin manusia (di Malaysia saya rasa) akan boleh berubah. Jika sekarang kita keluar bekerja di waktu siang. Di masa hadapan nanti mungkin kita kena keluar bekerja di waktu malam.. Bagaimanakah agaknya nasib dan cabaran mereka di zaman itu?

Di masa ini antara rutin yang saya lihat sekarang untuk kita mengelakkan daripada terseksa dengan peningkatan suhu ini adalah:

1. Berada di tempat berhawa dingin seperti di rumah, pejabat, kompleks membeli belah dan sebagainya.
2. Berada di tempat seperti di air terjun dan hutan lipur.
3. Berada di tempat peranginan tanah tinggi yang lebih dingin.
4. dan akhirnya, Berada di dalam kenderaan ;) 

Sesungguhnya kita ini adalah makhlukNya yang lemah.. Panas di dunia pun kita tidak tahan, apatah lagi nanti dengan kepanasan di akhirat kelak..


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 18 February 2010

Yang Baru dan Yang Lama

Setiap individu tentu ada koleksi peribadinya tersendiri.. Kalau hobinya mengumpul barangan antik, tentunya pelbagai koleksi barangan lama telah dimiliki dalam simpanannya. Tentunya benda itu berada dalam keadaan elok, ada harga dan nilai tersendiri. Walaupun benda tu lama ianya kalau disayangi tentu ianya masih kelihatan menarik dan nampak berharga dan mungkin dicemburui orang lain. Benda dan perkara yang lama janganlah dilupakan atau diletakkan ditepi (dengan terlalu melihat kepada benda baru sahaja) kerana jika tiada dahulu dimana datangnya yang sekarang itu..



Mengambil contoh bangunan lama dan baru.. Dalam konteks penjagaan bangunan baru dan bangunan lama di negara kita saya fikir mungkin ada banyak lagi ruang dan cara bagi kita lebih menghargai khazanah dan aset kepunyaan kita yang telah diwarisi sekian lamanya ini. Lihat sahaja di Kuala Lumpur.. Kita masih dapat lihat banyak bangunan lama seperti bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan KL, Ibu Pejabat Stesen Keretapi Tanah Melayu, Masjid Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Angkasaraya dan banyak lagi.. Di sepanjang perjalanan zaman tertegaknya bangunan-bangunan lama ini, semakin hari semakin banyak bangunan-bangunan baru didirikan di sekitarnya.. Dengan fungsi-fungsi penting yang masih dimainkan oleh bangunan-bangunan lama ini, tidak dapat dinafikan ianya harus dijaga dan diselenggara dengan sebaiknya.

Memang kita harus melihat ke hadapan, melakar dan mencipta sesuatu yang baru.. tetapi apalah maknanya kalau perkara lama yang telah memainkan peranan penting, penuh bersejarah dan satu-satunya identiti kita yang unik tidak diuruskan dan dijaga dengan baik.. Yang pentingnya kita seimbangkan kedua-duanya.

Bukan setakat bangunan sahaja, malah kita perlu melihat kepada aspek dan perkara lain juga seperti budaya lama, ilmu lama, buku lama, amalan lama, baju lama, kemahiran lama, sistem lama dan juga kepada orang lama ;)

Yang baru ditatang dan yang lama dijaga.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apabila Kita Diuji..

Hidup kita di dunia adalah antara komponen kehidupan sementara daripada keseluruhan perjalanan kehidupan kita sebagai seorang manusia. Sebagai hamba kepada yang Maha Esa, kita ditugaskan untuk menguruskan hidup kita di atas muka bumi ini. Bumi yang dipinjamkan sebagai antara tempat persinggahan yang menyediakan bermacam-macam kesempatan dan peluang untuk kita menggunakannya sebagai bekalan di alam berikutnya.. Dari kecil, remaja, dewasa dan sehingga akhirnya nanti kita akan sentiasa diuji dalam untuk menentukan ganjaran yang bakal diperolehi kelak.. Besar ujiannya dan jika kita berjaya melepasinya maka beruntunglah kita..

Dalam kehidupan, kita tidak akan dapat lari daripada diuji.. Diuji oleh Tuhan dengan pelbagai perkara.. Bagi setiap ujian yang datang kita harus dan wajib menhadapinya dengan cara yang paling terbaik. Memang mudah untuk saya menuliskan disini.. Memang mudah untuk anda membaca dan memahaminya.. Tetapi, kadang-kala kita lupa dan amat sukar dari segi pengamalannya. Bak kata orang putih "High knowing, Low doing".

Apabila diuji dengan nikmat, kita kena bersyukur..



Apabila diuji dengan kesusahan, kita kena bersabar..

Sememangnya untuk mengatakannya adalah lebih mudah daripada untuk mengotakannya..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 12 February 2010

Jangan Tunggu Lama-Lama



Terpanggil untuk mengutarakan tajuk ini, ditujukan khas kepada rakan kenalan, sahabat handai serta para pembaca yang budiman di luar sana yang masih bujang, tidak kiralah samada lelaki ataupun wanita ;) Kebiasaannya apabila seseorang itu telah menjangkau usia 30 tahun dan dia belum berumahtangga maka masyarakat atau orang di sekitar akan tertanya-tanya mengapa dia belum berkahwin. Jawapan yang biasa untuk menjawab persoalan yang bermain-main di kepala sesiapa yang bertanya itu adalah samada dia belum ada jodoh ataupun dia seorang yang memilih pasangan..

Kadang kala kita melihat seseorang itu telah cukup keperluannya, cukup perbelanjaannya, ada rupa, ada gaya dan baik sifatnya tetapi masih lagi kita melihat dia keseorangan tidak berteman.. Ada dikalangan yang saya kenali melahirkan rasa tidak selesa mereka apabila ditanyakan tentang mengapa dia belum berkahwin.

Sedikit pandangan daripada saya yang bukanlah ahli dalam psikologi rumahtangga agar dapat diambil mana yang patut untuk renungan. Bagi kita yang telah melepasi garisan perkahwinan itu bersyukurlah dan berdoalah agar rumahtangga yang ada kekal kukuh sampai bila-bila dan bagi peluang mereka yang masih bujang ini merasai perjalanan hidup berkenaan serta menentukan sendiri hala tuju dan pilihan terbaik mereka. Mereka mempunyai hak memilih sesuatu untuk diri sendiri.

Cumanya bagi saya, apabila dah melepasi 30 tahun tu, janganlah dibiarkan sahaja masa berlalu begitu sahaja menjadi 31, 32, 33 dan seterusnya, takut-takut nanti terlajak jauh ;) Siapa yang rugi? Anda jawablah sendiri..hehe..

Kesimpulannya jangan membujang lama-lama dan kepada yang berminat dan berhajat kepada mereka yang masih bujang ini.. "Jangan tunggu lama-lama.. nanti diambil orang". Kalau hati dah berkenan, jangan malu dan jangan segan, terus terang dan tak usah berselindung-selindung lagi.. kerana zaman tindakan bermaksud yang tersirat-sirat itu nampaknya telah semakin kurang relevan dan semakin ditinggalkan... Jangan takut untuk maksud kita itu ditolak akhirnya tetapi takutlah jika kita sendiri yang menolak maksud kita itu diawal-awalnya lagi ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, 7 February 2010

Gunakan Bahasa Malaysia Dengan Elok





Terdengar petikan kenyataan Menteri dari KPKK, DS Utama Dr Rais Yatim di radio mengatakan marilah kita rakyat Malaysia menggunakan bahasa Malaysia dengan betul dan tepat. Beliau memberikan contoh perkataan "alternatif". Mengapa perlunya kita menggunakan "alternatif" kerana di dalam bahasa Malaysia kita ada perkataan "pilihan" yang turut memberi maksud yang sama.

Selain itu kita dapat lihat sekarang ini, sudah menjadi kebiasaan penggunaan bahasa Malaysia dicampur adukkan dengan Bahasa Inggeris (rojak). Dari peringkat atas hinggalah ke bawah. Para pemimpin hinggalah ke orang biasa.. Cuma ada beberapa individu sahaja yang saya lihat di TV betul-betul menjaga penggunaan bahasanya apabila perlu menggunakan perkataan Inggeris semasa percakapan dalam Bahasa Malaysia. Antaranya beberapa orang dari kalangan ahli politik dan ahli akademik. Mereka saya fikir peka, sensitif dan serius dalam menjaga dan memartabatkan penggunaan Bahasa Malaysia di negara ini. Mereka akan menyebut "dengan izin" sekiranya ada perkataan Bahasa Inggeris digunakan. Kalau di dalam parlimen memang semua mempraktikkannya.. Semoga selepas ini semakin ramai rakyat (termasuk anda dan saya)sedar dan berusaha untuk menggunakan perkataan dan bahasa dengan lebih rasa tanggungjawab, bijaksana dan tidak di"ROJAK"kan dengan perkataan "Luar".Takut-takut 10 tahun dari sekarang, bahasa kita akan terdengar seperti Bahasa Indonesia ;)

Sayangilah identiti kita.. bahasa kita adalah salah satu daripadanya identiti itu.. Disarankan setiap pertuturan dan penulisan yang formal yang ke udara di TV, radio atau dalam talian, penerbit perlu sedaya upaya menapis dan memastikan Bahasa Malaysia digunakan dengan sebaiknya. Agak kurang senang mendengar celoteh seorang DJ di radio yang menggunakan istilah bahasa yang rasanya kurang manis. Maaflah kalau dia ada terbaca blog ini ;) Contohnya : Petua disebut "Pekhtua"... Begitulah rasanya bunyinya..  Jika dah terlalu kreatif dan inovatif janganlah sampai bahasa pun  hendak diubahsuai.. tak cantik jadinya... Bahasa Jiwa Bangsa!

Bukan Pakar Bahasa.. cuma memberi respond (Dengan Izin) kepada teguran menteri yang berkenaan..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 5 February 2010

Hikmah Kita Bersedekah






Sedekah adalah perbuatan amal jariah yang tentunya perlu untuk kita meningkatkan tahap keimanan yang ada. Dengan kewajipan berzakat yang telah ditentukan pada kadar 2.5% pada setiap pendapatan dan harta yang kita ada, mungkin nilai kadar berkenaan terlalu kecil untuk bayaran itu merubah dan membantu semua golongan yang memerlukan zakat. Jadi disini hadirnya fungsi sedekah. Sedekah adalah tidak terbatas.. Terpulang kepada kita sebanyak mana yang kita hendak berikan. 3 kelebihan bersedekah bagi umat Islam adalah:

1. Sedekah Dapat Memadamkan Kemurkaan Allah

Setiap daripada kita ada melakukan dosa.. Jika di"rewind"kan semula sejarah kita yang lalu, tentunya macam-macam kesilapan dan perbuatan silap yang telah kita lakukan.. Sebagai hamba, tentunya kita tidak mahu Allah sentiasa memandang kita dengan rasa kemurkaanNya. Dosa yang dilakukan dahulu sebenarnya sentiasa akan bersama kita selagi mana kita tidak betul-betul bertaubat.. Tentunya kita mengharapkan rasa belas dan mendapat kerahmatan daripadaNya. Bersedekahlah semampu yang boleh. Apabila ada orang yang meminta kepada kita, anggaplah mereka sebagai "posmen" yang dihantar untuk kita memberi... Memberi untuk "kita" sendiri sebenarnya..

2 Sedekah Dapat Membersihkan Harta

Dalam kita menjalani perjalanan hidup seharian terutamanya dalam melaksanakna tanggungjawab dalam bekerja, tentunya tanpa kita sedar, kita telah melakukan kecuaian seperti mencuri masa, tersalah guna, tersalah ambil, tersalah cakap, tersalah makan dan lain-lain.. Cukup bulan kita mendapat gaji.. Adakah gaji yang kita terima itu betul-betul setimpal dengan kerja dan amanah yang telah dilakukan? Tentunya ada bahagian-bahagian daripada gaji itu agak tidak bersih dan kotor akibat kelemahan dan kelalaian kita sendiri. Jadi, dengan mengeluarkan sedekah, ia boleh menyumbang kepada pembersihan harta kita.. harta yang dicari untuk diri dan keluarga..

3. Sedekah Adalah Pelaburan

Antara lebih kurang maksud satu hadith Nabi Muhammad S.A.W adalah apabila kita memberi sedekah, ia adalah ibarat kita menanam 1 benih, dengan benih itu akan tumbuh sepohon pokok dengan 7 dahan.. setiap dahan seterusnya akan mengeluarkan 100 buah... Setiap yang diberi akan dikembalikan dengan berlipat kali ganda.. Begitulah hebatnya ganjaran yang diberikan atas nilai sedekah yang dikeluarkan dengan penuh rasa iman dan yakin kepadaNya.. Bukan setakat pelaburan dunia malah pelaburan untuk akhirat ..InsyaAllah..

Petikan ulasan di atas sempat saya kutip daripada 1 sesi ceramah Jumaat pada yang disampaikan oleh Ust Uda Kassim. Moga anda dan saya selepas ini lebih ringan tangan untuk memberi sedekah.. Amin..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 3 February 2010

Teknologi Membuatkan Kita Semakin Kurang Bergerak





Teknologi adalah suatu kemajuan yang dicapai dan memperbaiki cara lama dalam manusia melakukan sesuatu perkara. Dalam mencapai sesuatu yang dihajatkan kita akan menggunakan kaedah samada secara manual yang lambat ataupun secara menggunakan teknologi yang lebih cepat. Secara umumnya sesuatu teknologi itu memperbaiki sesuatu perkara dalam 2 aspek utama iaitu memudahkan dan mempercepatkan. Sebagai contoh jika zaman dahulu untuk manusia menaiki struktur bangunan yang tinggi mereka menggunakan anak tangga. Kini kita menggunakan lif.

Tidak dinafikan teknologi membantu kita dalam memudahkan segalanya. Tetapi samada kita sedar ataupun tidak teknologi juga boleh memberikan kesan tidak baik kepada kita. Teknologi ICT misalnya nampak semakin kuat melekatkan punggung kita di hadapan skrin monitor baik di pejabat mahupun di rumah juga di mana-mana. Bagi yang asyik dengan melayan facebooknya tentu akan sentiasa berada di dalam talian dalam jangkamasa lama.. Layan dan terus melayan rakan kenalan.. Jika dahulunya mungkin kita ada memperuntukan masa untuk aktiviti senaman, riadah dan lain-lain aktiviti yang melibatkan pergerakan, tetapi sekarang ia telah beralih kepada hanya duduk di rumah melayan apa yang ada di skrin komputer... hanya jari-jemari sahaja yang banyak bergerak.. Kesannya, semakin kurangnya pergerakan dan aktiviti fizikal pada tubuh kita... Lemak pun semakin terkumpul kerana tidak digunakan.. Sendi-sendi pun tidak selancar dahulu.. Sedikit demi sedikit tubuh menjadi lemah, tidak cergas dan perut semakin buncit juga ;)

Jadi... buat anda dan saya juga, kena ingat apa yang penting dalam kehidupan ini adalah keseimbangan. Jangan sampai kita terlampau memberatkan sesuatu perkara sehingga terabai perkara-perkara yang lain.. Jangan terlalu bergantung sangat kepada teknologi.. sesekali cubalah kembali dengan cara lama yang tradisional yang mungkin lebih menyeronokkan jiwa ;))
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...