Tuesday, 28 September 2010

Hargai Pusaka Lama




Dalam suasana Aidilfitri yang masih ada, sempat saya menziarah rakan dan saudara yang masih diberi kesempatan olehNYA untuk bersua muka. Memang kita ini kadangkala sukar untuk berjumpa. Masing-masing sibuk dengan kerja dan urusan kehidupa masing-masing. Kadangkala tinggal dalam satu daerah yang sama pun kita jarang boleh berjumpa. Nasib baiklah sekarang ni adanya facebook yang boleh dimanfaatkan untuk memudahkan sedikit perhubungan dan salinan silaturrahim yang mungkin telah sedikit longgar dan hampir tiada setelah sekian ketikanya.

Dalam suasana dan ketika menziarah itu kita kadang kala dapat melihat perubahan yang ada. Perubahan dalam suasana, budaya, pemikiran, peningkatan taraf hidup dan sebagainya. Salah satu perkara yang tidak sengaja (bukan berniat untuk memburukan sesiapa) yang dapat saya perhatikan semasa musim raya ini adalah ada kalangan kita terutamanya generasi baru kurang dan tidak sangat menghargai khazanah dan barang pusaka lama.

Di rumah tinggalan arwah nenek moyang kita, jika dahulunya kita datang menziarah, kita dapat lihat banyak barang-barang lama yang boleh dikategorikan sebagai antik dan ada nilai sejarah lama. Barang-barang atau kelengkapan harian ini memang dah kurang sangat jumlahnya kerana banyak yang telah rosak, tidak digunakan, dibuang atau disimpan saja dalam stor. Barang-barang seperti gambar lama, buku lama, duit lama, peralatan dapur lama, peralatan rumah lama, perabot lama, basikal lama, mesin lama, pinggan mangkuk lama dan macam-macam lagi. Kalau anda pernah ke Amcorp Mall di Petaling Jaya setiap Ahad, ada pelbagai koleksi barangan lama dan antik di situ. Harganya pula agak lumayan bagi penjual di sana. Jadi saranan saya di sini bagi kita generasi baru yang mungkin ada memiliki atau mewarisi barangan lama, janganlah ia dibuang begitu sahaja kalau kita tidak mahu memilikinya. Ada sesetengah barang lama itu, lagi lama ia lagi tinggi nilainya..

Akhir kata, disamping barang-barang lama, hargai juga orang-orang lama kerana tiada dahulu tiadalah sekarang..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 22 September 2010

Permulaan Yang Baik




Sebelum Syawal lalu kita dikejutkan dengan kes pembunuhan kejam empat orang sekali gus. Saya turut bersimpati dengan seluruh ahli keluarga mangsa dan semoga mereka terus cekal untuk meneruskan kehidupan yang mendatang. Dengan kes ini yang masih berjalan siasatannya saya juga suka untuk merakamkan syabas kepada PDRM yang saya lihat cekap dalam mengumpul bukti dan menyiasat kes ini. Harapannya ia dapat diselesaikan dengan baik dan hukuman yang setimpal dapat dijatuhkan kepada mereka yang bersalah.

Daripada peristiwa ini kita melihat seorang yang profesional (betul-betul pro) pun jika tidak mengamalkan akhlak dan nilai diri yang baik rupanya lagi hebat dan lagi besar impak kesalahannya. Nilai yang dibawa bersama dalam hati dan fikiran sememangnya jauh lebih penting daripada ilmu dan kemahiran yang tidak berpandukan kepada nillai yang baik.

Aspek inilah rasanya yang cuba diterapkan semasa pimpinan PM sebelum ini. Sememangnya nilai baik yang tidak ditanam dari awal akan memberi risiko kepada diri, masyarakat dan negara. Mungkin penyelesaian kepada masalah nilai ini adalah kita belajar daripada alam.. Kita lihat kepada sungai.. Kita kadangkala sibuk membersihkan kekotoran di hilir atau muara sungai.. malangnya kekotoran dan masalahnya bermula dan berpunca di hulu sungai. Kita selalu tidak tahu pun apa yang berlaku di sana. Puaslah kita bertungkus lumus membetulkan itu dan ini tetapi ia masih berlaku juga..

Saya juga mengingatkan diri saya juga bahawa nilai yang baik itu perlu diasaskan pada peringkat permulaan.. Bukan setelah ianya membesar dan merebak luas..



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 2 September 2010

Salam Lebaran 1431H





      Asssalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Kepada semua pembaca blog ini, saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas tatapan, perhatian, buah fikiran dan komen yang diberikan. Semoga sedikit sebanyak ia memberi manfaat kepada semua. Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat bercuti kepada yang bakal bercuti untuk menyambut Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.. Bagi yang beraya di kampung dan akan memulakan perjalanan jauh, pastikan badan cukup rehat untuk memandu dan pandulah dengan berhemah, patuhi peraturan, ingati orang tersayang dan jangan lupa baca doa juga ;) Di hari baik bulan baik ini juga harapannya kita semua dapat merayakan dengan rasa penuh kegembiraan bersama sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai. Didoakan agar kita akan sentiasa berada dalam lingkungan rahmat daripadaNya jua. Semoga Ramadan 1431H yang bakal ditinggalkan ini akan menjadikan kita insan yang baru, yang akan lebih berjaya untuk mengharungi liku-liku dan cabaran kehidupan yang mendatang..

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri.. Maaf Zahir & Batin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 1 September 2010

Namewee Oh Namewee

Dahulu beliau mengubah suai lagu Negaraku menjadi "Negarakuku".. Kini beliau sekali lagi berani menampilkan satu lagi klip yang menyentuh sensitiviti perkauman pula. Nampaknya keinsafan dahulu hanyalah semata-mata "sementara" bagi beliau. Beliau mungkin masih mempunyai banyak lagi perkara yang terbuku di hati yang membuak-buak untuk dilepaskan.. Beliau masih muda, memang kreatif dan memang berani. Berani mengatakan ketidakpuasan yang beliau rasa dan beliau fahami. Bagi saya beliau mungkin ada hak untuk menzahirkan apa yang difikirkan tetapi beliau sepatutnya perlu ingat bukan setiap perkara itu boleh dizahirkan begitu sahaja. Dizahirkan dalam erti kata mem"BABI" buta, melulu, sumpah menyumpah dan tidak menghiraukan zon-zon sensitif dan ruang maruah bangsa 'Melayu' khususnya. Beliau sepatutnya mengkaji dahulu secara mendalam sejarah Tanah Melayu, Malaya dan Malaysia secara mendalam.. tentu dia akan berjumpa jawapan yang mungkin dia masih teraba-raba mencarinya mengapa Malaysia menjadi sebegini dan sebegitu.. Memang dalam hidup ni beliau lebih mudah untuk tidak puas hati kepada itu dan ini, tetapi ia mungkin memang ia telah diaturkan begitu, jadi mengapa suka sangat untuk beliau mempersoalkan kenapa begitu dan kenapa begini. Buat pihak yang berkuasa.. orang seperti ni nampaknya macam tidak mahu berterima kasih dan bersyukur berada di bumi Malaysia ini.. Sekali silap.. memang kita boleh maafkan..
Sememangnya Melayu memang amat bertolak ansur kepada orang lain..


Pepatah Melayu : Kerana mulut badan binasa..




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 25 August 2010

MEMPERINGATI DETIK SEJARAH KEMERDEKAAN MALAYSIA


Petikan di bawah saya petik keseluruhannya daripada :
http://www.i-putra.com.my/announcement/sej_merdeka_more.htm

Pilihan raya umum yang pertama ditandingkan pada tahun 1955. Parti-parti seperti PAS, Parti Negara di bawah pimpinan Dato' Onn bin Jaafar, Parti Buruh, Parti Progresif Perak, Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC dan sebagainya bertanding dalam pilihan raya umum tersebut.Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Dengan kemenangan dalam pilihan raya, kabinet kerajaan telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri yang pertama.

Pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai suatu rombongan ke London untuk membincangkan perkara-perkara mengenai kemerdekaan. Rundingan ini mengambil masa tiga minggu di London. Perjanjian London 1956 ditandatangani pada 8 Februari 1956 yang menyatakan persetujuan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sekembali ke Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan di Melaka.

Pada tahun 1956, suatu Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan. Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel atau lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid yang dipengerusi oleh Lord Reid dari Britian terdiri daripada pakar-pakar undang dari negara Komanwel. Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Reid dipinda oleh Jawatankuasa Kerja dan diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan.

Bendera Union Jack iaitu bendera British diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada tepat pukul 12 malam 31 Ogos 1957. Kemudian, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka. Jemaah Menteri diumumkan juga pada hari pengisytiharan kemerdekaan.

Pengistiharan Kemerdekaan

Apabila tarikh Kemerdekaan telah ditentukan, Tunku telah mengarah Jabatan Kerja Raya untuk membina sebuah stadium terbuka yang akan dijadikan tempat pengistiharan Kemerdekaan. Tunku memilih sendiri lokasinya, di sebuah bukit yang rendah berdekatan Jalan Birch dan stadium itu dinamakan 'Stadium Merdeka'.

Stadium Merdeka 5.00 pagi, 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya. Dato' Abdul Razak yang melawat Stadium pada pagi itu gelisah dengan takungan air di tengah-tengah padang di mana Askar Melayu akan mengadakan perbarisan kehormat. Dato' Razak adalah Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan dengan Tunku sendiri adalah Pengerusinya.

7.00 pagi, hujan mulai reda. Dato' Razak menalifon Tunku dan melaporkan keadaan di stadium. Beliau mencadangkan agar ketibaan Raja-raja Melayu, Duke serta isteri dan Pesuruhjaya Tinggi dilewatkan satu jam.

9.00 pagi, langit mulai cerah, rintik-rintik hujan semakin mengecil dan hilang dari pandangan. Perabut dan perhiasan mula dibawa keluar dengan kadar segera. Tunku telah bersiap sedia di rumahnya. Berbaju Melayu hitam, berkain samping, berselitkan keris bersarong gading dipinggang serta bertengkolok songket, Tunku menantikan saat untuk bertolak.

Di Stadium Merdeka, Tunku berdiri gagah menerima ketibaan Duke of Gloucester yang memakai pakaian istiadat ketenteraan British berpangkat Field Marshall. 'God Save The Queen' berkumandang ketika Duke of Gloucester yang merupakan pakcik Queen Elizabeth II masuk dan mengambil tempat. Duke telah diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray.

Raja-raja Melayu pula duduk dipayungi oleh sembilan payung kuning, Yang DiPertuan Agong pula duduk di tengah-tengah, di kirinya Tunku dan di kanannya Duke.

Duke kemudiannya menyerah 'Instrumen Kemerdekaan' yang mana merupakan suatu pengakuan British bahawa ia menyerahkan kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka kepada negara baru ini dan seterusnya menarik balik 'perlindungan' yang diberikan kepada negeri-negeri Melayu.

Tunku kemudiannya membacakan pengistiharan Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut "Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka". Acapkali suaranya tenggelam dan pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh rakyat sebuah negara baru yang lahir dari suatu perjuangan yang suci.

Seorang anak bangsa yang menyaksikan segalanya di depan mata, menghuraikan pengalamannya, Hujan renyai-renyai menghiasi pagi. Tanpa disedari linangan air mata membasahi pipi. Stadium Merdeka dibanjiri oleh anak-anak bangsa yang datang dari setiap pelusuk negeri. Masing-masing hadir dengan harapan yang tinggi. Menjadi saksi, satu peristiwa yang penuh bererti, yang tidak akan dilupai tersemat disanubari sampai mati. Merdeka telah kita miliki 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Semoga detik-detik keramat ini meresap dalam sanubari setiap daripada kita warga Malaysia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 18 August 2010

HEBAHAN - Tabarru' Asia : Pembangunan Komuniti Islam Kemboja Melalui Pendidikan




Astro Awani melalui rancangan Suara Generasi dan Agenda Awani telah beberapa kali membincangkan mengenai Tabarru’ Asia. Begitu juga, akhbar Sinar Harian menyiarkan tulisan satu muka penuh mengenai Tabarru’ Asia. Ia telah menarik minat pelbagai pihak yang ingin turut menyumbang kepada pembangunan komuniti Islam melalui pendidikan melalui Tabarru’ Asia. Untuk mengetahui bagaimanakah kita boleh telibat dalam projek ini, ikuti wawancara dengan Sdr. Norizan Sharif, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Perkembangan Minda (INMIND) dan Presiden, Persatuan Penggerak Pembangunan Komuniti Malaysia (Komuniti Malaysia) dengan link terus ke http://tabarruasia.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 7 August 2010

Bila Berdepan Dengan Makanan

Kita selalu dijamu untuk makan. Kita akan dijemput untuk makan kenduri, makan di majlis perkahwinan, jamuan perpisahan, jamuan di pejabat dan sebagainya. Kebiasaannya untuk sesi makan-makan ini, kita akan rasa lebih berselera dan lalu untuk makan. Tidak salah untuk kita makan bagi memenuhi jemputan dan hajat sesesorang. Dalam ruang kali ini, saya bukanlah ingin menguris hari sesiapa, tetapi ia lebih kepada untuk memberikan sedikit buah pandangan dan tulis bicara untuk keselesaan dan manfaat bersama.




Melalui pemerhatian dan pengalaman saya yang bukan seberapa ni, tetapi rasa terpanggil juga untuk menulis mengenainya. Ini menyentuh hal tabiat dan mungkin dah jadi budaya dalam masyarakat kita yang saya fikir tidak beberapa molek apabila kita berdepan dengan hidangan dan makanan yang dijamu. Berikut adalah diantaranya :

1. Ketika makan secara buffet, ada diantara kita yang akan mengambil makanan dengan sebanyak yang mungkin.. kalau dilihat dari jauh nampak sangat gunung nasi dan lauk pauk yang diambil macam dia tu lapar sangat.. tak cantik tu, nampak sangat sifat tamak tu nanti.. kalau rasa tamak juga ambil dan ulanglah sekali lagi mengambil makanan tu.. gunakan pinggan baru.. Pernah terdengar rungutan seorang pekerja tukang basuh pinggan di belakang. Banyak benar sisa makanan yang masih elok dibuang begitu sahaja.. katanya tergolek-golek udang tu.. diorang ni tak tahu ke harga udang tu mahal sekarang, senang-senang saja dibuang begitu..

2. Semasa menikmati makanan lebih-lebih lagi bila kita berada di majlis tertentu dan ramai yang turut bersama, eloklah makan secara lebih sopan dan senyap. Maksudnya janganlah diperdengarkan sangat "cup cap cup cap" bunyi kunyahan kita tu.. boleh mengganngu kosentrasi orang lain tu.. dan satu lagi..cubalah meminimakan bukaan mulut semasa mengunyah tu. Kita tahu anda sedang cukup berselera dengan makanan yang lazat tu tetapi jangan sampai boleh menggangu tumpuan orang berdekatan.

3. Seperti biasa adab-adab biasa yang lain tu jangan dilupakan seperti mengambil hidangan yang terdekat dahulu, meminta bantuan untuk hidangan yang berada jauh dari jangkauan, jangan memusing-musingkan hidangan lauk (meja bulat) di ketika orang lain sedang menceduk lauk mereka..

4. Bila sah selesai makan tu, kita tolakkanlah ketepi sisa-sisa makanan dihujung pinggan, juga aturan sudu, garfu dan gelas minuman. Memang lah ada petugas yang akan memungutnya nanti tetapi sekurang-kurangnya tak lah bersepah sangat rupenya meja tu macam budak-budak kecil lepas makan.

5. Hendak minum gunakan tangan kanan.

6. Kalau dah mula sendawa tu stop lah.. dah kenyang dah tu tandanya ;)

7. Membungkus makanan yang lebih adalah sesuatu yang baik. Ia mengelakkan pembaziran. Walau bagaimanapun ada sesetengah dari kita "menapau" ketika acara masih berjalan lagi.  Kita dah mula bungkus membungkus sedangkan ada lagi hadirin yang mungkin lewat sedikit. Kata orang : ada lagi orang di belakang tu. Hal membungkus ini juga ada perinciannya lagi iaitu ketika membungkus tu ambillah sekadar perlu untuk kemampuan nafsu makan diri kita sajaha. Yang pergi ambil berlebih-lebih sangat tu kenapa? Siapa yang nak makan nanti? Takut akhirmya nanti masuk ke tong sampah pulak.. Kuat manalah sangat selera kita tu..

Akhir kata, pernah saya terdengar kata orang-orang lama bahawa semakin banyak kadar makanan yang kita makan, sebenarnya secara tidak langsung kita juga memperhabiskan dengan cepat jumlah rezeki yang telah diperuntukan kepada kita selama ni.. Selamat berpuasa minggu hadapan dan wallahualam.  


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 2 August 2010

Bukalah Plastik tu..


  


Beberapa hari lepas saya ke sebuah perpustakaan menemani isteri untuk mencari buku. Sambil-sambil tu saya pun pusing-pusing di dalamnya melihat buku-buku yang ada. Sempatlah membaca 1,2 buku menambah sedikit pemahaman tentang ilmu kehidupan di alam maya ni. Memang perpustakaan adalah suatu tempat yang amat berpotensi untuk dikembangkan peranannya bukan sekadar untuk orang datang meminjam dan membaca sesuatu, tetapi lebih jauh daripada itu seperti turut bertindak untuk menggalakkan anak-anak kecil mencintai ilmu. Perpustaan itu nampaknya memang ada kelainan dan kelengkapan yang baik dan memuaskan seperti tempat duduk, kedai jualan, ruang kanak-kanak, ruang multimedia, sudut sejarah, sudut interaksif, pameran, majalah, akhbar, lanskap yang menaik, ruang perbincangan, parkir yang luas dan sebagainya. Saya melihat ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke sana untuk menghabiskan cuti hujung minggu. Satu budaya yang baik dan amat bagus! Saya perlu mencontohinya.

Melihat suasana dalam perpustakaan itu memang amat selesa bagi mereka yang sukakan kepada aktiviti pembacaan. Cuma apabila mata saya ternampak di beberapa sudut, ada satu perkara yang saya fikir seolah-olah dipandang ringan oleh kita. Mungkin segelintir sahaja agaknya. Perabot baru khususnya apabila kita beli dan peroleh akan datang bersalut dengan plastik. Plastik itu bertujuan untuk melindunginya daripada habuk dan calar. Tetapi "MENGAPA" bila sampai ke lokasi penggunaanya, perabot itu masih lagi berbungkus-bungkus. Antara tempat yang biasa kita lihat adalah seperti di bank, pejabat POS, pejabat kerajaan dan lain-lain. Sekiranya dibuka pun selalunya tidak kemas kerana ada kesan dan lebihan plastik pembalut terlekat dan dibiarkan begitu sahaja. Yang bagusnya (tak bagus sebenarnya) plastik tu akan melekap di situ sampailah ia lusuh dan tercabut sendiri. Kan buruk sangat rupanya tu..

Lihat gambar di atas.. saya mengambilnya pada 31 Julai 2010. Kalau panjang umur, saya akan cuba ke tempat yang sama dalam setahun lagi dan melihatnya sekali lagi. Saya rasa kesan plastik itu akan terus melekap disitu setahun lagi. Kita tunggu dan lihat ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 30 July 2010

Idea & Facebook




Satu fenomena yang kita lihat sekarang ini yang paling meletup rasanya tidak lain tidak bukan adalah kewujudan facebook sebagai wadah komunikasi jaringan sosial masyarakat dalam medium maya di internet. Kehebatan dan penangannya amat kuat sekali kepada generasi muda khususnya. Tidak kurang juga bagi generasi yang lebih dewasa. Tidak menghairankan jika dikatakan ada orang pada setiap hari akan meng"online"kan diri mereka untuk mengemaskini status dan melihat status orang lain di facebook atau ringkasnya 'fb' ini.

Saya sendiri pun sebenarnya agak lewat mencebur diri dalam ruang fb ini.. pada awalnya rakan-rakan memang telah lama mengajak tetapi rasa macam tak perlu.. tetapi setelah merasai keupayaan dan kehebatan fungsi dan ciri yang ada pada fb ini, rasanya ia seolah-olah telah menjadi sebahagian daripada keperluan hidup. Ia boleh dikatakan keperluan untuk berhubung, berfikir, bertukar-tukar fikiran, mengemukan pandangan, meluahkan fikiran, melepaskan dendam, berkongsi maklumat, mencari sesuatu dan sebagainya. 

Apa pun hebatnya facebook ini, saya cuma ingin berpandangan di sini bahawa facebook bukanlah sesuatu benda yang amat ajaib dan juga ia bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dicipta. Teknik dan aliran aplikasinya juga mungkin tidak serumit mana untuk difikirkan. Facebook bukan benda yang terlalu canggih. Tetapi ia telah cukup BERJAYA untuk membuatkan ramai orang senang dan selesa kepadanya.

Mungkin kita boleh belajar daripada idea pencipta laman sosial ini, bahawa kadang-kala perkara yang biasa-biasa dan mudah sebenarnya jika diatur dan diolah cantik-cantik boleh membuahkan kejayaan yang besar dan luar biasa. Sedih juga apabila ada diantara kita (anda dan saya) yang merasa agak sukar sangat untuk menjana idea-idea mudah tetapi bernas di sekeliling ruang persekitaran kita.. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, 18 July 2010

Obor Cahaya Bangsa Melayu




"Takkan Melayu hilang di dunia". Itu kata yang pernah dilafazkan suatu ketika dahulu oleh Laksamana Hang Tuah. "Melayu mudah lupa" pula pernah dilafazkan oleh Perdana Menteri ke-4. Kini Mufti Perak mengatakan "Melayu hilang kuasa jika UMNO dan PAS tidak bersatu"

Ketiga-tiga lafaz kata berkenaan jika digabungkan akan menyentuh tentang kekuatan dan kelemahan Melayu itu sendiri. Dalam senario Malaysia sekarang bangsa Melayu dilihat semakin berpecah dan semakin lemah. Faktor besar yang dilihat yang sangat menyumbang dalam melemah dan memecahkan kekuatan ini adalah ketaksuban kepada aliran kumpulan politik yang ada.

Bagi saya, apa yang diperhatikan adalah UMNO dan PAS kedua-duanya telah cuba sedaya upaya untuk memperkasakan bangsa Melayu dan Islam itu sendiri. Cuma mungkin entah dimana silapnya kedua-duanya perkara ini seolah-olah masih memerlukan banyak lagi pembelaan oleh kedua-dua parti. UMNO dengan kapasiti sebagai parti pemerintah telah sedaya upaya melakukan yang terbaik. Dalam masa yang sama PAS melihat dan merasakan banyak lagi yang tidak dilakukan dengan cukup baik oleh UMNO. Jadi disini kita dapat melihat masing-masing seolah-olah ada sesuatu yang digenggam tetapi tidak mahu dikongsikan untuk faedah bersama.

Kesanggupan Mufti Perak ini untuk melontarkan kenyataan ini saya rasa amat bersesuaian sekali dengan masanya. Masa yang diharapkan sudah amat cukup untuk kedua-dua puak dan pimpinan berfikir sejenak tentang tanggungjawab mereka terhadap kepentingan dan maruah bangsa Melayu dan agama Islam.

Kesatuan yang ikhlas ini bolehlah diibaratkan seperti obor api yang terang dan gemilang cahayanya. UMNO mungkin sedang memegang 'sumbu' manakala PAS pula mungkin sedang memegang pemetik apinya. Tanpa disatukan sumbu dan pemetik api itu, mungkin tiada langsung untuk peluang kita melihat sinar cahaya penuh kebaikan yang merata dan juga agak sukar untuk menerangi dan menjelasi apa-apa yang sepatutnya di Malaysia yang tercinta ini.

Untuk parti bangsa lain mungkin agaknya mereka telah sekian lama sedia dengan lampu suluh dan baterinya. Hanya perlu menekan punat 'on' sahaja untuk menyalakan cahaya..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 15 July 2010

Teksi Kita




Selalu melihat filem-filem barat yang mana antara adegan biasa yang amat menarik perhatian saya adalah kebiasaannya hero atau heroin akan menaiki teksi / taxi di sana. Apabila dia menahan teksi, beliau hanya perlu menyebut lokasi yang ingin dituju sahaja. Seterusnya bergerak lah teksi itu ke lokasi yang dikehendaki. Betapa mudahnya begitu bukan. Rasanya ia adalah realiti disana dan bukan hanya dalam filem sahaja saya rasa.

Sebaliknya di negara kita seperti di Kuala Lumpur, kita akan terpaksa bertanya dahulu atau ada tawar menawar pulak untuk pergi ke lokasi yang dikehendaki. Paling tidak sedap ialah dikatakan teksi berkenaan tidak ke lokasi berkenaan. Mungkin ada prosedur atau peraturan yang telah disediakan untuk hanya menentukan sesetengah teksi itu hanya untuk lokasi-lokasi tertentu sahaja. Tetapi sebagai orang awam dan pengguna kita mahu ia lebih efisyen dan dinamik. Cakap sahaja hendak ke mana teksi berkenaan boleh menghantar. Ini barulah boleh dikatakan antara ciri negara maju juga saya rasa.

Semoga Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dapat melihat aspek yang sekecil ini untuk membawa tambahbaik dan sumbangan kepada mutu sistem penggangkutan awam yang lebih berkualiti dan mesra rakyat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 12 July 2010

PASIR MEMANG BERHARGA




Kalau dahulu orang yang mencuri, melakukan kecurian dalam senyap ataupun dalam gelap, tetapi kini dalam terang-terang pun kecurian dapat dilakukan. Kalau dahulu pencuri mencuri benda-benda yang kecil dan mudah disorok tetapi kini perkara yang terbentang luas pun dicuri. Kalau dahulu yang melakukan kecurian adalah seorang atau mungkin berdua, tetapi kini dilakukan dengan anggota yang ramai sehingga berpuluh orang. Kalau dahulu mencuri dibuat sekali sekala atau mungkin bermusim, tetapi kini dibuat sepanjang masa dan berpanjangan tempohnya. Kalau dahulu yang mencuri akan rasa bersalah dan takut, tetapi kini perasaan yang ada mungkin semakin berani dan semakin boleh mencabar pula lagi.

Suatu ketika nanti apabila sudah licin, sudah botak, sudah kering, sudah kontang, sudah hilang dan sudah habis kesemuanya, barulah manusia terpaksa mencari-cari itu dan ini sebagai ganti.. Sememangnya tangan-tangan manusia jualah yang merosakkan bumi dan alam ini. Wallahualam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 7 July 2010

Banci Penduduk 2010




Saya tidak pasti samada banci penduduk yang sedang dijalankan kini akan turut mengambil kira penduduk dari kalangan warga asing yang bekerja di Malaysia seperti warga Myanmar, Indonesia, Bangladesh, Nepal dan lain-lain. Saya rasa, amatlah menjadi keinginan kita semua rakyat jelata untuk mengetahui berapakah jumlah dan peratusan yang tepat jumlah mereka dan warga kita sendiri yang sedang berada di negara ini. Terutamanya di kawasan-kawasan tumpuan utama. Lebih baik lagi outputnya kita boleh lihat dan dianalisa dalam betuk graf ataupun taburan peta yang secara visualnya terus boleh memberikan makna dan erti di mana tumpuan mereka ini berada. Rasanya tidak mustahil untuk sesuatu lokasi itu telah dimonopoli kedudukannya oleh warga asing berbanding warganegara sendiri. Semoga dengan terkemaskininya data dan statistik banci penduduk terbaru ini, kita akan sedar dan lebih meneliti dalam cara kita mengagihkan guna tenaga tempatan berbanding sumber tenaga luar yang mungkin boleh merugikan negara dalam bentuk aliran duit keluar negara dan penurunan tahap kemahiran tempatan dalam bidang-bidang tertentu. Harapannya agar pekerja banci juga dapat mengutip data secara telus, jujur, beretika dan penuh amanah bagi memastikan ia akan menjadi asas data yang sebenar untuk digunakan nanti untuk kemajuan dan pembangunan negara di masa depan ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 2 July 2010

Memberi Itu Ada Hikmahnya




Dalam perjalanan ke pejabat beberapa hari lalu terdengar slot motivasi seorang pakar motivasi di Radio. Topik yang beliau bawakan setiap pagi memang amat menarik. Hari ini beliau membawakan tajuk berhubung memberi dari diri kita kepada orang lain. Memberi ini dalam erti kata yang sama ialah membantu mereka yang memerlukan, menolong mereka yang lemah ataupun bersedekah kepada yang susah juga untuk mengembirakan orang lain.

Kita sering mendengar orang lain ataupun diri kita sendiri mungkin (selepas ni kena ubah sikap kita) bahawa bermacam alasan akan diberikan apabila kita ingin ataupun dikehendaki memberikan bantuan kepada orang lain. Kebiasaanya 3 alasan utama yang menghalang kita untuk menolong orang lain. Pertamanya kita tiada apa yang boleh diberikan untuk membantu. Keduanya, kita akan merasa pengurangan pada milikan diri selepas memberi kepada orang lain dan yang ketiganya pula adalah kenapa harus membantu sedangkan kita telah bersusah payah berusaha untuk mendapatkan hasil itu.

Rupanya ketiga-tiga alasan itu ada jawapannya. Berikut pemahaman ringkas saya :

1. Kita Masih Mampu Membantu

Pertolongan sebenarnya besar skopnya bukan pada wang ringgit sahaja.. banyak lagi bentuk material lain dan perkara lain yang boleh kita memberi dan membantu orang lain. Paling mudah senyum.. senyum tak susahpun untuk kita sedekahkan kepada orang lain. Kalau senyumpun kita tak mampu tidak mengapa. Berilah doa ataupun doakan kesejahteraannya. Tentu kita masih mampu dari segi itu bukan?

2. Ilmu Kita Terhad Dari Ilmu Allah

Telah dikatakan bahawa 1 pemberian kebaikan yang kita beri akan dibalas 700 kali ganda. Jika kita melihat kita memberi RM 1 kita akan mendapat balik RM700. Kita melihatnya begitu, tetapi ilmu Allah tu jauh sangat taranya dengan ilmu manusia.. Kita hanya melihat dalam bentuk wang ringgit dan kebendaan, tetapi sebenarnya balasan dan rahmat Allah itu adalah lebih besar daripada itu.. Kita mungkin dibalas dalam bentuk yang selain wang ringgit. Banyak bentuk dan perkara baik yang boleh disalurkan oleh yang Maha Kuasa samada melalui ketenangan fikiran, sihat tubuh badan, perasaan ceria, menikmati kehidupan berkeluarga yang bahagia dan sebagainya. Betapa terhad dan sempitnya fikiran kita bukan? Ada aspek keberkatan yang mungkin kita tidak sedar atau tidak nampak.


3. Hakikat Bahawa DIA Yang Mengurniakan

Susah payah kita berusaha untuk mendapatkan itu dan ini. Setelah berjaya dengan apa yang ada kenapa pula kita perlu berkongsi dan menolong orang lain. Rupanya kita lupa.. Lupa kepada siapa yang memberikan keupayaan dan kejayaan itu.. Siapa yang memberikan peluang.. memberikan ruang dan upaya itu. Tidakkah juga oleh kerana pemberian olehNya? Apabila sudah berjaya kita pula nak menganggap itu semata-mata usaha kita. Tentunya tidak..

Berilah dan bantulah orang lain setakat dan sekadar yang kita mampu ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 26 June 2010

Keyakinan Luar Biasa


Rupanya keyakinan itu ada dua.. Keyakinan yang biasa-biasa dan keyakinan yang luar biasa. Keyakinan yang biasa-biasa adalah apabila kita nampak bukti dan kebenaran sesuatu perkara dahulu dan kemudian barulah mahu mempercayainya manakala keyakinan yang luar biasa adalah apabila kita mempercayainya dahulu kemudian barulah melihat bukti dan kebenaran perkara itu. Beza utama di antara keduanya adalah satu mencari bukti terlebih dahulu dan yang satu lagi memberikan rasa yakin dahulu.. Contoh paling mudah, lagenda tinju dunia suatu ketika dahulu iaitu Muhammad Ali. Beliau mengatakan faktor kemenangannya lebih terletak pada rasa keyakinannya dan bukan kepada kekuatan fizikalnya. Beliau memberikan rasa yakin dahulu untuk menang dan kemudian berusaha untuk merealisasikan keyakinan itu. Inilah yang contoh kita dapat lihat dimana rasa yakin yang tinggi boleh memberikan kejayaan yang diinginkan. Walau bagaimanapun jauh lebih utama daripada itu adalah keyakinan kita pada diri kita yang turut diasaskan dengan keyakinan kepada Pencipta adalah satu bentuk keyakinan yang mutlak. Rasa keyakinan kepada kehendaknya dan keizinannya adalah penentu segalanya. Sesungguhnya keyakinan yang tinggi itu adalah kunci kepada pencapaian matlamat dan kejayaan yang sebenar.

Yakin boleh!!

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 25 June 2010

Iklan Di Merata-Rata.. Buruknya..





Iklan memang satu bentuk promosi dan paparan untuk menarik pelanggan. Tidak kira apa bisnes sekalipun iklan memang amat penting dalam memberitahu bakal pelanggan dan orang di luar tentang produk dan perkhidmatan yang ditawarkan. Jika kita menonton di TV setiap rancangan dan slot program akan diselang selikan dengan iklan.. Dan semasa kita memandu dijalan raya juga di lebuh raya ada juga papan iklan besar yang sentiasa akan menggamit perhatian mata kita... daripada produk makanan, minuman, kenderaan, hartanah, pakaian, perbankan, perniagaan, filem, insuran, pendidikan dan sebagainya. Memang tidak dapat dinafikan pengaruh iklan ini sedikit dan sebanyak memang dapat menyumbang kepada keuntungan dan pengaruh tertentu kepada pengguna. Dalam kemajuan dan kebijaksanaan teknik dan gaya pengiklanan sekarang ini, cara dan pendekatan mengiklankan produk dan servis yang ditawarkan semakin berkembang pesat seperti penggunaan banner di internet, facebook, youtube dan lain-lain.

Cuma... kita sedih melihat kaedah pengiklanan juga dilakukan dengan melekatkan iklan di tempat-tempat awam yang bukan dikhaskan untuk iklan seperti di tiang-tiang lampu, pondok telefon, hentian bas, dinding bangunan, batang pokok, di tepi-tepi tembok dan lain-lain lagi. Mungkin mereka tidak diberikan ruang yang cukup oleh pihak berkuasa untuk mengiklankan iklan mereka.

Seperti gambaran diatas yang merupakan satu kebiasaan di Lembah Kelang, tiang-tiang elektrik di tempat tumpuan awam memang keadaannya begitu.. Penuh dengan kesan dan tinggalan tampalan kertas iklan seperti pinjaman wang, perkara untuk sewaan, khidmat perubatan dan sebagainya.

Ringkasnya, sampai bila agaknya perkara ini akan terus mewarnai kehidupan kita dalam arus perjalanan menuju negara maju nanti. 2020 tinggal 10 tahun sahaja lagi. Dapatkah imej dan pemandangan buruk ini dapat dihapuskan dalam budaya peniaga kita.. Adakah aspek penguatkuasaan juga memang tidak berkesan langsung dalam menitik berat dan menjaga kebersihan tempat awam.. Dimanakah jawapannya?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 21 June 2010

Bila UPSR dan PMR dimansuh..



Ramai memperkatakan tentang sistem pendidikan ataupun sistem pembelajaran kita terlalu berteraskan ujian dan peperiksaan. Itu memang amat benar sekali. Itu belum dikira lagi ujian akhir tahun dan pertengahan tahun yang perlu diambil saban tahun. Fokus pelajar akan terhad kepada peperiksaan sahaja. Ya memang betul dalam peperiksaan pelajar akan bersedia untuk memperoleh markah dan mata yang tinggi, tetapi adakah tujuan pelajar belajar di sekolah itu adalah hanya untuk mengejar gred rekod yang baik sahaja dalam setiap peringkat peperiksaan itu tadi. Sebenarnya pencapaian yang jauh lebih penting daripada itu saya fikir dan mungkin orang-orang lain fikir juga adalah untuk bagaimana sistem pendidikan negara ini dapat melahirkan individu yang lebih berguna dan memiliki banyak nilai-nilai baik yang disematkan pada dirinya setelah tamat persekolahan. Antaranya adalah kebolehan berfikir, berkomunikasi dan berkreativiti yang mungkin sukar dijana diperingkat rendah dan menengah ini.

Cadangan untuk pemansuhan dua jenis peperiksaan ini saya fikir adalah sesuatu yang baik dan mungkin boleh menjadi titik perubahan kearah menambah baik modal insan demi kepentingan sumber tenaga yang dalam negara. Apapun yang lebih penting juga adalah apabila dimansuhkan 2 jenis peperiksaan ini bukanlah secara total tiada langsung penilaian oleh pihak guru kepada tahap pembelajaran anak murid mereka dari semasa ke semasa. Selain itu bagaimana proses peralihan dan penyesuaian ini dapat dijalankan kepada generasi pelajar yang bakal melalui perubahan ini juga perlu diteliti agar tidak seperti ibarat kata pepatah umpama tikus membaik labu. Lain pula yang terhasil nanti.

Ingatlah mereka anak-anak kecil dan muda ini adalah juga aset negara. Selain sektor awam dan sektor swasta sebagai pemain kemajuan negara, sektor generasi masa hadapan ini juga jangan diperkecilkan kepentingannya. Mereka lah pewaris negara ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 12 June 2010

Ketikanya Kita Berwuduq




1. Ketika berkumur, berniatlah kamu dengan, "Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini". Penjelasan: Kita hari-hari bercakap benda-benda yang tak berfaedah.

2. Ketika membasuh muka, berniatlah kamu dengan, "Ya Allah, putihkanlah muka ku di akhirat kelak, Janganlah Kau hitamkan muka ku ini". Penjelasan : Ahli syurga mukanya putih berseri-seri.

3. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, berikanlah hisab-hisab ku di tangan kanan ku ini". Penjelasan: Ahli syurga diberikan hisab-hisabnya di tangan kanan.

4. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, janganlah Kau berikan hisab-hisab ku di tangan kiri ku ini". Penjelasan: Ahli neraka diberikan hisab-hisabnya di tangan kiri.

5. Ketika membasuh kepala, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, lindunganlah daku dari terik matahari di padang Masyar dengan Arasy Mu" Penjelasan: Panas di Padang Masyar macam matahari sejengkal di atas kepala.

6. Ketika membasuh telinga, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, ampunilah dosa telinga ku ini" Penjelasan: Hari-hari mendengar orang mengumpat, memfitnah, lagu2 berunsur maksiat ..

7. Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah kamu dengan."Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqqim". Penjelasan: Ahli syurga melintasi titian dengan pantas sekali.8. Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah kamu dengan,"Ya Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukan tempat-tempat maksiat" Penjelasan : Qada’ dan Qadar kita di tangan Allah.

Sumber dari : http://revolusi-mic.blogspot.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 10 June 2010

Isu Kampung Baru




Beberapa minggu lalu telah diadakan perjumpaan diantara Menteri Wilayah dan penduduk serta waris di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Perkara yang dibincangkan tentulah berkaitan dengan status tanah dan pelan kemajuan di kawasan Kampung Baru di masa depan oleh pihak kerajaan. Ada yang bersetuju dengan cadangan rancangan pembangunan dan ada yang kurang bersetuju. Lokasinya yang berada betul-betul di tengah pusat bandaraya KL tentunya ia amat strategik dan bernilai tinggi. Sekaki persegi luas tanah di Kampung Baru tentu nilainya lebih berganda-ganda jika dibandingkan dengan tanah di kawasan lain.

Harap pihak penduduk dan kerajaan dapat berbincang elok-elok demi maruah dan mengekalkan terus tradisi dan identiti unik di Kampung Baru. Dengan segala aktiviti ekonomi dan sosial yang rancak di sana, seharusnya Kampung Baru dapat diberikan nafas baru dan tidak tinggal seperti itu sahaja setelah bertahun-tahun dikelilingi arus pembangunan KL. Sesungguhnya juga ia adalah aset orang Melayu yang amat bernilai dan harus dijaga sebaiknya. Justeru itu, pihak Kementerian saya fikir boleh mencontohi pendekatan yang dilakukan oleh Negeri Melaka iaitu di Kampung Morten. Kampung Morten juga berada betul-betul di dalam kawasan bandaraya Melaka. Usaha memulihara kewujudan rumah-rumah tradisi negeri Melaka di Kampung Morten adalah sesuatu yang amat kreatif dari pihak kerajaan negeri. Bukan sekadar menjadi pakej pelancongan di negeri berkenaan tetapi yang lebih penting lagi ia dapat terus wujud dan relevan di lokasinya itu. Akhir kata, cubalah contohilah mana-mana model yang baik yang telah ada. Suka tidak suka, kita harus berubah ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 31 May 2010

Tindakan Mereka Yang Hina - Zionis





Ramai yang mengutuk tindakan rejim israel (tak perlu diberikan penghormatan langsung kepada perkataan israel tu.. sepatutnya rejim ini mesti dijahanamkan terus daripada muka bumi ni, tetapi apakan daya kita). Peristiwa serangan terhadap sebuah kapal dari misi kemanusiaan yang bertujuan untuk memberikan mesej keamanan dan menyampaikan segala bekalan bantuan kepada penduduk Palestin amat menyedihkan dan membuakkan lagi rasa kebencian dunia kepada golongan manusia yang dilaknati itu.

Melihat kejadian ini, terlintas dihati saya untuk memberikan persamaan peristiwa ini dengan suatu situasi yang pernah dialami saya di sini. Situasi itu adalah ibarat seperti kita menjolok ke sarang tebuan. Jika dijolok memang kita kena. Sedangkan kita tidak dijolok pun, 9 orang diberitakan terbunuh.

Mungkin penyelesaiannya harus seperti menyelesaikan permasalahan kita dengan sarang tebuan tadi. Untuk menghapuskannya ia perlu dihapuskan secara sekaligus. Bakarkan terus sarangnya dengan api yang marak. Jangan beri peluang untuk ia melarikan diri. Mungkin satu bentuk virus atau teknik tertentu seperti serangan biologi dan kimia boleh menjadi senjata yang berkesan untuk menghapuskan mereka. Ada juga kita dengar cadangan untuk mewujudkan gabungan balatentera daripada semua negara Islam masuk ke Palestin membela mereka yang teraniaya. Rasanya ia memang ada logiknya dan praktikal juga cuma terpulanglah kepada pimpinan semua negara Islam untuk bertindak. Kalau nak harapkan PBB, tak boleh nak harap pun.. Kita mendoakan agar beberapa rakyat Malaysia yang turut serta dalam misi berkenaan tidak diapa-apakan dan selamat kembali pulang ke tanah air nanti. InsyaAllah. Semoga Allah membantu segala usaha kita kearah menegakkan keadilan dan keamanan di atas dunia ini. Amin..



  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuklear Untuk Tenaga




Kita sedia maklum kerajaan sedang memikirkan untuk menggunakan teknologi nuklear sebagai sumber tenaga alternatif di masa depan. Sekarang ini kita banyak bergantung kepada sumber bahan api fosil dan hidro. Melihat banyak negara maju telah meningkat peratusan sumber tenaganya kepada bentuk tenaga ini, mungkin telah tiba masanya untuk Malaysia memulakan peralihan kepada sumber tenaga yang baru ini yang dikatakan lebih cekap. Difahamkan teknologi nuklear ini juga adalah lebih mesra alam dan lebih selamat. Walau bagaimanapun apabila menyebut lebih "selamat" ramai yang akan beranggapan adakah ia benar-benar selamat. Maklumlah apabila kita menyebut tentang tenaga ini kita akan memikirkan juga tentang tenaga atom, sinaran radiasi, bahan sisa radioaktif yang bahaya, pencemaran dan sebagainya. Penerangan yang jelas tentang kelebihan dan risiko penggunaan tenaga ini haruslah jelas kepada segenap anggota mansyarakat. Ini adalah kerana bukan semua orang faham tentang teknologi ini.

Apapun rasanya elok juga sekiranya pihak pengurusan tenaga seperti TNB atau kerajaan memikirkan untuk tidak terus melupakan beberapa alternatif lain untuk sumber penjanaan tenaga yang rasanya jauh lebih mudah dan murah seperti solar dan angin.. Percuma dan sesuai untuk bekalan kuasa kepada kemudahan-kemudahan awam seperti lampu jalan, jambatan dan sebagainya. Memang agihannya tidaklah banyak tetapi sekurang-kurangnya ia menyumbang kepada sedikit penjimatan kos kerajaan dan rakyat.

Dalam untuk melakukan perubahan ini, tentunya juga Malaysia sedang bersiap sedia dari segi tenaga teknikal, pakar-pakar dan pihak pengurusan yang arif dalam hal pengurusan teknologi ini. Semoga penggunaan tenaga nuklear kepada penduduk negara ini dapat memberikan impak dan kualiti kehidupan baru yang lebih berkualiti, memuaskan semua dan selamat.. Itu harapannya..

Teringat masa belajar dahulu pernah melawat ke MINT ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 27 May 2010

Subsidi vs Defisit




Dalam sehari dua ni selain kehangatan berita GAS vs DS Samy Vellu.. satu lagi yang amat menarik perhatian semua adalah isu subsidi barangan. Kerajaan bercadang untuk mengurangkan ataupun menghapuskan kadar subsidi yang ada pada barangan bersubsidi seperti minyak, gula, beras dan lain-lain keperluan asas. Sebagai individu dan rakyat biasa tentunya majoriti dan ramai daripada kita akan tidak beberapa selesa dengan perkhabaran ini. Lebih-lebih lagi yang berada dalam kategori yang berpendapatan rendah dan "sederhana rendah". Apa pun saya rasa tentunya kerajaan ada asas pertimbangannya dan menyedari tentang beban dan apa yang bakal dialami sekiranya sistem subsidi yang masih ada kelemahannya ini diteruskan sampai bila-bila. Sesi penerangan mengenai cadangan ini harus lebih rancak lagi di media. Syabas juga kepada PM yang sudi memberi ruang kepada input dan respon daripada setiap peringkat rakyat di bawah mengenai hal ini sebelum ianya diberikan rumusan dan keputusan muktamad.

Kita melihat banyak barangan yang disubsidikan ini tidak 100% memberi keuntungan kepada golongan sasar (rakyat negara ini). Bagi bahan keperluan asas seperti makanan dan bahan api, orang asing pun dapat menikmati faedah subsidinya.. Mana tak seronoknya hidup di Malaysia ni kan..

Melihat perubahan yang mungkin akan cuba dilaksanakan dalam hal subsidi ini, mungkin pendekatan yang baik ialah dengan melaksanakannya secara tidak mengejut.. Maksudnya di sini ialah ia tidak dilaksanakan secara drastik dan tergesa-gesa. Berilah rakyat masa dan peluang untuk lebih bersiap sedia bagi menghadapi cabaran baru ini.. Sebagai rakyat yang cintakan negara ini tentunya kita juga tidak inginkan hutang negara semakin banyak dari setahun ke setahun yang mana diakhirnya nanti memberikan natijah yang buruk kepada semua.

Apabila melibatkan RM mengalir keluar pasti ramai yang akan ber ;( muka daripada ter ;)  Pemerintah nampaknya harus lebih berhati-hati dalam hal ini umpama kata pepatah lama iaitu ibarat menarik rambut dari dalam tepung. Rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...