Friday, 26 February 2010

Rasulullah S.A.W. Sebagai Contoh Tauladan Terbaik..




Hari ini kita umat Islam menyambut ulang tahun kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. iaitu Rasul terakhir yang memimpin dan menjadi panduan untuk umat di akhir zaman. Sudah sekian lama Baginda meninggalkan kita dan dengan berlalunya zaman, Baginda tetap menjadi manusia yang terbaik bagi seluruh umat manusia dari permulaan kisah Baginda sebagai Rasul sehinggalah disaat akhirnya perjalanan dunia ini nanti. Setiap daripada kita sebagai pengikut Baginda seharusnya berasa bertuah dan bersyukur kerana ditakdirkan tergolong dalam umat Baginda.

Baginda telah menunjukkan jalan dan cara yang paling elok bagaimana untuk melalui kehidupan ini, tetapi kita sebagai manusia biasa selalunya mudah lupa untuk mengikut apa yang telah direncanakan untuk kita.. Sebaliknya kita pula dengan mudah dan rela hati tunduk dan menyokong pula fahaman dan amalan musuh-musuh kita.. Musuh yang nyata dan musuh yang tidak nyata juga..

Tanpa perlu berceloteh panjang, saya mengingat diri dan rakan sahabat yang membaca blog ini, bahawa carilah masa yang masih ada untuk kita mengenali sejarah dan memahami perjalanan hidup serta mengamalkan segala panduan daripada Baginda kerana di dalam kehidupan yang semakin mencabar ini, tentunya kita sangat perlu untuk merujuk kepada hakikat yang benar.. Jadikanlah Hadith dan Quran dekat dengan diri kita.. Agar kita tidak terpesong daripada jalan yang sebenar-benar.. Wallahualam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 20 February 2010

Peningkatan Suhu Mungkin Boleh Mengubah Rutin

Semasa hendak menulis tajuk ini, saya memasang kipas. Mula-mula tetapan kelajuan kipas adalah satu... tidak rasa apa sebaliknya rasa panas.. saya tingkatkan ke tahap kelajuan dua.. barulah rasa dingin sikit.. ini pun sebab di masa ini, hujan yang turun baru sahaja berhenti.. Hari ini diberitakan suhu tertinggi di Malaysia dicatatkan 36.7 darjah celcius.. panas betul..

Menurut seorang pensyarah daripada sebuah universiti tempatan, banyak faktor yang menyumbang kepada peningkatan suhu di Malaysia sekarang ini. Aktiviti penebangan pokok dan hutan secara tidak terkawal dan pembangunan yang tidak menjaga kestabilan ekosistem alam. Turut menyumbang adalah perubahan iklim global dunia keseluruhannya.




Rasanya jika peningkatan suhu ini berterusan dalam masa puluhan tahun lagi, rasanya rutin manusia (di Malaysia saya rasa) akan boleh berubah. Jika sekarang kita keluar bekerja di waktu siang. Di masa hadapan nanti mungkin kita kena keluar bekerja di waktu malam.. Bagaimanakah agaknya nasib dan cabaran mereka di zaman itu?

Di masa ini antara rutin yang saya lihat sekarang untuk kita mengelakkan daripada terseksa dengan peningkatan suhu ini adalah:

1. Berada di tempat berhawa dingin seperti di rumah, pejabat, kompleks membeli belah dan sebagainya.
2. Berada di tempat seperti di air terjun dan hutan lipur.
3. Berada di tempat peranginan tanah tinggi yang lebih dingin.
4. dan akhirnya, Berada di dalam kenderaan ;) 

Sesungguhnya kita ini adalah makhlukNya yang lemah.. Panas di dunia pun kita tidak tahan, apatah lagi nanti dengan kepanasan di akhirat kelak..


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 18 February 2010

Yang Baru dan Yang Lama

Setiap individu tentu ada koleksi peribadinya tersendiri.. Kalau hobinya mengumpul barangan antik, tentunya pelbagai koleksi barangan lama telah dimiliki dalam simpanannya. Tentunya benda itu berada dalam keadaan elok, ada harga dan nilai tersendiri. Walaupun benda tu lama ianya kalau disayangi tentu ianya masih kelihatan menarik dan nampak berharga dan mungkin dicemburui orang lain. Benda dan perkara yang lama janganlah dilupakan atau diletakkan ditepi (dengan terlalu melihat kepada benda baru sahaja) kerana jika tiada dahulu dimana datangnya yang sekarang itu..



Mengambil contoh bangunan lama dan baru.. Dalam konteks penjagaan bangunan baru dan bangunan lama di negara kita saya fikir mungkin ada banyak lagi ruang dan cara bagi kita lebih menghargai khazanah dan aset kepunyaan kita yang telah diwarisi sekian lamanya ini. Lihat sahaja di Kuala Lumpur.. Kita masih dapat lihat banyak bangunan lama seperti bangunan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan KL, Ibu Pejabat Stesen Keretapi Tanah Melayu, Masjid Negara, Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Angkasaraya dan banyak lagi.. Di sepanjang perjalanan zaman tertegaknya bangunan-bangunan lama ini, semakin hari semakin banyak bangunan-bangunan baru didirikan di sekitarnya.. Dengan fungsi-fungsi penting yang masih dimainkan oleh bangunan-bangunan lama ini, tidak dapat dinafikan ianya harus dijaga dan diselenggara dengan sebaiknya.

Memang kita harus melihat ke hadapan, melakar dan mencipta sesuatu yang baru.. tetapi apalah maknanya kalau perkara lama yang telah memainkan peranan penting, penuh bersejarah dan satu-satunya identiti kita yang unik tidak diuruskan dan dijaga dengan baik.. Yang pentingnya kita seimbangkan kedua-duanya.

Bukan setakat bangunan sahaja, malah kita perlu melihat kepada aspek dan perkara lain juga seperti budaya lama, ilmu lama, buku lama, amalan lama, baju lama, kemahiran lama, sistem lama dan juga kepada orang lama ;)

Yang baru ditatang dan yang lama dijaga.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Apabila Kita Diuji..

Hidup kita di dunia adalah antara komponen kehidupan sementara daripada keseluruhan perjalanan kehidupan kita sebagai seorang manusia. Sebagai hamba kepada yang Maha Esa, kita ditugaskan untuk menguruskan hidup kita di atas muka bumi ini. Bumi yang dipinjamkan sebagai antara tempat persinggahan yang menyediakan bermacam-macam kesempatan dan peluang untuk kita menggunakannya sebagai bekalan di alam berikutnya.. Dari kecil, remaja, dewasa dan sehingga akhirnya nanti kita akan sentiasa diuji dalam untuk menentukan ganjaran yang bakal diperolehi kelak.. Besar ujiannya dan jika kita berjaya melepasinya maka beruntunglah kita..

Dalam kehidupan, kita tidak akan dapat lari daripada diuji.. Diuji oleh Tuhan dengan pelbagai perkara.. Bagi setiap ujian yang datang kita harus dan wajib menhadapinya dengan cara yang paling terbaik. Memang mudah untuk saya menuliskan disini.. Memang mudah untuk anda membaca dan memahaminya.. Tetapi, kadang-kala kita lupa dan amat sukar dari segi pengamalannya. Bak kata orang putih "High knowing, Low doing".

Apabila diuji dengan nikmat, kita kena bersyukur..



Apabila diuji dengan kesusahan, kita kena bersabar..

Sememangnya untuk mengatakannya adalah lebih mudah daripada untuk mengotakannya..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 12 February 2010

Jangan Tunggu Lama-Lama



Terpanggil untuk mengutarakan tajuk ini, ditujukan khas kepada rakan kenalan, sahabat handai serta para pembaca yang budiman di luar sana yang masih bujang, tidak kiralah samada lelaki ataupun wanita ;) Kebiasaannya apabila seseorang itu telah menjangkau usia 30 tahun dan dia belum berumahtangga maka masyarakat atau orang di sekitar akan tertanya-tanya mengapa dia belum berkahwin. Jawapan yang biasa untuk menjawab persoalan yang bermain-main di kepala sesiapa yang bertanya itu adalah samada dia belum ada jodoh ataupun dia seorang yang memilih pasangan..

Kadang kala kita melihat seseorang itu telah cukup keperluannya, cukup perbelanjaannya, ada rupa, ada gaya dan baik sifatnya tetapi masih lagi kita melihat dia keseorangan tidak berteman.. Ada dikalangan yang saya kenali melahirkan rasa tidak selesa mereka apabila ditanyakan tentang mengapa dia belum berkahwin.

Sedikit pandangan daripada saya yang bukanlah ahli dalam psikologi rumahtangga agar dapat diambil mana yang patut untuk renungan. Bagi kita yang telah melepasi garisan perkahwinan itu bersyukurlah dan berdoalah agar rumahtangga yang ada kekal kukuh sampai bila-bila dan bagi peluang mereka yang masih bujang ini merasai perjalanan hidup berkenaan serta menentukan sendiri hala tuju dan pilihan terbaik mereka. Mereka mempunyai hak memilih sesuatu untuk diri sendiri.

Cumanya bagi saya, apabila dah melepasi 30 tahun tu, janganlah dibiarkan sahaja masa berlalu begitu sahaja menjadi 31, 32, 33 dan seterusnya, takut-takut nanti terlajak jauh ;) Siapa yang rugi? Anda jawablah sendiri..hehe..

Kesimpulannya jangan membujang lama-lama dan kepada yang berminat dan berhajat kepada mereka yang masih bujang ini.. "Jangan tunggu lama-lama.. nanti diambil orang". Kalau hati dah berkenan, jangan malu dan jangan segan, terus terang dan tak usah berselindung-selindung lagi.. kerana zaman tindakan bermaksud yang tersirat-sirat itu nampaknya telah semakin kurang relevan dan semakin ditinggalkan... Jangan takut untuk maksud kita itu ditolak akhirnya tetapi takutlah jika kita sendiri yang menolak maksud kita itu diawal-awalnya lagi ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, 7 February 2010

Gunakan Bahasa Malaysia Dengan Elok





Terdengar petikan kenyataan Menteri dari KPKK, DS Utama Dr Rais Yatim di radio mengatakan marilah kita rakyat Malaysia menggunakan bahasa Malaysia dengan betul dan tepat. Beliau memberikan contoh perkataan "alternatif". Mengapa perlunya kita menggunakan "alternatif" kerana di dalam bahasa Malaysia kita ada perkataan "pilihan" yang turut memberi maksud yang sama.

Selain itu kita dapat lihat sekarang ini, sudah menjadi kebiasaan penggunaan bahasa Malaysia dicampur adukkan dengan Bahasa Inggeris (rojak). Dari peringkat atas hinggalah ke bawah. Para pemimpin hinggalah ke orang biasa.. Cuma ada beberapa individu sahaja yang saya lihat di TV betul-betul menjaga penggunaan bahasanya apabila perlu menggunakan perkataan Inggeris semasa percakapan dalam Bahasa Malaysia. Antaranya beberapa orang dari kalangan ahli politik dan ahli akademik. Mereka saya fikir peka, sensitif dan serius dalam menjaga dan memartabatkan penggunaan Bahasa Malaysia di negara ini. Mereka akan menyebut "dengan izin" sekiranya ada perkataan Bahasa Inggeris digunakan. Kalau di dalam parlimen memang semua mempraktikkannya.. Semoga selepas ini semakin ramai rakyat (termasuk anda dan saya)sedar dan berusaha untuk menggunakan perkataan dan bahasa dengan lebih rasa tanggungjawab, bijaksana dan tidak di"ROJAK"kan dengan perkataan "Luar".Takut-takut 10 tahun dari sekarang, bahasa kita akan terdengar seperti Bahasa Indonesia ;)

Sayangilah identiti kita.. bahasa kita adalah salah satu daripadanya identiti itu.. Disarankan setiap pertuturan dan penulisan yang formal yang ke udara di TV, radio atau dalam talian, penerbit perlu sedaya upaya menapis dan memastikan Bahasa Malaysia digunakan dengan sebaiknya. Agak kurang senang mendengar celoteh seorang DJ di radio yang menggunakan istilah bahasa yang rasanya kurang manis. Maaflah kalau dia ada terbaca blog ini ;) Contohnya : Petua disebut "Pekhtua"... Begitulah rasanya bunyinya..  Jika dah terlalu kreatif dan inovatif janganlah sampai bahasa pun  hendak diubahsuai.. tak cantik jadinya... Bahasa Jiwa Bangsa!

Bukan Pakar Bahasa.. cuma memberi respond (Dengan Izin) kepada teguran menteri yang berkenaan..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 5 February 2010

Hikmah Kita Bersedekah






Sedekah adalah perbuatan amal jariah yang tentunya perlu untuk kita meningkatkan tahap keimanan yang ada. Dengan kewajipan berzakat yang telah ditentukan pada kadar 2.5% pada setiap pendapatan dan harta yang kita ada, mungkin nilai kadar berkenaan terlalu kecil untuk bayaran itu merubah dan membantu semua golongan yang memerlukan zakat. Jadi disini hadirnya fungsi sedekah. Sedekah adalah tidak terbatas.. Terpulang kepada kita sebanyak mana yang kita hendak berikan. 3 kelebihan bersedekah bagi umat Islam adalah:

1. Sedekah Dapat Memadamkan Kemurkaan Allah

Setiap daripada kita ada melakukan dosa.. Jika di"rewind"kan semula sejarah kita yang lalu, tentunya macam-macam kesilapan dan perbuatan silap yang telah kita lakukan.. Sebagai hamba, tentunya kita tidak mahu Allah sentiasa memandang kita dengan rasa kemurkaanNya. Dosa yang dilakukan dahulu sebenarnya sentiasa akan bersama kita selagi mana kita tidak betul-betul bertaubat.. Tentunya kita mengharapkan rasa belas dan mendapat kerahmatan daripadaNya. Bersedekahlah semampu yang boleh. Apabila ada orang yang meminta kepada kita, anggaplah mereka sebagai "posmen" yang dihantar untuk kita memberi... Memberi untuk "kita" sendiri sebenarnya..

2 Sedekah Dapat Membersihkan Harta

Dalam kita menjalani perjalanan hidup seharian terutamanya dalam melaksanakna tanggungjawab dalam bekerja, tentunya tanpa kita sedar, kita telah melakukan kecuaian seperti mencuri masa, tersalah guna, tersalah ambil, tersalah cakap, tersalah makan dan lain-lain.. Cukup bulan kita mendapat gaji.. Adakah gaji yang kita terima itu betul-betul setimpal dengan kerja dan amanah yang telah dilakukan? Tentunya ada bahagian-bahagian daripada gaji itu agak tidak bersih dan kotor akibat kelemahan dan kelalaian kita sendiri. Jadi, dengan mengeluarkan sedekah, ia boleh menyumbang kepada pembersihan harta kita.. harta yang dicari untuk diri dan keluarga..

3. Sedekah Adalah Pelaburan

Antara lebih kurang maksud satu hadith Nabi Muhammad S.A.W adalah apabila kita memberi sedekah, ia adalah ibarat kita menanam 1 benih, dengan benih itu akan tumbuh sepohon pokok dengan 7 dahan.. setiap dahan seterusnya akan mengeluarkan 100 buah... Setiap yang diberi akan dikembalikan dengan berlipat kali ganda.. Begitulah hebatnya ganjaran yang diberikan atas nilai sedekah yang dikeluarkan dengan penuh rasa iman dan yakin kepadaNya.. Bukan setakat pelaburan dunia malah pelaburan untuk akhirat ..InsyaAllah..

Petikan ulasan di atas sempat saya kutip daripada 1 sesi ceramah Jumaat pada yang disampaikan oleh Ust Uda Kassim. Moga anda dan saya selepas ini lebih ringan tangan untuk memberi sedekah.. Amin..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 3 February 2010

Teknologi Membuatkan Kita Semakin Kurang Bergerak





Teknologi adalah suatu kemajuan yang dicapai dan memperbaiki cara lama dalam manusia melakukan sesuatu perkara. Dalam mencapai sesuatu yang dihajatkan kita akan menggunakan kaedah samada secara manual yang lambat ataupun secara menggunakan teknologi yang lebih cepat. Secara umumnya sesuatu teknologi itu memperbaiki sesuatu perkara dalam 2 aspek utama iaitu memudahkan dan mempercepatkan. Sebagai contoh jika zaman dahulu untuk manusia menaiki struktur bangunan yang tinggi mereka menggunakan anak tangga. Kini kita menggunakan lif.

Tidak dinafikan teknologi membantu kita dalam memudahkan segalanya. Tetapi samada kita sedar ataupun tidak teknologi juga boleh memberikan kesan tidak baik kepada kita. Teknologi ICT misalnya nampak semakin kuat melekatkan punggung kita di hadapan skrin monitor baik di pejabat mahupun di rumah juga di mana-mana. Bagi yang asyik dengan melayan facebooknya tentu akan sentiasa berada di dalam talian dalam jangkamasa lama.. Layan dan terus melayan rakan kenalan.. Jika dahulunya mungkin kita ada memperuntukan masa untuk aktiviti senaman, riadah dan lain-lain aktiviti yang melibatkan pergerakan, tetapi sekarang ia telah beralih kepada hanya duduk di rumah melayan apa yang ada di skrin komputer... hanya jari-jemari sahaja yang banyak bergerak.. Kesannya, semakin kurangnya pergerakan dan aktiviti fizikal pada tubuh kita... Lemak pun semakin terkumpul kerana tidak digunakan.. Sendi-sendi pun tidak selancar dahulu.. Sedikit demi sedikit tubuh menjadi lemah, tidak cergas dan perut semakin buncit juga ;)

Jadi... buat anda dan saya juga, kena ingat apa yang penting dalam kehidupan ini adalah keseimbangan. Jangan sampai kita terlampau memberatkan sesuatu perkara sehingga terabai perkara-perkara yang lain.. Jangan terlalu bergantung sangat kepada teknologi.. sesekali cubalah kembali dengan cara lama yang tradisional yang mungkin lebih menyeronokkan jiwa ;))
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, 2 February 2010

Allah Yang Akan Menilai Kita Akhirnya


DIA telah menentukan Undang-Undang yang mana mesti dipatuhi..
DIA telah menentukan Perjalanan yang mana harus dipilih..
DIA telah menentukan Kaedah yang mana harus diamalkan..
DIA telah menentukan Panduan yang mana harus disandarkan...
DIA telah menentukan Segalanya yang mana harus hambaNYA ikuti...




Di akhirat kelak kita akan dinilai atas segala amalan yang telah kita lakukan semasa hidup kita di bumi yang dipinjamkan buat sementara ini.. Amatlah malang bagi kita sekiranya apabila kita telah tahu dan sedar bahawa DIA yang telah memberikan perintah dan kemudiannya kita lupa bahawa DIA jugalah nanti yang akan menilai kita diakhirnya.. Dengan kedatangan Maulidur Rasul tidak lama lagi marilah kita sama-sama melipatgandakan lagi ingatan kita kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya kita nanti akan amat-amat berharapkan kepada syafaat Baginda... Semasa kita menunggu untuk timbangan amalan kita.. Semasa menerima catatan amalan kita.. dan Semasa untuk meniti titian sirat nanti.. Wallahualam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 1 February 2010

Pesanan Untuk Kita Sebagai Anak

Memetik sedikit kandungan isi daripada seorang penceramah pada hari Jumaat lepas.. Nasihat kepada "kita" sebagai ibubapa kepada anak-anak, dan "kita" juga sebagai anak-anak kepada kedua ibubapa kita :

1. Belajar biar pandai.
2. Perangai biarlah baik.
3. Hidup biar boleh ditumpang.


Jadilah kita seumpama ketulan AIS yang berkilat dan dapat menyejukkan hati ibubapa kita ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 28 January 2010

Lidah dan Hubungannya Dengan Anggota Lain

Dalam apa jua perkara dalam dunia ni pasti ada yang mendahului dan ada yang akan mengikuti. Ada ketua dan ada pengikut. Pemimpin dan yang dipimpin. Ada yang duduk diatas dan yang berada dibawah untuk menyokong.. Ada kepala dan ada ekornya.. Begitu jugalah keadaannya dengan anggota kita dan hubungannya dengan lidah. Anggota selain lidah seperti tangan, kaki serta pancaindera lain setiap hari setelah manusia bangun dari tidur akan bersedia untuk memulakan kerja-kerjanya berpandukan apa yang akan diniat untuk disuarakan (dilafaz oleh lidah).. Pendek kata, hati-hati dengan penggunaan dan penjagaan lidah kita. Kalau banyak benda tak baik yang kita asyik perkatakan takut-takut anggota-anggota lain dengan mudah  untuk terjurus melakukan aktivtii-aktiviti yang tak elok tu.. Cuba jaga sebaik mungkin apa yang ingin  kita lafazkan dan ingat.. sekiranya tiada apa-apa yang hendak atau perlu diperkatakan, eloklah kita diam sahaja. Berkata-katalah hanya untuk 3 tujuan dan berlandaskan tugas kita sebagai khalifah di atas bumi Allah Taala ini iaitu untuk:

1. Belajar ilmu yang baik-baik.
2. Mengajar dan menyampaikan ilmu yang baik-baik.
3. Menegur dan memberikan nasihat baik.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 25 January 2010

Apa Yang Penting.. KERJASAMA


Dalam menambahbaik sesuatu sistem penyampaian kepada masyarakat, pelbagai isu yang timbul dan penyelesaian yang ada kebiasaannya akan melibatkan banyak entiti dalam pihak kerajaan itu sendiri. Lebih besar skop permasalahan itu maka akan banyaklah juga entiti yang bakal terlibat. Sebagai contoh : Jika sesuatu permasalahan itu berkait dengan penyeludupan pasir misalnya tentu ia akan melibatkan banyak agensi dan jabatan yang terlibat. Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar.. Kastam, Polis, JKR, Kerajaan Negeri dan sebagainya.




Dalam usaha memperbaiki dan mempercepatkan sesuatu proses penyampaian itu tentunya "KERJASAMA" dan "PERSEFAHAMAN" dan rasa "INGIN MEMBANTU" antara Kementerian, Jabatan atau Agensi dalam kerajaan itu sendiri adalah asas utama kepada KETELUSAN untuk membantu rakyat sebagai pelanggan utama. Rakyat sememangnya akan sentiasa mahukan perkhidmatan yang CEPAT dan MUDAH bagi mereka.. Selari dengan perkembangan teknologi seperti ICT dan sebagainya yang ada sekarang ini, kadang kala tanpa disedari perkara yang mudah kadang kala disusah-susahkan. Sehinggakan untuk memulakan "kerjasama" pun susah. Dinding-dinding TEBAL antara "PIHAK-PIHAK BERKUASA" itu sendiri seharusnya telah lama diruntuhkan sekiranya kita masih mahu slogan "RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN" bertahan lama..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 21 January 2010

Dua Golongan Manusia Yang Dimurkai


1. Mereka Yang Engkar

Yang jelasnya mereka yang termasuk dalam golongan ini adalah orang Yahudi tu sendiri. Mereka tahu dan sedar akan realiti kebenaran yang ada akan tetapi mereka tetap menafikannya. Di dunia ni mungkin kita boleh andaikan sememangnya mereka amat bijak, berpemikiran jauh dan tahu hakikat kebenaran yang sebenar. Mereka memahami dan mengkaji fakta-fakta yang benar yang ditulis dalam kitab-kitab. Malangnya, mereka tetap dengan pendirian yang engkar dan melakukan maksiat. Mereka menganggap merekalah kaum dan golongan yang paling mulia dimuka bumi ni...

2. Mereka Yang Sesat

Golongan yang kedua ini sentiasa mengajak kepada manusia untuk melakukan perkara yang tidak betul dan penuh kejahilan.. Setiap sesuatu yang dilakukan hanya dilakukan sebegitu sahaja tanpa ada unsur roh dan niat yang baik. Kaum Nasrani adalah contoh mereka yang sesat. Leka dan terus leka entah ke mana.. Yang malangnya mereka ini nampaknya semakin yakin dan berjaya dalam mempengaruhi umat Islam agar dipesongkan dan luntur sedikit demi sedikit rasa dan tanggungjawab ketaatkan kepada Allah.

Moga kita tidak tergolong dalam 2 golongan yang dimurkai Allah di atas. Marilah kita rapatkan barisan dan perkukuhkan iman kita bersama. Sesungguhnya musuh-musuh Islam itu akan sentiasa cuba menggoda iman dan akidah kita. Janganlah kita membiarkan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan bangsa terus dilalaikan dengan anasir-anasir dan aktiviti-aktiviti yang terancang oleh mereka.

Ingatlah juga bahawa dua sifat pelengkap kepada iman itu sendiri adalah dengan menimbulkan "PENGHARAPAN" kepada Allah untuk berada dalam landasan orang-orang yang telah diberikan nikmat dan adanya rasa "TAKUT" dalam erti kata takut untuk berada dalam jalan orang-orang yang telah sesat...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 18 January 2010

Kawal Stress Kita


Tiada manusia yang tidak stress saya fikir. Masing-masing tentunya ada kerunsingan, masalah, kerja dan tanggungjawab yang harus dipikul dan perlu diselesaikan. Sebagai seorang yang normal mungkin apabila setelah bersara nanti barulah kurang sikit stress yang ada terutamanya yang berkait dengan kerja. Kita selalu mendengar beberapa peristiwa dan kejadian yang amat menyayatkan hati. Antaranya termasuklah kisah tragedi kematian yang diakibatkan oleh pembunuhan dan kecederaan oleh ahli keluarga sendiri. Kita tidak dapat menolak perkara ini telah ditakdirkan dan ia juga mungkin tidak disengajakan untuk berakhir sedemikian rupa. Saya berpandangan walau setinggi mana pun tahap kewarasan dan kesabaran seseorang itu, dengan situasi dan cabaran dunia yang pelbagai rupa tentunya tahap kewarasan ini sentiasa akan dicabar dan terus dicabar oleh musuh kewarasan itu iaitu stress. Hendak memastikan tahap stress sentiasa berada di bawah tahap kewarasan bergantung kepada bagaimana seseorang itu mengawal perubahan stress di dalam dirinya. Apabila tahap keduanya semakin setara, ia akan mencapai fasa yang agak kritikal dimana daya fikiran logik akan diabaikan dan terus boleh berlakunya tindakan yang di luar rasa pertimbangan dan kewarasan tadi. Nasihat saya kepada diri dan yang membaca, kawal stress dan jika ada masalah cuba jangan difikirkan sangat. Saya menulis tajuk ini setelah mendapat idea dari filem HULK yang ditonton sebulan lalu ;)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, 17 January 2010

Perkhidmatan Bas Sekolah Percuma - Kan Bagus!!





Ada berita untuk perkhidmatan bas sekolah percuma di kawasan Parlimen Pandan untuk golongan yang berpendapatan rendah. Berita yang sebegini rupa saya fikir adalah amat kurang sekali menjadi isi berita khususnya di berita waktu perdana di TV. Datuk Seri Ong Tee Kiat selaku Yang Berhormat dan Yang "Bertanggungjawab" dan Yang "Beridea" untuk menjadikan ianya satu realiti saya berikan ucapan SYABAS dan moga dapat menjadi contoh kepada kita semua. Bukanlah ianya hanya perlu menjadi contoh kepada YB-YB yang lain tetapi juga kepada kita semua rakyat Malaysia mengikut kapasiti masing-masing.

Dua faedah utama perlaksanaan bantuan ini ialah kepada aspek penjimatan dan keselamatan. Hal-hal yang berkait dengan penghantaran anak-anak ke sekolah memang sedikit sebanyak merumitkan dan sedikit memberikan bebanan kepada ibubapa khususnya di Lembah Kelang. Dengan jalanraya yang senantiasa sesak dan dengan kepadatan penduduk yang tinggi, ia boleh memeningkan kepala.

Sememangnya tidaklah amat sukar untuk setiap daripada kita memberikan sedikit kemurahan yang boleh menggembira dan melegakan orang lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 16 January 2010

Amalan Untuk Menghindari Kesusahan Hidup





Sempat mengutip beberapa panduan daripada Ust Mohammad Fitri Abdullah daripada PERKIM. Berikut adalah beberapa tindakan yang boleh diamalkan bagi memperoleh kelapangan dan dihindar daripada kesusahan dalam kehidupan. Semoga anda dan saya dapat mengamalkannya. IsyaAllah...

1. Sempatkan diri dalam melaksanakan segala ibadah.
2. Memperbanyakkan istighfar.
3. Tinggalkan perbuatan dosa.
4. Ingatkan Allah sentiasa (bertasbih).
5. Berbakti dan sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua ibubapa.
6. Berbuat baik dan membantu orang yang lemah.
7. Tunaikan hajat orang lain.
8. Memperbanyakan berselawat.
9. Berpagi-pagi dalam aktiviti seharian.. (bangun awal).
10. Jalinkan silaturrahim.
11. Cuba sedayanya kekal dalam berwuduq.
12. Sentiasa bersedekah.
13. Sentiasa bersolat sunat tahajud.
14. Melazimi dengan solat sunat dhuha.
15. Mengamalkan zikir dan membaca Quran.
16. Berdoa untuk dilapang dan dimurahkan rezeki.
17. Berikhtiar.
18. Bertawakkal.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 13 January 2010

Janganlah Berlatih Menjadi Munafiq




Dalam zaman ICT sekarang ni, segala maklumat boleh diperolehi secara dihujung jari sahaja.. Asalkan ada komputer yang disambungkan ke internet, pelbagai info, data, cerita, isu dan fakta yang boleh dicari dan dibaca. Dalam kita mencari dan memperoleh maklumat yang dicari, kita juga tidak terlepas daripada melihat dan membaca info-info yang berkemungkinan tidak tepat dan kurang benar. Maklumat di luar sana sebenarnya mudah dimanipulasi oleh sesiapa sahaja yang tidak bertanggungjawab. Walaupun sesuatu perkara itu ditulis pada asalkan dengan fakta dan asas yang sahih dan benar.. ia adalah cukup terbuka untuk disalin semula dan diterbitkan sekali lagi dengan versi yang telah diubah suai... iaitu sesuai dengan tujuan dan maksud yang baru. Diubah dalam erti kata ditokok tambah atau lebih teruk lagi diubah menjadi satu pembohongan.. Kita sememangnya bebas melontarkan pembohongan-pembohongan kepada orang lain. Bagi yang membacanya saya fikir mereka cukup-cukup teraniaya sekiranya percaya kepada pembohongan yang dibaca itu. Apabila dia menjajakannya pula fakta pembohongan itu kepada yang lain.. maka ia menjadi seolah-olah tiada hentiannya untuk pembohongan itu terus menular dalam masyarakat..

Salah satu daripada ciri-ciri munafiq adalah apabila berkata, ia berbohong. Menulis dengan meletakkan pembohongan sebagai isi penulisan tentunya adalah suatu yang boleh mendatangkan banyak keburukan. Sungguh berdosanya kita jika pembohongan pada penulisan kita itu secara langsungnya mengakibatkan runtuhnya keharmonian dan tali silaturrahim sesama kita. Jika hati kita benar-benar bersih, kita akan rasa amat bersalah walaupun dalam kita cuba-cuba untuk berbohong..Wallahualam..


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 9 January 2010

Kenapa Perlu Buat Begitu..

Terjadinya beberapa insiden yang amat kita tidak sukai. Merujuk kejadian melontar molotov cocktail di tiga buah gereja dan melempar batu di sebuah surau di Selangor, saya mengandaikan mereka yang terlibat melakukan perbuatan ini samada:

1. Tidak berfikir panjang semasa melakukannya.. atau,
2. Mereka memang bertujuan untuk "menangguk di air keruh".

Bagi andaian pertama, mungkin mereka benar-benar marah dengan situasi yang sedang melanda dan tanpa pertimbangan keatas perasaan dan emosi, mereka  telah bertindak membabi buta.. Mereka seharusnya berfikir dahulu tentang natijah kesan perbuatan mereka. Mana-mana agama pun tidak mengajar pengikutnya melakukan pencerobohan dan kerosakan kepada agama lain.

Bagi andaian kedua, ini amat-amat dikesalkan jika mereka cuba memperlaga-lagakan kedua-dua belah pihak..Islam dan Kristian. Tentunya mereka ini merupakan anasir yang sememangnya paling bahaya dan boleh meruntuhkan sama sekali keharmonian yang ada.

Keharmonian dalam negara janganlah dimusnahkan oleh tindakan-tindakan yang boleh menyentuh sensitiviti sesama kita yang berbilang kaum, budaya dan agama. Semua pihak seharusnya perlu mengambil pendekatan tunggu dan bertenang seketika untuk melihat jawapan tentang siapakah yang bertanggungjawab. Saya yakin dengan kredibiliti yang ada pada PDRM, mereka boleh menjejaki dan mendapatkan jawapan dalam kes ini.




Marahkan nyamuk, jangan kelambu hendak dibakar..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 8 January 2010

Produk Pelancongan Paling Mudah & Murah - Lanskap Yang Indah


Saya gemar melihat lanskap pokok hiasan dengan keadaan persekitaran yang cantik, kemas dan menarik. Jika singgah di nursery pokok bunga hiasan kebiasaannya saya tidak akan pulang dengan tangan kosong ;)  Selalunya semasa menonton drama, filem atau rencana di TV saya bukan sekadar mengikuti isi atau jalan ceritanya sahaja tetapi turut suka melihat keadaan dan lokasi yang ada dalam adegan yang dirakam. Dalam rencana dan filem dari luar negara kebanyakkannya berlatarkan lokasi yang cantik dan menarik. Latar sesuatu adegan filem saya lihat bukan diambil secara tidak sengaja dan spontan sebaliknya (saya rasa) memang dirancang dan turut ingin ditonjolkan bersama watak dan penceritaan yang dimainkan. Tidak kiralah samada adegan itu dibuat di dalam (indoor) ataupun diluar (outdoor), mereka selalunya ada menampakkan seni paparan visual tersendiri yang boleh memberikan impak kepada penonton.




Berbalik kepada tajuk diatas, setiap ketika apabila melihat pelancong asing yang berada di Malaysia, saya terfikir.. apakah yang mereka suka dan ingin lihat di Malaysia khususnya di Kuala Lumpur contohnya semasa berkeputusan melancong ke sini? Memang tentunya dipengaruhi tarikan tertentu dan tujuan masing-masing. Mungkin faktor budaya, masyarakat, makanan, bahasa dan lain-lain. Tetapi bagi saya yang berada di Malaysia selama lebih 30 tahun ini merasakan ada sedikit kelompongan dan ketidakendahan terhadap penjagaan nilai produk pelancongan TERUTAMANYA dalam mewujudkan lanskap tanaman hiasan yang indah, betul-betul bersih dan menarik perhatian pelancong.

Sekiranya tulisan ini akan dibaca atau terbaca oleh sesiapa sahaja yang terlibat dalam sektor pelancongan di Malaysia, cadangan saya.. PERKASAKAN keindahan lanskap persekitaran fizikal kita. Setiap bandar-bandar utama sepatutnya telah ada tarikan lanskapnya tersendiri. Modal untuk nilai tarikan pelancongan ini saya fikir rendah sekali jika hendak dibandingkan dengan pembinaan prasarana lain berstruktur tidak hidup. Kerajaan sendiri yang dalam daftar asetnya telah ada apa yang dipanggil ASET HIDUP seperti tanaman pokok dan haiwan perlu mengoptimakan kepenggunaannya demi kesejahteraan semua. Perhebatkan kewujudkan ruang dan rupa lanskap yang penuh kehijauan dan warni-warni di bandar-bandar dan lokasi strategik. Pelancong biasanya suka bergambar untuk kenangan. Memang kita selalu mengatakan apalah pentingnya kemajuan fizikal, tetapi jika pandangan dan persekitaran kita baik dan selesa sedap mata memandang, secara beransur-ansur ia menjadi penawar kepada STRESS yang ada. Aspek pelancongan ini telah kita lihat amat JELAS sekali tidak terjejas langsung dek kelembapan ekonomi yang melanda. Mereka tetap datang mencari ketenangan dan ingin melihat SESUATU di sini.

Apabila banyak lanskap di bandar-bandar kita yang cantik tentunya akan ada lebih lagi daya tarikan pelancong luar dan dalam. Tak mustahil pembikin filem-filem Bollywood akan berduyun-duyun datang ke sini untuk membuat penggambaran filem ;)

CATkanlah baru bangunan-bangunan yang sudah nampak lusuh tu.. Tanam banyak lagi pokok-pokok hiasan.. kemudian selenggara sebaiknya...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 7 January 2010

Klinik 1 Malaysia




Hari ini kalau tidak silap pendengaran saya PM akan melancarkan klinik 1 Malaysia di Lembah Subang dan Kg. Kerinci. Tahniah kepada penduduk yang berhampiran kerana di tambah satu lagi kemudahan penting terutamanya dalam mendapatkan rawatan dan ubatan dengan akses yang lebih mudah. Kos ubat dan rawatan sekarang ni bukannya murah.. Beban kewangan dalam mendapatkan rawatan dan keselesaan yang lebih tentunya amat diharapkan dengan wujudnya klinik 1 Malaysia ini. Dengan memberikan perhatian kepada golongan yang berpendapatan rendah tentunya ia satu berita baik di awal tahun 2010 ini.

Cuma, sedikit pandangan saya apabila diadakan klinik seperti ini di kawasan penempatan yang boleh dikatakan agak sesak, tentunya masalah lalulintas dan tempat meletak kenderaan akan ada sedikit masalah. Apapun dalam jangkamasa panjang, tentunya akan lebih banyak lagi kewujudan klinik 1 Malaysia di kawasan penempatan yang bertepatan dengan golongan sasar yang betul-betul memerlukan. Sekiranya memerlukan kepada binaan klinik baru, pastikan tempat meletak kenderaan adalah cukup untuk menampung jumlah kedatangan pesakit dalam satu-satu masa. Kepada masyarakat setempat yang mendapat perkhidmatan klinik ini hargailah apa yang diberi ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, 5 January 2010

Menguap Pun Ada Hukumnya

Saya terbaca planner yang ada di atas meja. Ternampak tulisan "Menguap Itu Pun Ada 5 Hukum". Di sini saya kongsikan bersama pembaca laman blog ini untuk pengetahuan dan renungan kita. Saya ceduk 100% setiap para tulisan tersebut :





"
Skop dan ruang lingkup syariat sangat luas merangkumi soal yang besar sehinggalah kepada persoalan yang sekecil-kecilnya. Kita ambil contoh, soal menguap. Sekalipun perbuatan menguap dilihat kecil, tetap ada lima hukumnya. Ada waktunya menguap jadi wajib (bila terlalu mengantuk dan mesti menguap jika tidak, menggugat kesihatan). Ada masanya jadi haram (menguap untuk menyindir orang lain). Boleh jatuh makhruh (apabila mulut ternganga). Harus (menguap boleh dilakukan dalam keadaan berdiri atau duduk) dan sunat apabila menguap denga menutup mulut dan membaca ta'waz. Kalau perkara yang sekecil menguap pun ada hukumnya dalam Islam, apatah lagi persoalan yang besar-besar seperti mengatur rumah tangga, ekonomi, pakaian, pendidikan, sistem sosial, kebudayaan, politik dan lain-lain lagi.
"

Saya pun boleh dikatakan seorang yang kerap menguap. Kadang kala sampai tahap penat menguap setiap pagi ;)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, 3 January 2010

Kalimah Allah Jangan Dipersenda

Penggunaan kalimah Allah dalam terbitan akhbar mingguan Gereja Katholik yang mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jelas sekali mendapat tentangan semua umat Islam di Malaysia. Kerajaan sendiri dilihat akan cuba mengambil pendekatan terbaik dalam menyelesaikan isu ini. Mungkin ada segelintir yang masih boleh menerima hakikat perkara ini berlaku dan mungkin mereka masih mencuba untuk mewujudkan alasan-alasan yang logik yang direka untuk menyebelahi kepentingan mereka... Mungkin... Pegangan dan amalan jauh berbeza.. bagaimana mungkin boleh digunakan satu nama yang sama.. Penjelasan lanjut amat perlu oleh pihak gereja saya rasa...

Sebagai penganut Islam, umat yang mengaku dirinya beriman (hati, perkataan dan tindakan) dan bertaqwa (lakukan yang disuruh dan meninggalkan yang ditegah) harus bersatu dan tegas dalam memperjuangkan isu ini. Mereka yang berada di atas tentunya perlu bertindak. Bertindak untuk meletakkan sesuatu di tempat yang betul. Yang patut bersuara telah DENGAR suaranya. Yang membantah telah JELAS tulisannya. Yang menyokong telah KUAT gegarannya..

Saya secara peribadi dengan ilmu yang cetek ini hanya ingin menyatakan sedikit kekesalan dan amat terkilan bukan kepada isu yang sedang melanda, TETAPI lebih kepada bagaimana isu ini boleh diMULAKAN...? Lepas satu persatu pencerobohan terhadap kesucian dan ketinggian agama Islam di bumi Malaysia ini diganggu gugat. Sedarlah wahai kita semua, maruah agama Islam adalah yang paling atas yang harus dijaga berbanding maruah yang selain daripadanya. Wallahualam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...