Thursday, 27 October 2011

Harga Barang Naik Lagi!!



Dua tiga hari ni, isu yang mendapat perhatian adalah kenaikan harga barang seperti harga ayam, ikan dan juga kenaikan harga tiket perlawanan akhir bola antara Terengganu dan Negeri Sembilan. Saya juga terasa dengan kenaikan harga sepapan petai. Kalau ayam tu mungkin ada banyak faktor yang boleh di"kelentong"kan sebagai alasan untuk naik harga. Ini petai.. ada kos tambahan ker untuk kutip petai tu?!

CUEPACS yang mengesyorkan penjawat awam memboikot secara senyap kepada tindakan tidak membeli ayam, saya rasa memang wajar tetapi sambutannya amat sukar. Banyak tindakan dan usaha boikot sebelum ni gagal dan kurang berjaya.. Kesedaran itu ada cuma tindakan untuk menengakkan prinsip itu masih agak lemah.. Nak berkorban tak makan ayam oleh satu kumpulan besar memang payah juga.. Lagilah kalau pelannya pun x jelas.. Mana tidaknya.. seminggu tak dapat ayam rasa lemah-lemah kot badan ;)

FAM katanya mempunyai alasan dan pendirian sendiri untuk mempertahankan harga RM50 berkenaan. Dari RM30 ke RM50.. memang terkejut.. Kot ya pun nak naik naiklah secara beransur-ansur dan bukannya mengejut macam tu.. Apa pun pengguna harus bijak dan penyokong-penyokong itu sendiri mempunyai pilihan untuk memilih yang tebaik untuk mereka. Jika mereka boleh menerima dan menilai NILAI RM50 dengan apa yang diperoleh semasa di stadium tu.. kenapa tidak..

Beberapa minggu lepas semasa isu cas perkhidmatan prepaid pun ada peniaga runcit yang telah mengenakan cas 6% tu walaupun isu tu masih belum dimuktamadkan ketika itu.. Hebat diorang ni buat duit.. pakai undang-undang sendiri jer..

Rakyat selalunya mengharapkan Kerajaan bertindak atas isu ini. Isu yang sememangnya dimainkan peniaga dan orang berkepentingan. NGO pun dah berbuih-buih dah mengatakan hal ini, tetapi peniaga dan kumpulannya sentiasa "KUAT" dan hampir kebal untuk melakukan sesuka hati mereka.

Bagi saya di sini sekali lagi pihak dan orang yang boleh main peranan berkesan untuk ISU ini adalah Ahli Parlimen kita yakni wakil-wakil Rakyat melalui saluran media-media yang ada. Bincang dan debatkan hal ini bersama PENGILANG atau "master mind" disebalik perniagaan terbabit. Master mind ini saya fikir BERKUASA mengawal ekosistem ekonomi ini. Mereka memang bijak memainkan HARGA.. BIJAK adalah kekuatan utama mereka ini.. Jadi pihak berkewajiban perlu perjelaskan punca (JIKA BENAR HARGANYA PERLU NAIK) dan tangani isu secara jujur dan IKHLAS kerana rakyat kebanyakkan tentunya terjejas sekiranya perbelanjaan harian mereka (belanja makan-minum) ASYIK naik, NAIK dan naikKK aje.. Letih macam ni..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 20 October 2011

Kita Berubah atau Diubah




Baru selesai mendengar Klinik Kepenggunaan oleh PPIM di Radio 24. Isu yang dibincangkan adalah berkenaan kebankrapan dan bagaimana isu ini perlu dilihat secara lebih budiman dan timbang rasa oleh kerajaan khususnya kepada penjawat awam sendiri selaku pelaksana dasar dan secara spesifik lagi kepada Jabatan Insolvansi sendiri serta beberapa agensi seperti Baitulmal, Pusat Zakat dan lain-lain yang sewaktu dengannya. Statistik menunjukkan 100 ribu lebih di negara ini telah diisytiharkan bankrap. Nampaknya "Bank" juga yang didahulukan.

Daripada  ulasan dan perbincangan, dapat saya petik di sini, sebagai penjawat, kita perlu lebih bijak dan mempunyai RASA dan NALURI untuk bertanggungjawab membantu rakyat yang kita berikan khidmat. Tanpa memilih bulu dan tanpa terlalu mengikut sahaja pendekatan yang mungkin kini sudah tidak beberapa relevan. Dari segi memufliskan sesorang itu mungkin perlu dikaji kaedah prosedurnya. Keadaan kini dilihat lebih kepada menjerumuskan lagi orang yang berhutang itu jauh lebih hina ke lubang masalah mereka. Sudahlah diisytiharkan muflis, dipenjarakan lagi, malu lagi, susah lagi.. susah bukan sekejap. Susah tu dibiarkan dirasai lama.. lama bersama-sama keluarga yang terhimpit dan kalau boleh dikatakan mereka ini dihenyakkankan lagi sampai mereka tak mampu nak bangun semula. Zalim rupanya tu.. Isu ini sememangnya telah dijelas dengan alasan dan faktor undang-undang tetapi janganlah kita terlalu lurus dan tidak berinisiatif untuk MEMBANTU mereka yang susah ini.

Syabas kepada Dato' Dr Makmur sekalu Setiausaha Agong PPIM dan pasukan PPIM yang saya lihat begitu ikhlas dan berani memperjuangkan segala isu berkaitan ummah.. yang mana lebih-lebih lagi membela golongan rakyat biasa-biasa (yang sering tertindas).

Akhirkata. Janganlah kita menjadikan dan cepat meletakkan setiap masalah itu seolah-olah tiada penyelesaiannya.. Tiada harapan... Kita sendiri menutupkan harapan yang mungkin ada..



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 17 October 2011

Tidak Mahu Mengundi?!




Salah seorang kenalan memberitahu.. Aku tak mengundi pun.. malaslah nak pergi buang undi.. Ini kenyataan daripada seorang yang terpelajar. Seorang yang belajar di kolej dan universiti.. Rasanya bukan beliau seorang saja yang berpendirian sedemikian, mungkin ramai lagi.. Bagi saya ini menampakkan betapa masih ramai lagi rakyat di negara ini yang mengambil ringan dan tidak peka kepada hak dan tanggungjawab mereka sebagai rakyat. Kita selalu mengharapkan orang lain memberikan itu dan ini, tetapi tanpa kita sedar.. kita tidak menyumbang pun untuk itu dan ini tadi.. Membuang undi bukanlah suatu perkara yang sukar.. Amat mudah.. hanya perlu daftar, semak dan pergi buang undi semasa hari pilihanraya..

Pilihanraya yang akan datang ini sudahpun menunjukkan rentak dan bahangnya.. Pengagihan kerusi, persidangan parti, senarai nama-nama calon, kenyataan daripada pihak SPR dan janji2 parti dah mula kedengaran. Pihak kerajaan saya fikir dah mula dah sikit2 dalam berkempen ;) Isyaratnya menunjukkan ia amat hampir kepada kita semua rakyat Malaysia. Moga kita sama-sama membina negara ini dalam corak demokrasinya tersendiri dengan kerajaan dilantik atas dokongan pengundi yang ikhlas dan bijak memilih wakil mereka di Parlimen.

Semoga mereka yang tidak mengundi ini cepat2 sedar, betapa nilai satu-satu undi itu amat berharga untuk menentukan siapa yang berkuasa nanti.. Janganlah kita hanya membiarkan sahaja sesuatu itu berlaku tanpa kita melibatkan diri kerana akibat dan natijahnya sememangnya kena-mengena dengan kita. Paling-paling busuk pun kepada generasi kita yang akan datang..

Marilah kita daftar untuk mengundi nanti.. Rugi tak mengundi.. Undi bukan untuk orang lain untuk diri kita juga sebenarnya. Bila keluar mengundi nanti sila pastikan bawa MyKad dan yg penting juga pastikan undi ada bukan undi rosak :)


 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, 4 October 2011

Menunggu Belanjawan 2012



Bajet kali ini dilihat dan diwar-warkan sebagai satu bajet yang mengutamakan rakyat, khususnya rakyat berpendapatan rendah.. Ia nampaknya akan mengambil kira isu kos sara hidup, kenaikan harga barang dan keadaan ekonomi dunia yang kurang memberangsangkan. Ramai juga yang telah mengulas dan menjangkakan pelbagai inisiatif dan pendekatan baru yang bakal diumumkan oleh PM Jumaat ini. Bagi saya sememangnya pembentangan pada Jumaat ini amat diharapkan setiap inisiatif itu betul-betul mencapai dan dirasa oleh gologan sasar. Biar ia dirasakan terus.. Kurangkan rantaian yang ada.. Kos sara hidup yang dilalui oleh rakyat kini terutamanya yang berpendapatan rendah dan JUGA.. yang sederhana (khususnya di bandar) memang amat menekan. Dengan kos barang makan dan pengangkutan seharian yang tidak dapat dielakkan .. sememangnya perkara-perkara ini membuatkan RM di dalam dompet cair dan deras mencair setiap hari. Sememangnya pengurusan kewangan di peringkat individu itu penting tetapi pengurusan di peringkat makro juga penting untuk melindungi individu-individu yang bakal mencorakkan ekonomi makro yang lebih besar.

Apapun pengumumannya nanti, moga keseimbangan dan kestabilan ekosistem kewangan dan program-program yang dirangka betul-betul memberi IMPAK dan boleh memberikan PERUBAHAN dan MEMBAIKI mana-mana cacat dalam kelemahan ekonomi yang ada kini. Yang penting akhirnya adalah keselesaan kepada Rakyat yang sememangnya adalah Pengguna setiap masa dan juga Pengundi untuk PRU yang akan datang ini..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 30 September 2011

Hudud..




Kebelakangan ini hudud disebut-sebut.. PAS ingin membawa Hudud ketengah.. memang sepatutnya begitu pun.. Tiada yang peliknya.. Undang-Undang Islam semestinya adalah perjuangan PAS sampai bila-bila. bukan bermusim.. Bagi yang tidak faham elakkanlah dari memberikan hujah yang cuba menidakkan hukum ini. Buat masa ini memang pelaksanaannya dibataskan oleh Perlembangaan, penerimaan dan situasi ketetapan sedia ada, tetapi bagi saya sebagai seorang Islam, kita harus terbuka, meneguhkan iman dan terus berusaha untuk membina arah dan fokus untuk menjadikan ia salah satu hukum yang diterima di Malaysia satu masa nanti.

Pihak kerajaan kini sendiri saya fikir harus lebih terbuka hati dan mencari titik kesamaan bersama.. Semasa saudara seIslam tanpa mengira ideologi politik, sesuatu isu yang lebih menjadi tunjang harus lebih diutamakan selain hal dunia dan material. Kenalpasti bagaimana hukum yang memberikan kebaikan ini dapat diamalkan.. Sesungguhnya apa sahaja yang telah ditetapkan Tuhan itu adalah baik untuk hambanya. Ya Allah, berikanlah kekuatan dan taufiq hidayah kepada para pemimpin-pemimpin kita..

JAKIM selaku pihak berkuasa dalam hal ehwal agama Islam saya fikir perlu memainkan peranan. Mungkin buat permulaan ini.. dimulakan dengan memberikan kefahaman dahulu kepada semua.. Pelan-pelan dan penuh strategik..
Wallahhualam..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 12 September 2011

Erti Sebuah Kemerdekaan




Di bulan kemerdekaan ini kita setia dan sedia menyambutnya saban tahun. Sememangnya kemerdekaan kali 54 ini mempunyai cabarannya tersendiri dalam pengisian maknanya dan amalannya. Kempen kibar Jalur Gemilang oleh kerajaan nampaknya kurang mendapat sambutan. Bagi saya isunya 1 saja iaitu kualiti material yang menegakkan bendera itu yang membuatkan orang ramai enggan mendapatkannya untuk letak di kenderaan.. Tidak membelinya bukan bermakna kita tiada semangat merdeka.. Cuma memikirkan apa sudahnya jika minggu ini beli minggu depan ia dah tercampak atas jalan raya. Mana tidaknya.. setelah dilekatkan di cermin atau badan kereta selepas seminggu pemanduan, ia hampir 90% berkebarangkalian untuk ia tanggal dan terpelanting entah kemana.. Mungkin kalau kita nak juga ramai mengibar jalur gemilang, perlu difikirkan untuk macamana diinovasikan pelekat bendera itu.. Perlu diinovasikan untuk ia boleh tahan lama dan boleh digunakan semula setiap tahun. 

1 Malaysia.. Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera.. Itu motto hari kemerdekaan tahun ini. Ia tentunya perlu sejajar dengan program transformasi yang dilaksanakan kini. Apapun mottonya bagi saya isi kemerdekaan itu sendiri masih penting iaitu kita sebagai individu dan negara perlu bebas daripada sebarang bentuk penjajahan dan tekanan orang lain. Bebas dalam erti kata tidak bergantung harap pada orang lain. Bebas untuk membina kemajuan, memajukan diri dan bukannya bebas untuk menghancurkan apa yang telah ada pada diri dan orang lain.

Senang bagi kita mengatakan kita pebas daripada itu dan ini tetapi yang lebih penting juga untuk kita mempraktikan bagaimana untuk kita betul-betul bebas daripada sebarang bentuk penjajahan masa ini yang lebih kompleks dan ancaman yang tak kita sangka-sangka.
Merdeka bukan disambut sebagai kenangan sahaja, tetapi sebagai pengajaran untuk kita meneruskan kelangsungkan kita di masa hadapan. Merdeka! Merdeka!! Merdeka!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 7 September 2011

Silang Kata Politik





Saya sebenarnya cuba untuk mengelakkan berbicara mengenai politik di dalam ruang ini. Tetapi rasa terpanggil pulak untuk menyelitkanlah sedikit pandangan dan fikiran dari sisi kaca mata saya mengenai senario politik semasa.

Secara umumnya saya melihat dan boleh mengibaratkan perjalanan politik dalam negara kita ni seumpama kita sedang bermain teka silang kata. Dimana hanya beberapa huruf sahaja yang dipaparkan. Kita (rakyat) di sini sebagai orang yang cuba meneka apakah perkataannya dan orang politik sebagai pihak yang (mungkin) menyembunyikan fakta dan cerita sebenar. Memang ada cerita dan fakta sebenar, tetapi ia ditutup dan dihijabkan dengan klu atau dipaparkan separuh sahaja dahulu fakta yang betul. Natijahnya, ramai yang masih keliru dan mungkin ramai juga yang masih berdiri atas fakta yang tidak betul, masih terus mempertikai, masih salah menyalah dan malang sekali bagi yang terus hidup atas kepercayaan karut marut dan penuh fitnah memfitnah.

Isu terkini yang agak sensitif nampaknya adalah kejadian penyerbuan sebuah gereja di Selangor dan kenyataan Timb. Presiden PAS dalam peristiwa di Bukit Kepong. Bagi saya, fakta dan kebenaran itu telah lama ada. Bagaimana ia berada disitu dan dapat diolah supaya penceritaannya disesuaikan kini bergantung kepada sebijak mana pelaku dan penafsir ceritanya membawa perkara itu. Dalam permainan silang kata ni, tentunya ia akan menduga sejauhmana kita tangkas dan peka melihat perubahan dan kesesuaian sesuatu perkara.

Kepada orang politik yang masih lena (jika ada).. Saya orang-orang biasa-biasa ni suka berkata begini : "Pastikan agenda politik anda haruslah untuk kesejahteraan dan bukan kehancuran. Teka silang kata yang anda mainkan bukannlah permainan yang rakyat suka. Pening sudah rakyat memikirkan kelompok disebelah sini, di sana dan di seberang jauh sana. Melayu khususnya cepatlah sedar... Perpecahanlah punca kelemahan kita".

Penat fikir bila main silang kata!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, 6 September 2011

Biarlah Sedap Mata Memandang





Alhamdulillah dapat kembali ke meja tugasan dan curi-curi masa rehat ni sikit mencoret sedikit kenangan dan pemerhatian semasa raya lalu. Fasa 1 saya beraya di Perak dan fasa 2 saya beraya di Melaka. Perjalanan balik kedua-dua destinasi memang seronok. Kedua-duanya melalui jalan lama sahaja. Di sepanjang perjalanan dapatlah melihat pemandangan kampung-kampung, perumahan yang ada.. ladang-ladang sawit dan getah yang penuh menghijau.. Alhamdulillah, kita bersyukur dapat meraihkan hari raya dalam suasana ceria, harmoni dan selamat. Tidak seperti sesetengah saudara kita di tempat lain yang mungkin amat daif dan penuh sukar untuk mereka beraya seperti kita. Dikesempatan ini juga saya nak ambilk kesempatan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul yang terkorban semasa bertugas di Somalia beberapa hari lalu. Moga rohnya dicucuri rahmat dan aman di sana.

Semasa menziarah dan dalam perjalanan menziarah semasa raya ni dapat saya melihat satu perkara yang mungkin remeh tapi cuba kita fikir. Benarkah ianya remeh. Cara sesetengah daripada kita meletakkan kenderaan nampaknya seolah-olah mereka ni tidak menghiraukan orang dan pengguna lain. Meletakkan kenderaan ikut "dan" dan ikut sedap saja. Di tempat yang ada petak pun tak dipark betul-betul.. Mungkin tak menyusahkan sangat orang lain tetapi tentunya akan memburukkan suasana. Kita yang nak beraya ni dengan "happy-happy"...  tetapi tiba-tiba mata jadi sakit bila tengok orang letak kereta bersepah-sepah.. boleh hilang mood raya tu.. Ayuhlah kita selepas ni jadi lebih sensitif dan peka kepada persekitaran. Teliti dalam mengatur benda dan barang kita bukan sahaja kenderaan tetapi juga dalam apa jua perkara lain.. Baik di rumah, di pejabat dan di mana-mana pun jaga aturan benda-benda kita.. Sesekali tak tentu arah tu takpelah, tapi janganlah dijadikan tabiat asyik bersepah jer dalam kehidupan kita ni kerana banyak lagi mata-mata yang ada sekeliling kita ni yang "Berkongsi Hidup dan Ruang" bersama kita..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 26 August 2011

Salam Lebaran 1432




Salam Lebaran saya ucapkan kepada semua kenalan dan semua yang melawati blog ini.. Terima kasih banyak atas masa yang diluangkan serta komen yang diberikan. Moga di kala ini kita semua sedang berada dalam rahmat dan bergembira sedia untuk meraikan hari kemenangan setelah sebulan menjalani ibadah Ramadan. Semoga Ramadan kali ini adalah yang terbaik & Syawal ini juga memberikan titik ceria dan paling bahagia dalam hidup kita.

Pesanan saya macam pesanan orang-orang lain jugalah.. Sama-sama kita berhati-hati di jalan raya di sepanjang musim perayaan ini.. Cuti berkembar dengan Hari Kemerdekaan tentunya meningkatkan begitu banyak sekali jumlah kenderaan di jalan raya.. Pastikan mental, fizikal dan emosi stabil semasa memandu.. Elakkan stress, banyakkan bertolak ansur dalam menadu, sentiasa alert pada keadaan kereta serta jalan dan pastikan cukup rehat..

Ambil juga kesempatan ini untuk kita sama-sama bermaafan kerana kita sebagai manusia ni tentunya tak dapat lari dari melakukan kesilapan. Meminjam kata-kata orang lain, dia berkata.. tak rugi pun bila kita meminta maaf pada orang. Bukannya jatuh telinga, jatuh hidung atau hilang apa-apa pun bila kita memohon maaf ataupun memaafkan orang lain..

Dalam beraya juga, marilah kita ambil kesempatan bertegur sapa dengan sanak saudara. Bertanya kabar dan saling kenal mengenal antara satu sama lain.

Raya dan Merdeka dalam waktu yang sama.. Sama-sama kita meraikan kedua-duanya bersama sama.. MERDEKA!! MERDEKA!!! MERDEKA!!!

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI


MAAF ZAHIR DAN BATIN !


--

MOHD FAIZAL BIN MOHD TAJUDIN




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 17 August 2011

Meletakkan Diri Dalam Kasut Orang Lain




Perkongsian memang satu yang baik.. Perkongsian benda yang positif memberikan sebaran aura positif kepada orang lain.. Tetapi kalau pandangan negatif yang dikongsikan, tentunya ia akan disambut dalam aura yang lebih negatif.

Baru-baru ini saya ada terbaca satu status dari facebook seorang yang hebat. Hebat kerana dia telah berada di atas. Katanya "Ritu saya gi pasar ramadhan kat Putrajaya ni. Mak ai mahalnya harga jualan sume. Tapi ramai gak penjawat awam dok beli. Ni betul ke gaji skarang kecil n penjawat awam susah nak survive."

Kenyataan ini boleh disambut dengan 2 cara. Ia boleh disambut atau direspon atau dikomen secara positif ataupun ia boleh juga disambut atau dikomen secara negatif. Pemerhatian saya, ada komen positif dan banyak juga yang negatif.

Apapun komen yang diberikan kepada kenyataan beliau itu bagi saya, beliau berhak untuk mengetahui  dan menerima setiap pandangan balas dari pembaca lain termasuklah "beliau sepatutnya meletakkan dirinya dalam kasut orang lain dahulu sebelum menulis sedimikian".

Cuba kita renung :

Dahulu semasa zaman beliau muda, harga barangan rasanya tidak memberikan beban sangat. Pilihan dimasa itu banyak. Budaya dan corak kehidupan masa itu juga berlaian dengan kini. Sampai hati beliau berkata begitu. Dah tiada pilihan nak buat macam mana.. Kadang-kala kita perlu berfikit masak-masak dulu sebelum menulis. Fikirkan sensitiviti orang dan maruah orang.

Pendek kata, sesekali cuba-cubalah letakkan paksi orang lain (yang ada masalah) pada paksi diri kita. Cuba imaginasikan keadaan mereka. Sebab tulah kita berpuasa agar kita boleh merasai kepayahan berlapar dahaga seperti orang yang susah..

Payah kalau tak faham-faham.. Selamat berpuasa.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 4 August 2011

Bonus?!! Ada ker?!

Melihat tajuk post ini.. ia memang mengujakan sesiapa sahaja.. Mana tidaknya duit adalah satu elemen pengantaraan untuk hampir semua perkara. Untuk makan, bergerak, bekerja, belajar, dan sebagainya. Malah duit perlu untuk membangunkan diri, membangunkan institusi, membangunkan masyrakat dan negara.

Bagi penjawat awam juga kepada pekerja swasta tentunya setiap tahun mengharapkan satu penghargaan dalam bentuk wang yang boleh dimanfaatkan untuk tampungan belanja dan simpanan. Tak pelik saya rasa untuk saban tahun disediakan bajet untuk bonus kepada semua. Tak semestinya banyak tetapi ia perlu ada. Cuma.. yang akan peliknya apabila tiada bonus ataupun ganjaran yang setimpal setelah sekian lama pekerja itu setia dan taat menjalankan tugasnya.

Menjelang musim raya yang bakal menjenguk dalam sebulan ini, tentunya sesetengah majikan dah mula memberikan sedikit bonus untuk meraikan pekerja mereka. Syabas dan tahniah!! Tetapi apabila menyebutkan hal bonus ini untuk satu-satu organisasi yang besar mungkin boleh mengundang perasaan tidak senang dihati pihak luar. Atas alasan bonus yang satu itu diberikan kepada semua.. tak kiralah dia tu rajin atau malas.. Yang kerja elok dapat dan yg kerja tak bagus pun dapat. Sebagai manusia memang kita tidak boleh memberikan keadilan yang sama sepenuhnya tetapi marilah kita bersikap positif dan anggap bahawa bonus itu perlu untuk mereka yang cemerlang dan juga yang belum cemerlang itu. Dimana kini dia tidak bagus dalam kerjanya tetapi mungkin selepas ada bonus YANG TIDAK DISANGKA-SANGKA boleh menyedarkan dia untuk berubah kepada menjalankan kerja dan tanggungjawab dengan lebih baik.

Buat BOSS-BOSS sekalian.. Bonus walaupun kecil tetapi "BESAR" ertinya pada kami, orang-orang di bawah ni.. kerana orang di bawah merasai terus setiap perubahan kos hidup yang kian naik mendadak saban bulan.. Contoh paling simple --> "Dulu nasi sepinggan bersamaan 1 mangkuk, tapi kini mangkuk untuk nasi tu makin kecil dan mengecil.. Sampai kan eh... tak kenyang ni 1 mangkuk.. letak 3 mangkuk baru penuh pinggan"

Moga tahun 2011 ni memberikan lebih kemakmuran dan kekayaan kepada kita semua rakyat Malaysia tidak kiralah kita ni penjawat awam ke.. pekerja swasta ke.. pekerja sendiri ke.. ataupun pengangur ke.

Baik sangka : Mungkin ada bonus kot tahun ni!! Sama-sama kita doa ;)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 30 July 2011

4 Harta Karun Dalam Diri




Sedang saya membelek-belek cd dan vcd lama dalam kabinet di rumah, terjumpa saya pada 1 cd audio bertajuk "Kuasa Minda". Kandungan dan isi pemyampaiannya adalah mengenai 4 elemen dalam diri setiap insan yang harus digunakan secara bijak dan berkesan untuk menjadikan hidup kita ini lebih baik dan lebih berjaya. Ringkasnya 4 elemen berkenaan adalah jasad, emosi, akal dan rohani kita. Begitu panjang lebar huraian yang diberikan oleh motivator berkenaan. Apapun cukup rasanya untuk saya ambil kesimpulannya sahaja di sini dahulu bahawa sesungguhnya setiap dari kita telah sedia memiliki 4 anugerah ini ataupun harta karun dalam diri. Terpulang kepada kita untuk mengunakannya dan mencanainya untuk membangkitkan potensi diri setiap daripada kita. Mungkin jika ada kesempatan saya akan cuba menulis kembali kandungan dan huraian tajuk ini di ruang ini untuk faedah kita bersama.

Ringkasnya jasad tubuh badan perlu dijaga. Jaga makan minum dan senaman. Emosi dijaga dengan sabar, sabar, sabar dan sabar serta emosi boleh digunakan untuk kita didesak menjadi yang terbaik. Rohani pula dijaga dengan zikir dan amal ibadat sementara akal di jaga dengan kita sentiasa bersikap positif dan tidak "under esitmate" kebolehan dan kepercayaan kita. Selebihnya akan di sambung huraiannya sedikit masa lagi insyaAllah.

Selamat menjalani ibasah puasa ;)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 22 July 2011

Duit & Emosi Kita..

Pergi pagi pulangnya petang.. Ada juga yang perginya pagi pulangnya malam.. Begitulah hidup kita.. Kerja-kerja dan kerja.. Kerja untuk siapa.. Bukan kerja untuk sesiapa tetapi untuk bayar itu dan ini.. Bayar ansuran rumah, ansuran kereta, ansuran perkakas rumah, ansuran pinjaman belajar, bil utiliti, bil internet, bil telefon, bil kad kredit, yuran itu ini dan macam-macam lagi.. Apabila dapat gaji dari mesin ATM kena ke mesin deposit sebelahnya pula untuk bayar.. BAYAR!!.. dan BAYARR!!!.. Selain itu hari-hari pagi petang siang dan malam kita bayar untuk makan.. Kalau tak bayar kita lapar pula.. Menjelang Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.. InsyaAllah, moga kita dapat "adjust" sedikit wang dan bayaran kita di mana-mana.. Moga ada simpanan yang boleh dilakukan.. Duit adalah hampir untuk segalanya.. Bila berduit.. boleh bayar apa saja & emosi lebih stabil ;)






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 21 July 2011

Bersih Dahulu dan Sekarang




Pernah satu ketika mendengar cerita orang-orang lama (pesara kerajaan).. Mendengar cara mereka bekerja sebelum bersara dulu.. memang hebat, teliti dan bersih.. Opss.. bukan "bersih" yang kuning tu ;).

Zaman dulu-dulu mereka bekerja penuh disiplin. Mereka teliti dalam kerja mungkin zaman tu boss-boss mereka juga teliti dan penuh dedikasi. Kalau di pejabat tu aturan kekemasan meja pun mereka titik beratkan. Bagi sesetengah kita mungkin benda ni remeh tapi tidak bagi mereka yang betul-betul teliti dan kemas ni. Meja bagi mereka perlu kemas dan bersih. Tiada habuk pun.. Kalau sibuk macamana pun dengan kertas dan alatulis atas meja., apabila petangnya nanti sebelum balik meja mesti kemas dan tersusun rapi.

Itu bila kita bercakap tentang tempat kerja.. Kalau tentang kekemasan diri pun begitu juga. Orang-orang zaman tu memang menjada penampilan. Gaya rambut dan pakaian memang ada kelas tersendiri..Gaji tidaklah sebesar mana tapi mereka mampu bergaya, berduit untuk memiliki apa yang dihajatkan dan ada style ;)

Mereka juga di zaman tu dikatakan elok budi bahasanya. Ada tata susilanya. Walaupun mungkin di zaman tu dakwah dan ceramah agama mungkin tidak sehebat sekarang ni yang rata-rata tiap-tiap hari kita disorotkan di internet, TV, radio, majalah, surat khabar, majlis ilmu dan macam-macam lagi sumber pengajian Islam tetapi mereka terkawal hidupnya.

3 perkara ni sahaja bila direnung antara dulu dan sekarang dah jauh berbeza. Kebersihan, pembawakan diri dan kesantunan hidup..

Sememangnya kita kena selalu juga menoleh ke belakang dan mengkaji sejarah dan usul lama masyarakat kita, menggali mana yang baik untuk turut dibawa bersama dalam arus moden yang penuh dugaan ini.

Cermin2 diri dan cuci2 hati anda..

Selamat menyambut Ramadan yang bakal menjelma. InsyaAllah..



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 11 July 2011

Ramai Lagi Yang Tiada Masalah Dengan SPR

Kadang-kala kita merasa rimas bila mengenangkan senario politik dan sosial dalam negara. Orang ini kata begini dan orang itu kata begitu. Kadang kala naik pening juga difikirkan mana satu yang betul ni?! Bagi saya tak kira di belah mana pun kita berpihak, apabila setiap perkara itu benar ia perlu dibenarkan.. dan apabila perkara itu salah perlu diterima ia memang salah. Pendek kata yang hitam tetap hitam dan yang putih tetap putih.. jangan dicampur adukkan yang hak dan yang batil. 2 hari lepas beelaku juga perhimpunan haram yang mana dikatakan mungkin tidak berlaku di jalanan. Pada saya antara iktibar yang boleh kita ambil dari kejadian ni adalah:

1. Kepada penjanjur perhimpunan haram. Fikir masak-masak dulu sebelum melakukan sesuatu. Tuntutan yang diperjuangkan boleh dibawa secara baik bukan di bawa dijalanan.. Anda telah merasakan ramai yang menyokong anda.. Ya memang ramai.. tetapi RAMAI lagi di luar sana yang tidak bersama anda. Harap yang ramai-ramai tu bukanlah mereka yang diperalatkan.. Membawa orang ramai berhimpun dijalanan memang menyusahkan semua orang..

2. Kepada SPR mungkin kena duduk berbincang lagi dengan NGO yang satu ni.. Teliti lagi mendalam, apa lagi yang mereka tak puas hati.. Biarlah bincang sampai 100 kali pun berbincang janji akhirnya ada penyelesaian dan semua orang puas hati. Takutnya benda ni tiadalah apa-apa sangat, tetapi telah berjaya dihangat-hangatkan menjadi besar dengan tak semena-mena oleh mereka yang ada agenda tertentu.

3. Kepada pihak yang melakukan sekatan jalan raya - memang hal seperti ini adalah keutamaan dalam aspek keselamatan negara tetapi ambil perhatian juga tentang masa dan lokasi untuk diadakan sekatan.. Takutnya nanti, mencegah jadi menyusah.. kesusahan kepada pengguna jalanraya "yang tidak bersalah apa-apa". Payah juga bila dah sangkut berejam-jam dalam trafik tu..

Kesian tengok orang yang tak tahu apa-apa pun sibuk turut terlibat hari tu.. Banyaknya orang Melayu..
Takziah kepada keluarga kepada salah seorang yang meninggal dunia semasa kejadian.. Moga rohnya dicucuri rahmat..


|

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 30 June 2011

Nak Bersuara Pergi Di Jalanan.. Kenapa?


9 hb ni mereka ingin mengadakan perhimpunan beramai-ramai di Ibu Kota. Ramai-ramai berarak memakai baju juning. Nama kumpulan tu dah cantik dah "Bersih". Bersih ni biasa tujuannya nak membuang kotoran. Umpama sabunlah sebagai agen pembersihan. Sabun sifatnya membersihkan dan wangi. Apa yang bakal ditinggalkan pada benda yang dibersihkannya nanti adalah lebih baik dan lebih bersih lagi suci. Malulah sekiranya kumpulan "Bersih" yang nak berarak minggu depan ni kalau mereka meninggalkan bekas dan kesan yang kotor. Rakyat yang boleh berfikir waras sepatutnya boleh melihat perhimpunan haram sebegini sememangnya merugikan semua. Peniaga, pemandu teksi, orang awam, pelancong, pelabur, syarikat perniagaan, pemandu pelancong dan sesiapa saja yang berkait dengan udara "bersih" di Ibu kota KL akan terjejas sedikit sebanyak. Mana tidaknya... keadaan aman tiba-tiba dihuru harakan.

Di tambah kurang molek lagi apabila kumpulan "Bersih" ini turut dicabar oleh pesaing mereka yang turut mashu sama-sama menyaingi beramai turun di jalanan. Bagi saya ini amat tidak patut dan lagi memburukkan suasana. Kata mudahnya biarlah orang luar nampak seribu orang berkumpul untuk perjuangan mereka jangan jadinya nanti orang luar nampak seribu kali 2 atau kali 3 ganda berkumpul untuk perjuangan-perjuangan mereka. Orang luar bukan faham dan tahu sangat apa isi perhimpunan ni tapi mereka lebih nampak buruk dan teruknya orang Malaysia ni. malang lagi bila fakta diputar belit oleh media mereka.

Bagi saya, biar Polis saja nak bertindak atas dasar dan peraturan yang ada. Perlu dicadangkan dalam Parlimen bahawa selepas ni mana-mana kumpulan patut boleh bersuara apa-apa pun tapi buatlah ditempat tertutup seperti di dalam stadium. Berhimpun sama-sama sendiri dalam tempat tu tanpa melibatkan orang lain yang tiada kena mengena. Apa yang diperjuangkan tu mungkin ada yang baiknya tapi cara perjuangan tu kenalah elok sikit..

Biarkanlah si labu terjun dengan labu-labunya.. Kasihan..

Juga tengah tunggu baju kuning untuk hari keluarga untuk dipakai pada 10hb ;)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 23 June 2011

Monopoli




Kini kita mendengar kadar atau tarrif itu dan ini naik.. Kadar cas perkhidmatan itu dan ini naik.. Naik bersebab takpa lagi.. Yang tak sedapnya ada yang suka-suka hati naik tanpa sebab musabab.. Tanpa penjelasan jelas kepada yang membayar. Sebagai pengguna memang kita terpaksa akur untuk membayar kerana kita terpaksa ataupun perlu kepada perkhidmatan tersebut. Tetapi janganlah sampai menekan ataupun cuba mengambil kesempatan ke atas pengguna yang mungkin ramai yang tidak kisah atau hirau tentang kenaikan yang mungkin sedikit bagi sesetengah mereka.

Di sini saya ingin memperkatakan tentang monopoli. Sefaham saya monopoli bermaksud hanya dia sorang saja yang menjalankan servis ataupun perkhidmatan itu. Bila kita hendak benda tu, kepada dia sorang sajalah kita pergi. Dia tiada pesaing langsung dalam kerja dan produknya itu. Sememangnya monopoli menguntungkan orang itu. Tiada pesaing, tiada cabaran dan tiada halangan.

Suka untuk disyorkan di sini oleh seorang yang biasa-biasa sahaja. Tidak duduk di mana-mana kerusi pun mencadangkan kepada mereka yang duduk di mana-mana kerusi (di atas sana) agar menyuarakan kepada pihak berwajib agar meminimakan penguasaan sesuatu pihak secara monopoli dalam apa jua perniagaan ataupun perkhidmatan. Banyak negatifnya apabila monopoli ini berjalan berterusan sekian lama tanpa ada seorang lagi yang boleh menggugat atau setidak-tidaknya boleh memberikan pilihan lain kepada pengguna. Lihat saja kepada perkhidmatan mobile telefon kita. Kita ada Celcom, DIGI dan MAXIS. Masing-masing secara amnya menawarkan pakej dan faedah yang hampir-hampir sama. Kalau salah satu buat hal, kita boleh beralih ke satu lagi. Tetapi kalau satu tu dikuasai oleh satu entiti.. asyik nak merayu ajelah kita ni pada dia.. Dia tetap buat dekk ajer..

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, 7 June 2011

Realistiklah Sikit...





Dalam hidup ni kita selalunya inginkan sesuatu yang terbaik dan hebat untuk diri kita. Kalau boleh segala yang baik itu kita hendak. Hendak jadi yang terbagus. Nak jadi yang terkehadapan dan nak jadi yang paling maju. Maju berbanding orang lain. Memang ia satu sifat yang patut ada pada setiap jiwa kita. Kita juga tentunya senantiasa hendakkan orang-orang lain di sekeliling kita juga seperti kita. Betul... jika semua daripada kita hebat dan bagus semuanya akan berjalan lancar tiada masalah. tetapi kita perlu sedar, perjalanan kita dalam dunia ini bukanlah semudah yang dijangka. Banyak cabaran dan halangan yang perlu ditempuhi. Tidak bermakna kehidupan kalau kita tidak melalui sebarang kepayahan. Selain itu kita juga perlu sedar masalah yang kecil sememangnya kecil dan jangan diperbesarkan.

Apa maksudnya yang cuba saya bawakan di perenggan di atas adalah... hidup ini biarlah fikiran kita lebih realistik. Lebih terbuka untuk menerima sesuatu yang berlaku. Walaupun perkara itu negatif. Tidak salah perkara yang berlaku itu NEGATIF. Yang penting kita mengubah kuasa negatif itu kepada POSITIF. Jangan disempitkan dinding penglihatan dan fikiran yang ada untuk terus menghukun dan mengNEGATIFkan lagi elemen negatif itu. Sebagai contoh kita selalu mendengar masalah itu dan ini dalam masyarakat, juga di rumah dan pejabat. Masalah itu kadang-kala kecil sahaja. Boleh settle punyalah tanpa di bawa ke mesyuarat pun atau di bawa ke parlimen sekalipun. Yang penting KEIKHLASAN semua terutamanya pemimpin untuk melihat semua berjalan lancar di bawah. Masalah yang berlaku kadang-kala memang real dan benar-benar ada berlaku. Jangan menidakkannya. Ambil masalah itu dan MOLEKkannya semula. Jangan dibiarkan begitu sahaja.

Kita perlu realistik dalam pendekatan yang diambil. Sedar keadaan sebenar yang wujud. Ada tolak tariknya bukan main pakai ajer. Tak perlu terlalu lurus sangat sehinggakan diri sendiri yang malu nanti.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 6 June 2011

Seruan Kepada Perokok




Pada hari bekerja apabila menyelusuri jalan-jalan di Kuala Lumpur memang menyeronokkan semasa musim cuti sekolah. Mana tidaknya tahap kesesakan boleh dikatakan menurun lebih 50%. Jimat hampir 20 minit masa ke tempat kerja berbanding hari bukan cuti sekolah. Begitu besar impaknya cuti sekolah kepada jalan-jalan dan kesibukan trafik di KL. Selain itu jika ingin memandu tanpa kesesakan di Pusat Bandaraya KL, anda boleh cuba bangun awal pada hari hujung minggu sebelum premis-premis pernigaan memulakan operasinya. Begitulah nikmatnya apabila kita dapat memandu dengan lancar tanpa perlu bersesak-sesak ke mana-mana. Apa pun sebagai warga kota kita harus pandai menyesuaikan diri dan jadual perjalanan kita agar ianya tidak menjadikan kita terlalu stress terhadapnya.

Bercakap mengenai pemanduan dan jalan raya, saya ingin melahirkan satu perasaan yang dah lama terbuku di hati yang biasa-biasa ni. Ini ditujukan khusus kepada warga negara kita yang merokok di perjalanan. Baik kepada pejalan kaki, penunggang motosikal dan juga pengguna kenderaan bermotor lain. Yang dimaksudkan adalah "TABIAT" membuang puntong rokok merata-rata di jalan raya. Mereka seolahnya tidak tahu membezakan antara tong sampah dan jalanraya.

Sudah selesai menyedut dan habis memakan asap, sisa puntongnya di jentik saja di mana-mana pun. Benda ni kecil tapi kesannnya buruk. Buruk kepada generasi hadapan, buruk kepada mata masyarakat dan pelancong luar. Saya memuji tindakan dan penegasan yang ingin dibuat oleh Kerajaan Negeri Melaka bermula 15 Jun ini nanti untuk mewartakan beberapa kawasan strategik sebagai zon larangan merokok. Benda-benda yang mengotorkan ni memang wajar untuk dikenakan kompaun. Biarkan saja kuasa duit yang ada ini mungkin boleh mengubah sikap tegar perokok yang buruk ini untuk lebih menghargai kebersihan dan keselamatan persekitaran kita. Untuk maju seperti orang Jepun atas dasar kesedaran dalaman rasanya jauh lagi, jadi biarkanlah pendekatan menghukum seperti yang dialami rakyat Singapura boleh mengubah sikit-sikit masyarakat kita kepada lebih pembersih. Nak merokok merokoklah tapi jangan menyusahkan orang lain.. Sedih.. Sedih...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 2 June 2011

Di bawah Juga Ada Pandangannya




 
Kita melihat ada pelbagai kelaziman, dasar, pendekatan dan undang-undang yang ditetapkan untuk mengatur hidup serta perjalanan aktiviti seharian kita di Malaysia ni. Dalam banyak-banyak perkara tersebut tentunya ada kelemahan serba sedikit di sana-sini yang mungkin memerlukan kepada penambahbaikan dan perubahan dari semasa ke semasa. Untuk melakukan sesuatu perubahan bukanlah semudah dikata. Bercakap memang mudah tetapi untuk bertindak mengubah sesuatu yang ada memang sukar jika tidak kena masa dan caranya.

Baru-baru ini saya ada berjumpa dan bersembang dengan beberapa kenalan. Mereka bukanlah "Orang-Orang Besar". Mereka adalah orang biasa, pekerja biasa dan skop tanggungjawab kerjanya pun biasa. Untuk menjalankan tugasnya itu bukanlah memerlukan sijil dan kelulusan yang tinggi atau perlu belajar ke sana sini untuk menguasainya, tetapi cukup dengan ilmu asas, minat dan sentiasa diberi peluang untuk mengembangkan kerjaya dari semasa ke semasa.

Cuma, mereka seperti ini (orang di bawah) saya lihat kini mengeluh dan kecewa. Mereka nampaknya kecewa dengan (orang di atas). Kecewa bukan kerana mereka di bawah tetapi kecewa kerana mereka disisihkan begitu sahaja. Sebagai contoh apabila pandangan yang baik tidak diterima untuk kebaikan bersama dan yang paling sedih tiada penghargaan atas penat lelah yang dicurahkan. Tidak semestinya orang bawah ni yang nipis sijilnya tidak dapat memberikan idea, buah fikiran dan pandangan yang lebih tepat dan bernas. Mentang-mentang orang di bawah, mentah-mentah aje pandangan mereka ditapis terus daripada diterima untuk pertimbangan.

Dah sampai masanya untuk diwujudkan satu jalan atau platform yang lebih jelas bagaimana sesuatu idea dan pendangan orang di bawah dapat diterima untuk dinilai sebelum sesuatu keputusan dibuat. Contoh semasa yang baik adalah pendekatan kerajaan untuk mewujudkan parlimen belia sebagai satu cara untuk orang di bawah dapat menyuarakan sesuatu kepada pemimpin di atas. Sebagai yang diatas pelajarilah untuk melihat dan mendengar orang di bawah. Sedar dan hargai yang di bawah tu.. Jiwailah perasaan mereka untuk memakmurkan hubungan atas dan bawah.

Kepada orang di bawah janganlah terlalu kecewa jika pandangan kita ditolak sebegitu sahaja. Kecewa tu simpankan saja dan serahkan kepada yang Maha Esa untuk menilainya.

Akhirkata bagi saya dunia ini kadangkala memang tidak boleh menjadi adil seadilanya. Kita kena belajar menerima hakikatnya. Pengadilan yang hakiki tetntunya akan semua kita perolehi dalam kehidupan selepas alam dunia ini nanti. Di situ pembalasan yang setimpal untuk kita semua dapat nanti.. Baik dibalas baik dan buruk di balas buruk..
 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 30 May 2011

Lanskap Kita Biarlah Teratur

Jika dahulu apabila kita berkata mengenai perkataan "lanskap". Tentunya dalam fikiran kita terbayang hiasan lanskap di taman bunga dan taman-taman awam. Kini penggunaan perkataan lanskap tidak hanya tertumpu kepada persekitaran hiasan dan susunatur tanaman sahaja tetapi turut melibatkan sektor lain seperti ekonomi, sosial dan politik. Terdengarlah kita kepada perlunya perubahan dalam lanskap politik negara misalnya. Lanskap ekonomi juga perlu ditransform ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan sebagainya. Untuk memenuhi kejayaan dan kecemerlangan dalam semua lanskap tersebut baik politik, ekonomi dan sosial, saya fikir tahap lanskap yang paling mudah dan remeh sepatutnya diselesaikan dahulu.

Saya maksudkan di sini adalah lanskap persekitan dan amalan harian hidup kita. Merangkumi lanskap susun atur fizikal dan separan fizikal setiap perkara disekeliling kita. Lanskap ini hampir dengan lanskap hiasan tanaman tadi. Lanskap persekitaran ini bagi saya adalah apa yang dapat kita lihat pada masa kasar kita setiap hari dan ketika. Ia merangkumi semua perkara fizikal dan perancangan untuk elemen fizikal yang berada di sekeliling kita seperti rumah, taman, jalanraya, bangunan, premis perniagaan, tempat kerja, tempat awam dan sebagainya. Untuk menjadikan setiap elemen dalam sesebuah lanskap itu "MENYELESAKAN" semua bagi saya, beberapa tips MUDAH berikut boleh diamalkan.

1. Meletakkan kenderaan di mana-mana pun biarkan teratur.
2. Meletakkan perkakasan dan fail-fail di pejabat biarkan kemas dan teratur.
3. Meletakkan perancangan untuk program dan aktiviti biarlah teratur
4. Meletakkan seseorang untuk tugasan tertentu biarlah teratur.
5. Meletakkan keutamaan sesuatu perkara biarlah teratur.
6. Meletakkan peruntukan bajet biarlah teratur.

Jadikan lanskap persekitaran yang nyata di depan mata DILETAKKAN cukup TERATUR sebagai sumber inspirasi baru untuk kita mengejar impian mewujudkan lanskap politik, sosial dan ekonomi yang lebih baik dan memberi sejahtera kepada semua.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 4 May 2011

Duit Tidak Boleh Beli Kebahagian.. Betul ker?!


Lihat tajuk posting ini.. Anda setuju? Anda tidak bersetuju? Terserah kepada diri masing-masing.. Jawapan masing-masing memang berbeza sebab kita semua insan dan orang yang berbeza, berbeza latar, berbeza pendidikan, berbeza pengalaman, berbeza kehidupan, berbeza minat, berbeza kebolehan, berbeza pandangan dan macam-macam perbezaan lagi. Dalam seminggu dua ni kedengar di sudut sana dan sini ada pandangan yang mengatakan duit dan kekayaan tidak boleh menjamin dan membeli kebahagiaan. Betulkah begitu? Bagi saya ada masanya ia betul dan ada masanya tidak tidak betul. Jangan kita terlalu cepat bersetuju saja dengan setiap ungkapan yang dibicarakan. Lihat sekeliling kita berapa ramai yang bahagia dek kerana duit dan berapa ramai pula yang tidak bahagia kerana tidak berduit.. Itu realitinya. Malang betullah kalau ada duit pun tak pandai nak cari bahagia.. Ini bukan lagi kesimpulannya kerana selalunya orang yang berkata duit tidak menjanjikan kebahagiaan ialah mereka yang telah pun keluar daripada kepompong tekanan kewangan dalam hidup mereka. Cuba mereka itu masih dalam keadaan tertekan dengan hutang dan sebagainya, hendak ke dia kata duit itu tak menjanjikan bahagia. Janganlah kita yang sudah berjaya menidakkan kuasa duit. Duit memang bukan segalanya, tetapi segalanya sekarang ni memerlukan duit. Bergerak saja kita duit pun bergerak.. Duit sebenarnya memberikan kita kuasa untuk memilih sesuatu. Pilihan akan ada apabila kita berduit dan bebas memilih sesuautu dalam erti kata stabil dalam aspek kewangan kita. Selalunya kita mendengar pendapat bila dah sakit, duit banyak pun tiada guna.. Bagi saya itu silap!! Cuba lihat begini: Kalau sakit dan duit pulak takde.. kan lagi bertimpa kesusahan tu.. Sekurang-kurangnya duit itu memberikan ruang lagi kepada pesakit itu untuk mendapatkan pilihan rawatan yang masih ada.. Jangan menidakkan kuasa duit.. Kerana duit jugalah bumi  ini berputar (manusia ligat bekerja) dan terus maju kerana benda itu lah.. Duit... Duit... Duit beli CINTA... ;)

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...