Beberapa hari lepas saya berkesempatan ke MAHA2010 di Serdang. Disangkakan pergi melawat pada hari bekerja kuranglah sikit orang, rupanya ramai juga yang berkunjung. Penuh sesak mungkin disebabkan ia berlansung dalam musim cuti persekolahan agaknya. Separuh hari di sana saya dan isteri sempat melawat dan melihat gerai dan pameran di dewan-dewan utama sahaja. Memang hajat nak pusing ke semua lokasi pameran terutamanya yang memperlihatkan haiwan ternakan seperti kambing dan ikan. Tetapi apakan daya sememangnya terlalu banyak yang hendak dilihat dalam satu hari. Betul kata Menteri yang berkenaan, memang tidak cukup lawatan sehari untuk melihat semua pameran dan jualan yang ada.
Secara keseluruhannya saya lihat MAHA mempunyai daya tarikan dan keistimewaan tersendiri. Sememangnya industri yang berkait dengan pertanian mempunyai potensi yang besar dan cukup luas manfaatnya bukan hanya dalam aspek pemakanan dan ternakan, tetapi juga melampaui batasan teknologi, keusahawanan, inovasi, budaya dan kelestarian alam.
Apapun dalam perjalanan ke sana, saya melihat berdekatan dengannya adalah sebuah hospital. Hospital yang besar dan baru juga saya fikir. Barulah usianya jika dibandingkan dengan hospital-hospital besar yang lain. Tetapi apa yang menarik perhatian saya adalah parkirnya yang nampak berselerak di serata tepian jalan berhampiran. Nampaknya masalah lama ini masih ada lagi. Meskipun kecanggihan peralatan yang ada di dalam premis hospital itu tidak perlu kita sangkal dan persoalkan tetapi kemudahan dan prasarana diluar premis bangunan mungkin sedikit sebanyak belum cukup memuaskan hati pengunjung. Ruang parkir yang tidak mencukupi memang menjadi isu dan permasalahan di mana-mana pun. Ia bukanlah isu di hospital semata-mata. Sebelum ini saya pernah ke hospital besar di bandar Melaka dan JB. Meletak kenderaan baik untuk menghantar pesakit ataupun melawat pesakit tentunya boleh menjadi fobia jika melihat semua lot parkir telah penuh. Bila salah letak kenderaan, takut pulak kena saman nanti.. Sudahlah duit akan mengalir untuk kos perubatan, takut tak pasal-pasal mengalir juga untuk membayar saman.
Apapun parkir di lokasi MAHA sememangnya cukup luas. Luas sehinggakan ia seolah terlalu jauh untuk kita berjalan dari kenderaan ke lokasi pameran. Memang berpeluh dibuatnya ;) Nasib baiklah ada train/traktor yang disediakan untuk pengangkutan dari lokasi ke lokasi dalam tapak MAHA.
No comments:
Post a Comment
Komen Anda