Friday, 28 April 2017

Amanah Bekerja 8 Jam




Sehari normalnya waktu pejabat adalah selama 8 jam. Masuk jam 8:00 pagi dan pulang jam 5:00 petang. Daripada jam 8 hinggalah jam 5 tu sepatutnya kita fokus dan bekerja secara berhasil atau dalam bahasa orang sekarang, "produktif". Pekerja yang berhasil bagi saya adalah seorang yang mencapai sasaran yang ditetapkan. Jika disasarkan melaksanakan 10 kerja sehari, beliau dikatakan produktif jika 10 kerja tersebut siap beliau kerjakan. Sebaliknya jika 8 sahaja yang beliau berjaya siapkan, ini bermaksud dia perlu berusaha lebih lagi di hari seterusnya. Tapi 8/10 itu pun sebenarnya agak memuaskan juga.

Mari kita lihat disudut penggunaaan masa bekerja. Adakah betul-betul 8 jam itu kita bekerja. Tolaklah dulu beberapa minit untuk buang air, sembang kosong, minum air, bergerak ke printer dan pergi makan, rasa-rasa berapa jam yang tinggal untuk benar-benar kita bekerja. Sebenarnya jika kita tidak berhati-hati mengurus masa, banyak masa terbazir begitu sahaja tanpa penghasilan yang dibuat. Dalam kes ekstrim, mungkin masa yang betul-betul kita bekerja hanyalah beberapa jam sahaja. 3 jam atau 4 jam. Separuh hari tu buat benda sia-sia sahaja.

Itu tak masuk lagi sibuk melayan mesej Whatsapp, melayari internet melihat benda yang tak berkait dengan kerja, buat kerja lain (berbisnes pulak) ataupun shopping di LAZADA :)

Mari kita fikirkan adakah kita betul-betul bekerja bila kita dah berada di pejabat pada jam 8 tersebut. Bila masa yang benar-benar kita mulakan kerja. 8:10? 8:20 atau 8:30?  Disebelah petang sebelum baliknya pula adakah kita benar-benar berhenti setelah jam 5 ataupun 10 minit sebelum jam 5. Cuba semak diri kita di mana?

Betul, kita bukan robot yang memang akan buat 100% seperti yang diprogramkan. Kita adalah manusia. Manusia tidak sama dengan robot. Tetapi kita seharusnya memaksimakan gerak kerja mengikut amanah yang telah diberi.

Amanah bermaksud menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri kita dengan melaksanakan tuntutan yang terdapat dalam kepercayaan itu. Itulah kerja kita sepatutnya untuk 8 jam itu. Jadi, jika kita sedar kita silap, kita reset balik diri kita. Jadilah pekerja yang betul-betul bekerja!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments:

Post a Comment

Komen Anda

Related Posts with Thumbnails