Wednesday, 8 January 2014

Hard Rock Cafe di Putrajaya?!




Melihat ayat (tajuk post ni) nampak tidak kena kan? Nama Putrajaya tu nampak gah dan bersih dengan gabungan "Putra" dan "Jaya". Alih-alih dikombinasikan dalam satu ayat dengan "Hard Rock Cafe". Yang satu ni nampak bersih dan yang satu lagi ni nampak hitam dan berkait lagi minuman keras dan hiburan. Saya tiada makluman mendalam mengenai hal ini, hanya terdengar melalui berita. Dipendekkan kata, elok tak payahlah nak diadakan pusat hiburan seperti itu di Putrajaya. Kalau iya pun konsepnya dikatakan lain daripada konsep Hard Rock Cafe yang lain, pastinya ia tetap akan memburukkan lagi pandangan dan persepsi masyarakat kepada pimpinan kerajaan yang berkuasa di Putrajaya. Kita tak nampak pun apa perlunya ia berada di situ.

Bagi saya pacal yang hina ni, banyak lagi benda lain yang boleh kita import bawak masuk dan letak di Putrajaya, misalnya seperti stadium bola sepak ker.. pusat menunggang kuda ker.. rumah salji ker.. zoo ke.. pusat luncur ais ke.. Pusat santai keluarga lagi baik daripada pusat yang boleh memberikan fitnah kepada warga Putrajaya. Biarlah pusat pentadbiran kerajaan ni terus tenang dan dirahmati sampai bila-bila.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 4 January 2014

Cuepacs Untuk Apa dan Siapa?

Baru-baru ni dan beberapa bulan lalu ada saya mendengar di radio mengenai temubual bersama presiden Cuepacs.. Iaitu bersama mantan presiden dahulu Dato' Omar Osman dan juga presiden yang baru, En. Aziz Muda.

Dalam kedua-dua slot berkenaan, semestinya dibuka ruang untuk pendengar membuat panggilan untuk berinteraksi dengan presiden kesatuan ni secara langsung. Banyaklah komen, pertanyaan dan hujah yang diajukan pemanggil dan respon balas diberikan.

Cuma saya dapati ada 1 trend atau 1 persepsi yang masih tak kena/salah dalam masyarakat khususnya mereka yang tidak berada dalam kelompok kakitangan awam terhadap kakitangan awam. Mereka tak faham lagi agaknya Cuepacs tu untuk apa dan untuk siapa? Ada 3 perkara yang ingin saya sentuh dan mungkin boleh sedikit memberikan kefahaman kepada kelompok ini iaitu:-

Pertamanya adalah, peranan Cuepacs itu untuk siapa? Pastinya untuk penjawat awam sahaja. Bukan sama sekali untuk membela kelompok lain. Tujuan kewujudan adalah untuk menjaga kebajikan penjawat awam disamping perkara-perkara lain juga. Memang sepatutnya Cuepacs memohon itu dan ini daripada majikannya iaitu pihak kerajaan. Pekerja akan memohon apa jua yang difikirkan wajar kepada majikannya dan kemudiannya terpulanglah kepada majikan untuk membuat pertimbangan dan keputusan. Yang peliknya ramai lagi "orang luar" yang sibuk mempersoalkan hak dan permintaan Cuepacs tersebut.

Keduanya dikatakan tak patut untuk pihak Cuepacs meminta kenaikan gaji atau pelarasan gaji kerana produktiviti belum memuaskan dan dikatakan meng-anaktirikan pekerja swasta. Mereka membandingkan gaji yang rendah bagi pekerja swasta untuk peringkat kemasukkan kerjaya berbanding penjawat awam. Mereka harus faham apa yang diperjuangkan adalah agar gaji yang diterima selari dengan kos sara hidup semasa. Ia benda baik untuk membela nasib penjawat awam itu sendiri. Tiada salahnyapun kan? Mungkin yang salahnya adalah kenapa majikan swasta tu sendiri tidak memikirkan hal kos sara hidup para pekerja mereka ataupun diperjuangkan hal ini oleh mana-mana kesatuan sekerja swasta. Kalau penjawat awam tidak cukup produktif mana mungkin ekonomi masih rancak berjalan dan Malaysia boleh diiktiraf sebagai antara yang terbaik dalam menjalankan urusan.

Ketiga mengenai cukai atau duit yang kerajaan belanjakan adalah duit rakyat. Betul ke macam tu? Bagi saya duit kerajaan adalah duit kerajaan. Penjawat awam menguruskan duit kerajaan dan mereka tu sendiripun ada membayar cukai. Mereka juga rakyat dan berhak untuk berdiri dan bersuara atas kapasiti kelompok penjawat awam. Janganlah asyik nak kata mereka makan dan guna duit rakyat, kerana mereka berkhidmat seperti orang swasta juga.. Memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dan mereka memang "buat kerja".

Akhirnya, bagi saya harap mereka di luar kelompok penjawat awam dan mungkin anggota penjawat awam tu sendiri harus sedar Cuepacs memang hanya memperjuangkan kebajikan dan hal ehwal kerja penjawat awam. Kalau penjawat swasta pun mereka nak jaga sekali kan tak kena tu. Moga anda yang membaca dapat menerima pandangan saya ni secara terbuka. Maaf kalau ada yang tersinggung.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tahun Melawat Malaysia - Apa sumbangan kita?

Biasanya bila ada tetamu atau pelawat yang ingin datang ke rumah atau premis kita, kita akan pastikan keadaan tempat kita tu kemas dan menarik. Kalau di hari-hari biasa bersepah di sana sini, tapi masa nak sambut pelawat tu kita akan cuba tonjolkan yang terbaik dan menarik.

Begitu jugalah situasinya untuk kita sebagai rakyat Malaysia bersedia untuk memberi sumbangan dan persediaan untuk tempoh setahun ni. Memang kita ada kementerian pelancongan yang giat mempromosikan program pelancongan di luar. Kita juga ada beribu-ribu agen atau personel yang terlibat secara langsung dalam industri pelancongan. Semuanya masih tidak cukup saya fikir untuk memberikan persembahan terbaik kepada pelancong luar khususnya dalam memberikan satu kelainan dan pengalaman baru yang tak boleh dilupakan sekiranya.. Sekiranya setiap daripada kita tidak memainkan peranan yang sepatutnya.

Kalau nak dikirakan, memang banyak perkara yang boleh kita bincangkan, tetapi untuk permulaan ni baik kita berikan tumpuan dulu kepada perkara asas. Paling asas sebagai keperluan memberikan persembahan yang terbaik kepada tetamu-tetamu kita. Bagi saya paling asas sekali untuk tahun melawat Malaysia ni kita patut berikan tumpuan kepada aspek kebersihan. Kebersihan di setiap ceruk lokasi pusat pelancongan. Ini meliputi tandas awam, restoran makan minum, laluan perniagaan dan taman-taman awam serta lokasi tarikan pelancong.

Bila semuanya bersih, keselesaan tu akan muncul dan kesannya memberikan ingatan baik diingatan mereka mengenai Malaysia. Ini saja :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, 31 December 2013

2014 - Tahun Penuh Ujian


Hidup kita ni memang penuh ujian. Ada daripada kita yang diuji sedikit sahaja dan ada yang menerima ujian yang lebih berbanding yang lain. Tahun 2014 seperti semua sedia maklum, pelbagai kos tambahan nampaknya akan menerjah ke setiap dompet dan saku wang kita. Kebanyakkan yang meningkat agak tinggi dan pastinya akan merubah cara gaya kita berbelanja. Saya sendiri akan merasai kadar baru tol baru tu..huhu.. Kerajaan sendiri pun nampaknya merancang untuk menghadkan perbelanjaan yang bakal dilaksanakan.. Bagus sangatlah tu.. Jadinya kita sebagai rakyat pun kenalah mengikut rentak sebegitu..

Nampaknya tahun 2014 ni lain sedikit peralihannya. Kalau dahulu, bila beralih tahun, ramai yang tersenyum tapi kini pastinya ramai yang resah gelisah. Apapun saya suka meminjam kata-kata seorang pakar motivasi iaitu kita janganlah lupa untuk memohon pada Yang Maha Kaya, Allah SWT untuk memelihara kita semua daripada sebarang kesulitan di hari-hari mendatang. Kita panjatkan doa kesejahteraan hidup dan sandarkanlah diri kepadaNYA.

Akhirnya untuk pesanan kepada diri sendiri dan semua yang membaca, positifkan diri dan percaya kepada keupayaan diri untuk berusaha bagi menjadi insan yang lebih berjaya dalam menghadapi hari-hari yang penuh mencabar..Jangan lupa juga untuk menanamkan kesabaran dan dalam masa sama melahirkan tanda di atas nikmat yang ada ;)

Selamat Tahun baru 2014 !


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 25 December 2013

Iklan Haram

Kalau kita berjalan di Lembah Klang ni agaknya apa yang paling senang kita nampak atau jumpa? Manusia? Kereta? Ya betul tapi ada satu lagi perkara iaitu iklan.. Tapi iklan yang hendak saya bincangkan di sini adalah iklan haram yang bermaharajalela di merata-rata tempat. Lebih membimbangkan iklan dah lah haram, tapi produk atau perkhidmatan tu juga turut haram.

Dah bertahun masalah ni dihadapi khususnya pihak berkuasa tempatan. Macam-macam bentuk tindakan diambil baik dengan denda dan menanggalkan kertas iklan yang ada. Tapi nampaknya kurang berkesan. Masih juga ada iklan setelah ia dibersihkan.

Mungkin antara penyelesaian yang lebih berkesan adalah dengan memberikan bajet dan upah kepada kumpulan tertentu untuk memastikan kawasan yang dipertanggungjawabkan kepada mereka bebas iklan haram. Bila diaudit atau disahkan bersih daripada iklan haram, mereka akan mendapat upah seperti yang dipersetujui bersama. Mungkin ini yang boleh DBKL dan MBSA laksanakan :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, 22 December 2013

Masalah Banyak Berpunca daripada Ekonomi

Seminggu ni topik yg rancak diketengah dlm masyarakat adalah kenaikan kos bagi banyak perkara pada tahun hadapan. Minyak, tol, tarif elektrik, gula, tambang , yuran dan lain-lain. Di laman sosial memang tak henti-henti pihak kerajaan dihentam. Kalaulah diibaratkan kerajaan tu seorang manusia.. Memang dah banyak bengkak dan cedera dek lunyai dihentam daripada banyak sudut.. Kalau tiada tindakan defend yang dibuat, boleh jadi tenat hingga boleh jadi koma nanti.. Itu hanya perumpamaan yang cuba saya ibaratkan.

Meminjam kata-kata seorang yang lebih arif dan bijak pandai dalam ekonomi dan sosio masyarakat, kebanyakkan masalah dan kelemahan yang wujud ni berpunca daripada isu dan beban belanja harian yang semakin menekan. Duit dan gaji yang ada habis ditumpukan untuk bayaran bil dan rutin belanja bulanan. Paling mendesak ialah apabila perbelanjaan yang ada hanya cukup- cukup saja. Lebih menekan lagi apabila terpaksa berhutang untuk memastikan semua yg wajib dibayar dapat dilunaskan dalam tempohnya. Dengan keperluan dan kehendak hidup yang memerlukan itu dan ini, pastinya duit akan mengalir deras tak ubah seperti air. Dapat gaji hujung bulan.. Bayar bil dan bayaran bulanan jer, 80% habis. Baki yang 20% tulah kena pandai susun untuk perbelanjaan hingga tunggu dapat gaji seterusnya. Kalau berlaku apa-apa kecemasan pastinya akan over budget utk bulan itu.. Bermula dari sinilah nanti, stress datang. Sikap panas baran pun menjelma. Jenayah dan kekerasan menjadi di sana sini. Masalah kẽluarga menimpa-nimpa. Tertekan dengan kerenah orang-orang lain, prestasi kerja tak menentu dan fikiran runsing untuk menghadapi hari-hari mendatang. Kalau dicari Ah Long atau sentiasa dihubungi pemiutang lagi teruknya emosi yang ada kan..

Nampak tak betapa kuatnya pertalian antara masalah hidup dan duit. Buat pimpinan negara cubalah sedayanya mencari formula yang terbaik untuk meringankan beban yang ada. Lebih- lebih kepada kumpulan masyarakat yang sedang membina kehidupan. Umur 25 hingga 35 tahun. Saya masih dalam kumpulan umur ini :-)

Bagi kita rakyat biasa, sedaya upayalah cuba memperbaiki ekonomi diri. Bijak menguruskan kewangan untuk apa yang betul-betul perlu. Pendek kata, ukur baju di badan sendiri.

Sesungguhnya kestabilan ekonomi menjadikan kita lebih utuh dan kuat. Lihat saja masyarakat Cina. Tiada masalah sangat kerana ekonomi dia kuat. Wallahualam..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 12 December 2013

Mari Membantu Mangsa Banjir


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, 10 December 2013

Pendakwah Dalam Filem

Ustaz Mu Tunggu Aku Datang.. Begitulah tajuk filem yg diarahkan oleh pengarah muda Pierre Andre.Mengisahkan perjalanan 2 pemuda dlm mencari jawapan dan cahaya Islam dengan bertemu UAI. Walaupun penampilan UAI agak singkat tapi moga sedikit sebanyak mungkin boleh dijadikan sebagai 1 permulaan dalam bentuk dakwah dalam bidang seni.. Mungkin lepas-lepas ni lebih banyak kaedah dan pendekatan dibuat dalam menjalinkan seni dan dakwah. Lagu-lagu rentak rap pun dah mula digabungkan dgn unsur dakwah.. Daripada 1 sudut memang baik sebab mereka yg dalam generasi baru ni x beberapa "masuk" dengan nasyid yg 100% rentak nasyid. Apapun syabas kepada P. Andre atas percubaannya kali ni..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, 29 November 2013

Patut pun Gaji Setinggi tu..

Antara isu yang mendapat perhatian media minggu ni adalah kadar kenaikan gaji baru menteri besar serta exco di Selangor.. Ia dibandingkan dengan gaji PM dan ahli kabinet juga.

Bagi saya kadar kenaikan itu bukanlah isu yang perlu difokuskan atau perlu diperbesar-besarkan.. Sebabnya memang dah lumrah kenaikan dalam apa saja perkara dalam dunia ni berlaku sebegitu. Sebagai pemimpin yang perlu menguruskan sesebuah negeri atau negara, amatlah pelik jika pendapatan dia rendah berbanding rakyat di bawah.. Yang penting ada justifikasi yang jelas untuk kenaikan tersebut. Biarlah kewangan mereka selesa.. Barulah ada tempiasnya pada orang lain ataupun orang di bawah. Bagi saya elok lebih baik untuk semua pihak yang ada menumpukan atau memikirkan masalah gaji yang rendah dalam kalangan para pekerja.. Gaji RM1500 atau RM2000 yang menetap di bandar.. Patut isu-isu kritikal macam ni yang patut kita sibuk persoalkan.. Bukan asyik nak bermain politik saja tak habis-habis sampai ke sudah..

Akhir kata, orang lain.. yang lain-lain daripada kita tu.. tiada had pun gajinya sebulan...Suka saya nak pinjam lirik lagu Tegar "Cita-citaku menjadi orang kaya... Hey!"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 4 November 2013

Orang Entah Apa-Apa Menjaga Bank



Apabila memperkatakan tajuk post ini, saya mengaitkannya dengan peristiwa tragis melibatkan pegawai bank yang terbunuh bulan lalu. Kita semua sedar para pengawal keselamatan baik untuk premis pejabat, kawasan perumahan dan bank kebanyakkannya dianggotai oleh bukan orang Malaysia. Kebanyakkan warga asing dan paling sedih ada yang haram, menipu, tiada pengenalan diri dan ada pula yang sakit jiwa. Saya juga mendengar ada diantara para pengawal keselamatan yang tinggal secara gelandangan di Kuala Lumpur ni. Wah.. tingginya risiko yang diambil oleh bank-bank saudagar ni keatas perniagaan mereka ;) Itu tak ambil kira lagi bagi pengawal yang dah berusia..

Berbalik kepada pengawal yang menjaga bank ni.. mengapa tidak kebajikan dan peraturan kerja mereka ini diperkemas sebab selalu kita dengar, gaji mereka tidak seberapa, yang kerjanya pula amat berisiko.. Sekarang ni orang yang berada di sekeliling pun berisiko..Janganlah kita cuba menipu diri kita dengan kadar gaji yang sekadar RM1000.00 atau RM1500.00. Jumlah ni amat rendah dan tak munasabah dah untuk menghadapi kehidupan di bandar yang serba memerlukan duit. Tak kira kerja apapunlah, gaji sebanyak itu apalah yang boleh dibina. Dah sampai masanya para majikan memikirkan sebaiknya kadar gaji yang sebaiknya untuk pekerja pengawal keselamatan ini. Peranan mereka besar tapi kita nampakkan macam tak besar dan diberi upah yang menyedihkan.

Disamping tu juga para pekerja kilang pun masih amat rendah.. nasib baiklah bagi mereka yang bekerja diluar bandar.. kurang sikit kos dan bolehlah bernafas dengan overtime yang boleh dibuat.

Sememangnya mengawal bank amat berisiko tinggi, tetapi pelik diambilnya pengawal keselematan yang entah apa-apa entah.. Saya tidak pastilah apa selok belok dalam menjalankan hal pengawalan keselamatan ini, tapi cubalah permudahkan dan memberikan keadilan kepada mereka, para pekerja keselamatan juga. Bank yang pastinya bisnes buat duit paling kukuh di dunia, takkanlah boleh ambil "enteng" tentang polisi keselamatan fizikalnya. Perkara dan kerjaya ini bukan hal main-main lagi dah.. Semua pihak terutamanya yang diatas perlu tengok dalam-dalam.. Takut ada bank yang kena "bom" dan meletup pulak nanti lepas ni.

Menunggu satu masa nanti bila pengangkut sampah pun boleh berbangga dengan kerja dan gajinya ;)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 31 October 2013

Usah dirisaukan Apa Yang Belum Berlaku

Pagi ni semasa dalam fasa awal perjalanan saya ke pejabat, saya asyik memikirkan beberapa perkara yang masih terbengkalai dan tak siap lagi.. Risau kalau-kalau bos marah atau kena memo ;) Cepat-cepat saya cuba praktiskan apa yang pernah saya dengar pesanan melalui beberapa motivator sebelum ini iaitu "Jangan kita sibukkan atau risaukan perkara yang belum lagi berlaku. Perkara tu belum tentupun akan berlaku tetapi malangnya kita telah membazirkan fikiran, masa dan tenaga untuknya. Mengapa tidak, kita lebihkan fokus kepada apa yang sedang kita lakukan.. Dalam hidup kita ni, sebenarnya ada 3 fasa masa iaitu masa yang lalu, masa sekarang dan masa hadapan. Perlu kita ingat dalam slot 3 masa yang berbeza ini yang mana kita sedang berada di dalamnya? Pastinya masa sekarang bukan.. Jadi jangan fikirkan sangat apa yang sudah lepas.. Usah dibebankan sangat fikiran pada benda yang belum lagi berlaku.. tapi fokuskan pada apa yang sedang kita laksanakan.. Untuk contoh saya tadi, fokus saja pada pemanduan.. Sedang memandu tak usahkan kita fikirkan sangat benda yang berat-berat sebab kalau terlanggar kereta nanti lagi berat masalah berlanggar tu nanti kan.. Daripada ada 1 masalah, nanti bertambah jadi dua atau tiga masalah pulak.. Don't worry, be happy.. Relax.. Take it easy ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 24 October 2013

Menanti Bajet 2014

Petang esok pasti tumpuan negara akan diberikan kepada pembentangan belanjawan tahun hadapan. Selalunya harapan rakyat adalah amat tinggi dan menginginkan sesuatu inisiatif atau pendekatan oleh kerajaan yang mendatangkan faedah dan untung kepada mereka. Itu normal. Tiada siapa yang akan berkehendakkan kesulitan dalam hidup mereka.

Saya secara peribadi mengharapkan belanjawan yang akan dibentangkan kali ini memiliki sedikit kelainan. Kelainan dari segi pendekatan yang betul-betul boleh menampakkan hasil, memberikan galakkan kepada penjanaan ekonomi baru dan mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah khususnya bagi golongan muda di bandar.

Bagi aspek menampakkan hasil, secara mudahnya sesuatu program itu perlu jelas apa maksud dan kaedah pelaksanaannya serta rakyat mendapat perincian lengkap a to Z. Tiada maksud yang terselindung.

Bagi aspek penjanaan ekonomi baru, saya fikir banyak lagi sektor yang belum diterokai sepenuhnya. Dalam pertanian masih banyak lagi potensi yang belum dimanfaatkan. Kita ada sumber tanah.. Kawasan tanah terbiar yang masih tidak menjana apa-apa. Teknologi hijau juga masih ada ruang untuk diberikan galakkan kepada pengamalnya.

Seterusnya beban kewangan golongan muda di bandar harus diberikan perhatian serius. Keperluan untuk sentiasa bergerak, membina keluarga dan mendapatkan kemudahan dalam aktiviti seharian memang memakan banyak belanja. Golongan yang menjadi nadi dalam masyarakat ini harus diberikan nafas yang lebih. Nafas untuk mereka sebagai pelaksana atau pelaku utama yang menggerakkan ekonomi kearah yang lebih dinamik. Contohnya, struktur subsidi dan cukai mereka dibezakan dengan golongan yang sudah tidak menjadi belia lagi :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, 22 October 2013

Apabila Disaman

Saja nak kongsi pandangan dan pengalaman..  Hampir  setiap orang daripada kita tentunya pernah kena saman.. Kalau tak pernah juga, pastinya pernah langgar peraturan lalulintas kan.. Kalau tak pernah juga, sememangnya orang tu adalah selurus-lurus manusia :-)

Kalau tiba-tiba kita kena saman.. Tentunya tiada siapa yang suka bukan? Bila semak saman di PDRM atau JPJ, tentu sekali kita mengharapkan kita "clear" tiada saman tertunggak. Malang selalunya tak berbau.. Kadang kala terkantoi jugak kita dalam melanggar undang-undang jalan raya.. Manusiakan susah nak lari daripada tak melakukan kesilapan.. Kita, boleh jadi tanpa sedar memandu melebihi had laju yg ditetapkan. Ini kesalahan yg paling biasa dan senang nak kena :-)

Jadi nak pendekkan cerita bagaimana kita nak respon jika kita mendapat saman. Ini saya olah daripada tips asal daripada Dr HM Tuah yg saya dengar:

1. Jangan susah hati bila disaman sebab bukan kita seorang saja yg kena saman.. Dah berpuluh ribu orang lain juga yang kena saman. Normallah tu..

2. Tak payahlah berkira sangat atau rasa ralat sangat sebab.. Sebab ini kali, dah banyak kali dah kita langgar undang-undang. Mungkin kesalahan yg kali ke 40 agaknya sejak dapat lesen dulu. Tapi baru kena saman sekali. Oklah tu..hehe..

3. Akhirnya.. Anggaplah tiada rezeki kita untuk duit perbelanjaan tu.. Anggaplah ia suatu sedekah atau pemberian hadiah kepada seseorang.. Kita pun mungkin jarang memberi bukan?

Moga ada manfaat untuk anda yg sudi membaca.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 17 October 2013

Ibadah Qurban

Minggu lepas ada seorang kenalan berbangsa Thiong Hua bertanyakan tentang apa itu ibadah korban dan apa itu awal Muharram bagi orang Islam.. Yang dia tahu, bila sampai tarikh itu semua orang akan bercuti dan balik kampung. Saya berfikir kenapa setelah sekian lama dia hidup di negara ni tapi masih tidak memahami dan sedar perayaan yang diraikan.. Rasanya bukan masalah tiada sumber bagi maklumat berkenaan tapi lebih kepada kurang pergaulan dalam masyarakat khususnya dalam kalangan kenalan berbilang bangsa. Terkini isu keputusan penggunaan kalimah Allah yang masih cuba dipersoalkan. Moga dengan peredaran masa para pemimpin, Ngo dan semua anggota masyarakat atau umat Islam boleh mendidik dan memberikan pemahaman kepada measyarakat bukan Islam apa itu Islam secara yang tidak terlalu formal.. Santai-santai pun kekadang lebih terkesan..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 5 October 2013

Menzahirkan ICT



Bila memperkatakan tentang ICT, secara umumnya orang akan melihat dan merujuk kepada internet, sistem aplikasi, komputer, laman web, pangkalan data dan sebagainya. Teknologi ini dilihat sebagai penyokong kepada bisnes dan operasi dimana-mana organisasi pun. Ditambah degan penggunaan media sosial yang tinggi khususnya di Malaysia, ICT dilihat sebagai suatu komponen yang tidak dapat dielakkan. Dalam segenap bidang, penggunaan ICT memang telah meluas baik dalam industri, pembelajaran, perniagaan, kerajaan, komuniti dan individu juga. Banyak perkara yang telah dibangunkan baik daripada segi infrastruktur, sistem aplikasi pengguna termasuk pembudayaan juga. Kalau kita lihat disekeliling kita, mereka yang tidak menggunakan ICT mungkin hanya bagi mereka yang berada dalam tahanan penjara sahaja. Saya rasalah ;)

Dalam dunia ICT, istilah yang biasa didengar kini seperti cloud computing, big data, outsourcing dan teknologi mobile dan  ancaman siber tentu sekali asing bagi mereka yang tidak berasa dalam aliran ICT, tetapi ianya sudah pun dilalui oleh semua dan sebenarnya melibatkan semua. Hampir setiap daripada kita mempunyai rekod dan profil peribadi. Kita juga mempunyai rekod dan data yang kita letak di pihak ketiga. Kita juga akan sentiasa berhubung dan berkomunikasi sesama kita. Nampak tak bagaimana setiap benda yang kita lalui tak dapat lari dari pengguna ICT.

Walau bagaimanapun, penggunaan yang meluas ini masih lagi mempunyai kekurangan yang perlu sama-sama kita lihat khususnya mereka yang berada dalam sektor ICT di Malaysia. Perancang dasar strategi ICT, pengurus ICT, pentadbir ICT, pengeluar produk/penyelesaian ICT, pembangun aplikasi, usahawan teknologi, institusi pendidikan dan pengguna  harus sedar salah satu cabaran yang dihadapi kini adalah untuk meletakkan ICT dihadapan SAMA PENTING dengan komponen lain. ICT selama ini dilihat sebagai khidmat sokongan sahaja. Tanpanya operasi masih boleh berjalan seperti biasa. ICT sering dilihat sebagai aktiviti yang melibatkan perbelanjaan yang tinggi. Perkhidmatan yang diberikan tak selalunya mencapai tahap 100% kepuasan,  tahap penguasaan kepakaran yang terhad, kebergantungan luar serta puluhan rungutan lagi.

Sebenarnya, saya cuba untuk melontarkan di sini satu perkara iaitu mereka yang menjadi personal dan ahli dalam ICT perlu lagi lebih menonjol dan kehadapan membawa pembaharuan. Walaupun hasil kerja tangan dan buah fikiran anda kebanyakan berbentuk maya dan berbentuk digital, ia perlu melangkah ke satu paradigma yang baru iaitu ia PERLU DIZAHIRKAN. Dizahirkan dalam erti kata menimbulkan perkara ICT itu agar ia boleh senitiasa "dirasai" dan "dilihat:. Contoh paling senang adalah Facebook. Setiap masa kalau boleh kita nak mengakses kepadanya. Pendek kata mendekatkan teknologi itu kepada penggguna.

Jangan sampai kesudah ia hanya tersimpan dalam betuk maya yang orang lain tak nampak ;))

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, 2 October 2013

Kerajaan USA Shutdown




Semalam.. beberapa agensi dan jabatan kerajaan di Amerika Syarikat ditutup dan dihentikan operasinya. Ini lanjutkan daripada Kongres di sana yang menolak rancangan pelan kesihatan yang dibawa oleh presiden Barack Obama. Bagi saya orang yang biasa-biasa ini, perkara ini seakan macam "kartun" dan pelik... boleh berlaku sebegini rupa. Macamana sebuah kerajaan yang paling berkuasa boleh dan terpaksa akur kepada keadaan semasa. Apa pun semua pihak disana perlu terima dan menghadapi..

Nampak oleh kita betapa berapa kukuhpun sesuatu pentadbiran itu, ia boleh digugat oleh kuasa dan pengaruh lain ke atasnya. Beberapa agensi yang tidak kritikal ditutup dan yang mana lebih kritikal masih beroperasi. Tentu sekali ramai yang akan mengalami kesukaran meneruskan hidup tanpa sumber pencarian dan kerjaya. Iktibar yang cuba saya ambil daripada perkara ini adalah siapapun kita dan apapun yang ada di dunia ini boleh berubah dan dibuah.. Ia tidak akan kekal selamanya begitu. Berhati-hati dalam menentu dan membuat pilihan kerana pilihan itu yang akan membawa kita kemana. Diharap impak dan kesan kepada kesulitan dan permasalahan ini tidak terlalu menjejaskan kita di sini. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 16 September 2013

Sehari Selembar Benang Lama-Lama Jadi Kain

Sering kali apabila kita baru balik dari ceramah berbentuk motivasi, impaknya tidak berkesan lama.. Tak sampai beberapa hari kita dah hilang fokus dan impian yang telah dibuat dan ditekad masa sesi motivasi berjalan makin pudar dan pergi hilang begitu sahaja. Perkongsian sembang-sembang dengan seorang bekas tentera beberapa minggu lepas mengatakan semasa sesi perkongsian dan ceramah untuk persediaan untuk menjalankan perniagaan selepas bersara memang mantap dan berkobar-kobar dibuatnya.. Tapi akhirnya terpulang pada diri masing-masing. Macam-macam dalam fikirannya ketika itu. Sempat juga dia menjalankan beberapa bisnes dan berjaya.. hebat juga dia. Betullah kata orang-orang tua zaman dulu, umpama hangat-hangat tahi ayam.. sekejap jer panasnya. Memang untuk berjaya bukan mudah.. perlu konsisten kata orang putih, dalam Islam dipanggil istiqamah dan dalam bahasa Melayu pula lebih halus lagi dengan ungkapan "Sehari Selembar Benang, Lama-Lama Menjadi Kain". Pesanan untuk diri dan anda yang mengimpikan kejayaan di luar sana.

Selamat Menyambut Hari Malaysia!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 7 September 2013

Alahai.. Tak Sampai Tujuan Mesyuarat



Minggu lepas saya terlibat dalam satu perbincangan untuk mendapatkan keperluan bagi pembangunan sesuatu projek.. Dalam perbincangan tu secara umumnya terbahagi 2 kelas atau kategori generasi. Yang lebih senior dengan usia 40an dan 50an. Selebihnya dalam usia 20an dan 30an. Pastinya yang lebih berusia tu adalah lebih senior, kira boss lah tu ;) Melihat perjalanan mesyuarat daripada awal hingga akhir.. berjalan penuh rancak.. berjalan selama 2 jam. Yang senior dan yang duduk di kelompok hadapan yang lebih banyak bercakap. Yang dibelakang lebih banyak mendengar. Biasalah tu kan.. Cumanya kadang kala bos-bos ni lupa apa motif dan tujuan perbincangan tu.. hinggakan hampir keseluruhannya lebih kepada sembang-sembang sahaja. Catatan entah kemana, isi dan fakta tak tentu arah dan ahli-ahli lain melayang-layang fikiran. Moga setiap pengerusi mesyuarat dan para boss dapat memberikan ruang dan peluang kepada yang orang muda-muda bersuara dan mengenengahkan pandangan mereka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, 31 August 2013

Erti Sebuah Kemerdekaan



Alhamdulillah, syukur sangat-sangat.. dah 56 tahun rakyat Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan. Saya amat yakin bagi generasi sebelum merdeka ataupun orang-orang terdahulu tentunya lebih dapat menghayati betapa beruntung dan bertuahnya kita menjadi rakyat Malaysia. Mereka telah melalui beberapa sela zaman dan perubahan masa ini telah memberikan mereka lebih penghayatan kepada nikmat kemerdekaan yang diperoleh.

Bagi generasi terbaru, generasi X dan generasi Y, kita mengharapkan semakin mereka meningkat dewasa semakin menebal tahap kecintaan dan pemahaman mereka kepada erti kemerdekaan negara. Semua ini bagi saya boleh dipupuk oleh semua pihak baik kerajaan, masyarakat, institusi keluarga dan individu sendiri. Paling mudah setiap daripada kita boleh bermula dengan membaca dan mengkaji setiap peristiwa dalam lipatan sejarah negara kita. Dengan mengetahui perjalanan sejarah dan kronologi yang ada, tentu sedikit sebanyak generasi yang baru dapat menghayati bagaimana Malaysia bermula dan boleh berada sehingga ke tahap yang boleh dibanggakan sekarang.

Bagi saya erti sebuah kemerdekaan itu pastinya apabila kita boleh berada di tempat tanah tumpah darah kita, yang mana disitu kita membesar, mencari rezeki membina kehidupan serta menikmati segala nikmat pemberian Yang Maha Esa dengan penuh rasa syukur tanpa digugat oleh mana-mana anasir.

Untuk terus bergerak maju kehadapan dengan tempoh Wawasan 2020 yang berbaki kurang lebih 7 tahun lagi, tentunya masih banyak lagi perancangan yang sedang dan perlu diusahakan pihak pemerintah dan didokong rakyat jelata. Marilah untuk kemerdekaan kali ini, kita bertekad untuk memberikan sumbangan dan kecintaan yang jitu tanpa berbelah bahagi kepada negara tercinta ini. Fikirkan apa yang boleh kita sumbangkan untuk negara. Pastikan kita ada sumbangan sesuatu kepada negara walaupun sedikit ;) 

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 56.

MALAYSIAKU BERDAULAT: TANAH TUMPAH DARAHKU 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, 20 August 2013

Ambil Ikhtibar Kejadian di Mesir




Seminggu ni memang kita sebagai umat Islam berkongsi kesedihan terhadap apa yang sedang berlaku di Mesir. Sedih kerana bumi para ambiya sedang melalui satu lagi episod pergolakan yang mengorbankan banyak nyawa. Permusuhan berlaku sesama Islam sendiri dan berlaku dalam bulan Syawal pula. Rakyat Malaysia khususnya umat Islam memang merasakan Mesir itu dekat dengan kita.. Salah satu daripadanya ramai kenalan dan saudara mara kita juga pernah belajar dan sedang melanjutkan pengajian di sana. Seorang sepupu saya juga sedang melanjutkan pengajian di sana. Moga dia dan rakyat Malaysia yang lain berada dalam lindungan dan rahmatNYA.

Melihat pergolakan dan pertempuran yang berlaku ini, mungkin kita sebagai saudara seIslam, apa yang terbaik yang boleh dan mampu kita lakukan adalah dengan menadah tangan berdoa kepada Yang Maha Esa, agar pertumpahan darah ini cepat berakhir dan dikembalikan kemenangan kepada pihak yang benar.

Dalam masa sama juga, marilah kita berfikir sejenak dimana pergolakan ini juga mungkin berpunca daripada aturan dan perancangan pihak lain yang suka melihat orang Islam bergaduh sesama sendiri. Moga kita di Malaysia dijauhkan daripada bencana dan dugaan seperti ini. Amin..



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, 5 August 2013

Menjelang Aidilfitri 1434H




Salam Aidilfitri saya ucapkan kepada semua yang sudi melawat blog ini. Alhamdulillah kita semakin hampir ke penghujung Ramadhan. Semoga dipengakhirannya nanti kita akan memasuki Syawal dalam keadaan kembali kepada fitrah. Fitrah sebenar kita sebagai hamba kepadaNYA. Hamba yang perlu selalu mengingatinya dan patuh atas segala perintah dan laranganNYA. Juga untuk kita sama-sama dapat mengharungi 11 bulan yang mendatang dengan lebih baik hasil latihan sebulan Ramadhan. InsyaAllah.

Dikesempatan ni saya dengan setulus hati ingin memohon maaf kepada sesiapa yang mengenali jika tanpa saya sedar melakukan salah atau menyinggung mana-mana pihak. Almaklumlah kita ni manusia biasa yang kerdil lagi lemah yang tak dapat lari daripada lalai dan melakukan kesilapan.

Semoga di musim raya yang bakal menjelma ini memberikan kita peluang untuk kita memperbaiki mana-mana hubungan sesama kita baik keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai. Mungkin sebelum ini kita mungkin tidak pernah bertegur sapa, tidak pernah berbaik agaknya ataupun bermusuhan memanjang, tapi cuba fikirkan selagi berpanjangan seperti hubungan itu, apakah faedah yang kita dapat? Umur di atas dunia ni pun bukannya lama, jadi cubalah berbaik dan nikmatilah sisa-sisa hidup yang ada dengan berasa selesa dengan orang di sekeliling kita. Untungnya untuk diri kita juga.. Bermaaf-maafanlah ya..

Di sini juga saya kan berpesan kepada diri dan semua agar dalam keseronokkan beraya nanti, jagalah adab susila dan budi bahasa.. Sebab masyarakat kita ni memang dari dahulunya pun dikenali dengan nilai-nilai murni yang baik, ditambah lagi dengan pedoman Islam itu sendiri.

Tak lengkap juga rasanya kalau post raya ni tak disertakan dengan ingat agar kita semua berhati-hati di jalan raya. Mulakan semuanya dengan doa. Jangan jadikan anda sebahagian daripada statistik kemalangan yang ada. Pastikan cukup rehat dan emosi stabil semasa memandu ;) 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, 1 August 2013

Banyak Pulak Kes Jenayah Senjata Api




Kebelakangan ini semakin menjadi-jadi pula jenayah berat seperti pembunuhan khususnya yang melibatkan senjata api. Mangsa tak mengira status, asalkan ada motif oleh pihak yang berdendam, berlakulah peristiwa yang pahit dan menyayat hati itu. Saya ingin mengucapkan takziah dan rasa simpati kepada ahli keluarga yang terlibat. Semoga mereka terus tabah dan cekap mengharungi detik-detik mendatang.

Kes terbaru yang melibatkan pengasas sebuah bank telah menampakkan beberapa perkembangan dan penemuan. Syabas kepada pihak PDRM yang sememangnya cekap dan cermat mengendalikan kes-kes yang ada. Dalam kes ini, sedikit sebanyak dibantu dengan penggunaan CCTV di kawasan kejadian. Dengan insiden dan tragedi seperti ini, saya fikir dah sampai masanya untuk diperbanyakkan lagi CCTV dilokasi-lokasi awam dan tumpuan ramai. Mungkin pihak berwajib boleh memperuntukan sejumlah bajet untuk tujuan keselamatan ini. Saya fikir dah banyak dah tapi boleh diperbanyakkan lagi.

Lebih mustahak daripada CCTV, tumpuan perlu diberikan oleh PBT ataupun memilik sesuatu kawasan atau bangunan untuk menyediakan persekitaran yang selamat. Sebagai contoh, minggu lepas saya dan keluarga ke sebuah pusat membeli belah di Melaka. Tempat letak keretanya berada di aras atas bangunan. Setelah meletakkan kereta teruslah saya dan keluarga menuju mencari pintu untuk menaiki lif bagi turun ke aras bawah. Kami mengambil sedikit masa untuk mencari lif. Tiada tanda arah langsung, seolah-olah premis berkenaan untuk orang situ aje ;) Saya lihat situasi ni kalau berlaku diwaktu malam dan suasana sunyi tentunya amat merbahaya jika berseorangan, lebih-lebih lagi wanita. Bila tak kena kita rasa ok. Tapi bila dah kena.. nasi dah jadi bubur nanti.

Pemasangan lampu yang boleh mencerahkan suasana perlu dipertingkatkan jumlah khususnya di kawasan tempat meletak kenderaan. Saya melihat kebanyakkan jenayah di jalanan ini berlaku di kawasan yang berkait dengan lokasi meletak kenderaan dan di jalan raya.

Buat semua yang membaca, apabila berada di tempat awam, cuba awasi gerak geri orang lain yang berada di sekitar kita. Cuba juga berfikir macam penjenayah.. Berfikir sebagai pemangsa sekali-sekala ;) Segerakan urusan dan cepat beredar apabila telah selesai segala urusan. Berhati-hatilah dalam membawa diri lebih-lebih lagi ditempat sunyi. Mencegah itu lebih baik. Cuba pilih untuk berada di kawasan yang kurang untuk risiko berlaku jenayah.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...