Saturday 31 August 2013

Erti Sebuah Kemerdekaan



Alhamdulillah, syukur sangat-sangat.. dah 56 tahun rakyat Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan. Saya amat yakin bagi generasi sebelum merdeka ataupun orang-orang terdahulu tentunya lebih dapat menghayati betapa beruntung dan bertuahnya kita menjadi rakyat Malaysia. Mereka telah melalui beberapa sela zaman dan perubahan masa ini telah memberikan mereka lebih penghayatan kepada nikmat kemerdekaan yang diperoleh.

Bagi generasi terbaru, generasi X dan generasi Y, kita mengharapkan semakin mereka meningkat dewasa semakin menebal tahap kecintaan dan pemahaman mereka kepada erti kemerdekaan negara. Semua ini bagi saya boleh dipupuk oleh semua pihak baik kerajaan, masyarakat, institusi keluarga dan individu sendiri. Paling mudah setiap daripada kita boleh bermula dengan membaca dan mengkaji setiap peristiwa dalam lipatan sejarah negara kita. Dengan mengetahui perjalanan sejarah dan kronologi yang ada, tentu sedikit sebanyak generasi yang baru dapat menghayati bagaimana Malaysia bermula dan boleh berada sehingga ke tahap yang boleh dibanggakan sekarang.

Bagi saya erti sebuah kemerdekaan itu pastinya apabila kita boleh berada di tempat tanah tumpah darah kita, yang mana disitu kita membesar, mencari rezeki membina kehidupan serta menikmati segala nikmat pemberian Yang Maha Esa dengan penuh rasa syukur tanpa digugat oleh mana-mana anasir.

Untuk terus bergerak maju kehadapan dengan tempoh Wawasan 2020 yang berbaki kurang lebih 7 tahun lagi, tentunya masih banyak lagi perancangan yang sedang dan perlu diusahakan pihak pemerintah dan didokong rakyat jelata. Marilah untuk kemerdekaan kali ini, kita bertekad untuk memberikan sumbangan dan kecintaan yang jitu tanpa berbelah bahagi kepada negara tercinta ini. Fikirkan apa yang boleh kita sumbangkan untuk negara. Pastikan kita ada sumbangan sesuatu kepada negara walaupun sedikit ;) 

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 56.

MALAYSIAKU BERDAULAT: TANAH TUMPAH DARAHKU 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday 20 August 2013

Ambil Ikhtibar Kejadian di Mesir




Seminggu ni memang kita sebagai umat Islam berkongsi kesedihan terhadap apa yang sedang berlaku di Mesir. Sedih kerana bumi para ambiya sedang melalui satu lagi episod pergolakan yang mengorbankan banyak nyawa. Permusuhan berlaku sesama Islam sendiri dan berlaku dalam bulan Syawal pula. Rakyat Malaysia khususnya umat Islam memang merasakan Mesir itu dekat dengan kita.. Salah satu daripadanya ramai kenalan dan saudara mara kita juga pernah belajar dan sedang melanjutkan pengajian di sana. Seorang sepupu saya juga sedang melanjutkan pengajian di sana. Moga dia dan rakyat Malaysia yang lain berada dalam lindungan dan rahmatNYA.

Melihat pergolakan dan pertempuran yang berlaku ini, mungkin kita sebagai saudara seIslam, apa yang terbaik yang boleh dan mampu kita lakukan adalah dengan menadah tangan berdoa kepada Yang Maha Esa, agar pertumpahan darah ini cepat berakhir dan dikembalikan kemenangan kepada pihak yang benar.

Dalam masa sama juga, marilah kita berfikir sejenak dimana pergolakan ini juga mungkin berpunca daripada aturan dan perancangan pihak lain yang suka melihat orang Islam bergaduh sesama sendiri. Moga kita di Malaysia dijauhkan daripada bencana dan dugaan seperti ini. Amin..



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday 5 August 2013

Menjelang Aidilfitri 1434H




Salam Aidilfitri saya ucapkan kepada semua yang sudi melawat blog ini. Alhamdulillah kita semakin hampir ke penghujung Ramadhan. Semoga dipengakhirannya nanti kita akan memasuki Syawal dalam keadaan kembali kepada fitrah. Fitrah sebenar kita sebagai hamba kepadaNYA. Hamba yang perlu selalu mengingatinya dan patuh atas segala perintah dan laranganNYA. Juga untuk kita sama-sama dapat mengharungi 11 bulan yang mendatang dengan lebih baik hasil latihan sebulan Ramadhan. InsyaAllah.

Dikesempatan ni saya dengan setulus hati ingin memohon maaf kepada sesiapa yang mengenali jika tanpa saya sedar melakukan salah atau menyinggung mana-mana pihak. Almaklumlah kita ni manusia biasa yang kerdil lagi lemah yang tak dapat lari daripada lalai dan melakukan kesilapan.

Semoga di musim raya yang bakal menjelma ini memberikan kita peluang untuk kita memperbaiki mana-mana hubungan sesama kita baik keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai. Mungkin sebelum ini kita mungkin tidak pernah bertegur sapa, tidak pernah berbaik agaknya ataupun bermusuhan memanjang, tapi cuba fikirkan selagi berpanjangan seperti hubungan itu, apakah faedah yang kita dapat? Umur di atas dunia ni pun bukannya lama, jadi cubalah berbaik dan nikmatilah sisa-sisa hidup yang ada dengan berasa selesa dengan orang di sekeliling kita. Untungnya untuk diri kita juga.. Bermaaf-maafanlah ya..

Di sini juga saya kan berpesan kepada diri dan semua agar dalam keseronokkan beraya nanti, jagalah adab susila dan budi bahasa.. Sebab masyarakat kita ni memang dari dahulunya pun dikenali dengan nilai-nilai murni yang baik, ditambah lagi dengan pedoman Islam itu sendiri.

Tak lengkap juga rasanya kalau post raya ni tak disertakan dengan ingat agar kita semua berhati-hati di jalan raya. Mulakan semuanya dengan doa. Jangan jadikan anda sebahagian daripada statistik kemalangan yang ada. Pastikan cukup rehat dan emosi stabil semasa memandu ;) 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday 1 August 2013

Banyak Pulak Kes Jenayah Senjata Api




Kebelakangan ini semakin menjadi-jadi pula jenayah berat seperti pembunuhan khususnya yang melibatkan senjata api. Mangsa tak mengira status, asalkan ada motif oleh pihak yang berdendam, berlakulah peristiwa yang pahit dan menyayat hati itu. Saya ingin mengucapkan takziah dan rasa simpati kepada ahli keluarga yang terlibat. Semoga mereka terus tabah dan cekap mengharungi detik-detik mendatang.

Kes terbaru yang melibatkan pengasas sebuah bank telah menampakkan beberapa perkembangan dan penemuan. Syabas kepada pihak PDRM yang sememangnya cekap dan cermat mengendalikan kes-kes yang ada. Dalam kes ini, sedikit sebanyak dibantu dengan penggunaan CCTV di kawasan kejadian. Dengan insiden dan tragedi seperti ini, saya fikir dah sampai masanya untuk diperbanyakkan lagi CCTV dilokasi-lokasi awam dan tumpuan ramai. Mungkin pihak berwajib boleh memperuntukan sejumlah bajet untuk tujuan keselamatan ini. Saya fikir dah banyak dah tapi boleh diperbanyakkan lagi.

Lebih mustahak daripada CCTV, tumpuan perlu diberikan oleh PBT ataupun memilik sesuatu kawasan atau bangunan untuk menyediakan persekitaran yang selamat. Sebagai contoh, minggu lepas saya dan keluarga ke sebuah pusat membeli belah di Melaka. Tempat letak keretanya berada di aras atas bangunan. Setelah meletakkan kereta teruslah saya dan keluarga menuju mencari pintu untuk menaiki lif bagi turun ke aras bawah. Kami mengambil sedikit masa untuk mencari lif. Tiada tanda arah langsung, seolah-olah premis berkenaan untuk orang situ aje ;) Saya lihat situasi ni kalau berlaku diwaktu malam dan suasana sunyi tentunya amat merbahaya jika berseorangan, lebih-lebih lagi wanita. Bila tak kena kita rasa ok. Tapi bila dah kena.. nasi dah jadi bubur nanti.

Pemasangan lampu yang boleh mencerahkan suasana perlu dipertingkatkan jumlah khususnya di kawasan tempat meletak kenderaan. Saya melihat kebanyakkan jenayah di jalanan ini berlaku di kawasan yang berkait dengan lokasi meletak kenderaan dan di jalan raya.

Buat semua yang membaca, apabila berada di tempat awam, cuba awasi gerak geri orang lain yang berada di sekitar kita. Cuba juga berfikir macam penjenayah.. Berfikir sebagai pemangsa sekali-sekala ;) Segerakan urusan dan cepat beredar apabila telah selesai segala urusan. Berhati-hatilah dalam membawa diri lebih-lebih lagi ditempat sunyi. Mencegah itu lebih baik. Cuba pilih untuk berada di kawasan yang kurang untuk risiko berlaku jenayah.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...