Tuesday 30 November 2010

Parkir di Hospital




Beberapa hari lepas saya berkesempatan ke MAHA2010 di Serdang. Disangkakan pergi melawat pada hari bekerja kuranglah sikit orang, rupanya ramai juga yang berkunjung. Penuh sesak mungkin disebabkan ia berlansung dalam musim cuti persekolahan agaknya. Separuh hari di sana saya dan isteri sempat melawat dan melihat gerai dan pameran di dewan-dewan utama sahaja. Memang hajat nak pusing ke semua lokasi pameran terutamanya yang memperlihatkan haiwan ternakan seperti kambing dan ikan. Tetapi apakan daya sememangnya terlalu banyak yang hendak dilihat dalam satu hari. Betul kata Menteri yang berkenaan, memang tidak cukup lawatan sehari untuk melihat semua pameran dan jualan yang ada.

Secara keseluruhannya saya lihat MAHA mempunyai daya tarikan dan keistimewaan tersendiri. Sememangnya industri yang berkait dengan pertanian mempunyai potensi yang besar dan cukup luas manfaatnya bukan hanya dalam aspek pemakanan dan ternakan, tetapi juga melampaui batasan teknologi, keusahawanan, inovasi, budaya dan kelestarian alam.

Apapun dalam perjalanan ke sana, saya melihat berdekatan dengannya adalah sebuah hospital. Hospital yang besar dan baru juga saya fikir. Barulah usianya jika dibandingkan dengan hospital-hospital besar yang lain. Tetapi apa yang menarik perhatian saya adalah parkirnya yang nampak berselerak di serata tepian jalan berhampiran. Nampaknya masalah lama ini  masih ada lagi. Meskipun kecanggihan peralatan yang ada di dalam premis hospital itu tidak perlu kita sangkal dan persoalkan tetapi kemudahan dan prasarana diluar premis bangunan mungkin sedikit sebanyak belum cukup memuaskan hati pengunjung. Ruang parkir yang tidak mencukupi memang menjadi isu dan permasalahan di mana-mana pun. Ia bukanlah isu di hospital semata-mata. Sebelum ini saya pernah ke hospital besar di bandar Melaka dan JB. Meletak kenderaan baik untuk menghantar pesakit ataupun melawat pesakit tentunya boleh menjadi fobia jika melihat semua lot parkir telah penuh. Bila salah letak kenderaan, takut pulak kena saman nanti.. Sudahlah duit akan mengalir untuk kos perubatan, takut tak pasal-pasal mengalir juga untuk membayar saman.

Apapun parkir di lokasi MAHA sememangnya cukup luas. Luas sehinggakan ia seolah terlalu jauh untuk kita berjalan dari kenderaan ke lokasi pameran. Memang berpeluh dibuatnya ;) Nasib baiklah ada train/traktor yang disediakan untuk pengangkutan dari lokasi ke lokasi dalam tapak MAHA.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 24 November 2010

CCTV di Merata-Rata




Hari ni berlaku satu kejadian jenayah di pusat kotaraya KL - Jalan TAR. Melibatkan kerugian ribuan ringgit, penggunaan senjata api oleh perompak dan mengakibatkan cedera @ kematian kalau tidak salah pendengaran saya di berita. Secara logiknya jika aduan dapat diterima pantas oleh pihak Polis samada melalui talian/sms RakanCop ataupun talian am kecemasan 999 "DAN" taburan CCTV yang meluas dan cekap tentunya perompak tersebut akan melalui jalan sukar untuk keluar dan lari daripada pusat bandaraya KL. Bayangkan jika ada satu bahagian di PDRM yang bertugas 24jam berupaya melihat secara jelas 50% liputan jalan atau laluan utama disamping rondaan yang sedia ada. Tentunya penjenayah akan menjadi semakin sukar untuk menjalankan aktiviti mereka di KL. 

Kadar jenayah dikatakan menurun, tetapi sekali sekala ia berlaku, ia akan meninggalkan kesan mendalam kepada yang terlibat atau tersangkut dengan insiden malang berkenaan.

CCTV kita lihat dewasa ini banyak juga digunakan oleh premis persedirian, bangunan perniagaan dan untuk tujuan lalu lintas. Untuk aspek pengurusan pemantauan dan penjagaan aktiviti jenayah yang LIVE, rasanya mungkin cantik juga sekiranya pihak berwajib melabur sekian peruntukan yang munasabah untuk mewujudkan satu sistem pengawasan persekitaran kawasan di sekitar bandaraya KL. DBKL atau pihak Polis sendiri mungkin boleh berkerjasama dalam hal ini.

Memang terdapat banyak CCTV di serata kawasan KL pada masa ini, tetapi rasanya belum cukup cekap dan bersepadu antara semua CCTV yang ada untuk membantu pihak berkuasa mengawasi aktiviti jenayah yang berlaku secara spontan daripada pusat kawalan. Mungkin ada kenyataan dalam tulisan ini yang kurang tepat dan saya mohon maaf. Apapun saya sekadar memberikan pendapat sahaja..

Di Melaka dengar-dengarnya nak pasang banyak CCTV. Macam-macam idea orang Melaka tu.. lepas satu satu keluar idea daripada kotak fikiran mereka.. Bukan nak puji sangat kepada orang Melaka, tetapi nampak pemerintah di sana kerja keras dan bersungguh dalam bekerja untuk rakyatnya.. Syabas!

Nota : Jangan letak CCTV di dalam tandas sudah... ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday 19 November 2010

Muhasabah Diri





Untuk menilai kembali diri kita, kita (anda dan saya) boleh cuba tanyakan 3 soalan ini kepada diri sendiri:

1. Seimbangkah kehidupan kita?
Antara pecahan kepada soalan pertama ini - Seimbangkah kehidupan kita antara kerjaya dengan kehidupan peribadi? Bagaimana hubungan kita dengan ahli keluarga, dengan rakan taulan, dengan saudara mara, masyarakat juga hubungan dengan Pencipta? Bagaimana pula dengan tumpuan dan objektif kehidupan kita? Adakah kita mengejar dunia semata-mata?
Sama ratakan jika tidak seimbang dan jangan terlalu berat ke satu-satu arah sahaja.

2. Adakah perjalanan hidup kita berada pada landasan yang betul?
Antara pecahan kepada soalan kedua ini - Adakah rutin seharian kita itu betul? Apakah kerja yang kita laksanakan sekian masanya itu betul? Betulkan tindakan kita selama ini untuk boleh memberikan makna kepada kehidupan kita dan kehidupan orang lain juga?
Jika telah tersasar, betulkan kembali landasan itu. Buat alignment semula.

3. Adakah kita melaksanakan tujuan hidup kita?
Antara pecahan kepada soalan ketiga ini - Adakah kita sebagai khalifah di muka bumi ini telah bertindak dan bertanggungjawab atas amanah yang diberikan? Adakah kita menjalankan kerja yang sepatutnya dilakukan? Adakah kita telah tidak mensia-siakan peluang yang ada untuk melakukan kebajikan? Adakah kita telah lupa apa peranan kita? Apakah kita telah tersasar daripada apa yang sepatutnya kita lakukan?
Jika kita sedar apa peranan kita sepatutnya, laksanakan tugas dan amanah itu.

Persoalan ini bukanlah untuk menasihati orang lain tetapi utama dan lebihnya kepada yang empunya diri, yang menulis ini.. Sekian..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday 16 November 2010

Salam Aidiladha 1431H



Untuk renungan dan iktibar kita bersama :

Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail. Selepas dari mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar.

Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.” Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah S.W.T., aku sedia merelakan diriku untuk disembelih.” Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih. Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan, “Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya.”

Walau apapun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah S.W.T terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.”

Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah S.W.T perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatlah apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah S.W.T, kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah S.W.T. Peristiwa ini ada diterangkan dalan surah Ash-Shaffat ayat 101 hingga ayat 111.

Sumber : http://pmr.penerangan.gov.my/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday 15 November 2010

Tarikh 13 Mei


 
Mendengar ada cadangan untuk meraikan ataupun memperingati peristiwa hitam negara kita iaitu semasa rusuhan 13 Mei 1969 rasanya tentu ramai yang tidak akan bersetuju. Rasa idea ini ingin disamakan seperti mana Hari Keharmonian Kaum oleh Singapura. Bagi saya benda yang baik kita boleh ambil contoh tetapi jika ada elemen yang agar samar-samar ni dan lahir dari benda yang negatif lebih selamat kita biarkan sahaja ia begitu.

Setahu saya kebanyakkan peristiwa di dunia ini yang manusia meraikan adalah peristiwa yang baik dan membawa makna yang baik sahaja. Peristiwa duka dan buruk biasanya tinggal tertulis dalam catatan dan lipatan sejarah sahaja. Walaupun ia memang benar berlaku serta memberikan kesan kepada mereka yang secara langsung melaluinya, rasanya adalah kurang bijak untuk mengenengahkannya dalam bentuk "meraikannya". Ia bukanlah peristiwa biasa yang boleh dilupakan sebegitu sahaja yang mereka yang melaluinya dahulu. Memadailah jika diberikan satu bentuk dokumentari atau dibukukan secara jelas apa yang berlaku ketika itu. Ia memang tidak boleh dipadam jadi biarkan sahaja warna hitam itu di situ. Usah dicuba merubah corak warnanya itu di situ.

Kalau ya pun hendak diwujudkan perpaduan tidak perlulah tragedi itu dijadikan asasnya.. Carilah asas daripada perkara-perkara yang lain..

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday 13 November 2010

Isu Besar dan Isu Kecil




Di dalam dunia ini kita dapat lihat ada ramai pakar motivasi. Ramai juga yang bijak memberikan motivasi yang berkesan. Hasilnya, mungkin ada ramai diantara kita yang hidup dengan penuh motivasi. Bertuah mereka. Dengan kepelbagaian kehidupan yang ada tentunya ada yang lain yang sederhana tahap motivasi dirinya, sentiasa turun dan naik dalam bermotivasi, kurang bermotivasi dan ada juga yang tidak bermotivasi langsung. Kita boleh tahu di tahap mana kita bermotivasi. Saya baru-baru ini tertarik dengan huraian seorang pakar motivasi di sebuah stesen radio. Pendekkan cerita motivasi berasal daripada perkataan motif. Bila ada motif dan tujuan yang jelas barulah kita akan lebih bermotivasi. Untuk menggalakan kejayaan mencapai motif itu antara lain adalah dengan mewujudkan 1 dimensi motif yang lebih luas. Maksudnya motif berkenaan bukan hanya untuk faedah diri kita sahaja tetapi juga faedah kepada keluarga, orang sekeliling, organisasi, negara dan ummah itu sendiri. Selesai satu perenggan ;)

Seterusnya.. melihat tajuk post ini iaitu "Isu Besar dan Isu Kecil". Hubungan perenggan di atas dengan tajuk ini adalah kita boleh uji sejauhmana kita sudah cukup bermotivasi untuk satu satu motif itu. Kita tidak akan merasa sukar untuk mengharungi  segala cabaran yang ada sekiranya tahap motivasi kita sudah cukup tinggi dan mantap. Perbandingannya adalah seperti kita dan bumi. Kita bergerak di atas bumi. Bumi sebenarnya juga bergerak, tetapi ia bergerak 29.783 km sesaat. Bererti dalam sejam bumi bergerak sejauh 107218.8km. Begitu laju bukan? Tetapi mengapa kita tidak merasainya. Ini adalah kerana kita terlalu kecil untuk merasai pergerakan bumi yang amat besar itu. Di sini pergerakan kita boleh diibaratkan sebagai isu kecil dan pergerakan bumi diibaratkan isu besar. Maksudnya apabila kita telah jelas dengan perjalanan untuk menangani isu besar ataupun motif besar yang hendak dicapai, kita akan dengan mudah boleh mengatasi dan tidak merasai isu-isu kecil yang timbul. Isu-isu kecil itu dapat kita atasi sekiranya kita amat jelas apa isu besar yang perlu kita fahami dan atasi.

Akhir kata, usah membuang masa yang lama pada isu kecil, fokus pada isu besar. Motivasikan diri pada sesuatu yang jelas dan luaskan faedah bagi setiap matlamat yang ingin dicapai. Berpesan kepada diri juga. Terima kasih kerana meluangkan masa membaca.

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday 8 November 2010

Keputusan Atas Maklumat




Kita melihat dalam menentukan apa jua strategi baik di sektor kerajaan, politik, perniagaan, ketenteraan dan di peringkat individu juga kita membuat keputusan berasaskan fakta dan asas maklumat yang ada. Berkait dengan maklumat dewasa ini kita sedar tentang teknologi maklumat dan kuasa maklumat. Bagi mereka yang lebih bermaklumat mereka akan lebih ke hadapan. Bentuk maklumat juga telah berubah dengan peredaran zaman, jika dahulu maklumat adalah lebih kepada apa, mengapa dan di mana? Tetapi corak maklumat yang lebih diperlukan kini adalah bagaimana, kenapa dan kenapa tidak ataupun betulkah?? Dahulu maklumat wujud dalam bentuk susunan data, jadual, nombor, teks dan artikel. Sekarang ia telah pergi amat jauh daripada itu iaitu dalam bentuk yang lebih kompleks, rumit, saling berkait, hibrid dan juga sukar untuk difahami. Kepelbagaian bentuk, rupa dan medium maklumat juga telah berkembang dengan teknologi digital yang boleh menyimpan dan memanupulasi apa juga bentuk data dan maklumat yang ada. Kecanggilan teknologi komputer dan komunikasi sangat merancakkan perkembangan tamadun manusia dalam arena maklumat yang ada. Ia bukan sekadar menyimpan maklumat statik sebaliknya ia boleh menjadikan maklumat berkenaan terlalu dinamik, "berkuasa" dan "pintar" untuk melaksanakan sesuatu agenda ataupun melaksanakan sesuatu praktik. Lihat sahaja kepada kemajuan teknologi manusia dalam perubatan dan kejuruteraan. Kita boleh melihat begitu jauh apa yang mungkin berada dalam jangkauan kemampuan tafsiran biasa kita. Pelbagai simulasi yang boleh diwujudkan. Benda yang tidak berlaku pun boleh dijangkakan kemunculannya. Pendek kata keputusan atas dasar maklumat yang tepat adalah amat relevan dan penting kini. Maklumat kadang kala boleh jadi jelas dan tidak jelas. Terpulang kepada kita untuk mendapatkan penjelasannya. Untuk menjadikan kita dan persekitaran kita lebih baik, kita tidak harus membiarkan sahaja maklumat tidak digunakan. Analisa dan fikirkan mengenai setiap maklumat yang ada melintas di hadapan kita. Keputusan berada dalam kotak fikiran dan hati kita, tindakan di tangan kita. Di jari jemari kita. Di pensil yang memangkah ;)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday 5 November 2010

Belajar Dalam Kerja



Setiap hari kita keluar bekerja.. bagi orang politik & bisness mungkin Sabtu & Ahad juga, mereka bekerja.. Kita bekerja untuk diri kita, bekerja juga untuk keluarga, bekerja juga untuk organisasi,  masyarakat dan negara. Setiap daripada kita sememangnya akan dipertanggungjawabkan satu amanah untuk dijaga dan diusahakan. Bagi yang lebih berkebolehan mungkin lebih banyak amanah yang akan dipikulnya. Tidak kita di peringkat mana kita berada.

Sesetengah daripada kita berasa selesa dengan kerja yang ada. Kerja semata-mata kerja sahaja. Cukup bulan terima habuan. Adakah habuan itu sebenarnya layak bagi kita? Kita sendiri tahu jawapannya..

Sebenarnya isi utama untuk saya katakan di sini adalah dalam 2 konteks utama iaitu pertamanya  kita sebagai [individu] dan keduanya kita sebagai [organisasi]. Dalam kedua-dua konteks ini kadangkala kita gagal belajar sesuatu dalam perjalanan kerja yang kita buat. Walaupun dalam tempoh masa yang panjang, kita masih melakukan benda yang tidak memberikan impak yang diharapkan atau ringkasnya  "belajar" daripada kesilapan yang pernah berlaku. Dah bertahun berlalu, kita masih tidak berubah dengan "belajar" daripada apa yang telah dilalui sebelumnya.
 
Saya ingin merujuk kepada Model Ekonomi Baru yang di rangkakan oleh Kerajaan kini yang mana menekankan kepada 3 prinsip dan objektif utama iaitu berpendapatan tinggi, keterangkuman semua dan kelangsungan ekonomi dalam jangka masa panjang. Jelas bagi saya PM sekarang telah "belajar" iaitu beliau sedar apa yang perlu diperbaiki dalam sistem ekonomi negara. Ini satu contoh belajar dalam kerja.

Satu contoh lagi ialah bagaimana kita melihat syarikat-syarikat telekomunikasi "belajar" dalam bekerja. Dalam sehari kita akan melihat pelbagai iklan dan promosi pelan itu dan ini baik dari 012, 016, 019 dan lain-lain. Lepas satu persatu pelan dan faedah diketengahkan. Mereka berlumba-lumba untuk menarik pelanggan. Ini jelas membuktikan mereka dari semasa ke semasa "belajar" tentang corak penggunaan gaya komiunikasi manusia dari semasa ke semasa dan bukan hanya membiarkan sahaja kerja ataupun bisnes berjalan begitu sahaja.

Saya melihat walaupun bekerja dan belajar adalah dua jenis aktiviti yang berbeza tetapi "belajar" apa kelemahan yang ada untuk mendapatkan kekuatan baru itu saya fikir jauh lebih penting daripada kita hanya terus berkerja dan berkerja semata-mata dari satu titik mula hingga ke titik lain yang mungkin tidak boleh memberikan titik penamat ataupun titik akhir yang sebenar.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday 3 November 2010

Potensi Diri



Bagaimana kita merangsang potensi diri? Sekadar yang sempat saya ingat daripada slot motivasi pagi semalam di Radio IKIM jam 7.30 pagi. Untuk merangsang potensi diri kita perlukan kepada 3 perkara iaitu :

1. Dahagakan ilmu. Kecintaan dan minat terhadap ilmu yang bermanfaat harus ada dalam diri kita. Jangan lepaskan peluang dalam setiap perjalanan kehidupan kita untuk memahami sesuatu pengetahuan baru. Ia boleh dipelajari secara formal dan tidak formal. Sumber ilmu kini datang dari pelbagai sumber. Gunakan unsur kreativiti, sifat cekal dan kerajinan untuk mencarinya.

2. Merendah diri dalam menimba ilmu. Ibarat seperti lembah yang rendah. Hanya lembah yang rendah sahaja yang boleh menakung air. Tidak perlu kita berasa malu untuk belajar sesuatu daripada seorang lain. Tidak jatuhpun maruah dan harga diri ataupun "kemachoan" jika kita bertanya apa yang kita tidak faham.

3. Melakukan kerja lebih daripada jangkaan. Jika orang lain menjangkakan kita boleh memberi 5, tetapi realiti sebenarnya kita mampu memberikan 6 atau lebih mengapa tidak kita beri yang lebih tu. Sebagai contoh, bonus bukan sesuatu yang diharap tetapi apabila diberikan secara tidak disangka-sangka ia sememangnya "Bonus" kepada semua.

Janganlah kita terlalu takjub dengan benda-benda ciptaan manusia.. Takjublah kita pada potensi diri kita sendiri.. Sesungguhnya kita adalah sebaik-baik kejadian. Wallahualam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...